In Sha Allah, di dalam post ini .. saya akan kongsikan beberapa tips tambahan untuk menempah bilik dan rumah penginapan di RPP ini. Saya juga akan kongsikan beberapa perkara penting yang akan bantu anda dalam proses membuat tempahan RPP ini.
Tips dan Perkara Perlu Tahu Sebelum Membuat Tempahan Online Rumah Peranginan Persekutuan (RPP)
Untuk makluman, di bawah seliaan Sistem Bersepadu Bahagian Pengurusan Hartanah (SBBPH), terdapat sebanyak 6 RPP Kategori Premier, 7 RPP Kategori Eksekutif dan 6 RPP Kategori Transit. Kesemua RPP ini boleh ditempah oleh kakitangan awam termasuklah pesara kerajaan berdasarkan gred gaji dan kategori jawatan.Tempahan untuk Rumah Peranginan Persekutuan termasuk Rumah Transit hanya boleh dilakukan secara online menerusi laman web SBBPH sahaja. Manakala, tempahan menerusi telefon telah dimansuhkan dan tempahan secara walk-in hanya dibenarkan seandainya terdapat kekosongan pada hari penginapan.
Ok, saya ringkaskan kepada anda supaya mudah untuk anda faham berkaitan proses tempahan RPP ini ye.
- Tempahan RPP hanya boleh dibuat secara online di laman web SBBPH Online. Tidak kiralah anda Jusa A ke Jusa B ke, pegawai pengurusan atasan ke, pegawai bawahan ke, pesara ke .. semua tempahan untuk penginapan di bawah SBBPB hanya boleh dibuat secara online.
- Tempahan online RPP adalah berdasarkan kelayakan dan gred. Ini bermakna bukan semua lokasi dan kategori RPP ini boleh ditempah. Misalnya untuk RPP kategori Premier, kebanyakkan lokasi RPP seperti RPP Premier Cameron Highlands dan RPP Premier Fraser Hill diberikan untuk Jusa dan gred 41 ke atas sahaja. Manakala untuk RPP kategori Eksekutif seperti di RPP Cameron Highlands dan RPP Fraser Hill ianya terbuka oleh semua gred. Anda boleh lihat pada senarai RPP yang saya berikan di akhir post ini.
- Kesemua RPP diuruskan oleh pihak SBBPH kecuali RPP Eksekutif Langkawi dan RPP Eksekutif Port Dickson yang dikendalikan oleh operator luar. Manakala tempahan penginapan RPP di United Kingdom diuruskan oleh pihak Jabatan Perdana Menteri.
- Tempahan RPP oleh pihak anggota badan berkanun boleh dipertimbangkan, tertakluk dengan kekosongan yang ada selain perlu memohon 7 hari lebih awal sebelum menginap.
- Pesara kerajaan juga boleh dan layak untuk memohon dan menempah penginapan di RPP. Kelayakan adalah diambil berdasarkan kepada gred jawatan terakhir sebelum persaraan. Walaubagaimanapun, waris atau balu tidak layak untuk memohon tempahan RPP ini.
- Setiap permohonan hanya layak 3 kali setahun sahaja. Ini bermakna anda boleh buat tempahan online RPP sebanyak 3 kali dalam setahun - tidak kira lokasi dan kategori RPP yang anda pohon. Untuk tarikh tempahan tahun 2018, boleh rujuk post ini - Tempahan Rumah Peranginan Persekutuan (RPP) tahun 2018. Jika nak lebih daripada itu, anda boleh cuba tetapi ia tertaluk kepada pertimbangan pihak pengurusan.
- Tempahan secara walk-in dibenarkan untuk RPP Eksekutif sahaja, itupun jika terdapat kekosongan. Pun begitu, untuk RPP Eksekutif di bawah kendalian operator dilantik, harga penginapan untuk walk-in adalah berdasarkan harga atau kadar semasa operator berkenaan.
- Boleh memohon untuk lanjutan penginapan di RPP, tetapi tertakluk dengan kekosongan.
- Pembayaran untuk tempahan RPP hanya boleh dilakukan menerusi dua cara, iaitu secara online (fpx) dari laman web SBBPH dan keduanya secara tunai di mana-mana kaunter pusat pembayaran Bahagian Pengurusan Hartanah. Resit perlu disimpan sebagai bukti bayaran dan juga untuk tuntutan wang pembatalan (jika perlu/ada).
- Bayaran penuh untuk semua tempahan online RPP perlu dilakukan dalam tempoh 7 hari daripada tarikh tempahan diluluskan. Tempahan dianggap batal jika pihak SBBPH tidak menerima sebarang bayaran penginapan dalam tempoh tersebut.
- Tempahan yang dibuat dalam tempoh kurang 7 hari dari tarikh menginap, bayaran perlu dijelaskan dalam masa 48 jam selepas kelulusan diterima.
- Untuk mereka yang menempah secara walk-in, bayaran perlu dijelaskan segera ketika mendaftar di kaunter RPP berkenaan. Peraturan ini juga terpakai kepada mereka yang mahu pelanjutan tempoh penginapan semasa.
- Setiap permohonan yang lulus akan dikenakan deposit sebanyak RM50. Wang ini akan dikembalikan dalam tempoh 30 hari selepas tarikh menginap dengan syarat tiada kerosakan atau kehilangan barangan atau peralatan dalam RPP yang diinap. Ia akan dimasukkan ke dalam akaun bank seperti dinyatakan dalam laman web tempahan SBBPH (bahagian profile).
