Sebagai bapa, pastilah saya mahukan anak saya berjaya lulus dengan cemerlang, dan kalau boleh biar mendapat 6A untuk peperiksaan UPSR ini. Walaupun ada yang kata, ia bukanlah peperiksaan 'sebenar' untuk menentukan hala tuju anak di alam pekerjaan, namun saya percaya pada konsep Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya.
26 Tips dan Petua Lulus Cemerlang 6A Dalam UPSR
Alhamdulillah, baru-baru ini saya dan isteri telah berkesempatan untuk hadiri satu taklimat dan perjumpaan waris bagi calon-calon peperiksaan UPSR 2016 di sekolah anak saya. Banyak tips dan panduan yang telah diberikan oleh guru-guru yang mempunyai pengalaman dalam UPSR. In Sha Allah, saya akan kongsikan beberapa tips tersebut untuk manfaat bersama.
26 Tips serta Petua Untuk Anak Cemerlang UPSR
- Gunakan pensel 2B sebenar, dan bukan pensil mekanikal untuk menjawab soalan. Kalau boleh, sediakan pensel 2B yang berkualiti terbaik, atau exam grade. Kadang tulisan tak berapa jelas dan akan menyukar pegawai pemeriksa kertas.
- Haramkan terus penggunaan pensil mekanikal, kerana penggunaan pensil ini akan buang masa anak-anak ketika menjawab soalan. Apabila mata pensil mekanikal habis, ia akan bazirkan masa jawab peperiksaan semata-mata untuk masukkan isi dakwat pensil mekanikal tersebut.
- Latih anak-anak untuk menulis dengan tulisan yang jelas dan terang. Jika tulisan tidak cantik, sukar dibaca, tidak terang dan tunggang-langgang, kesannya akan menyebabkan pemeriksa sukar nak baca jawapan yang ditulis. Jika pemeriksa tidak faham, kemungkinan pelajar akan kehilangan markah yang berharga.
- Untuk kertas sains, ada kata kunci tertentu yang memberikan markah. Pastikan anak-anak berlatih menjawab soalan sains menggunakan kata kunci ini, dan menulisnya dengan baik.
- Gunakan pemadam yang berkualiti terbaik, kerana ada pelajar yang memadam satu-satu kesalahan sehingga mengoyakkan kertas. Cara padam yang tidak betul juga akan membuatkan kertas jawapan jadi comot. Pemeriksa kertas soalan/jawapan juga seorang manusia, dan pastinya mereka lebih senang memeriksa kertas yang kemas dan tidak comot.
- Pelajar-pelajar atau calon UPSR perlu dilengkapkan dengan set alat tulis yang lengkap. Sila semak set kelengkapan ini setiap hari sebelum masuk ke dewan peperiksaan.
- Latih anak-anak untuk melihat masa. Masa adalah 'killer'. Latih anak-anak untuk menjawab soalan mengikut masa yang ditetapkan. Kata cikgu sekolah, ramai pelajar yang tidak tahu membahagi masa menjawab soalan lalu menyebabkan banyak soalan tidak terjawab di dalam masa yang ditetapkan.
- Mengikut info yang diberikan oleh cikgu, turutan soalan adalah berkaitan antara satu sama lain. Maka, anak-anak perlu faham soalan dengan baik. Soalan kedua dan seterusnya akan mudah dijawab andai soalan pertama dijawab dengan betul dan tepat (dalam set soalan yang diberikan).
- Sila hadir ke sekolah setiap hari tanpa ponteng. Setiap hari akan ada maklumat dan tips penting mengenai peperiksaan UPSR yang dikongsikan oleh rakan-rakan guru seluruh Malaysia.
- Dalam peperiksaan Bahasa Malaysia, pelajar perlu pastikan bahawa tanda-tanda seperti noktah, sengkang, tanda seruan, tanda soal dan sebagainya ditulis dengan terang dan jelas. Tanda-tanda ini penting bagi memastikan jawapan yang diberikan itu betul, tepat, jelas maksudnya.
- Untuk soalan matematik, pelajar perlu menggunakan daya penyelesaian masalah. Jangan berfikir terlalu lama untuk mendapatkan penyelesaian. Lihat pada kata kunci soalan, contohnya - bakinya, perbezaannya, cari jumlahnya, berapa puratanya, untung, rugi, diskaun. Fikirkan jalan penyelesaian untuk masalah tersebut.
- Pastikan pelajar menggunakan tanda, titik perpuluhan, dengan betul. Tulis dengan jelas dan terang. Kesilapan tertinggal titik perpuluhan boleh menyebabkan jawapan yang diberikan adalah salah, walaupun cara kira adalah betul!
