Jika selama ini ramai yang ingat duit KWSP hanya boleh dikeluarkan ketika memasuki usia 50an, perbetulkan persepsi ini. Jika buat masa ini, anda masih lagi dengan persepsi tersebut, maka anda perlu baca fakta hangat dan info yang saya kongsikan ini.
17 Jenis Pengeluaran KWSP Sebelum Bersara Patut Diketahui
Saya sendiri pun sejujurnya baru tahu bahawa terdapat 17 jenis pengeluaran dari KWSP yang boleh dilakukan sebelum umur bersara. Al maklumlah, dah lama saya tinggalkan zaman pekerjaan ni, jadi ia jadi alasan kenapa saya kurang tahu serba-serbi kemudahan yang diberikan oleh KWSP ni.Ya, memang ada 17 jenis pengeluaran KWSP yang boleh dikeluarkan awal tanpa perlu menunggu umur persaraan. Selama ini, saya dan pastinya ramai lagi yang cuma tahu .. kalau nak keluarkan wang dari KWSP, hanya bila dah capai umur bersara dari kerja rasmi.
Sebenarnya, simpanan dalam KWSP boleh dikeluarkan sebelum dan selepas mencapai umur persaraan. Pengeluaran ini adalah untuk membantu penyimpan membuat persediaan sebelum dan semasa persaraan.
Jadi bagi yang mempunyai simpanan di KWSP dan berhasrat nak keluarkan pengeluarkan tersebut untuk tujuan tertentu, cuba semak jenis-jenis pengeluaran KWSP ini dan cara-cara untuk membuat pengeluaran tersebut di bawah. Baca dengan teliti ye ...
1. Pengeluaran Umur 50 Tahun
Ada 2 jenis pengeluaran untuk pengeluaran had umur 50 tahun yang perlu anda tahu, iaitu:- Pengeluaran Penuh Akaun 2
- Pengeluaran Sebahagian Akaun 2
Cara Pengeluaran
- Bawa MyKad bagi warganegara Malaysia atau isi Borang Permohonan KWSP 9B (AHL)
- Pembayaran akan dibuat secara Pengkreditan Terus ke akaun bank ahli.
2. Pengeluaran Umur 55 Tahun
Ada 4 jenis pengeluaran KWSP yang boleh dibuat untuk jenis pengeluaran ini, iaitu:- Kesemua jumlah simpanan dalam KWSP
- Sebahagian simpanan; amaun minimum ialah RM 2,000.00 dan setiap 30 hari dari tarikh permohonan pengeluaran terdahulu.
- Bayaran bulanan; pengeluaran minimum RM 3,000.00 iaitu RM 250.00 sebulan untuk sekurang-kurangnya 12 bulan.
- Kombinasi sebahagian simpanan serta bayaran bulanan.
Cara Pengeluaran
- Bawa MyKad bagi warganegara Malaysia atau isi Borang Permohonan KWSP 9B (AHL).
- Pembayaran dilakukan secara Pengkreditan Terus ke akaun bank ahli.
3. Pengeluaran Umur 60 Tahun
Ada 4 jenis pengeluaran untuk jenis pengeluaran umur 60 tahun ini, iaitu:- Kesemua wang simpanan dalam KWSP.
- Sebahagian dari simpanan; amaun minimum ialah RM 2,000.00 dan setiap 30 hari dari tarikh permohonan pengeluaran terdahulu.
- Bayaran bulanan; pengeluaran minimum ialah RM 3,000.00 iaitu RM 250.00 sebulan untuk sekurang-kurangnya 12 bulan.
- Kombinasi sebahagian simpanan serta bayaran bulanan.
Cara Pengeluaran
- Bawa MyKad bagi warganegara Malaysia atau isi Borang Permohonan KWSP 9B (AHL).
- Pembayaran akan dilakuan secara Pengkreditan Terus ke akaun bank ahli.
4. Pengeluaran Mengurang/Menyelesaikan Baki Pinjaman Perumahan
Cara Pengeluaran
- Bawa MyKad bagi warganegara Malaysia atau isi Borang Permohonan KWSP 9C (AHL).
- Bawa Penyata Baki Pinjaman Perumahan mengikut format yang ditetapkan oleh KWSP atau Penyata Baki Pinjaman Perumahan Dari Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).
- Tarikh penyata baki tidak melebihi 3 bulan dari tarikh permohonan diterima
- Surat Nikah atau Sijil Perkahwinan atau Sijil Kelahiran Anak untuk Permohonan Membantu Pasangan menyelesaikan baki pinjaman perumahan.
- Pembayaran akan dilakukan secara Pengkreditan Terus ke akaun bank ahli.
