Baru-baru ini, semasa cuti Deepavali yang juga jatuh dalam cuti penggal persekolahan, saya dan isteri telah ambil keputusan untuk ke KL dan Putrajaya. Kalau ikut planning, memang macam-macam tempat saya dan isteri nak bawa anak-anak berjalan, tetapi .. hmm tak sangka pula Wetlands Putrajaya menjadi salah satu destinasi percutian kami.
Kisah Pertama Kali ke Wetlands Putrajaya
Wetlands Putrajaya ni ... kalau ikutkan tak ada pun dalam agenda percutian kami. Tujuan sebenar bercuti ke KL dan Putrajaya, adalah sebab nak bawa anak-anak masuk Pusat Sains Negara (PSN), dan juga Farm in The City Seri Kembangan. PSN ni dah lama sangat anak-anak mengidam nak masuk, jadi ... ia jadi keutamaan. Alhamdulillah, tercapai juga hasrat apabila PSN dibuka kembali tanpa dikenakan sebarang bayaran.Kemudian, cita-citanya nak la ke Farm in The City, tetapi selepas dapat tahu harga tiket yang kami tak mampu nak tanggung, jadi .. saya dan isteri ambil keputusan untuk lengahkan ia di satu masa akan datang.
Maka, sebagai alternatifnya .... saya dan isteri bawalah anak-anak ke Wetlands Putrajaya.
[Dah Baca?] Layan Orkid Cantik Sempena Royal Floria PutrajayaBeberapa kali ke Putrajaya, sudah banyak kali juga lalu Wetlands ni, tapi tak pernah pun kami nak singgah. Mungkin tak nampak menarik sangat kot dari luar .. haha. Dan mungkin sebab kami tak pasti apakah tarikan yang membolehkan untuk saya dan keluarga untuk ke sana.
Tetapi, kali ini agak berbeza.
Tertarik Nak Ke Wetlands Sebab Viral di FB
Ada sesuatu yang menjadi viral di laman sosial mengenai Taman Wetlands Putrajaya ni. Jadi, atas sebab itu ... isteri saya berjaya menyakinkan kami untuk ke Wetlands. Kami nak alami sendiri, kami nak merasa pertama kali ke Wetlands Putrajaya, nak ada pengalaman berada di situ... supaya tahulah macamana rupanya tu .. huhu .. sama juga alasannya semasa nak pergi ke PSN, yang awalnya mendapat banyak komen negatif dari pengunjung setelah lebih 2 tahun berada dalam fasa naik-taraf.Lokasi Wetlands ini tidaklah sesukar mana nak dicari. Apabila dah masuk ke Putrajaya, hanya ikut sahaja papan tanda jalan yang banyak menunjukkan hala ke Taman Wetlands Putrajaya ini. Boleh katakan ia mudah didapati di mana-mana bahagian Putrajaya. :)
Pun begitu, dua kali juga saya terlepas simpang untuk ke Wetlands Putrajaya ni...kah kah. Bila terlepas je, hadap je la komen-komen dari anak-anak yang kononnya mereka lebih tahu daripada saya (memang pun).
Unik & Luasnya Taman Wetlands Putrajaya
Sampai sahaja ke destinasi, rupanya taman ini teramat luas. Ia meliputi seluas 335 hektar dengan persekitaran lembab terdiri dari taman itu sendiri serta kawasan tanah lembap sebahagian darinya seluas 197.2 hektar.Mungkin ramai yang tak tahu, antara keunikkan Wetlands ialah ianya terdiri dari 24 kawasan tanah lembap yang dibina di sepanjang lengan Sungai Chua dan Sungai Bisa. Terdapat 32 spesies buah-buahan nadir, 32 spesies pokok hutan, 48 spesies tanaman hutan dan 45 jenis tanaman renek yang di tanam di Taman Wetland yang akhirnya membentuk satu ekosistem tersendiri, apatah lagi kemudiannya ditambah dengan 24 spesies ikan bagi meningkatkan kepelbagaian biologi di sini.
Kalau anda nak tahu, taman buatan manusia ini juga turut mempunyai sembilan keluarga daripada 12 spesies mamalia, 10 keluarga herpetofauna daripada 11 spesies, 15 spesies serangga, 17 spesies ikan dan 39 keluarga daripada 108 spesies burung. Ini menjadikan Taman Wetlands sebagai taman biologi buatan manusia yang pertama di Malaysia, serta menjadi salah satu yang terbesar di kawasan tropika.
Di dalam taman ini, ada satu tempat di mana anda boleh mendapatkan segala maklumat berkaitan Taman Wetlands ini dengan lebih baik, aha .. di sinilah tempat saya, isteri dan anak-anak termasuk emak saya menghabiskan masa di Taman Wetlands Putrajaya. Ianya adalah sebuah bangunan tiga tingkat dinamakan Pusat Penghayatan Alam atau Nature Interpretation Centre (NIC)
Maklumat serta info berkaitan Taman Wetlands, dari segi pembangunan dan kewujudannya, diversiti kehidupan yang ada, serta keunikan tanah lembap diceritakan dalam bentuk visual dan pameran di bawah satu bumbung di NIC ini.
Ada tayangan video berkaitan Wetlands, serta beberapa sudut interaktif visual yang menyeronokkan buat kanak-kanak. Dari sini juga anda boleh lihat pemandangan yang mendamaikan yang sememangnya anda tidak jangka ianya adalah hasil buatan manusia, dan terletak pula dalam sebuah bandaraya.
[Dah Baca?] Anak-Anak Berpeluang Belajar dan Main Inline Skate di Festival Belia PutrajayaSelain mendapat info daripada Taman Wetlands juga boleh anda jelajahi menerusi kereta persendirian dan juga tramp khas yang disediakan kepada pengunjung. Kemudahan basikal untuk disewa juga disediakan di sini.
Nak Pergi Ke Wetlands?
Taman Wetland dibuka setiap hari, hujung minggu dan cuti umum mulai dari 7.00 pagi – 7.00 petang untuk aktiviti seperti berjoging. Operasi, tempahan dan sewaan fasiliti akan ditutup pada setiap hari Isnin untuk hari penyelenggaraan tetapi taman masih dibuka kepada pengunjung untuk aktiviti santai.Perkhidmatan operasi, tempahan dan sewaan fasiliti boleh dibuat setiap hari dari jam 9.00 pagi – 6.00 ptg semasa waktu operasi pejabat taman (kecuali hari isnin). Manakala, Nature Interpretation Centre (NIC) dibuka dari jam 9.00 pagi – 5.30 ptg setiap hari (kecuali hari Isnin).
Operasi, aktiviti dan program pendidikan di taman ini adalah seliaan Bahagian Interpretif Dan Pendidikan Taman, Jabatan Landskap Dan Taman, Perbadanan Putrajaya.
Jika anda ada kesempatan, bolehlah bawa anak-anak pelajari sesuatu di sini. Paling tidak, mereka tahu apa itu tanah lembap, tanah pamah dan tanah paya, yang sebenarnya banyak terdapat di Malaysia.
Dan mungkin ia boleh menjadi salah satu tempat untuk anda berhujung minggu dan berpiknik sambil menikmati keindahan alam semulajadi yang semakin susah sekarang untuk anak-anak nikmati. :)
tak silap wetland ni juga berfungsi utk keseimbangan biologi bagi saliran semulajadi sekitar putrajaya. memang 'design to nature' putrajaya menarik!
ReplyDeletePost a Comment
Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.