Berikutan perlantikan Sultan Nazrin itu, maka jawatan Raja Bergelar di negeri Perak telah dirombak. Ini termasuklah jawatan Raja Muda Perak, yang sebelum ini dipegang oleh Sultan Nazrin. Jawatan Raja Muda Perak yang dikosongkan itu telah diisi oleh Raja Muda Ja’afar ibni Almarhum Raja Muda Musa.
Kenali Raja Muda Ja’afar ibni Almarhum Raja Muda Musa
Siapakah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Ja’afar ibni Almarhum Raja Muda Musa ini? Mungkin ramai rakyat Perak yang mahu tahu akan asal-usul Raja Muda Perak ini yang pada hemat ramai rakyat jelata sebagai seorang yang sangat peramah dan mesra kepada rakyat.Baru-baru ini, saya telah berkesempatan untuk berjumpa dan bertemu dengan baginda Raja Muda Perak dalam satu majlis walimatul-urus yang diadakan di Parit Buntar, Perak. Baginda memang nampak sangat mesra dengan rakyat, malah menurut isteri saya ... baginda Raja Muda Perak seorang yang tidak berapa suka akan protokol. Baginda lebih senang diberikan kebebasan untuk bertemu dan bermesra dengan orang sekeliling.
[post_ads]
Adik saya pernah menjadi antara jurupandu (escort) untuk baginda Raja Muda Perak. Kata adik saya, baginda Raja Muda Perak sangat suka bersembang dengan orang bawahan, malah pernah 'lepak' semeja menjamu teh tarik di bawah pokok bersama anggota jurupandu baginda yang terdiri daripada polis trafik Kuala Lumpur.
Biografi Ringkas Raja Muda Ja’afar
Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Ja’afar ibni Almarhum Raja Muda Musa diputerakan pada 26 September 1941 di Hospital Taiping, Perak. Baginda merupakan putera kepada Raja Muda Perak di ketika itu iaitu Raja Dato’ Musa ibni Almarhum Sultan Abdulaziz dan Cik Puan Mariam binti Encik Abdullah.Raja Ja'afar juga merupakan cucunda kepada Sultan Perak Darul Ridzuan yang ke 31.
Baginda memperoleh pendidikan awal di Anderson School, Ipoh dan kemudian di Anglo-Chinese School (ACS), Teluk Anson (sekarang dikenali Teluk Intan) sebelum menyambung pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang pentadbiran awam di Universiti Malaya. Baginda kemudiannya menyambung pengajian dalam peringkat seterusnya sehingga memperoleh ijazah sarjana dalam bidang yang sama di Universiti Cornell University, Amerika Syarikat pada tahun 1975.
Hebat bukan? Nyata sekali baginda Raja Muda Perak mempunyai latar pendidikan yang baik.
Sejarah Perjawatan Dalam Kerajaan
Setelah tamat pengajian, baginda menyertai perkhidmatan awam Malaysia. Baginda menyertai Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak pada 1966 dan kemudian berkhidmat di Pejabat Tanah Daerah dari tahun 1966 sehingga tahun 1971. Manakala, dari tahun 1976 sehingga 1979, baginda merupakan perunding pengurusan di Pejabat Perdana Menteri.Khidmat baginda dalam perkhidmatan awam tidak terhenti begitu sahaja. Dari tahun 1979 sehingga 1984 baginda memberi khidmat pula di Kementerian Pendidikan di Bahagian Pengajian Tinggi. Setelah itu, baginda menjawat jawatan sebagai Setiausaha Jawatankuasa Pelaburan Asing di Unit Perancangan Ekonomi.
Selain itu, baginda Raja Muda Ja’afar juga turut pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Setiausaha Agung Pembangunan dan Kewangan di Kementerian Pertahanan sebelum akhirnya bersara dari perkhidmatan kerajaan pada tahun 1996.
Perkahwinan dan Anak
Raja Muda Ja'afar diberikan gelaran Raja Kechil Tengah pada 3 Februari 1984 oleh Almarhum Sultan Azlan Shah. Kemudiannya dinaikkan jawatan menjadi Raja Kechil Sulong pada tahun 1998 dan Raja DiHilir pada 10 Mac 1998. Baginda menjadi Raja DiHilir selama 16 tahun sebelum dinaikkan ke Raja Muda Perak apabila Sultan Nazrin menaiki takhta kerajaan negeri Perak Darul Ridzuan.[post_ads_2]
Baginda memperisterikan Duli Yang Teramat Mulia Raja Nor Mahani binti Almarhum Raja Shahar Shah (18 Oktober 1942 - 3 Oktober 2017) selaku Raja Puan Besar Perak dan dikurniakan 2 orang cahaya mata, iaitu seorang putera dan seorang puteri. Putera dan puteri Raja Muda Perak ialah YM Raja Shah Azman dan YM Raja Nor Azwina.
Kemudian, untuk kali keduanya baginda mendirikan rumah tangga dengan Cik Puan Hasliza Ishak namun Cik Puan Hasliza telah meninggal dunia.
Raja Muda Ja’afar sering berangkat ke majlis-majlis bersama dengan rakyat. Itu sebabnya baginda mudah diketemui rakyat, seperti majlis kenduri kahwin dan beberapa event lain. Tanpa protokol berat, baginda tak lokek untuk bersembang, bertanya khabar dan bercerita hal-hal rakyat biasa.
Baginda merupakan seorang yang sangat gemarkan sejarah negeri Perak dan baginda sukakan sukan seperti golf, muzik, dan kapal terbang kawalan. Baginda merupakan Komander Kehormat Tentera Laut DiRaja Malaysia dan merupakan Presiden Pemilik Kereta Sport Mini serta Penaung DiRaja Kelab Golf Perak.
[Dah Baca?] Waris Sebenar Kesultanan Melayu Negeri Perak
Gelaran Diraja
Gelaran penuh baginda ialah Duli yang Teramat Mulia Raja Ja’afar ibni Almarhum Raja Muda Musa, Raja Muda Perak Darul Ridzuan, D.K, S.P.C.M, J.S.M.Gelaran lain sebelum ini:
- 26 September 1941 - 3 Februari 1984 : Yang Mulia Raja Ja'afar Ibni Almarhum Raja Muda Musa
- 3 Februari 1984 - 19 April 1988 : Yang Teramat Mulia Raja Kechil Tengah Perak Darul Ridzuan Dato' Seri Ja'afar Ibni Almarhum Raja Muda Musa
- 19 April 1988 - 10 Mac 1998 : Yang Teramat Mulia Raja Kechil Sulung Perak Darul Ridzuan Raja Ja'afar Ibni Almarhum Raja Muda Musa
- 10 Mac 1998 - 20 Jun 2014 : Duli Yang Amat Mulia Raja Di-Hilir Perak Darul Ridzuan Raja Dato' Seri Ja'afar Ibni Almarhum Raja Muda Musa
- 20 Jun 2014 - Kini : Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan Raja Dato' Seri Ja'afar Ibni Almarhum Raja Muda Musa
Moga dengan sedikit perkongsian ini, dapatlah warga negeri Perak mengenali siapa di Raja Muda Perak, Raja Ja'afar.
Sumber: Wikipidea, OrangPerak.com
Nice sharing
ReplyDeletePost a Comment
Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.