In Sha Allah, kali ini saya nak kongsikan pengalaman saya sebagai seorang ayah membasuh sendiri uri anak yang baru dilahirkan. Saya harap ia akan dapat dijadikan panduan buat para suami isteri .. terutama sekali buat si suami atau ayah untuk basuh sendiri uri anak yang baru dilahirkan. Ia adalah tanggungjawab kedua seorang ayah seorang Muslim terhadap bayinya selepas mengazankannya.
Cara-Cara Nak Membasuh Uri Bayi Yang Baru Lahir
Saya seorang bapa dengan empat orang cahaya mata. Cahaya mata terbaru saya dan isteri adalah seorang bayi lelaki dilahirkan pada 27 Mac 2017. Bayi lelaki yang beratnya tidak lebih dari 2.5kg ini dilahirkan di Hospital Taiping, dan kalau ikut perkiraan awal .. dijangka lahir pada 4 April 2017. Namun, ketentuan Allah S.W.Y, anak lelaki saya lahir seminggu lebih awal seperti mana anak-anak saya yang lain.Alhamdulillah, dah lahir .. dah azan, maka tugasan seterusnya untuk seorang ayah ialah membawa balik uri ke rumah dan membasuhnya dengan bersih sebelum ditanam.
[Dah Baca?] Pilih Hospital Bidan Yang Ada Pakar Jika Lahirkan Anak SulongAwal dulu, ketika saya pertama kali mendapat cahayamata .. saya memang tak tahu cara nak basuh uri anak. Maka, terpaksalah saya merujuk pada bapa saudara saya yang sememangnya tinggal berdekatan.
Oh rupanya tak susah manapun nak mencuci uri. Paling penting ialah bahan-bahan yang diperlukan untuk menjalankan 'misi' ini .. hehehe..
Bahan-Bahan Untuk Basuh dan Bersihkan Uri Anak
Bahan-bahan biasa untuk membasuh uri anak ialah ...- Sepeket asam jawa - apa-apa jenama pun tak mengapa .. hehehe.
- Garam kasar, beli sahaja di kedai dengan harga RM1 ... tupun dah banyak dah tu. Jangan pakai garam halus lak, jenuh nanti berpeket-peket.
- Asam limau, kalau boleh gunakan limau purut atau limau kasturi. Jangan guna limau mandarin atau buah oren lak.
Bagaimana Cara Nak Membasuh Uri?
- Mulakan kerja membasuh uri dengan bismillah dan selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W.
- Basuhlah uri anak di dalam bilik air. Jangan basuh uri di luar rumah sebab ada yang basuh guna paip air luar rumah tu. Elakkan ye, sebab kita tak mahu bau darah dihidu oleh haiwan.
- Sediakan besen bertapis untuk letakkan uri.
- Sediakan juga satu besen lain yang diletakkan hirisan asam limau dengan asam jawa (letak sikit-sikit)
- Gunakan air paip untuk bilas uri agar dibersihkan dari darah 'segar' yang ada. Syor saya gunakan getah paip air supaya mudah nak lalukan air pada bahagian uri yang ada darah.
- Bahagian yang sudah agak bersih, masukkan dalam besen bertapis yang ada asam jawa dan hirisan asam limau tadi.
- Basuh dan sental sedikit uri yang ada melekat dengan ketulan darah.
- Picit bahagian 'bertali' untuk keluarkan darah beku dari 'keronsang'.
- Ketika menyental, taburkan garam kasar dan gosok. Jangan gosok terlalu kuat takut uri pecah yang akan menyukarkan misi pembersihan.
- Lakukan proses bilas dan sental beberapa kali dengan garam kasar.
- Bila dah bersih, masukkan ke dalam bekas plastik yang bersih. Taburkan sedikit garam kasar, dan lumurkan uri yang dibersihkan itu dengan asam jawa, selain diperah asam limau ke atas uri tersebut.
- Selesai ... dan ucapkanlah Alhamdulillah.
Ok. Penting untuk anda ketahui bahawa tujuan membersihkan uri ialah supaya uri hilang kesan darah kerana darah manusia berbau hanyir. Asam limau dan asam jawa digunakan untuk menyahbaukan bau hanyir tersebut. Garam kasar pula adalah agen pembersihan untuk mudahkan ketulan darah dikeluarkan dari celah-celah bahagian uri.
Uri perlu dibersihkan dan dihilangkan bau hanyir sebelum ditanam bagi mengelakkan haiwan dari menghidu dan memakan uri. Uri perlulah ditanam sebaik mungkin di kawasan yang tidak boleh dimasuki haiwan liar. Ada sesetengah dari kita yang menabur wangian pada uri yang ditanam.
Tanam Uri Kat Mana?
Tanamlah uri di kawasan yang tidak ada ancaman haiwan liar yang dikhuatiri akan mengorek dan memakan uri.Seperti saya, saya tanam uri di kawasan dalam rumah. Tapi untuk anak keempat ini, memandangkan kawasan tanah tak banyak, saya ambil keputusan untuk tanam di kawasan perkuburan. Saya tanam dengan letakkan beberapa batu kasar di atas uri sebelum dikambus, tujuannya untuk halang daripada haiwan yang mengorek seperti anjing dari mencapai uri.
Hmm tak susah pun nak basuh uri anak baru lahir ni ..
[Dah Baca?] Qarin - Kembar Setiap Manusia Sejak Lahir Sehingga MatiWalaupun dalam Islam tidak dinyatakan keperluan untuk membasuh uri, tetapi sebagai seorang manusia .. pastinya kita mahu uri yang asalnya adalah sebahagian dari isteri dan bayi diuruskan dengan baik, ye tak? Takkanlah nak dibuat sambil-lewa sahaja.
Yang penting, uri perlu bersih dan tidak berbau hanyir. Capai matlamat ini, maka tanamlah uri di tempat yang sesuai.
Semoga bermanfaat.
Penerangan yang baik dan lengkap.. Baru nak tanya kalau orang tinggal kat flat mana nak tanam uri ni.. Rupanya boleh tanam kat tanah berkuburan.
ReplyDeleteTerima kasih
Alhamdulillah... terima kasih ... sudikan share artikel ini pada yang lain ye ..
Deleteperkongsian yg sangat bagus
ReplyDeleteyg no 4 tu kena campur air atau tak payah?
ReplyDeletedan berapa biji limau yg diperlukan? :)
Ada isi air ... tapi jangan terlalu banyak. Limau ikut saiz limau, kalau besar .. dibelah dua cukup 3-4 biji .. perah airnya. Kalau guna limau kecil .. kena banyak sikitlah .. dalam 7-8 biji. Elok spare 2-3 biji untuk kerja akhir ketika nak tanam uri tu.
DeletePost a Comment
Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.