Atas izin dan ilham Allah S.W.T, saya ingin kongsikan sedikit ilmu dan pengetahuan berkaitan kewajipan zakat fitrah bagi seorang perempuan, samada dia sudah berkahwin, atau bujang; atau samada dia sudah bekerja atau masih lagi belajar. Tentu ramai nak tahu, memandangkan zakat fitrah itu adalah salah satu rukun bergelar seorang Islam, seorang Muslim.
Kewajipan Zakat Fitrah Seorang Perempuan
Zakat fitrah adalah wajib buat semua orang Islam, samada kecil, besar, tua, muda, miskin, kaya, kanak-kanak, lelaki, wanita, bayi, orang gila, merdeka mahupun hamba sahaya. Perkara ini sesuai dengan dalil daripada sebuah hadith Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud:
Abu Hurairah r.a menyatakan: “Rasulullah saw telah mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan kepada orang yang merdeka, hamba sahaya, lelaki dan perempuan, anak-anak, dewasa, fakir atau kaya – daripada kalangan kaum muslimin,” (H.R Ahmad, Bukhari dan Muslim)
Dari sudut sirah atau sejarah, zakat mula difardukan kepada umat Islam pada tahun kedua selepas hijrah Nabi Muhammad S.A.W ke Madinah. Kewajipan berzakat telah dinyatakan dalam ayat-ayat atau surah Madaniyah. Surah-surah Madaniyah banyak menekan aspek hukum dan syariat Islam berbanding aspek akidah.
Banyak dalil naqli (dalil Al-Quran dan Al-Hadis) yang menyatakan kewajipan zakat, di antaranya firman Allah di dalam surah An-Nur, ayat 56 yang bermaksud:
“Dan dirikan oleh kamu akan sholat serta berikanlah zakat” (An-Nur, 56)
Sekarang, dah jelas akan kepentingan zakat fitrah ini buat seorang Islam? Ia adalah rukun Islam ketiga dan dalam Al Quran kepentingannya sangat jelas bila digandingkan bersama sholat sepertimana dalam ayat 56 surah An-Nur tadi.
[Dah Baca?] Cara Mudah Bayar Zakat Fitrah Secara Online - Guna JomPAY
Ok. Mari kita berbalik pada persoalan utama yang saya tulis terjojol di tajuk entri ini, iaitu kewajipan zakat fitrah seorang perempuan.
Perempuan Dalam Tanggungan Bapa
Jika perempuan itu tidak berkahwin, samada sudah akil baligh atau belum, tanggungjawab menunaikan zakat adalah terletak pada bapanya; jika tiada bapa atau sudah kematian bapa, tanggungjawab tersebut jatuh pada siapa yang menanggungnya atau yang memberinya makan, boleh dipertanggungjawabkan kepada si ibu (jika ibu tunggal); atau kepada abang jika ada atau adik lelaki jika dia yang menanggung keluarga termasuklah ibunya.
Bagi perempuan yang sudah berkahwin, tanggungjawab lunaskan zakat fitrah adalah terletak pada suaminya. Jika suami meninggal dunia, maka wajib keluarkan zakat atas dirinya sendiri.
Ibu Tunggal
Perempuan dalam kategori ibu tunggal adalah juga wajib membayar zakat; selagi ia tidak memberikan kebebanan buatnya.Zakat fitrah adalah zakat tubuh, ia untuk menyucikan diri, maka sangat perlu bagi perempuan yang tidak ditanggung oleh sesiapa, membayar zakat buat dirinya dan jika ada tanggungan, membayar zakat di bawah tanggungannya. Dan ini terpakai buat si ibu tunggal.
Perempuan Bekerja
Zakat fitrah bagi anak yang sudah bekerja sendiri, sama ada lelaki dan perempuan, maka mereka lebih berhak mengeluarkan sendiri zakat fitrahnya. Bahkan, jika mereka mahu mengeluarkan zakat fitrah ibu bapa juga boleh, dan mereka perlu memaklumkannya kepada ibu bapa.
Namun, jika perempuan bekerja membayar zakat dirinya, dan pada masa sama bapa juga membayar zakat buat dirinya, tiada menjadi kesalahan. Zakat yang dikeluarkan itu boleh dianggap sebagai sedekah maka ganjaran pahala in Sha Allah akan dapat pada si anak perempuan bekerja.
