Masa saya belajar sholat ketika sekolah rendah di Kuantan, saya banyak kali kena rotan di tapak kaki bila tapak kaki tidak lurus menegak ketika sujud dan ketika duduk tahiyat akhir. Naik birat jugak la tapak kaki sampai nak pakai stokin pun rasa pedih. Kemudian naik sekolah menengah, kena rotan jugak sebab selalu biarkan saf sholat tidak lurus dan tidak sekata. Dua pembelajaran penting tentang sholat yang sehingga kini saya ingat dan amal.

Sebenarnya, ramai antara kita yang ambil mudah bab-bab begini, walhal ia merupakan satu rukun sholat yang penting. Sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyat akhir ramai umat Islam yang suka buat cara senang walhal ia sebenarnya menjejaskan kualiti sholat kita.

Saf dan Postur Sholat Tidak Betul

Saf dan Postur Sholat Tidak Betul

Dan dalam bab sholat secara berjemaah, saf sholat yang tersusun kemas adalah sangat penting sebagai tanda penyatuan dan juga persaudaraan. Ramai makmum dalam sholat berjemaah, macam geli geli pulak nak bersentuhan bahu dan jari-jemari kaki, walhal adalah wajib sebenarnya untuk merapatkan saf sholat dan tidak membiarkan ruang antara para jemaah.

Saya pernah bersholat jemaah di sebuah Masjid Jamek di Pulau Pinang. Ada seorang jemaah akan periksa saf-saf yang didirikan, jika ada yang tak rapat, dia akan rapatkan, jika saf tidak lurus dia akan luruskan. Masya Allah, banyaknya pahala in Sha Allah jemaah itu berani betulkan saf-saf dalam sholat.

Apa yang saya katakan di atas adalah dua kategori kesilapan dan kesalahan yang selalu dibuat bila mengerjakan sholat, satu mengerjakan sholat secara individu, dan satu secara berjemaah. Benda ni sudah jadi macam kelaziman pula dalam masyarakat Islam khususnya di Malaysia.
Saf dan Postur Sholat Tidak Betul

Semasa saya bersama dengan jemaah tabligh satu ketika dahulu, perkara-perkara ini antara yang dititikberatkan, iaitu kedudukan tapak kaki ketika sujud dan duduk tahiyat akhir; dan juga mendirikan saf sholat ketika sholat secara berjemaah.

Jika diikutkan, andai ikut postur betul ... sholat boleh berikan manfaat terhadap kesihatan jasmaniah dan rohaniah. Dan salah satunya ialah mengurangkan kadar kolesterol dalam darah, hindar mati pucuk dan juga untuk badan kekal langsing bagi wanita. Saya baca perkara ini di artikel yang dikeluarkan oleh Kosmo di sini - Sholat Rendahkan Kolesterol

Kenapa Tidak Tegur Jemaah Dalam Sholat?

Dan kita terutama saya pula seperti kelu lidah, tak upaya nak tegur menegur akan kesilapan dan kesalahan ini. Nak ditegur nanti, kata saya ni memandai-mandai, almaklumlah bila nak ditegur itu sudah berserban dan berjanggut putih, tak macam saya yang memang cetek ilmu agama, lagilah penampilan yang nampak seperti budak hingusan.

Maka, dengan blog ini dapatlah saya sampaikan apa yang tak dapat saya sampaikan secara lisan berlidah, iaitu menyeru kepada anda dan diri saya supaya pentingkan perkara-perkara tadi di dalam sholat. Walaupun ada yang ingat ianya hanya satu perkara kecil dalam sholat nak dibandingkan dengan rukun sholat yang lain, tetapi jika benda kecil tidak boleh dibuat dengan betul, bagaimana dengan hal yang lain?

Saf Lurus Rapat Itu Tanda Bersatu Tanda Persaudaraan

Saya teringat kata seorang sahabat saya; perpaduan dalam umat Islam itu secara amnya boleh dilihat pada kariah jemaahnya semasa sholat berjemaah. Jika jemaah itu saling tegur dalam mendirikan saf, supaya rapat dan lurus, in Sha Allah, jemaah itu akan dapat menjadi jemaah yang terbaik, diredhai dan disenangi oleh Allah S.W.T.

Semoga apa yang saya tulis ini akan ingatkan saya di kemudian hari dan dapat dimanfaatkan oleh rakan-rakan pembaca yang budiman.


Previous Post Next Post

Advertisement

Bisnes Shopee

Advertisement

BERMASALAH DENGAN HARTA PUSAKA?

Panduan Mengurus Harta Pusaka dan Hibbah. - Nak Tahu? Klik Sini Sekarang!!


Advertisement