5. Pengeluaran Hilang Upaya
Pengeluaran ini membolehkan ahli mengeluarkan semua simpanan KWSP sekiranya ahli tidak berupaya dari segi fizikal atau mental atau kehilangan keupayaan fungsi kekal untuk memperolehi pekerjaan (employability).Pengeluaran ini adalah untuk membantu kehidupan ahli yang sudah kehilangan punca pendapatan dan juga untuk membantu dari segi kos perubatan dan rawatan, selain mengurangkan beban kewangan perbelanjaan harian.
Cara Pengeluaran
- Bawa MyKad bagi Warganegara Malaysia dan isi Borang Permohonan KWSP 9L (AHL)
- Bawa Laporan Perubatan Asal dari institusi perubatan pakar atau bukan pakar samada dari hospital/klinik kerajaan atau hospital/klinik swasta.
- Bawa Surat Berhenti Kerja daripada majikan (jika ada) bagi ahli yang berhenti kerja dalam tempoh setahun dari tarikh permohonan disebabkan oleh kehilangan upaya.
- Pembayaran akan dilakuan secara Pengkreditan Terus ke akaun bank ahli.
6. Pengeluaran Meninggalkan Negara
Satu lagi jenis pengeluaran KWSP untuk ahli yang mahu membuat pengeluaran wang daripada akaun simpanan KWSP. Pengeluaran ini boleh dipohon oleh:- Warganegara Malaysia yang telah melepaskan atau melucutkan taraf kewarganegaraan untuk berhijrah ke negara lain atau
- bukan warganegara Malaysia yang telah berhenti kerja dan akan meninggalkan Malaysia.
Cara Pengeluaran
- Bawa Passport, Permit Kerja, Bukti Penamatan Kerja ke mana-mana kaunter cawangan KWSP berdekatan.
- Isi Borang Permohonan KWSP 9K (AHL)
- Pembayaran akan dibuat secara Pengkreditan Terus ke akaun bank ahli.
7. Pengeluaran Pendidikan
Pengeluaran ini membolehkan ahli mengeluarkan wang simpanan dalam akaun 2 untuk membiayai yuran pengajian ahli/anak ahli (termasuk anak tiri dan anak angkat) di IPT samada di dalam atau di luar negara.Ia merupakan satu bentuk atau jenis pengeluaran yang bertujuan meringankan bebanan kewangan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Ia boleh dikeluarkan samada ahli atau anak ahli menerima bantuan kewangan atau biasiswa dari agensi lain.
Cara Pengeluaran
- Bawa MyKad bagi mereka yang merupakan warganegara Malaysia dan kemudian isi Borang Permohonan KWSP 9H (AHL).
- Bawa Laporan Perubatan Asal dari mana-mana hospital/klinik kerajaan atau mana-mana hospital/klinik swasta.
- Bawa Surat Tawaran Belajar
- Bawa Surat Pengesahan Pendaftaran Pelajar yang asal
- Bawa Surat Kelulusan Pengiktirafan Kursus Pengajian
- Bawa Salinan Keputusan Peperiksaan Terkini (pelajar IPTA dikecualikan)
- Bawa Borang Temuduga sekiranya ada
- Bawa bukti kelayakan mengikuti pengajian yang dipohon/disahkan.
- Bagi pengeluaran pendidikan anak ahli – sila bawa kad pengenalan anak ahli serta dokumen bukti pertalian, contohnya surat beranak atau sijil perkahwinan (bagi ibu/bapa tiri)
- Pembayaran akan dilakukan secara Pengkreditan Terus ke akaun bank ahli.
8. Pengeluaran Pekerja Berpencen Dan Pengeluaran Pesara Pilihan
Cara Pengeluaran
- Bawa MyKad bagi warganegara Malaysia dan isi Borang Permohonan KWSP 9N (AHL)
- Bawa Lampiran A iaitu Notis Akuan Pelepasan Caruman Kerajaan Berhubung Dengan Pengeluaran Pekerja Berpencen
- Bawa bukti Pengesahan Taraf Pesara
- Pembayaran akan dilakukan secara Pengkreditan Terus ke akaun bank ahli.
9. Skim Pelaburan Ahli
Skim ini membolehkan ahli memindahkan sebahagian simpanan Akaun 1 untuk membuat pelaburan bagi menambah dan meningkatkan simpanan persaraan untuk menyara kehidupan semasa persaraan.Ahli boleh melaburkan simpanan tidak melebihi 30% daripada jumlah yang melebihi Simpanan Asas dalam Akaun 1 melalui Institusi Pengurusan Dana (IPD) yang dilantik. Senarai IPD ini boleh dirujuk menerusi pautan berikut Di Sini.
Cara Pengeluaran
- Gunakan dan isi Borang Permohonan KWSP 9N (AHL)
- Borang KWSP 9N (AHL) boleh diperolehi daripada IPD yang dipilih oleh ahli untuk tujuan pelaburan.
