20 Amalan Murah Rezeki. Saya nak kongsikan amalan-amalan yang bagus untuk membolehkan Allah S.W.T melimpahkan rahmatNya. Saya fikir ramai yang dah tahu 20 amalan yang bakal saya kongsikan ini. Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah S.W.T melimpahi hambaNya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberianNya.

Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hambaNya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Amalan ini adalah amalan yang perlu dilakukan bersama usaha pencarian rezeki.

20 Amalan Murah Rezeki

20 Amalan Murah Rezeki

1. Menyempatkan Diri Untuk Beribadah

Allah S.W.T tidak sia-siakan pengabdian diri hambaNya, seperti firmanNya dalam hadis Qudsi:

"Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembahKu maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu." (H.R Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah R.A.)

2. Memperbanyak Istighfar

Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah S.W.T, yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hambaNya. Lalu, Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba.

Sabda Nabi S.A.W.: "Barang siapa yang memperbanyak istighfar maka Allah S.W.T akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka."  (H.R Ahmad, Abu Daud, an-N as a’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas R.A.)

3. Tinggalkan perbuatan dosa

Istighfar tidak laku di sisi Allah S.W.T jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki.

Sabda Nabi S.A.W.: "… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya." (H.R at-Tirmizi)

4. Sentiasa Ingat Allah

Banyak ingat Allah S.W.T buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman.

FirmanNya:  "(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah maka hati akan menjadi tenteram." (Ar-Ra’d: 28)

5. Berbakti dan Mendoakan Ibu Bapa

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah S.A.W. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan.

Baginda S.A.W. juga bersabda: "Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya." (H.R Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)

Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi S.A.W.: "Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya." (H.R al-Hakim dan ad-Dailami)

6. Berbuat Baik dan Menolong Orang Yang Lemah

Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil.

Sabda Nabi S.A.W.: "Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu." (H.R Bukhari)

7. Tunaikan Hajat Orang Lain

Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah S.W.T melapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi S.A.W.:  "Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…" (H.R Muslim)

8. Banyak Berselawat

Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat.

9. Buat Kebajikan Banyak-Bbanyak 

Ibnu Abb A.S berkata: "Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya."

Buatlah kebajikan walaupun diri ada masalah sendiri dan kebajikan itu tidak sebesar mana. Kebajikan itulah yang akan bantu nanti tanpa disedari.

10. Berpagi-Pagi

Menurut Rasulullah S.A.W., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat. Jangan tunggu sehingga matahari naik baru nak memulakan sesuatu kerja.

 Kepada rakan blogger, kalau mahu blog dapat idea yang bagus untuk tulis entri, inilah masa yang sangat bagus menyebarkan kebaikan menerusi blog.

11. Menjalin Silaturrahim

Nabi S.A.W bersabda: "Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya." (H.R Bukhari)

Jika ada yang dah lama tak jumpa, buatlah perancangan untuk bertemu dan bertanya khabar. Jika sukar, telefon, SMS, WhatsApp ... tak pun gunakan FB untuk berkomunikasi. Sekarang zaman dah mudah untuk komunikasi dan kuatkan ikatan silaturrahim. Gunakan sebaiknya.

12. Melazimi Untuk Kekal Berwuduk 

Seorang Arab desa telah menemui Rasulullah S.A.W dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah.

Baginda s.a.w. bersabda: "Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah S.W.T akan memurahkan rezeki." (Diriwayatkan oleh Sayidina Khalid al-Walid)

13. Bersedekah

Sedekah mengundang rahmat Allah S.W.T dan menjadi sebab Allah untuk membuka pintu rezeki. Nabi S.A.W. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:  "Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya." (H.R ad-Daruquthni dari Anas R.A.)

14. Melazimkan Solat Malam (Tahajjud)

Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah.

15. Melazimkan Solat Dhuha

Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri.

Firman Allah S.W.T dalam hadis Qudsi: "Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya."(H.R al-Hakim dan Thabrani)
[Baca] Panduan Khusus Untuk Tarik Rezeki dan Keberkatan

16. Bersyukur Kepada Allah

Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah. Lawannya adalah kufur nikmat. Jangan sesekali kita fikirkan bahawa rezeki itu datang sendiri kerana usaha dan kerja kita. Jika bukan kerana izinNya, tak mungkin rezeki akan datang bergolek.

 Allah S.W.T berfirman: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya az ab-Ku amat keras ." (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: "… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur." (Ali Imran: 145)

17. Mengamalkan Zikir dan Bacaan Ayat Al-Quran Tertentu

Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.

Salah satu nama Allah, al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca "Ya Allah ya Fattah" berulang-ulang, diiringi doa berikut:

"Ya Allah, bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya 'Alim."

Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.

18. Berdoa

Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah S.W.T, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dariNya. Dalam al-Quran, Allah S.W.T menyuruh kita meminta kepadaNya, nescaya Dia akan perkenankan. Mintalah dengan segenap jiwa, dan berdoalah dengan penuh harap.

19. Berikhtiar Sehabisnya

Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadith sahih dikatakan bahawa Allah S.W.T akan berikan dunia kepada orang yang dicintaiNya dan yang tidak dicintaiNya, tapi ... Agama atau Islam, Allah S.W.T hanya beri kepada orang yang dicintaiNya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)

Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya maka berusaha dan didik sejak dari dalam rahim.

Jika hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, jika hendak dapat jiran yang baik, maka diri sendiri kena berusaha menjadi lebih baik, dan andai mahu rezeki berkat maka perlulah dijauhkan rezeki yang haram, dan sebagainya.

20. Bertawakal

Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah. FirmanNya: "Barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan (keperluannya)." (At-Thalaq: 3)

Nabi S.A.W bersabda: "Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang." (H.R Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab R.A)

Kesemua yang disebut diatas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yan g menyusahkan), dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya." (At-Talaq: 2-3)

Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah S.W.T, lalu Allah limpahi hambaNya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberianNya.
Semoga kita semua dikurniakan rezeki yang baik dan halal, diberkati dan elakkan diri dari fitnah serta rezeki yang meragukan.


Previous Post Next Post

Advertisement

Bisnes Shopee

Advertisement

BERMASALAH DENGAN HARTA PUSAKA?

Panduan Mengurus Harta Pusaka dan Hibbah. - Nak Tahu? Klik Sini Sekarang!!


Advertisement