Baru-baru ini saya ke Sungai Buloh, untuk satu mesyuarat bagi satu event yang membabitkan blogger-blogger Malaysia. Saya ke sana menaiki tren ETS terus ke KL Sentral memandangkan saya perlu hadir ke mesyuarat sebelum tengahari. Saya ambil tren ETS seawal jam 5 pagi dari stesen KTM Parit Buntar.

Tren ETS bertolak jam 5:00 pagi adalah tren ETS terawal, dan ia mengambil masa lebih kurang 3 jam untuk tiba ke KL Sentral dari tempat saya.

Kemudahan ETS Ramai Tak Sedar

Kemudahan ETS Ramai Tak Sedar

Awal pagi tiada apa yang menarik, apatah lagi perjalanan sebelum waktu suboh ini masih ramai yang lena. Aktiviti banyak yang belum bermula. Jadi, pemandangan dari dalam kabin ETS tiada apa yang menarik untuk saya ceritakan.

Tapi, saya nak cerita tentang kemudahan di dalam tren ETS KTM yang nampaknya masih ramai belum tahu. Saya sedar perkara ini semasa menaiki tren ETS baru-baru ini ...


"Ishh ETS ni tak ada plug nak cas telefon la mak .." kata seorang wanita kepada ibunya yang duduk di sebelah.
"Cik .. plug nak cas ada di bawah tempat duduk" cuba untuk hulurkan bantuan.

Meraba-raba wanita tersebut .. "Kat mana ni? Tak ada kot kat tempat kita ni mak .." kata wanita itu.
"Di tengah-tengah tempat duduk Cik, cuba sua tangan Cik di bahagian bawah di tengah seat .. " kata saya.

"Ohh kat sini ..  terima kasih ye .." sambil wanita itu memberikan senyuman yang tak berapa nak manis... hoho.

Jika sebelum ini, saya ada cerita mengenai tips untuk travel dengan ETS yang saya percaya telah bantu ramai pembaca blog saya, kali ini saya nak tulis sekali lagi, dan berkongsi tentang kemudahan-kemudahan yang ada dalam ETS yang masih ramai tak sedar.

Kemudahan Surau


Ramai yang mungkin tak perasan mengenai kemudahan surau yang ada di dalam ETS. Buat mereka yang tidak tahu, kemudahan surau ini terletak di gerabak atau koc C, iaitu di sebelah kaunter F&B (Food and Beverage).

Surau ini boleh memuatkan sehingga 2 orang dewasa dalam satu-satu masa. Ada tempat untuk ambil wudhuk disediakan di dalam surau ini. Jadi jangan risau tentang bagaimana nak mengambil wudhuk. Malah, surau ini turut disediakan sejadah dan juga telekung muslimah.

Cara Nak Sholat dalam Tren ETS


Tentu anda tertanya, bagaimana mahu sholat di dalam tren ETS yang sedang bergerak? Ok .. caranya mudah sahaja. Di dalam surau ini terdapat kompas kiblat. Maka, gunakan kompas ini ketika mahu berniat sholat atau sebelum mengangkat takbir pertama. Letakkan kompas di sebelah sejadah, dan perhatikan arah kiblat. Apabila arah kiblat nampak stabil, terus sahaja niat dan mulakan sholat.

Setelah anda mula sholat, kompas kiblat boleh diabaikan kerana anda bersholat dalam kenderaan sedang bergerak. Selesaikan sholat anda sehingga salam terakhir.

Oh ya, memandangkan tren ETS bergerak agak laju; yang adakala mencapai sehingga 150-160km/j .. maka sila berhati-hati. Jika anda merasakan anda tidak dapat berdiri dengan baik semasa sholat, saya syor anda untuk sambung sholat pada rakaat seterusnya dalam keadaan duduk untuk mengelakkan anda dari terjatuh dan tercedera.

