Nasib menjadi seorang mualaf di Malaysia. Ini merupakan satu catatan perjalanan yang sempat saya buat semasa berada di tengah ibu kota Kuala Lumpur tempoh hari. Catatan ini juga adalah rentetan atau kesinambungan cerita yang saya kongsikan sebelum ini iaitu Mencari Sesuap Nasi.

Bukan kes baru. Ini isu lama tetapi saya bangkitkan kerana ia berlaku di depan mata saya buat kesekian kalinya. Atas dasar ingin mengambil tahu dan mahu membantu dalam aspek global, saya kongsikan cerita ini buat tatapan anda semua.

Nasib Menjadi Mualaf Malaysia

Nasib Menjadi Mualaf Malaysia
Namanya pakcik Abdul Ghani Ng bin Abdullah. Umurnya dah cecah 50 tahun. Dia bukan artis, bukan selebriti, dia hanya seorang lelaki tua yang berstatus mualaf di Malaysia. Apa cerita pakcik ini sehingga saya jadikan sebuah catatan di dalam blog ini?

Saya terjumpa pakcik ini sewaktu saya dalam perjalanan pulang dari Majlis Sepetang Bersama Blogger (SBB2014). Ketika saya ingin menunaikan sholat, saya ternampak pak cik ini dengan wajah penuh gusar dan sedih duduk di haluan masuk ke surau KL Sentral yang terletak di tingkat bawah.

Saya perhatikan pakcik ini.

Setelah selesai tunaikan sholat, saya hampiri dia.

"Pakcik sakit?"
"Ya, saya sakit" dengan pelat cina dari suara yang agak tersekat-sekat.
"Pakcik minta derma ke?" satu pertanyaan yang 'bodoh' daripada saya walaupun dah terpangpang apa yang tertulis di depan mata.
Nasib Menjadi Mualaf Malaysia
"Pakcik ada anak?" tanya saya.
"Ada, tapi dia gigih bekerja.... dia sedang bekerja..." katanya.
"Kenapa tak duduk rumah, anak kan boleh jaga pakcik?" soal saya.
"Saya ada sakit kencing manis, batuk ... asma .. nak bantuan untuk rawatan, saya tak cukup duit .." katanya lagi.
"Anak saya pun tak dapat nak bantu .. " tambahnya.
"Ada minta bantuan zakat?" tanya saya.
"Ada tapi tak cukup, saya perlu beli ubat ... rawatan kena buat di hospital ... "

Saya belek dokomen-dokumen yang ada. Ada surat dari Hospital Kuala Lumpur sahkan penyakit yang dihadapi. 
Nasib Menjadi Mualaf Malaysia
"Betul ada jumpa dengan pihak Jakim? Majlis agama?" tanya saya.
"Ada, ada dapat bantuan ... tapi tidak cukup. Sekali dapat." katanya lagi.

Saya sukar juga nak faham apa yang dinyatakan. Tapi daripada apa yang saya nampak dan baca, pakcik ini memang tidak mempunyai bantuan yang cukup untuk kesihatannya.

"Kenapa tidak bekerja?" tanya saya. Lagi satu soalan bodoh.
"Tak boleh kerja, cepat letih .. saya ada asma, nanti sakit dada. Ada kerja tapi sudah kena berhenti." jawabnya.

Ada kotak memohon derma dari mereka yang masuk ke surau, tapi isinya hampir tiada. Seawal saya berada di dalam surau tersebut, saya tidak nampak seorang pun yang hulurkan sumbangan. Mungkin mereka skeptikal dengan kelibat lelaki tua ini.

Saya tanyanya lagi ....

"Sudah makan?"
"Belum... tak ada duit beli makan" katanya.

Saya buka dompet saya. Saya keluarkan satu not berwarna hijau dan saya hulurkan terus ke genggaman tangannya. Saya berkata ...

"Ambil duit ini, guna untuk makan, jangan guna benda lain ... "
"Terima kasih ... terima kasih, alhamdulillah... alhamdulillah ... alhamdulillah" sambil tangannya menadah dan berdoa.

Saya pun keluar. Dan di luar surau, ada seorang lelaki, cukup sihat dengan pakaian cukup lawa. Di tangannya ada buku-buku kecil tertulis Yasin dan doa. Saya ambil. Saya belek. Saya pandang lelaki ini, nampak bukan OKU (orang kekurangan upaya).

Saya tanya pada lelaki itu yang umurnya saya jangkakan dalam 40an.

"Pakcik jual ayat apa ini?" tanya saya.
"Yasin encik..."

Saya belek, tak ada pun cop yang membolehkan ia dicetak dan dijual. Belek punya belek, saya perasan ada muka surat yang hilang.

"Pakcik tak boleh jual ni. Tak ada kelulusan KDN. Ada mukasurat yang tak lengkap.." kata saya.
"Baiklah baiklah .. " terus ambil apa yang berada di tangan saya, lalu menyimpan semuanya dan berlalu dari situ.

Saya tak tahu nak simpulkan apa dari dua cerita ini. Ada dua watak berbeza.

Inilah realiti kehidupan yang saya jumpa walaupun sebentar saya berada di ibu kota penuh gah Kuala Lumpur. Di sudut-sudut dan ruang terlindung, ada insan-insan yang mengharap belas ehsan orang ramai. Dan saya lihat mereka sedikitpun tidak dibantu atau diberikan simpati oleh kita.

Ada yang cuba mencari jalan dengan beriktiar menerusi apa yang mereka ada, seperti kisah sebelum ini, tetapi tak juga diprihatinkan oleh masyarakat. Malah, mereka ini dianggap cuba mengemis dengan cara tersebut, walhal ..... di satu pandangan kejauhan .. saya lihat ada kumpulan anak-anak muda sedang riang ria memetik gitar, dengan bakul merah mereka penuh dengan helaian kertas biru dan hijau, malah merah pun ada. Mereka bukan OKU. Mereka dianggap artis jalanan .... dan ada kata mereka wajar 'dibayar' untuk persembahan mereka ....

Diskriminasi?

Nasib menjadi mualaf Malaysia hanya sebuah catatan saya yang mungkin nampak dari sudut dan perspektif simpati. Pada orang lain, saya tidak tahu. Pada pihak berwajib juga saya tidak tahu.



Terbaru Lebih lama

Advertisement

Bisnes Shopee

Advertisement

BERMASALAH DENGAN HARTA PUSAKA?

Panduan Mengurus Harta Pusaka dan Hibbah. - Nak Tahu? Klik Sini Sekarang!!


Advertisement