Pilihan tempat menarik sekitar bandar Kota Bharu. Seandainya anda ke Kelantan, dan singgah di Kota Bharu; cuba luangkan masa untuk singgah ke tempat-tempat menarik dan bersejarah yang ada di sana. Ikuti catatan ringkas saya bersama famili yang bercuti tanpa rancang ke Kelantan, dan menyenaraikan antara tempat menarik pilihan kami sekitar Kota Bharu.

Percutian holiday getaway kami memang tidak dirancang. Semuanya kerana anak-anak merasa bosan berada terperuk di rumah. Jadi, tanpa fikir panjang ... saya dan isteri bersepakat membawa anak-anak bercuti hujung minggu ke Kelantan, walaupun terpaksa memandu selama lebih 4 jam dari Parit Buntar, Perak menuju Kota Bharu, Kelantan.

7 Pilihan Tempat Menarik Sekitar Kota Bharu

Tempat Menarik di Kota Bharu

Berapa Bajet Weekend Getaway ke Kota Bharu?

Bajet kami sekeluarga (2 dewasa 3 kanak-kanak) adalah kurang dari RM500. Secara kasarnya, bajet untuk penginapan RM150 semalam, dan alhamdulillah, kami dapat menginap di Holiday Villa Kota Bharu, yang berhadapan dengan Wakaf Che Yeh. Bajet untuk petrol kereta lebih kurang RM150 pergi dan balik. Dan ada baki RM200 untuk makan dan beli sedikit cenderahati. Ini bajet kasar mungkin lebih bergantung kepada saiz keluarga.

Bajet untuk penginapan sebenarnya boleh dapat lebih murah dari RM150 semalam, lebih lebih lagi ada hotel bajet sekitar Wakaf Che Yeh yang boleh berikan harga RM50 semalam. Anda boleh baca kisah penginapan ini di entri berikut - Pengalaman Menginap di Holiday Villa, Kota Bharu

Tempat-Tempat Menarik Sekitar Kota Bharu

Ok, jom lihat senarai lokasi atau tempat menarik pilihan yang ada di sekitar Kota Bharu, Kelantan ini. In Sha Allah, ia akan kena dengan bajet anda.

Wakaf Che Yeh

Tempat Menarik di Kota Bharu
Tempat shopping yang amat galak bila malam menjelma. Orang ramai akan berpusu ke Wakaf Che Yeh menjelang petang, dan terdapat banyak barangan seperti kain batik, kain sarung, pelikat pants, seluar jeans pelbagai jenama, mainan kanak-kanak, aksesori kenderaan, pinggan mangkuk, kelengkapan bilik tidur, pakaian dijual dengan harga yang murah dan berpatutan. Di sini juga anda boleh dapat makanan tradisional Kelantan yang dijual di warung tepi jalan, dan juga kedai makan berhampiran.

[Baca] Tips Cari Penginapan di Wakaf Che Yeh

Muzium Adat Istiadat Diraja

Tempat Menarik di Kota Bharu
Muzium ini terletak di kawasan berdekatan pusat bandar Kota Bharu. Ia merupakan bangunan lama Istana Jahar yang menempatkan peralatan adat istiadat lama keluarga diraja Kelantan. Bahan pameran disusun mengikut tema, dan majlis tertentu seperti adat berkhatan, adat istiadat perkahwinan, adat naik buai, dan macam-macam lagi. Anda boleh memahami dengan lebih dekat budaya dan adat masyarakat di negeri Kelantan, khususnya kerabat diraja.