Kemudahan Kantin Food & Beverage

Semua tren ETS dari Padang Besar sehinggalah ke Gemas disediakan bahagian ini. Ia terletak di koc C. Makanan disediakan adalah makanan hala, dan dijual dengan harga sangat berpatutan. Anda boleh meminta kakitangan di situ untuk panaskan makanan daripada menu yang ada.

Menu yang biasa disediakan ialah mee goreng, bihun goreng, nasi lemak, nasi goreng dan juga sandwich. Anda boleh nikmatinya di situ atau bawa ke tempat duduk anda di dalam tren. Minuman sejuk dan panas turut disediakan. Semua minuman adalah jenis 3-in-1, seperti Nescafe, Milo, Kopi-O dan juga teh.

Anda dinasihatkan untuk gunakan wang secukupnya ketika membayar.

Kemudahan Rak Bagasi

Walaupun ramai yang sedar mengenai kemudahan ini, tapi tak ramai yang mahu menggunakannya dengan sebaiknya. Ada dua kemudahan rak bagasi ini, iaitu di bahagian hadapan/belakang koc dan juga di atas tempat duduk penumpang.

Adalah lebih baik meletakkan bagasi yang besar di kawasan tempat letak bagasi di hadapan/belakang koc. Manakala di bahagian atas tempat duduk adalah untuk bagasi sederhana seperti backpack.

Malah, terdapat bahagian untuk menggantung bagasi kecil yang terletak di sebelah tingkap. Elakkan meletakkan bagasi di bawah tempat duduk, apatah lagi di ruangan tengah koc tempat penumpang lain lalu-lalang. Saya cuma cakap elak, bukan melarang ehh .. kalau letak juga di tempat yang bukan sepatutnya, maka bersedialah berhadapan dengan apa-apa kemungkinan yang tak best .. huhu.



ETS Adalah Green Train

ETS adalah tren hijau. Dengan elektrik sebagai sumber kuasa, ia lebih bersih dan mempunyai jejak karbon yang lebih rendah daripada kebanyakan jenis kenderaan motor yang membakar bahan api fosil. Tren ETS juga mampu menjana kuasa regenerasi elektrik semasa membrek, untuk kegunaan tren lain dalam grid kuasa yang sama.

Oleh kerana itu, dalam mana-mana bahagian koc ETS .. anda tidak boleh sama sekali merokok atau Vape; hatta ada yang mengatakan boleh merokok secara sembungi di dalam tandas ETS atau ketika ETS berhenti di stesen tertentu.

Adalah menjadi kesalahan untuk melakukan perkara demikian. Anda boleh diminta untuk keluar dari koc jika didapati melanggar peraturan ini.

Kemudahan Untuk OKU dan Warga Emas


Tren ETS direka bukan sekadar mesra alam tetapi juga mesra OKU dan warga emas. Penumpang OKU dan warga emas dianggap sebagai pengguna istimewa perkhidmatan ETS. Malah, KTM ETS direka dengan kemudahan dan prasarana khas untuk golongan ini. Keutamaan tempat duduk khas juga tersedia.

Ramai yang tidak tahu bahawa seandainya anda seorang OKU atau warga emas, anda boleh memohon bantuan daripada kakitangan KTM untuk dibantu.

Anda boleh hubungi pihak KTM ETS sekurang-kurangnya 24 jam sebelum waktu berlepas untuk kakitangan ETS membuat persiapan awal. Anda juga boleh singgah di mana-mana kaunter KTM dan bercakap dengan kakitangan yang ramah untuk membantu.

Tandas Vakum dan Khas Warga Emas serta OKU

Antara kemudahan khas untuk warga emas dan OKU adalah tandas vakum moden yang terdapat di koc B dan koc E. Ia direka untuk penggunaan kerusi roda selain fasiliti untuk bantu penumpang golongan warga emas dan OKU. Tandas ini lebih luas daripada tandas-tandas vakum lain yang disediakan di dalam tren ETS.

