Derma pakaian terbuang untuk anak yatim, patut ke tak patut? Terbuang di sini bermaksud pakaian itu sudah mereput dan yang tidak mungkin boleh dipakai lagi. Saya terpanggil untuk menulis entri ini setelah saya menyaksikan satu video yang telah dimuat-naik ke laman YouTube sekitar Ogos tahun 2013. Asalnya, saya mahu mencari adakah dibolehkan saya menderma pakaian lama saya yang sudah tidak digunakan lagi kepada anak-anak yatim dan fakir miskin.

Sebelum ini, kalau ada pakaian-pakaian lama yang sudah tidak muat (almaklumlah bila dah beristeri), saya akan berikan pada adik, tak pun kepada adik-adik ipar, malah kepada bapa mertua saya. Tapi bila mereka sendiri sudah ada pilihan, sudah ada kerja bagus yang boleh beli pakaian lebih baik, saya dah tak offer lagi pakaian lama saya. Jadi, pakaian lama saya menjadi satu tinggalan sahaja dalam gebuk almari yang sarat.

Derma Pakaian Terbuang Untuk Anak Yatim

Barangan terbuang untuk anak yatim

Derma Untuk Elakkan Pembaziran

Saya fikir. Ini boleh menjadi satu pembaziran. Benda ada tapi tidak dipakai dengan sebaiknya, atau dengan kata lain ia tidak dimanfaatkan.

Saya pernah berikan pakaian lama saya terutama kemeja dan baju-t kepada jiran saya. Malah saya pernah berikan pakaian lama saya pada anak-anak sepupu saya. Setiap kali nampak mereka pakai, saya rasa gembira sebab pemberian saya itu dimanfaatkan sebaiknya. Paling best, bila tiba hari raya, baju terpakai dijadikan baju raya.

Isteri saya juga pernah berikan pakaian-pakaian yang tidak lagi dipakai kepada sanak-saudara dan juga kawan-kawan. Malah, kami sendiri pernah terima pakaian-pakaian terpakai dari kawan-kawan kami. Saya sendiri pernah terima dan pakai pakaian terpakai daripada sepupu-sepupu saya. Saya sedikitpun tidak rasa ralit, malah saya bersyukur ada yang sudi berikan baju kepada saya; lebih-lebih lagi baju itu masih elok, masih kelihatan baru.
Derma sedekah pakaian terpakai pada anak yatim

Derma Pakaian Terbuang Untuk Anak Yatim

Derma pakaian terbuang tidak sepatutnya berlaku. Jika derma pakaian terpakai atau second-hand, pada saya tidak ada salahnya. Jika hati kita bersih, in Sha Allah, baik memberi mahupun yang menerima akan beri dan terima dengan rasa syukur.

Saya agak terkilan andai ada insan-insan yang berniat nak membantu dengan ikhlas tetapi memberikan sesuatu yang sudah lagi tidak boleh digunakan. Jika benar keikhlasan itu ada, pasti akan berfikir sebelum memberi; "Adakah pakaian ini boleh dipakai lagi?". Dan soalan inilah yang sering saya tanya sebelum nak berikan pada orang lain. Dan jawapan saya selalunya..."Boleh pakai lagi ni, cuma sudah tak muat untuk saiz tubuh sekarang". Jika saya masih bertubuh yang sama, saya mungkin akan pakai.
"Dan, ketika Kami mengambil janji dari Bani Israil: Janganlah kamu menyembah selain Allah, dan berbuat kebaikanlah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia, dirikanlah shalat dan tunaikanlah zakat. Kemudian kamu tidak memenuhi janji itu, kecuali sebahagian kecil daripada kamu, dan kamu selalu berpaling. " (Al Baqarah: 83)

Seronoknya Dapat Pakaian Terpakai Berjenama

Saya pernah menerima pemberian sehelai seluar terpakai daripada bapa saudara sebelah isteri. Jenama pakaian itu Crocodile, sampai sekarang saya ada simpan. Masa terima seluar tu, serius saya cukup teruja, dapat pakaian berjenama yang tentu mahal harganya. Masih elok, masih kelihatan seperti baharu.

Setiap kali saya pakai di hadapan bapa saudara saya tu, tidak pernah sedikit pun dia ungkit atau bertanyakan seluar pemberiannya. Tak ada pula keluar ayat; "Kacak nampak pakai seluar cap buaya tu"....:)
"Wahai orang yang beriman, jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir" (al Baqarah: 264)
Saya kongsikan cerita ini untuk gambarkan dua keadaan. Satu, keadaan untuk menderma sesuatu yang sudah tidak lagi dipakai - pakaian terpakai (bukan terbuang). Kedua, keadaan atau perasaan menerima pemberian dari orang lain yang empunya diri sudah tidak lagi memakainya.

Jadi, secara kesimpulannya ialah; seandainya anda mahu dermakan sesuatu atau berikan kepada yang lain, pastikan apa yang mahu diberikan itu sesuatu yang boleh dipakai dan digunakan, bukan sesuatu yang sudah layak dijadikan kain buruk atau anda sendiri dah tak mahu sematkan di badan.

Tips Bagaimana Nak Tahu Pakaian Itu Terpakai atau Terbuang

Tips saya - bagaimana nak tahu pakaian itu adalah barang terbuang atau barang terpakai?

Mudah sahaja.

Sebelum anda memberikan kepada orang lain, anda perlu mencuba dahulu pakaian tersebut. Jika anda sudah ada dalam hati, tak ingin dan tidak mahu mencuba, maka apa yang anda mahu berikan mungkin bukan barangan yang patut diberikan pada orang lain. Apatah lagi apabila anda merasa geli untuk dipakai kembali.

Kedua. Adakah anda akan membasuh pakaian tersebut sebelum memberikan kepada orang lain. Selalunya jika pakaian itu dah dirasakan tidak lagi untuk dipakai, anda tak akan basuh pakaian itu kerana anda tahu, jika basuh ia tidak akan membuatkan pakaian itu boleh dipakai. Anda basuh kerana anda mahu pakaian yang diberikan itu dalam keadaan paling terbaik untuk diterima oleh orang lain.

Tidak Patut Derma atau Sedekah Pakaian Terbuang

Derma pakaian terbuang kepada anak yatim pada saya adalah tidak patut. Jika pakaian terpakai, dan masih kelihatan elok, boleh je dermakan kepada anak yatim dan fakir miskin.

Tetapi, seandainya anda punyai kemampuan lebih, anda boleh sahaja berikan atau dermakan pakaian yang baru. Dan untuk itu, saya syorkan anda terlibat dengan projek Shopping Raya yang dianjurkan oleh Projek Iqra saban tahun. Projek Shopping Raya adalah satu projek menaja pakaian hari raya untuk anak-anak yatim, miskin serta asnaf. Saya ada ceritakan sebelum ini di dalam blog ini.
“Wahai orang yang beriman, nafkahkanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk lalu kamu nafkahkan daripadanya, padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan memejamkan mata terhadapnya. Dan ketahuilah, bahawa Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji”. (Al-Baqarah: 267).
Akhir kalam untuk entri ini, saya kongsikan video yang saya ada sebutkan di awal tadi. Sebuah video yang telah dimuat-naik oleh SaifulNang (nak kenal Google je). Dan dek kerana video inilah, saya menulis entri ini - Derma Pakaian Terbuang untuk Anak Yatim




Previous Post Next Post

Advertisement

Bisnes Shopee

Advertisement

BERMASALAH DENGAN HARTA PUSAKA?

Panduan Mengurus Harta Pusaka dan Hibbah. - Nak Tahu? Klik Sini Sekarang!!


Advertisement