Cara siang Udang Lipan (Mantis shrimp). Udang Lipan, sesetengah tempat ada yang panggil Udang Ketak, Udang Mentadak dan Udang Ronggeng. Nama-nama ini dipercayai diberikan disebabkan oleh bentuk fizikal udang ini. Nama paling glamour adalah Udang Lipan kerana bentuknya yang beruas panjang menyerupai Lipan.

Udang Lipan adalah sejenis haiwan krustasea laut dalam keluarga Stomatopoda. Ia boleh dijumpai di pantai berpasir dalam pelbagai variasi saiz dan warna. Yang biasa nampak dijual di pasar ialah Udang Lipan yang berkulit kuning jernih, ada sedikit kehijauan. Ada setengah tempat, Udang Lipan berwarna keperang-perangan.
Cara Siang Udang Lipan (Mantis shrimp)

Saiz dan Harga Udang Lipan di Pasaran

Saiz udang ini boleh menjangkau sehingga 30 cm iaitu bersamaan 12 inci, tapi agak sukar nak mendapatkan saiz sebegini besar. Selalu yang dijual di pasar adalah antara 15-20 cm sahaja, dan dijual antara RM12-RM17 sekilogram (Pasar Parit Buntar).

Saya pernah melihat saiz yang besar, dijual antara RM50-RM70 sekilogram di jeti restoran terapung Pulau Aman. Ia dijadikan menu dan masakan eksotik di Pulau Aman, disebabkan Udang Lipan yang ada dijual di situ adalah segar-segar selain bersaiz gedabak.

Kata isteri saya, Udang Lipan juga mudah didapati di Sungai Besar, Selangor. Malah, masa zaman kecik-kecik dahulu, udang ini menjadi antara makanan dan menu utama sekeluarga.

Saya sejak berkahwin dengan isteri saya, barulah saya tahu kewujudan udang ini. Dan barulah saya tahu cara nak menyiang udang ini. Sebelum ini, saya tertanya juga bagaimana nak makan udang ini memandangkan badannya penuh duri di kiri dan kanan bahagian badan.

Cara Siang Udang Lipan (Mantis shrimp)

Saya nak kongsikan kepada anda, yang mungkin nak tahu cara nak menyiang Udang Lipan, atau mengupas kulit udang ini yang agak keras.
  1. Untuk menyiang Udang Lipan, anda digalakkan menggunakan gunting yang tajam.
  2. Anda perlu gunting bahagian kepala udang ini yang berbentuk seperti seekor Mentadak.
  3. Kemudian, anda perlu gunting bahagian kaki-kakinya yang berjurai dan juga kaki belakang udang ini berbentuk seperti pendayung.
  4. Selepas itu, gunting bahagian tepi ekor dan juga bahagian sisi Udang Lipan ini yang berduri. Awas, durinya sangat tajam dan menyakitkan. Memang pedih kalau tidak berhati-hati.
Cara Siang Udang Lipan (Mantis shrimp)
Dah siap.

Itu cara biasa nak menyiang Udang Lipan ini seperti ditunjukkan dalam video di bawah ini. Kulitnya tidak dibuang, agar mudah dimasak terutamanya untuk menggoreng. Ini adalah kerana isi udang ini mudah terlerai apabila dimasak.

Video Cara Siang Udang Lipan (Mantis shrimp)

Cara Buang Kulit Udang Lipan

Namun, saya suka nak buang kesemua kulitnya supaya mudah anak-anak saya nak makan. Anda boleh ikuti tips di bawah ini.
  1. Masukkan Udang Lipan yang baru dibeli ke dalam bahagian freezer peti ais.
  2. Setelah beberapa jam, keluarkan ia. Basuh sebentar tetapi jangan terlalu lama. Biar udang itu masih terasa keras.
  3. Siang udang seperti biasa - seperti yang telah saya berikan di atas tadi.
  4. Selesai buang bahagian tepi berduri Udang Lipan, anda picitkan kedua bahagian kiri dan kanan badan udang ini. Secara automatik, kulitnya akan tertanggal dari isinya. 
  5. Selepas itu, anda kopek kulitnya dan buang.

Masakan Guna Udang Lipan

Ia akan kelihatan seperti di bawah ini, selepas dibuang kulit. Jika nak menggoreng, pastikan anda gunakan sedikit minyak, atau paling mudah gunakan Air Fryer untuk menggoreng. Isi Udang Lipan boleh juga dijadikan rencah untuk kuah mee, seperti Mee Udang, Mee Kari, Mee Bandung dan juga Char KueTeow.

Tapi bagi saya, Udang Lipan Goreng pun dah best dah ... anak-anak pun suka kalau masak macam ni.
Cara Siang Udang Lipan (Mantis shrimp)
Isinya sangat manis dan dikatakan berkhasiat untuk mereka yang alami masalah penyakit Asma.

Syok makan ... apatah lagi meratah Udang Lipan yang digoreng. Kalau bulan Ramadhan, menu Udang Lipan boleh anda peroleh di Warung Man Udang Lipan di Parit Buntar, Perak.



Previous Post Next Post

Advertisement

Bisnes Shopee

Advertisement

BERMASALAH DENGAN HARTA PUSAKA?

Panduan Mengurus Harta Pusaka dan Hibbah. - Nak Tahu? Klik Sini Sekarang!!


Advertisement