Muzium Adat Istiadat Diraja Kelantan Istana Jahar ini telah dibina oleh tukang-tukang kayu yang mahir dari seluruh negeri Kelantan diketuai oleh Che Sulaiman dari Kampung Sireh dan dibantu oleh Nik Salleh dari Kampung Atas Bangol serta Haji Mohd Salleh Dato Kaya Bakti . Upacara pembinaannya telah dilakukan dengan penuh adat istiadat. Ini kerana Istana merupakan tempat bersemayam dan lambang kebesaran dan kedaulatan raja-raja yang memerintah pada ketika itu.
Istana Jahar
Istana Jahar
Serius memang menarik. Harga tiket masuk ke muzium ini adalah RM2.00 dewasa dan RM1.00 untuk kanak-kanak. Manakala untuk pelancong asing, dikenakan bayaran sebanyak RM3.00 untuk dewasa dan RM2.00 untuk kanak-kanak. Jadi, memang sangat berbaloilah dan antara sebab ia menjadi tempat menarik pilihan saya di Kota Bharu.
Muzium Adat Diraja Kota Bharu
Muzium Adat atau Istana Jahar ini agak besar, malah ada bahagian lain yang menempatkan bahan pameran khusus. Semasa saya dan keluarga ke sini, ada pameran mengenai Keris Melayu dibuat, anda boleh baca cerita dan lihat gambar menerusi entri ini - Kenali Keris Melayu di Muzium Adat Istana Jahar Kota Bharu

Bank Kerapu

Bank Kerapu Kota Bharu
Bank Kerapu atau dikenali sebagai Memorial Perang Dunia Kedua adalah merupakan tempat menarik yang patut anda kunjungi. Disebut sebagai Bank Kerapu kerana bangunan ini mempunyai dinding yang tidak licin dan menggerutu. Terletak berdekatan dengan Istana Jahar, ia menempatkan bahan sejarah perang dunia kedua, yang mana Kelantan mempunyai signifikasi khusus tentang sejarah pendudukan Jepun ketika itu.

Di memorial ini, anda akan lebih mengetahui bagaimana Malaya mula dijajah oleh Jepun, dan melihat beberapa fakta sejarah dalam bentuk 'fizikal' yang dipamerkan.
Memorial Perang Dunia Kedua Kota Bharu
Muzium ini dibuka setiap hari kecual hari Jumaat, bermula jam 8:30 pagi, dan tutup pada jam 4:30 petang. Ia adalah antara tempat pilihan menarik untuk dikunjungi kerana masuk adalah percuma, dan anda boleh mengetahui dengan lebih mendalam mengenai sejarah perang dunia kedua yang memberi impak cukup besar kepada negara.

Muzium Islam

Muzium Islam Kota Bharu
Muzium Islam, satu lagi lokasi tempat menarik di Kota Bharu. Bangunan Muzium Islam ini adalah bekas pejabat lama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Bangunan ini adalah salah sebuah bangunan yang mempunyai ciri-ciri rekabentuk yang unik di bandar Kota Bharu.

la dibina pada tahun 1902 dan berasaskan gaya dan ciri-ciri bangunan rumah Melayu Kelantan – Pattani model penghujung abad ke-1-9 dan awal abad ke-20. Bangunan ini diperbuat daripada kayu cengal terpilih dan atapnya pula menggunakan bata buatan Singgora yang terkenal lebar tebal dan kukuh.

Bangunan ini menjadi Pejabat Majlis Agarna Islam Kelantan selama 72 tahun 6 bulan iaitu mulai 9 Ogos 1917 hingga 15 Februari 1990 apabila Mafflis Agama Islam Kelantan berpindah ke bangunan baru di Jalan Sultan Yahya Petra Lundang.

Bangunan yang diubahsuai ini memuatkan Muzium Islam Perpustakaan Islam dan asrama pelajar-pelajar Maahad Tahfiz al-Quran. Bangunan ini asalnya adalah rumah kediaman bekas Menteri Besar Kelantan iaitu Encik Hassan bin Mohd Salleh 1900-1920.

Muzium Diraja Istana Batu

Muzium Diraja Kelantan - Istana Batu
Istana Batu. Agak pelik pada namanya, tetapi ia merupakan muzium yang amat bersejarah dan menjadi tarikan para pelancong, penyelidik dan juga penduduk tempatan untuk mengenali lebih dekat tentang kehidupan dan keluarga Di Raja Kelantan. Istana ini terletak di Jalan Hilir Kota iaitu berhampiran dengan Istana Balai Besar Kampung Kraftangan manakala bahagian belakang pula adalah Masjid Muhammadi Masjid Negeri.

