Lapan petua keselamatan jalanraya. Berita utama di mana-mana dada akhbar dan medium penyampaian termasuk blog semuanya ada memperkatakan mengenai kemalangan jalanraya, hampir setiap hari. Semua menampilkan statistik yang menggerunkan. Nyawa rakyat Malaysia sangat mudah hilang di atas jalanraya.

Berita sedih dari keluarga yang terlibat memang mengharukan. Si isteri menjadi balu, si anak menjadi yatim, si ibu kehilangan anak, si ayah kehilangan keluarga menghibakan. Kadangkala air mata jantan pun boleh keguguran apabila membaca kisah-kisah sebegini.

Lapan Petua Keselamatan Jalan Raya

Walaupun pihak bertanggungjawab telah menjalankan pelbagai kempen keselamatan jalanraya, namun ramai antara kita gagal mematuhi sepenuhnya. Saya sendiri mengakui kadangkala alpa mengenai peraturan dan undang-undang ini.

Kesalahan seperti memandu laju, parking di kawasan merbahaya, memandu secara merbahaya, memandu tanpa memakai tali pinggang keselamatan, menunggang motorsikal tanpa lesen, menunggang tanpa memakai topi keledar, serta melintas jalan tanpa menggunakan jejantas adalah antara kesalahan yang biasa dilakukan.

Berdasarkan kepada statistik kemalangan yang menakutkan ini, terpanggillah diri saya untuk kongsikan mengenai lapan petua dan tips keselamatan jalanraya yang telah keluarkan sendiri oleh Jabatan Keselamatan Jalanraya Malaysia.
Laman web Jabatan Keselamatan Jalanraya dan kenyataan akhbar bertarikh 28 November 2008 pernah memperkenalkan 8 petua keselamatan jalan raya ini.

  1. Rancang perjalanan anda terlebih dahulu. Jika anda berasa letih, mengantuk, di bawah pengaruh alkohol atau berada dalam keadaan yang tidak tenteram, tangguhkan perjalanan anda.
  2. Sentiasa ikut had laju yang ditentukan.
  3. Berikan isyarat dan patuhi semua peraturan keselamatan semasa menukar lorong. Periksa cermin sisi dan cermin pandangan belakang sebelum melakukan pertukaran lorong.
  4. Sentiasa patuhi peraturan jalan raya di simpang dengan berhenti apabila lampu isyarat merah atau kuning.
  5. Elakkan daripada mengekori kenderaan lain terlalu rapat sepanjang masa kerana ini sering menjadi punca kemalangan yang serius.
  6. Patuhi garis panduan keselamatan semasa memotong. Jangan memotong jika teragak-agak.
  7. Jangan memotong barisan atau menyalahgunakan lorong kecemasan. Ia bukan sahaja biadab tetapi membahayakan semua pengguna.
  8. Elakkan mencelah di antara kenderaan kerana ini membahayakan keselamatan anda dan orang lain.
Kemalangan Melibatkan Motorsikal
Kebanyakkan kematian dalam kemalangan jalanraya di Malaysia, secara kasarnya banyak membabitkan penunggang motorsikal. Dan setiap kali operasi pencegahan dan sekatan jalanraya dilakukan oleh pihak berkuasa, golongan remaja bermotorsikal didapati melakukan banyak kesalahan.

Baru-baru ini, pihak JPJ lancarkan MyLesen, ia merupakan salah satu cara untuk membolehkan rakyat Malaysia terutama remaja memiliki lesen B2 (motorsikal) dengan harga murah. Ia juga adalah cara untuk membolehkan rakyat Malaysia menghormati peraturan jalanraya yang ada.

Salah Memandu dan Menunggang Tanpa Lesen

Harus diingat, amalan memandu kenderaan dan menunggang motosikal tanpa lesen adalah menjadi satu kesalahan serius disisi undang-undang. Mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, di bawah seksyen 26(1) tiada seorang pun boleh memandu sesuatu kenderaan di sesuatu jalan melainkan jika dia adalah pemegang sesuatu lesen memandu yang membenarkannya memandu sesuatu kenderaan motor.

Seksyen 26(2) pula mengatakan mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya sekali.

Sumber : Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia

Previous Post Next Post

Advertisement

Bisnes Shopee

Advertisement

BERMASALAH DENGAN HARTA PUSAKA?

Panduan Mengurus Harta Pusaka dan Hibbah. - Nak Tahu? Klik Sini Sekarang!!


Advertisement