Diam tak diam, kita semua sudah melangkah ke satu tahun yang baru, iaitu tahun 1439 Hijrah bersamaan dengan 2017 tahun Miladiyah. 1 Muharram 1439H seperti ditetapkan oleh Panel Pakar Falak JAKIM telah jatuh pada 22 September 2017.
Salam Tahun Baru 1439 Hijrah
Di kesempatan yang ada, saya dan keluarga termasuklah ahli rakan blogger Kelab Blogger Merdeka ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 1439 Hijrah dan Salam Awal Muharram kepada semua pembaca-pembaca dan peminat blog Malaysia yang beragama Islam.Bukan semua kita dapat menikmati tahun yang baru ini, maka, marilah sama-sama kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T, yang telah memberikan nikmatNYA kepada kita semua.
Bagaimana caranya? Caranya ialah dengan menggunakan nikmat ini dengan rasa syukur ke jalan yang diredhaiNYA, in Sha Allah barangsiapa bersyukur, nescaya Allah S.W.T akan menambah nikmat itu berlipat kali ganda lagi. Dan sebagai penulis blog, wajib menggunakan platform ini untuk menyampaikan kebaikan dan manfaat pada para pembacanya.
Sebagaimana dalam Al Quran telah dinyatakan dalam Surah Ibrahim, ayat 7 Allah S.W.T berfirman;
Maksudnya: "Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatKU), Maka sesungguhnya azabKU sangat pedih."
Gambar Kota Madinah Dulu dan Sekarang
Bila sebut mengenai tahun Hijrah atau Hijriah ini, ada dua perkara yang muncul di benak kepala saya, iaitu peristiwa Hijrah Rasulullah S.A.W dari kota Mekah ke Madinah, dan juga bagaimana terciptanya kalendar Hijriah ini pada mulanya.Dengan hijrah, dua bandar suci umat Islam, iaitu Madinah dan Mekah telah berubah wajah. Lihat dua gambar di atas, gambar kota Madinah dulu dan sekarang. Jauh bezanya bukan?
Dua Perkara Penting Mengenai Hijrah
Kedua-dua fakta penting di atas iaitu peristiwa hijrah Nabi S.A.W dan juga penciptaan kalendar umat Islam pertama pernah saya ceritakan dalam coretan terdahulu, yang mungkin kebanyakan dari anda sudah membacanya.- Sejarah Terciptanya Takwim Hijrah/Hijriah di Zaman Khalifah
- Kisah Perpindahan Nabi Muhammad dari Mekah ke Madinah
Kalau menyebut soal peristiwa Hijrah Nabi S.A.W dari Mekah ke Madinah ini, selalunya kebanyakan umat Islam akan menyebut dan mengaitkannya kepada soal perubahan. Perubahan dari yang kurang baik kepada menjadi baik, dan daripada yang baik menjadi lebih baik atau terbaik.
Tanyalah pada sesiapa sahaja, siapa yang tidak mahu menjadi terbaik? Betul kan? Hatta, kalau ditanya pada seorang perompak sekalipun, dia akan menyebut mahu menjadi seorang perompak yang terbaik di kalangan perompak.
Ini lumrah dan memang menjadi kemahuan setiap manusia. Ia naluri.
Menjadi terbaik itu adalah satu perkara yang sangat dituntut di dalam Islam, lebih-lebih lagi dalam perkara yang boleh memberikan manfaat pada Agama, Bangsa, Masyarakat dan Negara. Ia adalah sifat yang ada dalam manusia.
Mesti Dimulakan Dengan Niat Yang Betul
Tapi, mahu menjadi terbaik perlu ada niat yang betul. Dengan niat yang betul, kita akan dipertunjukkan jalan yang diredhai oleh Allah S.W.T dan hindarkan diri dari tersesat serta mengelakkan diri dari melakukan dosa, maksiat dan mudarat.Bila ada niat kerana Allah, automatik perkara dan amalan yang akan dilakukan akan menjadi yang baik.
Ada tak perompak nak merompak harta orang menyebut niat "Aku merompak rumah ini untuk langsaikan hutang aku kerana Allah Taala?" sebelum melakukan kerja-kerja yang mendatangkan dosa ini? Uhh .. sudah pasti tidak.
Dengan berniat baik di dalam hati, kita akan diberikan ganjaran oleh Allah. Dan apabila dengan niat baik tersebut, Allah datangkan pula ujian dan musibah, maka ... in Sha Allah, andai kita dapat hadapinya .. Allah akan kurniakan hikmah dan ganjaran lebih hebat, lebih baik daripada apa yang kita mahukan sebelum ini.
Sebagaimana dalam satu hadith sahih yang diriwayatkan daripada Saidina Umar ibn al-Khattab:
Mafhumnya (yang bermaksud): "Setiap amalan perbuatan itu bergantung niatnya dan bagi setiap orang mendapatkan apa yang diniatkan. Barangsiapa yang niat berhijrah kepada (keredhaan) Allah dan RasulNya, maka hijrahnya pada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang niat hijrahnya untuk mendapatkan dunia atau kerana wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya sesuai apa yang dia niatkan" (H.R al-Bukhari)
Dalam kehidupan kita hari ini, pelbagai bentuk ujian dan cabaran yang menanti di setiap perjalanan kita. Ingatlah bahawa sesungguhnya ujian dan cabaran-cabaran itu tidaklah dapat sebanding dengan ujian-ujian yang telah dilalui oleh Rasulullah S.A.W dan orang-orang terdahulu.
