Umum juga telah mengetahui bahawa derma RM2.6 billion ini diterima dan dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi pemimpin tertinggi negara. Dan umum juga telah mengetahui bahawa pihak SPRM yang menyiasat isu berkaitan rasuah telah memaklumkan bahawa kemasukan wang RM2.6 billion itu bukanlah berbentuk rasuah dan tiada kaitan dengan isu wang 1MDB, diperjelaskan juga wang tersebut merupakan sumbangan derma daripada seseorang dari Timur Tengah.
Saya bukanlah seorang pejuang politik, apatah lagi keyboard warrior, cuma sebagai rakyat biasa yang agak kritikal bila tahu ada sejumlah wang yang sangat banyak dimasukkan sebagai derma ke dalam akaun peribadi seorang pemimpin, apatah lagi pemimpin nombor satu negara.
15 Soalan Berkaitan Derma RM2.6 Billion
Akmal Saufi? Siapa beliau? Anda akan ketahui di hujung post ini.
Ok, mari kita lihat, baca dan faham apakah 15 soalan berkaitan derma RM2.6 billion yang ditanyakan oleh saudara Akmal Saufi.
(Nota: Saya harap semua mengambil maklum bahawa sebarang kenyataan yang dikeluarkan saya mengelilingi isu 1MDB dan derma adalah kenyataan saya sendiri.)
Berdasarkan kepada pendedahan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, saya memohon penjelasan dan sekadar bertanya perkara berikut;
Akmal Saufi Mohamed Khaled
- Ketika Dato Seri Najib menerima dana sejumlah RM2.6 billion, adakah Dato Seri sedia maklum sejumlah wang telah memasuki akaun Dato Seri?
- Apakah bukti bahawa duit tersebut merupakan derma dan bukan duit berkaitan IMDB mahupun pihak yang mempunyai transaksi berkaitan IMDB?
- Sebagaimana kenyataan SPRM, duit tersebut adalah derma. Adakah sumbangan tersebut merupakan sumbangan bagi kepada kerajaan, tujuan UMNO atau tujuan peribadi?
- Jika duit tersebut adalah sumbangan buat UMNO, adakah kepimpinan UMNO terutamanya Majlis Tertinggi UMNO mengetahui tentang derma tersebut?
- Jika Majlis Tertinggi UMNO tidak mengetahui adakah ini bermaksud UMNO tidak akan mengetahui kewujudannya jika Dato Seri tidak memaklumkan kewujudannya?
- Bilakah Dato Seri bercadang untuk memaklumkan kepada Majlis Tertinggi jika tidak didedahkan kepada Majlis Tertinggi?
- Andai kata derma tersebut merupakan derma peribadi kepada Dato Seri dan bukan kepada UMNO, adakah Dato Seri menerima tersebut ketika memegang jawatan sebagai salah seorang ahli jemaah Menteri?
- Bolehkah seorang Menteri atau Timbalan Perdana Menteri atau Perdana Menteri menerima derma apabila sedang memegang jawatan di dalam kerajaan?
- Adakah perlu duit derma tersebut perlu diistihar kepada rakyat dan ahli Kabinet yang lain?
- Adakah Gabenor Bank Negara dan cendekiawannya sedar akan pergerakan duit sejumlah RM2.6 billion ke dalam negara?
- Adakah Lembaga Hasil Dalam Negeri sedar mengenai sejumlah duit yang telah diterima Dato Seri Najib?
- Jika ya, adakah Dato Seri Najib telah membayar sebarang cukai pendapatan berdasarkan nilai duit tersebut?
- Adakah seorang Perdana Menteri boleh mendapat pengecualian cukai?
- Jika Dato Seri Najib mendapat pengecualian cukai, adakah pengeculian tersebut adalah kepada gaji Dato Seri Najib atau apa saja derma yang diterima beliau?
- Jika derma tersebut adalah bagi tujuan kerajaan, mengapa Kementerian Kewangan tidak mengetahui kewujudannya?
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan, Undang-undang Dan Integriti
Parlimen Belia Malaysia
Begitulah 15 soalan berkaitan derma RM2.6 billion yang telah dikongsikan oleh saudara Akmal Saufi menerusi laman facebook pada 4 Ogos 2015. Perkongsian tersebut telah menjadi viral di laman sosial dan blog, dan telah dikongsikan oleh pengguna Facebook sebanyak lebih daripada 600 kali. Ia juga mendapat 1600 likes dan semakin bertambah setiap hari.
Siapa Akmal Saufi?
Untuk pengetahuan, Akmal Saufi Mohamed Khaled merupakan seorang peguam. Beliau juga Pengarah Barisan Nasional Youth Volunteers (BNYV) Malaysia dan Ahli Parlimen Belia Johor. 15 persoalan yang dikemukakan oleh Akmal Saufi adalah pada kapasiti sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan, Undang-undang dan Integriti, Parlimen Belia Malaysia.Saya harap segala 15 persoalan atau pertanyaan ini akan dapat jawapannya daripada pihak bertanggungjawab. Usah membiarkan soalan-soalan ini menjadi misteri.
Oh ya, untuk info, sebahagian daripada persoalan ini ada yang dijawab oleh pihak MYKMU.net. Anda boleh rujuk wall Facebook Akmal Saufi untuk mengetahuinya secara khusus.
Semoga segalanya terungkai dan tiada lagi persoalan mengenai derma RM2.6 billion yang sedang hangat dibicarakan ini.
[Info] Baca juga kenyataan daripada SPRM mengenai isu dana RM2.6 billion dan siasatan ke atas SRC International.