- Kad Pengenalan Diri
- MyKad/Kad Pengenalan Tentera/Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR); atau
- Kad Pengenalan Polis dan Surat Pengesahan Majikan menyatakan nombor Polis dan nombor Kad Pengenalan Diri merujuk kepada orang yang sama (jika tidak memiliki MyKad/ Kad Pengenalan Polis yang tidak tertera no. Kad Pengenalan Diri); atau
- Pasport; sekiranya ahli bukan warganegara Malaysia yang menjadi ahli KWSP sebelum 1 Ogos 1998.
10. Pengeluaran Membina/Membeli Rumah
Pengeluaran ini membolehkan ahli mengeluarkan simpanan Akaun 2 untuk membiayai pembelian sebuah rumah. Ini membolehkan ahli memiliki sekurang-kurangnya sebuah rumah sebagai tempat perlindungan apabila bersara.Cara Pengeluaran
- Bawa MyKad bagi warganegara Malaysia dan isi Borang Permohonan KWSP 9C (AHL)
- Bawa Surat Perjanjian Jual Beli dengan syarat tarikh perjanjian tidak melebihi 3 tahun dari tarikh permohonan.
- Bawa Surat Kelulusan Pinjaman Perumahan sekiranya kelulusan pinjaman kurang daripada setahun.
- Bawa Surat Perjanjian Bina Rumah dengan syarat tarikh perjanjian tidak melebihi 3 tahun dari tarikh permohonan dibuat.
- Bawa Suratan Hakmilik Tanah atas nama penjual/pemilik tanah
- Pembayaran akan dibuat secara Pengkreditan Terus ke akaun bank ahli.
11. Pengeluaran Simpanan Melebihi RM 1 Juta
Pilihan kepada ahli yang mempunyai simpanan melebihi RM1.05 juta, ahli boleh mengeluarkan lebihan simpanan berkenaan untuk diuruskan sendiri.Cara Pengeluaran
- Bawa MyKad bagi warganegara Malaysia atau isi Borang Permohonan KWSP 9B (AHL)
- Pembayaran akan dibuat secara Pengkreditan Terus ke akaun bank ahli.
12. Pengeluaran Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan
Pengeluaran simpanan Akaun 2 untuk membiayai ansuran bulanan pinjaman perumahan bagi tujuan pembelian atau pembinaan rumah.Cara Pengeluaran
- Bawa MyKad bagi warganegara Malaysia dan isi Borang Permohonan KWSP 9P (AHL)
- Bawa Penyata Baki Pinjaman Perumahan mengikut format yang ditetapkan oleh KWSP atau Penyata Baki Pinjaman Perumahan Dari Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA)
- Tarikh penyata baki mestilah tidak melebihi 3 bulan dari tarikh permohonan diterima
- Pembayaran pengeluaran wang KWSP adalah secara Pengkreditan Terus ke akaun bank ahli
13. Pengeluaran Kematian
Pengeluaran penuh akaun ahli oleh penama/wasi/pentadbir pusaka/waris terdekat ahli apabila berlaku kematian ke atas ahli KWSP.Cara Pengeluaran
- Bawa Sijil Kematian Ahli ke mana-mana kaunter cawangan KWSP berdekatan.
- Bawa Kad Pengenalan Diri Pemohon dan isi Borang Permohonan KWSP 9KM (AHL)
- Pembayaran akan dibuat secara Pengkreditan Terus ke akaun bank ahli
14. Pengeluaran Perumahan Fleksibel
Pengeluaran Perumahan Fleksibel adalah proses menghadang atau mengenepikan sebahagian simpanan dalam Akaun 2 ahli ke Akaun Pengeluaran Perumahan Fleksibel bagi membolehkan ahli mendapatkan pinjaman perumahan yang lebih tinggi untuk membeli atau membina rumah.Berdasarkan konsep ini, caruman bulanan kepada KWSP dianggap sebagai pendapatan. Dengan ini, ahli boleh mendapat jumlah pinjaman yang lebih tinggi kerana penilaian kredit (credit assessment) ke atas pendapatan bersih turut mengambilkira caruman KWSP (bahagian pekerja dan majikan).
Jenis pengeluaran ini pasti akan mengurangkan lagi bebanan, maklumat lanjut mengenai jenis pengeluaran ini Di Sini:
15. Pengeluaran Kesihatan
Pengeluaran ini membolehkan ahli mengeluarkan simpanan Akaun 2 untuk membiayai kos rawatan perubatan penyakit kritikal dan/atau pembelian peralatan bantuan kesihatan yang diluluskan oleh Lembaga KWSP yang dihidapi oleh ahli atau ahli keluarga yang dibenarkan.Cara Pengeluaran
- Bawa MyKad bagi warganegara Malaysia dan mengisi Borang Permohonan KWSP 9D (AHL)
- Bawa Laporan Perubatan Asal dari mana-mana institusi perubatan.
