Pertama kali saya membaca buku novel penulisan Ahmad Patria Abdullah adalah ketika di tingkatan 3 (kalau tak silap). Ia adalah satu-satunya novel Melayu yang berjaya menarik perhatian saya, dibaca dari novel pertama Saga Artakusiad sehinggalah ke novel keenam. Ia novel bersambungan, tak boleh tidak ia perlu dibaca dari siri pertama sehinggalah siri keenam.
Teruja Dengan Karya Terbaru Ahmad Patria Abdullah - Kronika Nashan
Novel fiksyen ini merupakan antara karya tersohor Malaysia. Saya boleh katakan ia berada di mana-mana perpustakaan di sekolah menengah ketika zaman saya. Malah, ketika saya sambung belajar di USM Minden pun, novel ini ada di perpustakaan utama USM.Ketika itu, memang susah nak jumpa novel fiksyen seperti ini. Ia sebuah novel yang mirip dengan kisah Lord of The Ring. Cuma saya tak pasti mana yang keluar dulu ... :)
8 Siri Novel Saga Artakusiad
Novel siri Artakusiad yang pertama mempunyai enam novel berangkai yang kemudiannya bersambung dengan dua lagi novel iaitu:- Permata Aurorius
- Kota Arialun
- Kembar Artakus
- Petua Azkram
- Puteri Alindalia
- Pedang Aurora
- Lagenda Numerius
- Cabaran Lodra
Aratakus ini telah menyatukan bangsa Aurora dalam menentang Morrok yang berselindung menerusi kekuatan ilmu hitam dan makhluk-makhluk yang mempunyai kuasa sakti.
Rizal telah dibawa oleh satu kuasa ghaib ke alam Aurora yang penuh misteri. Oleh kerana pada dirinya terdapat tanda-tanda kebesaran seperti yang tercatat dalam kitab-kitab kaum Aurora, dia telah diangkat sebagai pemimpin atau Artakus puak Armorikus. Sebagai Artakus, dia diharap dapat mengembalikan keagungan kaum Aurora dan membebaskan mereka daripada kezaliman Morrok – musuh Armorikus yang ganas. Dia juga terlibat dalam pertentangan Arasis (siang) terhadap Osria (malam) yang cuba memusnahkan alam…
Untuk menyekat rancangan jahat Osria, dia harus pula membantu Merkia (makhluk yang terhasil daripada cahaya) merampas Permata Aurorius yang berada di Kota Arialun dalam genggaman Herakos (makhluk yang terhasil daripada kegelapan).
Cerita yang penuh dengan plot yang membuatkan otak keluar daripada fantasi biasa, saya antara mereka yang terbawa-bawa kisah Artakus ini dalam kehidupan remaja ketika itu.
Fisyen Purba Yang Hebat
Walaupun ia sebuah kisah novel fiksyen purba, ia menggunakan bahasa-bahasa yang cukup indah yang sukar didapati pada novel-novel lain pada ketika itu. Maka, dengan sebab itulah novel ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.Kalau anda nak tahu, novel siri pertama Saga Artakusiad ini ditulis oleh Ahmad Patria Abdullah ketika berusia 17 tahun! Siri novel ini tergantung setelah berakhirnya perang besar antara Aurora dan Morrok.
Ahmad Patria Abdullah kemudiannya menyepi setelah terbitkan siri akhir Saga Artakusiad - Pedang Aurora, iaitu pada tahun 1991.
Hanya pada tahun 2004, Ahmad Patria Abdullah kembali dengan novel sambungan kisah pahlawan Artakus, iaitu Lagenda Numerius (2004) dan Cabaran Lodra (2012). Buku-buku novel sambungan ini sangat sukar didapati di kedai buku biasa, dan saya difahamkan cetakannya juga amat terhad dan hanya dijual secara online.
Penulis 'Dipaksa' Untuk Akhiri Kisah Saga Artakusiad
Tahukah anda bahawa penulisan Saga Artakusiad ini hanya dapat direlisasikan dek kerana desakan dan permintaan para peminat siri novel ini. Setelah berakhirnya siri keenam, para peminat Saga Artakusiad telah menjalankan misi mencari Ahmad Patria Abdullah yang menyepi daripada dunia penulisan novel. Akhirnya mereka berjaya ketemu dan memujuknya untuk menyambung kisah Artakus.Nampak di situ bahawa Saga Artakusiad bukanlah satu nashkah novel biasa.
