Puasa hari ini? Alhamdulillah. Ramai yang sebelum ini sukar nak berpuasa, dah pun berjaya melengkapkan ibadah wajib ini sebagai seorang yang beragama Islam. Paling menggembirakan, ada rakan yang bukan beragama Islam yang turut 'berpuasa' untuk hormati rakan mereka. Kata mereka, tak tergamak nak makan dan minum di hadapan kawan-kawan yang beragama Islam. Mereka pun tahu erti bulan Ramadhan, dan menghormatinya.

Ramadhan merupakan salah satu daripada bulan dalam kalendar tahun Hijrah. Ia bulan penuh keberkatan dan diberikan keistimewaaan oleh Allah S.W.T yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah. Ramadhan adalah bulan kesembilan, bermaksud 'Sangat Panas'. Yang kemudian diikuti Syawal yang bermaksud 'Kebahgiaan' atau 'Kegembiraan'.
Mengetahui maksud dan erti serta sejarah 12 bulan dalam Islam
Semasa zaman Nabi Muhammad S.A.W, tidak wujud kalendar bulan Islam secara sistematik. Ia cuma diperkenalkan semasa zaman pemerintahan Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saidina Umar Al-Khatab r.a. Itupun selepas timbul masalah yang berbangkit berkaitan satu perutusan dari seorang gabenor kepada Saidinia Umar. Nak tahu lagi? Anda boleh baca sejarah bagaimana wujudnya kalendar Hijrah itu di sini - Sejarah Takwim Hijrah Kalendar Islaml.

Erti dan Maksud 12 Bulan Hijrah

Untuk pengisian Ramadan kali ini, saya tampilkan kembali entri ini - Apa Erti dan Maksud Bulan Islam. Ramai yang mungkin cetek pengetahuan mengenainya, sepertimana saya. Dan in Sha Allah, dengan perkongsian ini, moga dapat beri manfaat buat rakan pembaca semua.

Dalam takwim Hijrah, terdapat 12 bulan. Setiap bulan mengandungi 29 atau 30 hari, tetapi lazimnya tidak dalam turutan yang tetap. Secara tradisinya, hari pertama setiap bulan akan bermula setelah anak bulan (hilāl) kelihatan ketika matahari terbenam. Jika hilāl tidak kelihatan selepas 29 hari pada bulan tersebut, sama ada dilindungi awan atau langit di ufuk barat terlalu terang apabila bulan terbenam, maka, hari tersebut dikira sebagai hari yang ke-30. Pencerapan atau rukyah tersebut haruslah dilakukan oleh orang yang dipercayai dan dan mengakuinya dihadapan pemimpin.

Bulan Hijrah Ilham Khalifah Umar

Permulaan penggunaan Kalendar Tahun Hijrah/Hijriah adalah hasil dari ilham Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saidina Umar Al-Khatab r.a. Ini adalah turutan dari Kesatuan Arab yang ditubuhkan di bawah naungan Islam pada zamannya.

Ketahui bahawa setiap bulan Islam itu ada sejarahnya, ada kisah di sebaliknya.
  1. Muharam - Ertinya yang diharamkan atau menjadi pantang larang. Dinamakan Muharam kerana pada bulan tersebut dilarang menumpahkan darah atau berperang.
  2. Safar - Ertinya kosong. Penamaan bulan ini disebabkan pada bulan ini, semua lelaki arab di zaman dahulu pergi meninggalkan rumah untuk merantau, berniaga dan berperang sehingga tempat asal mereka tiada orang lelaki.
  3. Rabiul Awal - Ertinya berasal dari perkataan Rabi' (menetap) Awal (pertama). Masa kembalinya kaum lelaki setelah meninggalkan rumah atau pergi merantau. Pada bulan ini juga berlaku banyak peristiwa bersejarah buat umat Islam.
  4. Rabiul Akhir - Ertinya masa menetap kaum lelaki di rumah untuk tempoh penghabisan.
  5. Jamadil Awal - Ertinya Jumadi (kering) dan Awal (pertama). Bulan ini merupakan awal musim kemarau.
  6. Jamadil Akhir - Ertinya musim kemarau yang berakhir.
  7. Rejab - Ertinya mulia. Ini kerana bangsa Arab masa dahulu sangat memuliakan bulan ini dan di antaranya ialah dilarang berperang di bulan Rejab.
  8. Sya'aban - Ertinya berkelompok. Orang Arab pada bulan ini lazimnya berkelompok untuk mencari nafkah. Peristiwa penting bagi umat Islam pada bulan ini adalah pertukaran kiblat umat Islam dari Baitul Maqdis ke Kaabah (Baitullah).
  9. Ramadan - Ertinya sangat panas. Bulan ini merupakan satu-satunya bulan yang tersebut dalam Al-Quran. Satu bulan yang punyai pelbagai kelebihan dan keutamaan. Ia melambangkan kesucian dan amat penting bagi umat Islam.
  10. Syawal - Ertinya kebahagiaan. Iaitu kembalinya manusia ke dalam fitrah (kesucian) selepas menunaikan ibadah puasa dan zakat fitrah.
  11. Zulkaedah - Ertinya Zul (pemilik) dan Kaedah (duduk). Bulan ini merupakan bulan istirehat bagi kaum lelaki Arab dahulu. Mereka menikmati istirehat di rumah di bulan ini.
  12. Zulhijjah - Ertinya menunaikan haji. Bulan ini merupakan bulan untuk menunaikan ibadah haji sejak dari Zaman Nabi Adam a.s.

Alhamdulillah, sekarang dah dapat sedikit ilmu mengenai erti dan maksud kesemua 12 bulan dalam tahun Hijrah. Moga dapat disampaikan kepada rakan Muslim yang lain, terutama sekali anak-anak kita agar mereka tahu mengenai sejarah peradaban Islam, dan paling penting perkara yang ada kait dalam kehidupan seorang Muslim sejati, in Sha Allah.

3 Comments

Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

Post a Comment

Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

Previous Post Next Post

Advertisement

Bisnes Shopee

Advertisement

BERMASALAH DENGAN HARTA PUSAKA?

Panduan Mengurus Harta Pusaka dan Hibbah. - Nak Tahu? Klik Sini Sekarang!!


Advertisement