- Jika anda tiba-tiba tidak dapat menginap di RPP pada tarikh tempahan, anda boleh memohon untuk membuat pulangan wang tempahan, dengan syarat pembatalan permohonan perlu dilakukan 14 hari sebelum tarikh menginap menerusi laman web SBBPH. Namun, untuk memperoleh wang tempahan dikembalikan, satu surat rasmi perlu diajukan kepada SBBPH dengan menyatakan sebab tempahan dibatalkan atau boleh hubungi hotline SBBPH.
- Bayaran balik wang tempahan anda cuma 50% daripada keseluruhan kadar sewa atau minima RM50 (mana lebih tinggi). Anda tidak akan dapat wang penuh untuk tempahan yang dibatalkan.. jadi fikir dahulu sebelum anda menempah.
- Bayaran balik wang tempahan tidak akan diberikan balik sekiranya:
- Pembatalan tempahan dibuat kurang daripada 14 hari dari tarikh menginap
- Pemohon kurangkan tempoh penginapan yang telah diluluskan kurang daripada 14 hari dari tarikh menginap
- Pemohon tidak hadir atau tidak daftar masuk ketika tarikh penginapan.
- Walaupun begitu, jika anda ada urusan rasmi pada tarikh tempahan/penginapan yang tidak boleh dielakkan, dan ianya berlaku kurang daripada 14 hari daripada tarikh menginap, anda boleh ajukan surat rasmi dengan menyertakan dokumen sokongan untuk membolehkan anda menerima kembali wang tempahan - 50% yang ditetapkan; dialamatkan dan diajukan kepada SBBPH.
- Had tempoh penginapan di RPP yang dibenarkan untuk semua gred jawatan adalah 7 hari untuk RPP dalam negara, dan 14 hari untuk RPP luar negara.
- Masa daftar masuk ke RPP ialah dari jam 2:00 petang sehingga 5:00 petang. Jika anda terpaksa lewat, sila maklumkan pada RPP berkenaan akan kelewatan anda. Waktu daftar keluar pula adalah pada jam 12:00 tghari.
- Bayaran ganti rugi akan dikenakan kepada mana-mana penginap di RPP sekiranya berlaku kehilangan dan kerosakan pada peralatan, perabot, dan apa juga kemudahan yang ada seandainya disebabkan oleh kecuaian atau kelalaian tetamu yang menginap.
- Mana-mana penginap yang didapati melakukan sebarang kesalahan serta kerosakan di RPP akan disenaraihitamkan. Laporan akan dihantar ke ketua jabatan masing-masing.
- Semua penginap adalah tertakluk pada peraturan di setiap RPP. Ada sesetengah RPP yang tidak membenarkan anda untuk memasak, manakala ada RPP yang menyediakan kemudahan untuk memasak. Jadi, sila ambil perhatian mengenai peraturan ini.
- Pemohon perlu hadir semasa tarikh menginap (check-in). Jika tidak boleh, pasangan pemohon dibenarkan untuk gantikan tempat pemohon dengan menyertakan dokumen sokongan.
- Jumlah penginap adalah tidak ditetapkan secara khusus kecuali pada sesetengah RPP yang dikendalikan operator luar. Contohnya RPP Cameron Highlands, secara daftarnya, boleh masuk sehingga 3 buah keluarga (3 parkir khas disediakan).
- Jika anda seorang penginap yang bagus dan mempunyai rekod yang baik, anda akan menerima cenderahati khas daripada pegawai yang menjaga RPP tersebut. Kami dah beberapa kali dapat cenderahati khas tau .. hehehe ... :)
Kenapa Ramai Kakitangan Awam Mahu Tempah RPP?
Mengapa ramai yang mahu menempah Rumah Peranginan Persekutuan (RPP) ini? Ini adalah kerana harganya yang sangat berpatutan dan sesuai untuk penginapan berfamili. Saya sendiri telah banyak kali merasai pengalaman menginap di kebanyakan RPP dalam negara. Semua RPP adalah selesa, dan ada di antaranya sangat luas sehingga boleh memuatkan lebih daripada 5 buah keluarga dalam satu-satu masa.Selain itu, ada kemudahan lengkap seperti meja makan, dapur, peti ais besar, sofa, tv satelit, wifi dan macam-macam lagi termasuklah ruang parkir persendirian (bergantung pada kategori dan lokasi RPP).
Harga Sewaan Penginapan di Rumah Peranginan Persekutuan (RPP)
Berikut adalah harga penginapan Rumah Peranginan Persekutuan (Premier):Berikut adalah harga penginapan Rumah Peranginan Persekutuan (Eksekutif):
Aha .. tengok harga diberikan tu memang best bukan? Ianya adalah khas untuk tempahan bagi kakitangan kerajaan, termasuk pesara. Jika anda mahupun pasangan anda ada kelayakan seperti dinyatakan, boleh cuba untuk memohon dan buat tempahan online RPP ini. Ada banyak lokasi boleh anda pilih, dan ada banyak kategori bilik termasuklah banglo penginapan.
Alhamdulillah, saya dan famili pernah beberapa kali membuat permohonan dan tempahan diluluskan, ini termasuklah membuat tempahan secara walk-in. Untuk beberapa tips daripada saya tentang bagaimana nak mendapat tempahan ini, boleh baca sini - Tips Untuk Dapatkan Tempahan Rumah Peranginan Persekutuan (RPP)
Untuk tahun 2018, anda sudah boleh mula membuat tempahan online bermula dari 1 November 2017. Anda kena rujuk jadual penempahan supaya dapat tarikh yang tepat untuk boleh membuat tempahan. Jadual di bawah adalah untuk anda rujuk ye ..
Jika anda tak kesampaian atau tidak dapat tempah secara online RPP ni, janganlah kecewa ... anda boleh je dapatkan tawaran penginapan menarik yang lain .. seperti daripada Agoda dan juga Traveloka, termasuk juga Trivago.
Post a Comment
Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.