- Untuk soalan matematik yang melibatkan unit seperti kg, gram, meter, centimeter, minit, jam dan sebagainya; pastikan ia ditukar kepada unit yang dimahukan dalam soalan. Jangan lupa meletakkan unit-unit ini dalam jalan kira-kira penyelesaian masalah serta paling penting, ia mesti diletakkan pada jawapan akhir.
- Tulis jawapan dengan jarak perkataan atau nombor yang sesuai. Jika terlalu jarak, ia akan menyebabkan ruang untuk menjawab soalan tidak cukup. Apabila ini berlaku, kemungkinan jawapan diberikan tidak berapa jelas di mata pemeriksa. Pelajar mungkin diberikan markah kosong atau markah penuh jawapan akan dipotong kerana masalah ini.
- Ajar anak anda untuk bijak menggunakan ruang kotak atau baris jawapan. Ramai pelajar yang habiskan masa padam dan tulis kembali jawapan semata-mata untuk memastikan ia penuhi ruang dan kotak jawapan.
- Buatlah latih tubi dan contoh soalan agar pelajar dan anak-anak berasa selesa dengan bentuk dan cara soalan diberikan. Mereka mungkin tidak tahu soalan sebenar, tetapi dengan memberikan gambaran tentang corak soalan yang bakal ditanya, ia akan mudah buat mereka faham.
- Sebelum peperiksaan, ketatkan jadual ulangkaji. Hindarkan segala gangguan terutama gajet atau akses ke internet. Benda-benda ini akan mengurangkan daya ingatan mereka terhadap segala persiapan dan ulangkaji.
- Buat ibu bapa, kurangkan aktiviti yang tiada kaitan dengan peperiksaan UPSR anak; contohnya pergi bercuti, melancong dan sebagainya. Kalau terpaksa, minta anak-anak membawa buku ulangkaji.
- Pastikan kesihatan anak-anak sentiasa tip top, lebih-lebih lagi menjelang dan semasa peperiksaan.
- Berikan makanan terbaik yang bagus untuk minda dan kecerdasan. Makanan seperti kismis, buah kurma patut dijadikan menu pagi harian.
- Elakkan anak-anak dari makan dan minum makanan serta minuman yang telah dihurung semut atau yang lama terdedah.
- Elakkan makan kepala ikan. Lebihkan pada sayuran dan buah-buahan segar.
- Tidur dan dapatkan rehat yang secukupnya. Badan perlu rehat supaya dapat bekerja dengan baik. Otak yang telah digunakan semaksima ketika ulangkaji perlu disegarkan dengan tidur yang cukup. Tetapi jangan pula terlebih tidur ... huhu.
- Sholat lima waktu perlu dijaga. Bukan sahaja oleh anak-anak yang bakal ambil peperiksaan UPSR tetapi juga ibu bapa.
- Buat sholat sunat hajat dan sentiasa berdoa kepada Tuhan supaya diberikan kemudahan, kesihatan, daya pemikiran yang baik.
- Mohon ampun maaf, dan berdoa sebelum masuk dewan peperiksaan. Ucapkan alhamdulillah, selesai menjawab soalan peperiksaan.
Okey, itulah sedikit sebanyak perkongsian mengenai tips serta panduan untuk lulus cemerlang di dalam UPSR. Mungkin sedikit berterabur dari segi nahu, semantik dan tatabahasa ... in Sha Allah, anda boleh faham maksudnya.
[Baca] 6A UPSR 2016 - Apa Rahsia Anak Saya (Amri)?Saya bukanlah guru, atau pegawai pemeriksa kertas UPSR 2016 yang sebenar layak nak berikan tips di atas, tetapi sebagai seorang bapa ... saya pastinya mencari cara agar anak saya dapat cemerlang terbaik dan peroleh keputusan 6A dalam UPSR tahun 2016 ini. Mana yang terkurang lebih dalam perkongsian, harap dimaafkanlah ye ... dan kalau nak tambah pun boleh, hanya komen sahaja di bawah.
Moga dapat dimanfaatkan, in Sha Allah.
Terbaik..!!
ReplyDeletetips yang baik
ReplyDelete"Untuk kertas sains, ada kata kunci tertentu yang memberikan markah. Pastikan anak-anak berlatih menjawab soalan sains menggunakan kata kunci ini, dan menulisnya dengan baik." BOLEH SHARE TIPS. ANAK SAYA BAKAL DUDUKI UPSR SEPTEMBER INI
ReplyDeleteKena tanya guru sekolah, saya cuma beritahu apa yang diberitahukan oleh guru semasa saya jumpa dengan mereka, dan saya sampaikan pada anak saya.
DeleteBagus tip ini
ReplyDeleteTips yang baik untuk calon yang bakal menduduki UPSR...
ReplyDeleteinsyaalah berkesan
ReplyDeletePost a Comment
Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.