Saidina Umar Al-Khatab pernah mengutuskan sepucuk surat kepada pembesar dan penduduk Syam, dalam surat itu, beliau berkata; "Ajarilah anak-anakmu berenang, memanah dan berkuda". Malah, Nabi Muhammad S.A.W juga pernah bersabda mengenai perkara ini dalam sebuah hadis yang sahih riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

Dan sebab itu, andainya ada kesempatan, saya akan cari peluang agar anak-anak saya dapat belajar untuk berenang, memanah dan juga berkuda. Setakat ini, alhamdulilah, ketiga-tiga sukan yang disunnahkan dalam Islam ini, telah diperkenalkan kepada anak-anak saya. Dan mereka semua suka.

Ajarkan Anak Agar Pandai Berenang

Ajarkan Anak Pandai Berenang

Saya Tak Pandai Berenang

Saya akui jujurnya saya bukanlah seorang yang pandai berenang. Tetapi isteri saya dan anak lelaki saya, in Sha Allah, memang tahu berenang. Isteri saya semasa muda memang kaki renang di Universiti Malaya. Begitu juga dengan ipar duai saya. Adik ipar saya antara yang cekap berenang, pernahlah beberapa kali saya lihat dia berenang rentas Sungai Perak beberapa kali. Malah, salah seorang adik ipar saya pernah terjun ke laut berenang menyelamatkan seorang budak kecil yang terjatuh ke dalam laut.

Saya pun tak tahu kenapa saya tak pandai berenang. Mungkin kerana saya nie tak reti nak apungkan badan. Kalau boleh apungkan badan tanpa bantuan, in Sha Allah, belajar berenang akan jadi lebih mudah. Agak segan juga apabila ada rakan, sedara mara yang ajak pergi berenang ... haha .. nak tak nak, terpaksalah cari alasan.

Berenang Bagus Untuk Kesihatan Kardiovaskular

Berenang adalah salah satu aktiviti berstamina yang sangat bagus untuk tubuh. Mereka yang mahukan sistem kardiovaskular yang terbaik perlu melakukan aktiviti ini. Ia akan membantu diri mengawal pernafasan serta pada masa yang sama, memperkuatkan otot-otot tubuh badan. Apabila kita berenang, seluruh tubuh akan mengerahkan tenaga, begitu juga dengan organ dalaman terutama sekali jantung dan paru-paru.
Ajarkan Anak Pandai Berenang
Ajarkan Anak Pandai Berenang
Berenang membolehkan tubuh untuk berkordinasi dengan betul. Gerakan tangan, kaki, pernafasan, pengapungan segalanya dilakukan dalam masa yang sama. Berenang juga menjadikan seseorang itu lebih berani dan tidak berasa gentar bila berhadapan dengan air.

Bagi Peluang Seluasnya Untuk Anda Belajar Kemahiran Berenang

Dengan sebab itu, setiap kali dapat peluang menginap di hotel yang ada kolam renang, memang saya akan biarkan anak-anak gunakan masa terluang yang ada untuk berenang. Kalau tak, saya dan isteri akan bawa anak-anak ke kolam renang di Bukit Merah Laketown Club House yang ada kemudahan kolam renang ini. Hanya bayar RM2 untuk berenang dan mandi di kolam yang disediakan tanpa had masa.

Takpun, saya dan isteri akan bawa ke Kolam Renang Coronation yang terletak di kaki Bukit Larut, Taiping. Air di kolam renang ni sangat sejuk, al maklumlah air dari puncak Bukit Larut. Harga masuk ke kolam ini juga murah, sekitar RM3 untuk satu sesi (ada 3 sesi).

Orang di Negara Barat Ajar Anak Berenang Seawal Masih Bayi

Di negara barat, renang ini dah diajar pada anak-anak seawal masih bayi lagi. Mereka sangat mahukan anak-anak mereka agar pandai berenang kerana ia merupakan salah satu daripada kemahiran survival untuk anak. Tidak seperti di Malaysia, agak jarang nampak ibu bapa membawa bayi dan anak-anak belajar berenang. Malah, ada yang melihat perkara ini seperti tidak perlu dan merbahaya. Walhal, secara alaminya, anak-anak itu lahir dari perut ibu yang penuh dengan cecair, dan anak-anak ini terhasil daripada penyatuan ovum yang disenyawakan oleh sperma yang berenang-renang ke arah ovum.

Berenang Adalah Sunnah Nabi

Jika anda tersesat membaca artikel ini, maka ketahuilah bahawa artikel ini ditulis untuk mengingatkan bahawa terdapat keperluan untuk mengajar anak-anak supaya pandai berenang. Ia merupakan satu sukan dan aktiviti yang sihat, dan sangat dituntut oleh Islam. Ia merupakan sunnah Nabi Muhammad S.A.W dalam menjadikan umatnya kuat dan punyai ketahanan tinggi dalam survival kehidupan.

Previous Post Next Post

Advertisement

Bisnes Shopee

Advertisement

BERMASALAH DENGAN HARTA PUSAKA?

Panduan Mengurus Harta Pusaka dan Hibbah. - Nak Tahu? Klik Sini Sekarang!!


Advertisement