Menerusi artikel ini, saya ingin kongsikan sedikit info berkaitan cap dagangan yang harus anda tahu. Ia penting jika anda mahu karya, identiti, hasil kreatif, dan apa jua milik anda yang berbentuk Cap Dagangan ini dilindungi menerusi akta-akta sedia ada di bawah MyIPO. Mahu Cap Dagangan anda dilindungi, maka perlu daftar dengan MyIPO.
Pentingkah Daftar Cap Dagang (Trademark) Menerusi MyIPO?
Anda perlu tahu apakah itu Cap Dagangan atau Trademark. Cap Dagangan ialah sesuatu yang boleh membezakannya barangan atau perkhidmatan yang dikeluarkan oleh pihak-pihak lain. Cap Dagangan boleh sebagai perkataan, logo, gambar, nama, huruf, nombor atau kombinasi tersebut. Secara amnya, bila anda lihat satu-satu Cap Dagangan atau Trademark ini, secara tak langsung anda dah kenal atau boleh mengaitkannya satu-satu keluaran mahupun produk dengan usahawan, peniaga atau syarikat tertentu.Walaupun Cap Dagangan ini boleh dalam pelbagai bentuk, namun terdapat beberapa larangan khusus mengenainya, iaitu:
- Ianya tidak boleh dalam bentuk yang boleh memperdayakan atau mengelirukan orang ramai.
- Ianya mestilah tidak berlawanan dengan undang-undang sesebuah negara.
- Ia bukan berbentuk skandal atau yang boleh menyinggung samada kepada sesuatu kaum atau bangsa, sesuatu komuniti, sesuatu negara, sesuatu adat resam, atau kepada agama dan budaya.
- Ia tidak boleh dalam bentuk yang boleh memudaratkan terhadap kepentingan atau keselamatan negara.
Jika Cap Dagangan itu ada terkandung larangan di atas, maka ia tidak boleh dan tidak layak untuk didaftarkan menerusi MyIPO.
Fungsi Cap Dagangan (Trademark)
Mengapa Cap Dagangan ini penting? Ok mari lihat kepada apa fungsi-fungsinya. Ada lima fungsi pada sesuatu Cap Dagangan itu, iaitu:- Fungsi Asal – Cap Dagangan ialah ia dapat menunjukkan sumber yang bertanggungjawab mengeluar atau menjual sesuatu barangan atau perkhidmatan.
- Fungsi Pemilihan – Cap Dagangan memudah dan mempercepatkan pengguna membuat pilihan semasa membeli sesuatu barangan atau perkhidmatan.
- Fungsi Kualiti – Pengguna memilih cap-cap tertentu kerana berkeyakinan barang barang atau perkhidmatan berkenaan terjamin kualitinya.
- Fungsi Pemasaran – Peranan cap dagangan selaku alat pengiklanan sangat berkesan. Menjadi kebiasaan pengguna membeli sesuatu keluaran kerana terpengaruh dengan iklan yang berterusan.
- Fungsi Ekonomi – Cap-cap yang telah ‘established’ di pasaran menjadi aset yang sangat bernilai. Cap tersebut boleh dilesenkan atau di ‘franchise’kan.
Sekarang anda dah tahu fungsi Cap Dagangan ini. Penting kan? Apatah lagi untuk mereka yang berniaga, yang ada produk khusus dan yang mahu dikenali dengan kualiti dan kredibiliti. Cap Dagangan adalah sesuatu yang sangat berharga, apatah lagi apabila ia telah mula dikenali para pengguna dan orang ramai.
Cap Dagangan boleh pengaruhi orang untuk membuat keputusan membeli!
Contoh mudahlah, katakan anda nak beli periuk nasi elektrik, anda nak beli dari jenama Periuk Best atau Panasonic? Atau samada nak beli dari jenama Tronton atau Nokia? Tentulah jika nak beli periuk nasi elektrik, anda akan pilih jenama Panasonic kerana anda telah tahu trademark Panasonic mengeluarkan dan hasilkan produk elektrik berkualiti tinggi. Anda tentu tak akan beli dari Tronton atau Nokia, apatah lagi dari Periuk Best. Betul?