- Bawa Surat Pengesahan Majikan mengenai tanggungan kos rawatan
- Bawa kad pengenalan diri pesakit
- Bawa Bukti Pertalian di antara pemohon dan pesakit (sekiranya pemohon bukan pesakit)
- Bawa Bil Rawatan Pesakit Luar/Discaj Wad (Final Bill) dan Resit Bayaran Asal dari Pusat Perubatan (sekiranya bayaran telah dibuat)
- Pembayaran akan dibuat secara Pengkreditan Terus ke akaun bank ahli.
16. Pengeluaran Haji
Kerajaan melalui pembentangan Bajet 2013 pada 28 September 2012 telah memperkenalkan inisiatif Pengeluaran Haji kepada ahli KWSP untuk membuat pengeluaran simpanan dari Akaun 2 untuk menunaikan ibadah Haji.Maklumat lanjut mengenai jenis pengeluaran ini boleh diperoleh Di Sini:
17. Pengeluaran Perumahan PR1MA
Jika anda masih lagi mencari dana untuk memiliki rumah sendiri, mungkin jenis pengeluaran ini dapat membantu anda. Pengeluaran ini adalah khusus untuk membantu ahli KWSP memiliki sebuah rumah sendiri di bawah Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).Ahli KWSP boleh memanfaatkan pengeluaran wang simpanan KWSP sedia ada serta caruman bulanan di masa hadapan untuk meringankan bebanan pembelian rumah.
Jika anda mahu membuat pengeluaran untuk biaya perumahan PR1MA, boleh dapatkan maklumat lanjut mengenai jenis pengeluaran khas ini Di Sini
Kesimpulan
Secara kesimpulannya, terdapat 17 jenis pengeluaran dari simpanan KWSP yang boleh dikeluarkan atas tujuan tertentu:- Pengeluaran Umur 50 Tahun
- Pengeluaran Umur 55 Tahun
- Pengeluaran Umur 60 Tahun
- Pengeluaran Mengurang/Menyelesaikan Baki Pinjaman Perumahan
- Pengeluaran Hilang Upaya
- Pengeluaran Meninggalkan Negara
- Pengeluaran Pendidikan
- Pengeluaran Pekerja Berpencen Dan Pengeluaran Pesara Pilihan
- Skim Pelaburan Ahli
- Pengeluaran Membina / Membeli Rumah
- Pengeluaran Simpanan Melebihi RM 1 Juta
- Pengeluaran Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan
- Pengeluaran Kematian
- Pengeluaran Kesihatan
- Pengeluaran Haji
- Pengeluaran Perumahan Fleksibel
- Pengeluaran Perumahan PR1MA
Mohon Pengeluaran Dengan Mudah Menerusi Permohonan Hassle Free
Selain pengeluaran menerusi borang yang disediakan, KWSP ada memperkenalkan 'Permohonan Secara Hassle Free'. Ia adalah cara membuat permohonan pengeluaran secara lebih cepat tanpa memerlukan anda mengisi borang tertentu. Pun begitu, ianya tertakluk kepada keperluan dokumen sokongan yang perlu disediakan dengan lengkap, tertakluk kepada jenis pengeluaran yang dipohon.
Di bawah konsep pengendalian permohonan secara Hassle Free, ahli pemegang MyKad boleh hadir di mana-mana kaunter cawangan KWSP dan terus membuat permohonan kepada pegawai yang bertugas, tanpa perlu mengisi borang permohonan. Hanya pengeluaran berikut sahaja yang boleh dibuat menerusi kaedah ini:- Pengeluaran Umur 50/55/60 & Simpanan Melebihi RM1Juta
- Pengeluaran Pekerja Berpencen/Pesara Pilihan
- Pengeluaran Mengurang/Menyelesaikan Baki Pinjaman Perumahan dan
- Pengeluaran Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan
Tarikh Kemaskini: 01 Januari 2018
Tarikh Semakan: 01 Januari 2018
Semoga perkongsian ini bermanfaat.
Sumber: KWSP & Majalah Labur
alhamdulillah.. at least boleh juga kita menguruskan duit kita walaupun belum lagi bersara. mama ada buat pelaburan dan pengeluaran semasa beli rumah. hm.. bilalah simpanan nak sampai sejuta agaknya ye hahha
ReplyDeletesaya pernah guna kemudahan KWSP no 12..
ReplyDeletesekarang menunggu yang no 1 pulak..
As salam. Bgi pegawai tentera yg mndapat status Tauliah Jangka Pendek (TJP) boleh tak mmbuat pengeluaran wang KWSP?
ReplyDeleteTuan kena tanya pegawai KWSP ni
DeletePost a Comment
Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.