Petua Mendidik Anak Supaya Hafaz Al Quran. Petua ini adalah tulisan asal Ustazah Ainun Mardhiah. Jika anda tak kenal siapa Ustazah Ainun, beliau adalah antara panel yang sering keluar dalam rancangan Tanyalah Ustazah di TV9.

Kalau nak tahu, beliau juga adalah pengasas Ummu Muadz Resources dan juga terlibat dengan Tahfiz Nadi Al Baghdadi. Berkelulusan tinggi dalam pengajian Al Quran dan sunnah, beliau adalah lepasan Universiti Antarabangsa Islam Malaysia dan juga Universiti Al Mansurah, Mesir.

Ustazah Ainun banyak berkongsikan tips berkaitan pendidikan anak-anak Muslim, terutama menerusi blognya dan juga Facebook. Banyak perkongsian daripada Ustazah yang telah viral dan menjadi panduan ramai ibu bapa Muslim di Malaysia untuk mendidik anak-anak mengikut Al Quran dan Sunnah.

10 Petua Daripada Ustazah Ainun Agar Anak Mudah Hafaz Al Quran

Antara post Ustazah Ainun yang paling viral di laman sosial ialah mengenai 10 petua untuk didik anak agar hafaz Al Quran.

In Sha Allah, saya nak kongsikan menerusi blog ini supaya dapat dijadikan panduan buat diri saya sebagai ibu bapa, dan disebarkan kepada pembaca dan pengunjung yang lain. Untuk makluman, saya ada ubah beberapa struktur ayat untuk pemahaman jelas agar mudah diikuti.

1. Membiar Si Anak Mendengar Ayat Al Quran sejak Dalam Kandungan Lagi

Saya mula mendidik anak membaca Al-Quran sewaktu dalam kandungan lagi. Baca Quran, baca Quran, baca Quran. Semasa mengandung Muadz, saya mengalami alahan teruk.

Saya terpaksa membaca Quran sambil baring. Niatnya supaya anak dengar Kalamullah. Saya yakin dia sedang berkembang dengan pintar bila mendengar ayat-ayat Allah.

2. Bantuan Alat Mengajar Dengan Flash Card

Selepas anak lahir dan usianya 2 bulan, saya buat flashcard sendiri. Sebab semasa itu saya di Madinah, tidak menjumpai flashcard yang bersesuaian. Saya guna manila kad sahaja sebagai pengganti.

Saya menulisnya besar-besar dan membaca pada anak saya bernama Muadz setiap hari. Sebut huruf tu pada dia sejelas-jelasnya. Tetapi dia buat tidak tahu sahaja semasa itu. Siap ronyokkan lagi kertas flashcard yang dibuat.

3. Guna video

Pasangkan dia video Alif Ba Ta kepadanya. Terkekek-kekek Muadz ketawa melihat video tu.

4. Memasang Kaset Al Quran Dalam Kereta

Saya juga pasangkan kaset Al-Quran di dalam kereta. Tidak kiralah pergi ke mana-mana.

5. Hanya Al-Quran sahaja

Setelah balik Malaysia, selepas suami bercerita tentang cara Syeikh Mesir mendidik anak hafaz Al-Quran, kami terus membuat keputusan.

Mulai hari itu kami mula pasangkan surah Al-Quran sahaja dalam kereta. Quran sahaja! Masuk kereta sahaja terus pasang, hatta walaupun pergi ke kedai berdekatan dengan rumah.

6. Kesan Pasang Al-Quran

Saya perhatikan anak-anak saya sangat mudah untuk tidur di dalam kereta. Sampai orang pelik bagaimana mereka boleh menjadi begitu sopan di dalam kereta, sebab keluar sahaja dari kereta mereka terus tidak duduk diam.

Ya, sekali lagi. Saya yakin dengan keberkatan Al-Quran. Al-Quran menenangkan hati dan jiwa.

7. Bacakan Al Quran Pada Anak Sebelum Tidur

Selain mendengar di dalam kereta, abah Muadz juga rajin membacakan surah Al-Quran pada anak-anak sebelum tidur.

Dia peluk anak-anak kiri dan kanan dan kemudiannya membaca Al-Quran kepada mereka. Tidak sampai sejam pun kadang-kadang anak sudah tertidur.

8. Jangan Terkejut Dengan Kemampuan Kanak-kanak

Kami bacakan Surah Asy-Syams sehingga umur Muadz 2 tahun lebih ( kalau tidak silap saya). Tiba-tiba dia sambung! Kami terkejut!

Mengalir air mata saya, Maha hebatnya Allah S.W.T! Padahal kami masih belum memberi usaha yang semaksima lagi tetapi Muadz sudah boleh mengingati Surah Asy-Syams.

9. Menguji Surah Lain

Kami cuba menguji dengan surah yang lain pula. Kami suami isteri bacakannya di dalam kereta. Tiba-tiba dia sambung. Sekali lagi kami terkejut. Dia sudah menghafaz Surah AL-Balad! Allahu Akbar!

10. Jadikan Tabiat

Disebabkan tabiat apabila masuk sahaja kereta dipasangkan Al-Quran, maka si Muadz ini pun setiap kali masuk kereta tiada ayat lain dijeritkan melainkan…"Nak Qoran!! ( Nak Al-Quran)". Ianya terjadi bila saya cuba-cuba nak dengar radio IKIM di dalam kereta.

In Sya Allah yakinlah wahai ibu ayah bahawa kita semua boleh. Anak kita semua sangat genius, insan-insan yang masih terpelihara daripada dosa.

Selain itu, pujilah anak bila mereka mengaji. Tunjukkan muka ceria dan gembira. Semoga berjaya! Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Izin Allah S.W.T

Video Muadz, Anak Ustazah Baca Quran

Alhamdulillah. Semoga pengalaman yang dikongsikan oleh Ustazah Ainun ini dapat dijadikan panduan, pedoman serta petua untuk didik anak agar mudah dan senang menghafaz Al Quran, terutama sekali di umur yang muda.

Sekarang, mari saksikan video menunjukkan anak Ustazah Ainun, si Muadz sedang lancar membaca sambungan Al Quran di dalam kereta. Video ini dirakam pada tahun 2014.

Kita mungkin tak dapat nak jadi seorang ibu dan ayah yang mahir dan hafaz Al Quran, tetapi tidak bermakna anak kita tidak boleh. Jadikan anak kita lebih baik daripada diri kita, kerana apabila kita mati kelak .. anak-anaklah yang akan mendoakan kita.

Semoga bermanfaat.

Kredit: Facebook Ustazah Ainun Mardhiah


Previous Post Next Post

Advertisement

Bisnes Shopee

Advertisement

BERMASALAH DENGAN HARTA PUSAKA?

Panduan Mengurus Harta Pusaka dan Hibbah. - Nak Tahu? Klik Sini Sekarang!!


Advertisement