CCTV

Samada anda sedar atau tidak, setiap koc dalam tren ETS dilengkapi dengan kemudahan CCTV. Ia adalah untuk menjamin keselamatan dan keselesaan para penumpang. Ini bermakna, setiap perlakuan, tindakan dan gerak-geri anda sentiasa diperhatikan dan dirakam oleh sistem CCTV ETS.

Kemudahan Soket Palam 3 Pin


Di setiap tempat duduk ada kemudahan soket palam 3 pin. Satu soket untuk setiap dua tempat duduk. Ia terletak di bahagian bawah - tengah antara dua tempat duduk. Anda mungkin tidak perasan, tetapi anda boleh mencapainya dengan sedikit membongkok ke depan.

Anda boleh cuba meraba bahagian tengah tempat duduk, dan merasa satu kekotak berpenutup. Untuk menggunakan soket ini, anda perlu menarik dan membuka penutup soket.

Saya sering gunakan untuk mengecas bateri telefon pintar saya, dan isteri saya pula pernah gunakan untuk kemudahan menggunakan laptop. Ia mungkin satu kemudahan yang agak renyah untuk diakses buat sesetengah orang, tetapi amat berguna untuk situasi yang mendesak - bateri telefon habis.

Kemudahan Interkom

Di setiap koc ada kemudahan interkom untuk bercakap dengan kakitangan tren KTM ETS seandainya berlaku kecemasan. Ia terletak di bahagian depan di sebelah pintu antara koc.
Kemudahan ETS Ramai Tak Sedar

Orait. Saya harap post ini sedikit sebanyak memberikan gambaran am tentang kemudahan ETS yang ramai tidak sedar. Seperti awal saya sebut, saya menulis ini adalah untuk membantu mereka yang mahu travel dengan ETS dengan selesa.

Oh ya, ada satu perkara yang harus saya beritahu mengenai tempat duduk dalam koc ETS ini. Tempat duduk yang paling hadapan atau belakang ada cirian berbeza sedikit dengan tempat duduk yang lain.

Tempat duduk di bahagian belakang di mana ada ruang serta rak untuk letak bagasi besar, ruang tempat duduk lebih luas daripada yang lain. Manakala di bahagian tempat duduk di depan koc, ada meja statik/kekal. Ruang tempat duduk ini agak sempit sedikit berbanding tempat duduk lain, dan kerusinya tidak boleh ke belakang sepertimana tempat duduk lain (hanya boleh ke belakang 30 darjah sahaja).

Jika anda fikir post atau artikel ini membantu, sudikan untuk kongsikan kepada yang lain ye. 

5 Comments

Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

  1. Entry Ets tuan yang lepas menggerak hati saya mencuba perkhidmatan ini. Bagus punctual. Enjoyed . Cuma makanan (beehoon) yang dijual pada hari itu tidak ok berkerak dan liat bahagian atas. Cuma dapat mkn 1/4 saja. Terbang Rm10/.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Aduh. Kesian tu. Saya setakat ni makan bihun ok lagi, mungkin sbb saya dapat yang baru kot, sbb berhenti kat ipoh, dia akan sediakan yang baru.

      Delete
  2. terbaeklah entry tuan. tak sabar nak naik ets jugak lepas ni

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hmm .. cuma nak ingatkan, harga ETS pada stgh orang agak mahal. Nak cuba sesekali, saya sgt syorkan.. kena ada pengalaman merasa untuk tahu samada berbaloi atau tak dengan harga dibayar.

      Delete
  3. Better amik seat num brp ya kalo nk dduk dkt ngn pintu?

    ReplyDelete

Post a Comment

Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

Previous Post Next Post

Advertisement

Bisnes Shopee

Advertisement

BERMASALAH DENGAN HARTA PUSAKA?

Panduan Mengurus Harta Pusaka dan Hibbah. - Nak Tahu? Klik Sini Sekarang!!


Advertisement