Alhamdulillah, saya diberikan rezeki untuk mengalami apa yang ada di dalam MAPS Perak ini selama dua hari. Saya sekeluarga telah menginap di sebuah hotel bajet tak jauh dengan MAPS, dan paling best hotel penginapan kami betul-betul di sebelah Mydin Meru Raya, Ipoh.
27 Perkara Mengenai Movie Animation Park Studios, Ipoh Perak
Apabila dah masuk ke MAPS selama 2 hari berturut-turut, tentu banyak perkara yang saya nak beritahu pada anda semua. Anda mungkin nak tahu sebelum ambil keputusan untuk bercuti ke MAPS Perak. Yelah, kalau dilihat pada harga tiket masuk ... agak seriau juga tu, mesti nak tahu samada berbaloi atau tidak membayar dengan harga ditawarkan.Untuk pengetahuan, tiket masuk kami ke MAPS Perak adalah menggunakan pass tahunan untuk rakyat Perak. Isteri saya beli ketika karnival MAPS pada tahun 2016. Walaupun saya sekeluarga tinggal di Penang, tetapi semuanya lahir di Perak, kecuali anak sulong saya yang lahir di Penang. Pun begitu, dengan promosi yang ada, semua dapat pass tahunan warga Perak.
Anda boleh tengok harga tiket kami di sini - Pass Tahunan MAPS PerakBerikut adalah 27 perkara yang mungkin anda perlu tahu mengenai taman tema MAPS.
- Harga tiket Day Pass untuk pemegang MyKad ialah RM144 (dewasa) dan RM114 (kanak-kanak dan warga emas). Kami beruntung sebab dapat beli harga promosi Perak Pass - RM180 (dewasa) dan RM150 (kanak-kanak) yang sah untuk 12 bulan, masuk tanpa had.
- Waktu operasi adalah dari jam 10 pagi hingga 6 petang (Isnin-Jumaat) dan 10 pagi hingga 10 malam (Sabtu-Ahad-Cuti Am-Cuti Sekolah).
- MAPS Perak ada enam bahagian/zon iaitu Animation Square, Dream Zone, Blast Off Zone, Live Action Zone, Lakeside Zone dan Fantasy Forest Zone.
- Lakeside Zone adalah zon permainan jenis rides yang boleh anda sertai. Ada tiga jenis permainan rides disediakan di sini iaitu Space X-Plorers, HyperSpin dan Asteroid Attack.
- Barangan larangan untuk permainan (rides) meliputi selfie-stick, smartphone, topi, benda tajam, beg, payung, minuman alkohol yang boleh mengancam keselamatan. Anda akan diminta untuk meninggalkan/menanggalkan barangan ini jika mahu ambil bahagian dalam permainan yang disediakan.
- Apabila nak bermain rides - pakaian seperti skaf, tudung yang panjang, aksesori pakaian seperti rantai mestilah dipakai dengan kemas. Rambut yang panjang perlu diikat. Takut nanti tersangkut pada bahagian alat permainan yang ada.
- Ada sesetengah permainan mempunyai larangan had umur dan juga had ketinggian untuk kanak-kanak. Contohnya untuk Boboiboy Academy, anak anda perlu berumur 5 tahun ke atas dan melepasi ketinggian 100cm.
- Setiap satu tarikan yang ada dalam MAPS akan diselia, dibantu dan diawasi oleh staf-staf MAPS. Anda dikehendaki untuk ikuti arahan serta larangan oleh mereka.
- Bukan semua tarikan yang ada di dalam MAPS sesuai untuk semua orang. Kebanyakkannya ada larangan dan had tertentu. Ibu mengandung dan mereka yang lemah semangat misalnya, tidak digalakkan untuk mencuba permainan seperti yang ada di Lakeside Zone.
- Karektor animasi yang ada di dalam MAPS ialah Casper, Megamind, Mr Peabody & Sherman, The Croods, Smurfs dan Boboiboy.
- MAPS menyediakan surau yang agak selesa, tempat tukar lampin bayi, tempat penyusuan ibu, sewaan stroller bayi, penyewaan loker simpanan barang, bilik kecemasan (first-aid), mesin ATM, VIP Lounge dan ruangan Lost and Found.
- Ada enam restoran makanan segera di dalam MAPS Perak, termasuklah Coral Kingdom, Tok Aba Kokotiam, Starship Restaurant, The Croods Cafeteria, The Pitstop Cafe dan Metrocity Diner.
- MAPS juga adalah pertama yang menjadi hos kepada pertunjukkan stunt secara langsung (live) di Asian Tenggara. Ia menampilkan Stunt Legends yang boleh anda lihat di Live Action Zone. Persembahan stunt melibatkan motorsikal dan kereta.
- Tempat bergambar paling menarik adalah di Fantasy Forest Zone. Ia juga kawasan yang paling sesuai untuk kanak-kanak di bawah umur 12 tahun bermain dan merasai keseronokan MAPS Perak.
- Persembahan live karektor animasi dibuat di pentas tengah MAPS iaitu di Animation Square Zone. Di situ ada Meet & Greet karektor seperti Boboiboy.