Hadapilah Ujian dan Dugaan Dengan Sabar
Mahu menjadi yang terbaik, kita perlu hadapi ujian dan dugaan. Allah S.W.T tidak akan membiarkan orang-orang yang hidup di atas dunia ini tanpa diuji. Kita perlu hadapi ujian dan dugaan dengan sabar. Kita wajib percaya, apa yang didatangkan kepada kita adalah untuk menjadikan kita lebih baik dan terbaik. Allah S.W.T berfirman dalam Surah al-Ankabut ayat 2:Maksudnya: "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?"
4 Perkara Halangan
Ulama ada menyatakan terdapat empat halangan atau ujian untuk melakukan kebaikan dan ibadah kepada Allah S.W.T ini, iaitu:- Dunia,
- Manusia,
- Nafsu
- Syaitan
Kita sering dipesongkan dari niat baik kerana hasutan nafsu dan syaitan. Nafsu yang sentiasa cuba untuk menyelitkan rasa berlebih-lebihan dalam diri yang akhirnya menjerumuskan kita ke arah hasutan syaitan yang mahukan kita berada dalam kemungkaran dan kemurkaan Allah S.W.T.
Hijrah kepada perkara lebih baik itu memang sukar, kerana hijrah sebegitu adalah satu nikmat yang tidak terhingga. Sepertimana saya ada nyatakan tadi, hijrah Nabi Muhammad S.A.W sendiri ada kesukaran dan kepayahannya, malah ia melibatkan nyawa Nabi S.A.W sendiri, dan nyawa sahabat Nabi yang lainnya terutama Saidina Ali a.s dan Saidina Abu Bakar a.s.
Dengan niat ikhlas utuh lagi jitu, dengan azam mahu hijrah kepada yang lebih baik, in Sha Allah .. Allah S.W.T akan bantu di sebalik ujian dan musibah yang diberikan untuk mengukuhkan lagi niat dan tujuan. Ingat Allah, dan Allah akan mempermudahkan.
Secara Peribadi
Sebagai seorang penulis blog (blogger), secara peribadi, memang niat saya di awal menulis blog mahu memberikan yang terbaik dan bermanfaat untuk pembaca blog saya. Walaupun blog saya tidaklah sehebat penulis blog yang bertaraf selebriti atau dikenali sebagai Online Influencer; namun ... saya mahukan sedikit sebanyak apa yang saya tulis di dalam blog dapat bantu orang lain.Tidak dinafikan, ketika saya menulis dan menerbitkan blog post atau artikel, ada perkara yang saya telah tulis secara berlebih-lebihan sehingga ada yang tidak senang dan marah kepada saya. Ada pula artikel yang saya tulis tidak sampai maksudnya sehingga ia disalah-ertikan sehingga timbulkan sengketa.
Setiap hari, saya cuba untuk sampaikan dalam cara paling baik untuk semua. Saya mohon maaf atas khilaf yang ada. Saya mohon maaf andai ada antara penulisan saya gagal memberikan apa-apa kebaikan kepada anda sebagai pembaca.
In Sha Allah, andai diberikan kesempatan, saya mahu perbaiki segala kelemahan, dan mahukan blog yang saya wujdukan sejak 2010 ini memberikan sesuatu yang boleh membantu untuk merubah kehidupan orang lain menjadi lebih baik, paling tidak mengelakkan orang lain daripada terjerumus ke arah kemudaratan atau membuat kesilapan yang pernah saya lakukan dalam hidup sebelum ini.
Sebagai penulis blog, tanggungjawab saya menasihati, tanggungjawab saya menyampaikan yang baik, tanggungjawab saya sebagai seorang yang beragama Islam yang mahu hijrah menjadi hamba Allah yang diredhai dan dirahmatiNYA.
Allah S.W.T berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 218:
Yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang beriman, dan orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang yang mengharap akan rahmat Allah. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Salam Tahun Baru 1439 Hijrah dan sama-sama berniat dan berdoa untuk menjadi yang lebih baik.
Artikel disesuaikan dengan teks khutbah Jumaat, Hikmah Hijrah oleh JAKIM.
salam maak hijrah HH... setuju tu niat yg betul, semoga penulisan kita membawa ke jalan yang benar! InsyaaAllah. terima kasih atas tips yg berguna...
ReplyDeleteYa, semoga apa yang kita tulis dan kongsikan boleh berikan manfaat terbaik kepada orang lain. Bukan sekadar cerita sensasi yang tak bawa apa2 kebaikan.
DeleteSalam Maal Hijrah buat HH sekeluarga. Semoga Allah sentiasa memberkati segalanya... aamiiin.
ReplyDeleteTerima kasih Khir .. :) salam maal hijrah juga untuk tuan Khir Khalid yang kacak.
Deletesalam maal hijrah
ReplyDeleteSalam Maal Hijrah
DeleteSalam Maal Hijrah Bro HH
ReplyDeletePost a Comment
Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.