Tapi, kalau anda ada Cap Dagangan atau Trademark yang bagus dan sudah dikenali .. andai tidak didaftarkan, ia pasti merugikan. Kerana apa? Sebab tanpa mendaftar Cap Dagangan anda, maka orang lain boleh dengan sewenang-wenangnya gunakan tanpa rasa bersalah.
Andaikan Shell atau Petronas, yang dikenali sebagai pengeluar produk berkaitan petrol atau minyak - tidak daftarkan Cap Dagangan mereka, pasti nanti akan ada orang yang gunakan untuk letak logo dan nama tersebut pada botol minyak urut mereka. Aha .. minyak urut dari syarikat pengeluar minyak tersohor di dunia, siapa yang tak mahu beli .. ye tak? Haha.
Contoh Cap Dagangan atau Trademark
Rasanya sekarang anda dah tahu apa itu Cap Dagangan kan? Saya berikan beberapa contoh Cap Dagangan atau Trademark. Jika anda sedar, semua Cap Dagangan ini rekaannya sama je kat mana-mana anda nampak, tak ada perubahan samada dari segi bentuk, corak mahupun warna.Andai sesiapa yang tidak berhak menggunakan Cap Dagangan seperti contoh di atas, apatah lagi dengan tujuan untuk kaut keuntungan dan manfaat, maka ia menjadi satu kesalahan mengikut undang-undang seperti apa yang dinyatakan menerusi MyIPO.
Keistimewaan Daftar Cap Dagangan
Itu keistimewaan mendaftar Cap Dagangan. Ia sebenarnya memberikan keistimewaan-keistimewaan berikut:- Hak Eksklusif – Pemilik cap dagangan berdaftar mendapat hak ekslusif untuk menggunakan cap dagangan berkenaan dalam urusan/perjalanan perdagangan. Pemilik cap dagangan juga berhak mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa yang mungkin menggunakannya tanpa kebenaran
- Bukti sah undang-undang – Sijil pendaftaran yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftar menjadi bukti sebagai pemilik yang sah ke atas sesuatu cap dagangan. Bukti ini diterima di mahkamah dan juga pihak penguatkuasaan. Ia juga merupakan dokumen penting untuk membuktikan ‘kesahan’ hak milik cap dagangan dalam urusan pengeksportan barangan ke luar negeri.
Sekali Cap Dagangan milik anda telah didaftarkan dengan MyIPO, ianya akan kekal sah selama 10 tahun. Ini bermakna, setiap 10 tahun .. seandainya mahu terus menggunakan Cap Dagangan yang serupa maka perlu diperbaharui.
Mari tonton video di bawah, lihat apa jadi jika 'kepunyaan' anda tidak daftarkan dengan MyIPO.
Moga informasi berkaitan Cap Dagangan ini sedikit sebanyak beri kefahamaan kepada anda. Manfaatkan bersama, sila kongsikan dengan rakan-rakan anda yang lain supaya tak adalah nanti jadi seperti si Kamal Adi dalam video di atas.
Untuk anda yang mahu mengetahui lebih lanjut mengenai MyIPO, boleh layari laman rasminya di http://www.myipo.gov.my dan juga facebook rasmi di https://www.facebook.com/ipmalaysia
Berita dan perkembangan terkini mengenai MyIPO juga boleh diperoleh menerusi instagram di https://www.instagram.com/myipo serta Twitter - https://twitter.com/myipo
#MyIPO #MyIPO15 #TradeMark #Copyright #Patent #GeographicalIndications #IntellectualProperty #IP #HartaIntelek #HakCipta #myipoctss
[post_ads_2]
Post a Comment
Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.