Walhal perkara-perkara berkaitan penipuan pakej umrah dan haji ini boleh dielakkan jika para bakal jemaah membuat sedikit penyelidikan dan semakan tentang syarikat pengendali pakej.
Panduan Memilih Pakej Umrah Untuk Elak Ditipu
Untuk sedikit sebanyak membantu para bakal jemaah dan orang ramai memilih pakej umrah yang sah, berdaftar dan berlesen, saya kongsikan 10 tips di bawah ini sebagai panduan semua. Ia mungkin bukan tips yang menyeluruh tetapi bolehlah diambil rujukan sebelum ambil keputusan muktamad memilih mana-mana pakej umrah mahupun haji daripada agensi atau syarikat pengelola.
[ads id='ads1']
Hasrat murni jemaah menunaikan ibadah umrah dapat ditunaikan sekiranya jemaah mengambil langkah-langkah berikut:
- Memilih pengelola umrah yang diluluskan oleh Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) seperti yang telah saya senaraikan di Senarai Syarikat dan Agensi Berlesen Untuk Kendali Pakej Umrah/Haji.
- Membuat kajian perbandingan harga pakej-pakej yang ditawarkan. Kebiasaannya harga berubah mengikut musim dan jenis pakej yang dipilih.
- Menyelidik latar belakang agensi; lesen dan permit untuk 'outbound' yang sah, pengalaman agensi mengelolakan umrah dan urusan visa yang dikendalikan oleh agensi. Sama ada agensi menguruskan sendiri atau menggunakan khidmat orang tengah.
- Mengambil tahu syarikat penerbangan, jenis perjalanan sama ada terus ke Jeddah atau ke Madinah atau jemaah perlu transit dan bermalam di negara lain.
- mengambil tahu tentang hotel penginapan yang disediakan oleh agensi.
- Bagaimanakah bayaran dibuat. Sama ada kepada akaun syarikat atau kepada akaun persendirian pengurus agensi atau kepada akaun agen-agen yang dilantik oleh agensi. Pastikan jemaah menyimpan resit pembayaran dan dokumen-dokumen yang dikeluarkan oleh agensi.
- Adakah terdapat bayaran-bayaran tambahan.
- Adakah agensi mengenakan syarat-syarat tambahan lain yang tertakluk kepada perubahan dari semasa ke semasa.
- Adakah agensi mengadakan kelas bimbingan umrah.
Setelah berpuas hati dengan maklumat-maklumat seperti di atas barulah jemaah boleh membuat pemilihan agensi pengelola umrah.
Masalah Bakal Dihadapi Akibat Penipuan Pakej Umrah dan Haji
Antara masalah yang bakal timbul kepada bakal jemaah yang tidak membuat semakan syarikat dan agensi pengelola pakej umrah dan haji adalah seperti berikut:
- Penundaan tarikh penerbangan
- Masalah jemaah terkandas, samada sebelum berlepas, ketika mendarat atau ketika mahu pulang ke Malaysia.
- Kegagalan mendapatkan visa umrah.
- Perlantikan agen umrah tanpa lesen.
- Perlanggaran syarat dan terma mengelolakan pakej umrah dan haji.
- Penipuan dari segi harga pakej dan servis ditawarkan oleh agensi pengelola terbabit.
7 Langkah Boleh Dilakukan Jemaah Elak Kena Tipu Pakej Umrah
Selain 10 tips yang telah saya kongsikan di awal post ini, anda juga boleh ikuti beberapa langkah berikut sebelum menjadi mangsa penipuan pakej umrah ini:
- Buat semakan mengenai lesen mengelolakan pakej umrah dan haji samada lesen tersebut dikeluarkan pihak berwajib di Malaysia mahupun dari Arab Saudi.
- Buat semakan mengenai latar belakang syarikat dan track record pengendali pakej umrah dan haji. Kerap berlaku kejadian penipuan berulang dari syarikat atau agensi pengelola yang sama.
- Fahami dengan betul pakej yang ditawarkan, terutama pakej-pakej yang mengandungi tawaran yang agak istimewa dan berlainan daripada pakej disediakan oleh syarikat dan agensi pengelola yang lain.
- Fahami bagaimana proses yang dikendalikan oleh syarikat atau agensi dalam pengurusan jemaah itu dijalankan.
- Fahami kandungan kontrak dan perjanjian yang anda tandatangani atau persetujui. Baca dengan teliti untuk mengelakkan ianya berat sebelah dan boleh melepaskan syarikat atau agensi dari tindakan undang-undang.
- Simpan apa jua pamplet, resit pembayaran dan dokumen berkaitan pakej umrah dan haji ditawarkan. Penting supaya boleh dijadikan bukti dan rujukan seandainya berlaku apa-apa masalah di kemudian hari.
- Jika anda sebagai bakal jemaah ataupun jemaah terasa tertipu dengan pakej yang ditawarkan atau merasakan ada beberapa servis pakej yang tidak memenuhi apa yang ditawarkan dalam pakej, boleh kemukakan aduan kepada pihak berwajib.
Semoga perkongsian di atas dapat membantu para bakal jemaah yang berhasrat untuk tunaikan umrah mahupun haji dari menjadi mangsa penipuan mereka yang tidak bertanggungjawab dan cuba mengaut keuntungan.
Sila sebarkan jika maklumat dan info ini bermanfaat.
Post a Comment
Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.