Kronika Nashan - Siri Novel Fiksyen Fantasi Terbaru Ahmad Patria Abdullah
Dan baru-baru ini saya telah terjumpa nashkah terbaru dari penulis fiksyen Malaysia tersohor ini yang dijual di Popular Book Store. Novel terbaru beliau - Aristokra menjadi antara buku novel fiksyen terbaik 2016.Teruja saya dibuatnya bila saya dapat melihat novel penulisan Ahmad Patria Abdullah berada di antara deretan buku novel khusus di situ.(Nampak sangat saya dah lama tidak ke kedai buku)
Novel terbaru ini boleh saya anggap sebagai sambungan kepada siri kepahlawanan Artakus dan kisah kaum Aurora. Rentetan cerita kini mengembang dan menghasilkan satu siri baru dinamakan Kronika Nashan. Terbitnya siri baru ini, maka sahlah Saga Artakusiad telah tamat dengan kesemua 8 siri yang hebat.
Saya difahamkan, karya baru dari Ahmad Patria Abdullah ini mendapat sambutan hangat semasa Pesta Buku Antarabangsa KL 2016. Sessi autografi sahaja mengambil masa selama 3 jam! Dan menurut Fadli Akiti, pengkritik sastera Malaysia; beliau memuji Aristokra sebagai novel fiksyen yang 'luar biasa'. Sehingga ia mempunyai bahasa yang sendiri!
Ya, memang buku novel ini punyai nilainya tersendiri. Ia sebuah karya yang meminggirkan segala kebiasaan cerita yang biasa kita baca. Ia ada nilai kemanusian, nilai cinta, nilai jati diri, kepercayaan dan segala yang ada dalam kehidupan. Ia bukan sebuah novel biasa.
Aristokra, Wizra .....
Di tahun 2017, kisah siri Kronika Nashan bakal menemui para pembacanya dengan novel sambungan bertajuk Wizra. In Sha Allah, saya akan berkongsi kepada anda mengenainya nanti.Sebelum itu, suka saya nak muatkan sedikit sinopsis siri Kronika Nashan ini..
Nashan.
Sebuah negara kecil jauh ke utara Aurora, yang kini diperintah oleh Melyn ien Sarra iea Nashrain, puteri dan Aristokra yang terakhir. Daerah legenda dan mitos, paling gemilang antaranya adalah Spiara Bulwar, kisah epik yang menceritakan persahabatan pahlawan terbilang itu dengan Shilrung, serta pertarungan mereka menentang Krodra, gergasi samudera yang menggerunkan.
Dan kini pemerintahan Melyn diancam bahaya.
Sursis, pahlawan adi dan panglima gagah dari banjaran gunung jauh, mahu menakluki Nashan. Kehadiran Mori, kesatria misteri yang dikirim oleh Artakus, Lodra Perang Aurora, bakal mengubah segala-galanya. Namun, kehebatannya tidak dapat menandingi kegagahan Sursis, yang belum pernah tewas dalam pertempuran. Percaturan Merkia, wizra terulung yang menguasai magis tinggi, memberikan sinar harapan dalam usaha mereka menentang ancaman musuh. Namun, rahsia yang bakal menentukan takdir seluruh Nashan tersembunyi dalam legenda Spiara Bulwar. Firasat murni dan magis tinggi, persahabatan sejati dan pengkhianatan misteri, kesemuanya tergabung dalam perjuangan Melyn ien Sarra iea Nashrain, puteri Kushan yang pintar dan jelita, yang paling terkenal dengan hanya satu gelaran,
Aristokra.
Aha .. amacam? Nampak menarik pada pembacaan anda tak? Jika ya, pastikan anda ikuti perkembangan kisah siri Kronika Nashan ini. Yang pasti, saya dah angkat tangan untuk jadi salah seorang peminat siri novel fiksyen fantasi purba Ahmad Patria Abdullah ini.
Anda boleh dapatkan buku novel ini di kedai buku yang menjual terbitan PTS Publication. Tak ada masa untuk beli di kedai? Boleh beli secara online di BookCafe.
Semoga bermanfaat.
terbaik sharing
ReplyDeleteTerima kasih .. siapa yang minat penulisan kreatif dengan isi kandungan di luar biasa .. memang syor baca buku ni
DeleteSaya kali pertama baca pada usia 13 tahun .. dan tak sangka umur dah nak 4series ni dapat baca lagi sambungan buku ini..
ReplyDeleteTapi agak hampa juga lah , buku terbaru ini tak memfokus kan lagi watak artakus.
Post a Comment
Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.