Rahsia untuk menjadikan resepi Sambal Tumis Ikan Bilis sedap. Sambal Ikan Bilis adalah menu dan masakan yang boleh dikatakan semua orang suka. Semasa saya belajar di sekolah asrama, inilah lauk 'simpanan' yang paling enak. Selalunya emak saya akan sediakan untuk bekalan satu penggal, begitu juga semasa belajar di IPT. Ia masakan yang tahan lama jika tahu rahsia untuk menyediakannya.

Namun, bukan semua orang tahu untuk menjadikan Sambal Tumis Ikan Bilis ni sedap, menyelerakan dan paling utama tahan lama.

Rahsia Sambal Tumis Ikan Bilis Sedap

Saya nak kongsikan satu rahsia, untuk menjadikan Sambal Tumis Ikan Bilis ini tahan lama, dan juga sedap, menyelerakan dan menjadi menu paling anda ingati sepanjang hidup anda .. haha .. :). Cubalah tips dan petua yang akan saya kongsikan ini ye.
Rahsia Sambal Tumis Ikan Bilis Sedap
Bahan utamanya iaitu Cili Kering mestilah direbus sehingga kembang. Masa yang perlu diambil mestilah lebih daripada 30 minit, bergantung dengan jumlah Cili Kering yang anda rebus. Ok. Selepas direbus dan Cili Kering menjadi lembut, toskan ia dan basuh sehingga bersih.

Kisar Dengan Bawang Besar

Kemudian, anda masukkan Cili Kering di dalam pengisar (blender) bersama dengan Bawang Besar, jika separuh blender itu adalah Cili Kering, maka separuh lagi mestilah bawang ini yang telah dipotong besar. Lebih banyak bawang, lebih sedap. Tambah sedikit Ikan Bilis, dan jika mahu boleh masukkan sedikit Bawang Putih. Kisar bahan-bahan ini sehingga halus. Masukkan sedikit garam dan gula jika perlu. Kalau saya tak masukkan garam gula sebab masa nak sediakan sambal nanti, barulah dimasukkan.

Gunakan Minyak Yang Banyak Dengan Api Kecil

Kemudian, tumislah bahan-bahan dikisar ini dengan minyak yang agak banyak tetapi dengan api kecil. Perlu menggunakan minyak yang banyak untuk memastikan Cili Kering masak sempurna. Kacau perlahan-lahan sehingga tumisan sambal pecah minyak. Masukkan pula air asam jawa suam, dan sedikit garam, biarkan ia mereneh agak lama - boleh cecah sampai sejam bergantung dengan jumlah cili tadi.

Kacau agar sebati, dan jangan biarkan bahagian bawah tumisan hangit. Apabila tumisan sudah kelihatan pekat, barulah tambah Ikan Bilis yang telah siap digoreng rangup. Jika mahu sedap, gunakan Ikan Bilis Mata Biru keluaran Pulau Pangkor, atau saya sarankan gunakan jenis Ikan Bilis yang tidak masin (masa beli rasa ikan bilis tu atau tanya pada penjual).

Kacau Ikan Bilis dengan tumisan sambal hingga sebati, hiris Bawang Besar dan tambahkan pada sambal, boleh juga letakkan seinci-dua halia. Boleh juga ditambah sedikit belacan, namun kalau ada yang bemasalah resdung, saya tidak galakkan.

Siap.

Ikan Bilis Kolesterol Tinggi

Anda boleh juga tambahkan bahan-bahan lain seperti Kacang Tanah (yang siap digoreng), Kacang Panjang, Petai untuk variasikan Sambal Tumis Ikan Bilis anda. Bahan-bahan kekacang serta bawang putih yang ditambah pada sambal boleh kontrakan dengan kandungan kolesterol tinggi pada ikan bilis. Kekacang dan Bawang Putih dipercayai boleh 'potong' kandungan kolesterol dalam darah.

Boleh juga ditambah dengan Tempe serta Tauhu yang kurang kolesterol.

Lebih Lama Memasak / Reneh Maka Akan Lebih Tahan Lama

Petua paling penting ialah anda perlu memasak dengan api kecil pada tempoh masa yang lama untuk menjadikan Sambal Tumis Ikan Bilis anda tahan lama. Jadi, kesabaran diperlukan.

Jika tak mahu masak banyak sekaligus, saya syorkan anda simpan dulu bahan kisar dalam bekas dan diletakkan di dalam peti ais.

Saya sukakan Cili Kering yang bentuknya lebar kerana lebih pedas. Kepedasan inilah yang membuatkan Sambal Tumis Ikan Bilis akan diingati, dan menjadikannya tahan lebih lama (antaranya sebab bila pedas, kita akan makan sedikit .. hehehe).

Selamat mencuba.


Previous Post Next Post

Advertisement

Bisnes Shopee

Advertisement

BERMASALAH DENGAN HARTA PUSAKA?

Panduan Mengurus Harta Pusaka dan Hibbah. - Nak Tahu? Klik Sini Sekarang!!


Advertisement