Istana Batu ini dibina pada tahun 1939 iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Ismail Ibni almarhum Sultan Muhammad Ke-IV. Keseluruhan rekabentuk istana ini diilhamkan sendiri oleh Sultan Ismail. lanya dikurniakan kepada Sultan Yahya Petra dan Raja Perempuan Zainab II sebagai hadiah perkahwinan.
Sejarah Istana Batu, Kota Bharu
Pada tahun 1969 Istana Batu ini dijadikan istana rasmi kepada Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota iaitu Tengku Ismail Petra Ibni almarhum Sultan Yahya Petra yang kemudiannya menjadi Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri Kelantan Darulnaim (pada ketika itu). Baginda telah bersemayam di Istana ini sehingga tahun 1972.

Tiket masuk ke Istana Batu ini adalah RM1.00 untuk dewasa, dan separuh harga untuk kanak-kanak. Jadi, ia memang berbaloi kalau nak dikunjungi.

Kampung Kraftangan

Kampung Kraftangan Kota Bharu
Kampung Kraftangan adalah merupakan tempat atau lokasi mesti pergi di Kota Bharu. Di sini tempatnya jika mahu mendapatkan pelbagai barangan berbentuk kraftangan produk negeri Kelantan. Ia juga merupakan lokasi popular untuk menjamu selera. Ada sebuah kedai makan yang sangat popular di Kampung Kraftangan iaitu Nasi Ulam Cikgu.

Di Kampung Kraftangan ini juga letaknya Balai Getam Guri. Bersebelahan Kampung Kraftangan, disediakan sebuah tempat bagi pengunjung melihat bagaimana hasil kraf ini dihasilkan. Demonstrasi sulaman tradisional, tenunan songket, mencanting batik, kerja perak dan ukiran kayu dilakukan oleh tukang yang mahir. Produk yang dihasilkan oleh mereka juga dijual di sini.

Ok, semua tempat menarik di atas terletak di dalam Zon Budaya Kota Bharu, dan anda boleh singgah ke semua lokasi menarik ini hanya dengan berjalan kaki daripada lapangan Istana jahar yang ada tempat meletak kenderaan yang luas. Jadi, anda dah jimat dari segi petrol untuk kenderaan, selain hampir semua tempat pilihan menarik yang saya sebutkan ini adalah percuma atau dikenakan caj minima. Memang bajet!

Pasar Besar Siti Khadijah

Pasar Siti Khadijah
Pasar Siti Khadijah. Tak sah kalau anda tak singgah di Pasar Besar Siti Khadijah ini. Antara lokasi dan tempat terakhir yang patut anda kunjungi jika ke Kota Bharu. Ada banyak ole-ole buatan Kelantan yang boleh didapati di sini. In Sha Allah, dengan bajet RM20 anda boleh dapat sesuatu yang tidak terjual di tempat lain.

Jadi bagaimana dengan kisah dan pengalaman saya ini? Adakah ia memberikan input baik kepada anda untuk pergi bercuti holiday getaway dengan belanja cukup bajet? Kongsikan dengan kenalan, sedara mara mengenai artikel tempat menarik di Kota Bharu ini, dan pergilah bercuti. Ada banyak lagi tempat menarik di Malaysia yang boleh anda kunjungi. In Sha Allah, saya akan kongsikan lebih banyak kisah percutian saya dan keluarga untuk bacaan dan rujukan anda.

Sumber fakta - Come Come Kelantan

Previous Post Next Post

Advertisement

Bisnes Shopee

Advertisement

BERMASALAH DENGAN HARTA PUSAKA?

Panduan Mengurus Harta Pusaka dan Hibbah. - Nak Tahu? Klik Sini Sekarang!!


Advertisement