Heritage House Muzium Gopeng bukan sebarang muzium. Ia merupakan muzium hasil inisiatif penduduk tempatan. Ia boleh dikatakan sebuah muzium yang dibina oleh rakyat untuk rakyat; atau lebih tepat ... muzium dari penduduk untuk rakyat. Ia juga menjadi antara lokasi cuti bajet dan makan angin untuk saya.
Heritage House Muzium Gopeng
Bangunan serba merah ini asalnya merupakan milik persendirian Mr. Wong Kuan Cheong. Beliau kemudiannya menjadikan ia sebuah muzium dengan kos-kos selenggara dibiayai oleh komuniti tempatan. Masuk ke sini adalah percuma namun sumbangan daripada orang awam yang melawat adalah sangat diharapkan bagi meneruskan kelangsungan bangunan penuh sejarah ini.

Keunikan Gopeng
Bandar Gopeng sebuah bandar yang cukup bersejarah. Malah, kewujudannya adalah lebih awal daripada bandaraya Ipoh sendiri. Gopeng terkenal dengan dua aktiviti penting satu ketika dahulu, iaitu perlombongan bijih timah dan juga perladangan. Kebanyakkan penduduk Gopeng terdiri dari orang Melayu Kampar atau Rawa yang berasal dari Indonesia; dan orang Cina yang yang berasal dari Tanah Besar China.Eu Yan Sang salah satu produk terkenal tempatan dalam perubatan Cina adalah berasal dari sini. Pengasasnya adalah Eu Kong yang berasal dari daerah Foshan, sebuah kampung di Wilayah Guangdong, Selatan China. Pada tahuan 1873, Eu Kong telah meninggalkan negaranya dan menetap di Gopeng, Perak dan terlibat dengan perlombongan bijih timah. Kedai Yan Sang pertama dibuka pada tahun 1879. Kedai menjual perubatan Cina ini adalah untuk merawat ketagihan candu yang semasa itu berleluasa di kalangan pelombong-pelombong bijih timah Cina.

Heritage House terkandung pelbagai barangan antik khususnya yang digunakan oleh penduduk-penduduk berbangsa Cina, yang mendominasikan pekan Gopeng satu ketika dahulu. Ia menggambarkan kehidupan di situ lebih 125 tahun dahulu.




Lokasi Heritage House Gopeng Perak
Heritage House dibuka hanya pada Sabtu dan Ahad dari jam 9 pagi ke 3 petang. Masuk adalah percuma. Ia terletak di tengah-tengah bandar Gopeng, iaitu berdekatan dengan bulatan Gopeng. Saya akan kongsikan peta lokasi yang memang mudah untuk anda ikuti. Anda pasti akan jumpa Heritage House ini memandangkan ia bangunan berwarna merah dann menonjol di situ.