[Dah Baca?] Tips Mencari Malam Lailatul Qadar dari Ulama Tersohor
Suami Tidak Bekerja, Isteri Bekerja dan Gaji Lumayan
Selalunya berlaku bila si suami terpaksa ikut isterinya bertugas di luar negara, dan si suami terpaksa bercuti tanpa gaji, iaitu tanpa pendapatan; maka boleh si isteri keluarkan zakat untuk dirinya dan tanggungan yang lain, termasuk juga suaminya. Apabila si isteri bayar zakat untuk diri sendiri, maka gugurlah tanggungjawab suami membayar zakat buat isterinya kerana ketiadaan kemampuan diri untuk melakukannya.Adakala ayah (jika perempuan belum bernikah) atau suami liat nak bayar zakat, atau bertangguh membayarnya, boleh juga bayar zakat untuk diri sendiri supaya tidak terbeban hutang zakat atas diri sendiri.
Ia Kewajipan Individu
Saya rasa perkongsian di atas cukup jelas untuk menjawab persoalan-persoalan berkaitan kewajipan zakat fitrah bagi seorang perempuan. Zakat fitrah adalah tanggungjawab individu itu sendiri apabila dia sendiri mampu untuk membayarnya atau tidak berada di dalam tanggungan.
Nilai bayaran zakat fitrah terlalu kecil iaitu bersamaan dengan segantang beras dan tidak salah jika seorang perempuan ingin membayar zakat dirinya walaupun suami atau ayah juga melakukan perkara yang sama.
Anggap sahaja bayaran yang dibuat selepas bayaran pertama sebagai sedekah kerana balasan Allah berikan kepada muslimin dan muslimat yang bersedekah pada Ramadhan sangat berlipat ganda, apatah lagi jika dibuat bagi meringankan beban mereka yang sedang berpuasa.
Bagi saya, lebih afdal jika sesiapa jua, tak kiralah kecil besar, tua muda, miskin kaya, perempuan lelaki, OKU atau cukup sifat bayar zakat untuk diri sendiri jika sudah ada pendapatan sendiri dan boleh tanggung diri sendiri, selagi tidak merasa terbeban olehnya.
[Dah Baca?] Terlupa Bayar Zakat Fitrah? Apa Perlu Dilakukan ..?
Pengalaman Lihat Remaja Bayar Zakat Untuk Keluarganya
Saya pernah melihat seorang remaja lelaki dalam belasan tahun yang bayar zakat fitrah untuk diri sendiri dan adik beradiknya yang lain, walaupun ada ibu dan ayah. Ini kerana ibu dan ayah sudah tidak berkeupayaan bekerja dan tanggung, malah dia juga bayarkan zakat fitrah untuk ibu dan ayahnya sendiri.
Tiada larangan pun dari ustaz tu, malah ustaz tu menepuk-nepuk bahu remaja lelaki itu kerana tahu akan kewajipan bersihkan diri dan jiwa dengan zakat fitrah.
Zakat fitrah juga menepati kehendak puasa yang bermaksud mengembalikan manusia kepada fitrah. Apabila zakat fitrah ditunaikan, maka akan terhakislah rasa tamak dan haloba dalam diri dan diganti dengan rasa rendah diri dan saling berkongsi.
Seperti saya katakan di atas, nilai zakat fitrah bukanlah berat sangat, lebih kurang dalam RM7-RM8.00 buat masa sekarang. Andai jumlah RM7 itu masih dipertikaikan atau macam liat je nak bayar, hatta walau tahu diri sendiri sudah dibayar, maka bagaimana pula seseorang itu mampu berkongsi sesuatu yang lebih besar dalam hidupnya dengan orang lain.
Semoga bermanfaat.
p.s: Segala sumber saya dapatkan daripa Q.A atau jawab tanya yang ada di laman-laman web bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Negeri, dan juga JAKIM.
p.s.s: Gambar adalah sekadar hiasan.
Nice sharing :)
BalasPadamBloglisted^^ http://www.aimisyafiqah.com/2014/07/bloglisted.html
Terima kasih :)
PadamThanks Sharing Bro HH
BalasPadamMoga2 kita semua dapat menjalankan tanggungjawap dengan sempurna
BalasPadamok baik. thanks utk info.. hhehe
BalasPadamNice sharing
BalasPadamada lebih kurang seminggu lagi untuk bayar zakat, bagi yang belum bayarlah cepat-cepat.
BalasPadamperkongsian yg sangat baik...
BalasPadamTima kasih utk prkongsian ini...
BalasPadamUlasan baru tidak dibenarkan.