- Anda tidak boleh merokok sesuka hati di dalam MAPS Perak. Ada kawasan merokok telah disediakan di zon tertentu. Ada lima kawasan atau tempat merokok telah disediakan di dalam MAPS.
- Surau terdapat di dua zon iaitu di bahagian pintu masuk MAPS - Animation Square Zone dan juga di bahagian hujung bangunan di Live Action Zone.
- Ada perkhidmatan jurugambar di dalam MAPS. Jika anda nampak jurugambar, anda boleh minta mereka ambil gambar anda, dan anda boleh claim menerusi kad imbasan yang diberikan. Anda boleh claim samada menerusi kaunter MAPS Snaps atau secara online. Bayaran akan dikenakan untuk proses cuci gambar (jika mahu).
- Boboiboy 4D Adventure Theater adalah sebuah panggung wayang 3D yang akan memberikan anda pengalaman mengembara bersama team Boboiboy, merasai percikan air dan angin kuat selain gegaran akibat terlanggar asteroid.
- MAPS adalah taman tema animasi pertama di Asia menampilkan 'perkampungan' Boboiboy. Ada Tok Aba Kokotiam di Animation Square Zone, anda akan wajib lalui kafe ini apabila keluar dari pawagam 4D.
- Kalau nak berehat daripada kepanasan, boleh masuk ke dalam Coral Kingdom di Fantasy Forest. Di dalam Coral Kingdom, ada tempat permainan untuk kanak-kanak (indoor game).
- Ada 7 tempat untuk mendapatkan cederahati di dalam MAPS Perak termasuklah MAPS Emporium yang berada di Animation Square Zone.
- Harga makanan dan minuman di dalam MAPS Perak agak mahal, maka elok anda makan minum sebelum anda masuk ke dalam MAPS. Tiada makanan dari luar dibenarkan untuk dibawa masuk.
- Jika anak-anak minat Smurfs, anda dan keluarga pasti akan habiskan banyak masa di Blast Off Zone. Terdapat lebih daripada tujuk tarikan berkaitan Smurfs di zon ini.
- Persembahan di Live Action Zone dan juga 4D Boboiboy Adventure Theater ada waktunya, jadi pastikan anda tahu pukul berapa ia bermula.
- Jika ada tidak tahan bau asap dan petrol semasa persembahan Stunt Legends di Live Action Zone, ambillah tempat duduk paling atas sekali. Bunyi yang bingit dan kadangkala secara tiba-tiba boleh mengejutkan bayi dan kanak-kanak kecil.
- Bermula jam 5:30 petang, akan ada persembahan khas tanda MAPS akan ditutup untuk orang ramai. Anda akan diperlihatkan dengan penari-penari, badut, para pelagak ngeri (stunt) dan mereka yang menjayakan persembahan pentas di Animation Square Zone.
Orait, saya fikir itu sahaja dapat saya kongsikan kepada anda berdasarkan kepada ingatan yang ada. Saya dan anak-anak tak dapat nak cerita apa yang ada di dalam Dream Zone, sebab selama 2 hari kami masuk ke MAPS Perak, kawasan ini ditutup kepada pengunjung.
Sekarang enjoy beberapa gambar yang telah saya ambil semasa pergi ke MAPS Perak ye ...
Gambar MAPS - Animation Square Zone
Gambar MAPS - Fantasy Forest Zone
Gambar MAPS - Lakeside Zone
Gambar MAPS - Live Action Zone
Gambar MAPS - Blast Off Zone
Saya harap anda enjoy dengan gambar-gambar yang dikongsikan. Nanti saya akan kongsikan pula gambar aksi-aksi menarik Stunt Legends yang membuat persembahan di Live Action Zone MAPS ni nanti.
Hmm .. secara keseluruhan, apa yang ada dalam MAPS Perak ni saya anggap oklah untuk hiburan keluarga ketika bercuti. Saya dan keluarga pernah merasai pengalaman lebih best dan lebih menarik semasa berkunjung ke Trans Studio Bandung, Indonesia.
Mungkin nanti, apabila saya dan keluarga berpeluang untuk masuk ke bahagian Dream Zone, ada aktiviti yang lebih syok untuk dilakukan. In Sha Allah, kami akan datang lagi ... huhu.. ehh bayar memahal mestilah kena lenjan cukup-cukup pass tahunan Perak tu .. ye tak?
wahhh..menarik ni boleh masuk dlm travel list..
BalasPadamJangan lupa sediakan bajet secukupnya ye
PadamWow best
BalasPadamHehehe... leh la try nanti. Datang malam leh nampak lampu2 cantik, kadang ada bunga api
Padamboleh masuk dalam list jalan-jalan tahun ni
BalasPadamteringin nnti nak pi la..
BalasPadamkalau bawak baby better bawa stroller or carrier?
BalasPadamCarrier, stroller di MAPS ada sediakan. CUma kalau bawak stroller, senang nak letak barang bawah stroller tu macam air semua, sbb kalau ikut peraturan tak leh bawak air luar masuk dalam MAPS tu.
PadamCatat Ulasan
Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.