Best betul dapat pergi bercuti ke Pulau Perhentian, di negeri Terengganu. Saya dan keluarga telah diberikan kesempatan umur, masa dan juga rezeki dari Allah S.W.T untuk sampai ke Pulau Perhentian baru-baru ini, iaitu sekitar minggu pertama bulan Mei 2018. Kami bercuti selama 3 hari dua malam, dan menginap di salah sebuah chalet bajet di Pulau Perhentian Kecil.

10 Aktiviti Menarik Boleh Dilakukan di Pulau Perhentian

Aktiviti Menarik Boleh Dilakukan di Pulau Perhentian
Jika anda yang belum pernah sampai ke Pulau Perhentian, ada dua buah pulau utama di perairan Pulau Perhentian ini iaitu Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil. Anda boleh melakukan bermacam-macam aktiviti di dua buah pulau utama ini. Meh saya kongsikan kepada anda aktiviti menarik dan best yang boleh dilakukan ketika bercuti di Pulau Perhentian.

Kalau ditanya pada orang, pastinya mereka akan beritahu anda .. dua aktiviti utama yang wajib dilakukan di Pulau Perhentian adalah snorkeling dan juga mandi laut. Namun, semasa saya dan keluarga pergi bercuti ke Pulau Perhentian hari tu, sebenarnya ada banyak aktiviti lain yang boleh dilakukan selain daripada snorkeling dan mandi laut.
Aktiviti Menarik Boleh Dilakukan di Pulau Perhentian
Aha ... sebenarnya ada beberapa aktiviti menarik lain boleh anda lakukan, khasnya jika anda bercuti dengan keluarga tersayang. Nak tahu apakah aktiviti menarik yang boleh dilakukan di Pulau Perhentian ini, meh baca ...

Snorkeling

Ini adalah aktiviti utama yang boleh anda lakukan semasa bercuti di Pulau Perhentian. Malah, ia antara aktiviti yang mula-mula akan anda lakukan sebaik sahaja anda mendarat di Pulau Perhentian.
Snorkeling dan Mandi Laut
Jika anda menginap di hotel atau chalet di Pulau Perhentian Kecil, anda akan terus boleh mulakan aktiviti snorkeling ini samada di waktu pagi mahupun petang, bergantung kepada operator pelancongan yang mengendalikan pakej. Anda akan dibawa menaiki bot laju dan melakukan aktiviti snorkeling di beberapa tempat tumpuan utama iaitu Blue Lagoon, Turtle Point/Turtle Bay, Shark Point, dan juga Coral Garden.

Menyelam/Scuba Diving

Jika anda menginap di Perhentian Besar, anda mungkin boleh ambil peluang untuk mendapatkan sijil menyelam atau scuba diving. Ada beberapa operator pelancongan yang menyediakan pakej percutian di Pulau Perhentian, yang memasukkan kursus scuba diving ini sebagai pilihan.

Di Pulau Perhentian Besar, ada banyak chalet dan hotel yang boleh anda pilih, dan di situ juga ada disediakan pakej menyelam atau scuba diving ini kalau anda teringin nak mencuba.

Tempat menyelam yang paling popular di Pulau Perhentian ialah di Tokong Laut, yang terletak di bahagian Barat Laut kepulauan di sini. Tokong Laut adalah barisan terumbu karang yang sangat cantik dan yang terakhir di bahagian utara dan barat kepulauan Perhentian.

Kedalaman menyelam maksima adalah 25 meter dengan jarak penglihatan purata kira-kira 10 meter.

Mandi Pantai

Mandi di pantai cantik Pulau Perhentian
Ada banyak pantai yang cantik di sepanjang perairan Pulau Perhentian ini. Anda boleh pilih samada mahukan pantai yang lebih privasi atau yang lebih terbuka. Jangan terkejut jika anda terjumpa pelancong asing yang hanya memakai bikini di pantai-pantai yang agak terpencil di Pulau Perhentian.

Semasa saya di sana, kami sekeluarga telah dibawa untuk mandi pantai di sekitar Pulau Perhentian Kecil di hari pertama. Ada Pantai Romantik, ada Pantai Teluk Pauh dan beberapa pantai lain yang sememangnya mempunyai pasir pantai yang putih dan cantik selain air lautnya yang sangat jernih.

Trekking

Mungkin ramai yang tidak tahu, ada beberapa laluan menghubungkan beberapa lokasi di sekitar Pulau Perhentian Kecil dan juga Pulau Perhentian Besar yang sesuai untuk aktiviti trekking ringan. Cabarannya ialah anda perlu melalui denai kecil yang berbatu serta titian tinggi yang ada dalam laluan trekking ini.

Anda boleh berjalan antara Coral View Island Resort dengan Perhentian Island Resort melalui papan kayu yang tinggi melewati tebing-tebing berbatu. Atau boleh memanjat ke bukit yang menempatkan stesen janakuasa elektrik menggunakan kincir angin.

Kincir angin D' Lagoon merupakan stesen janakuasa hibrid pertama di Asia yang menjana kuasa elektrik untuk penduduk di Pulau Perhentian.


Candat Sotong

Kalau anda berada di dalam musim mencandat sotong, anda boleh lakukan aktiviti ini di Pulau Perhentian. Anda hanya perlu sewa bot untuk melakukan aktiviti ini. Ada pilihan, samada nak memilih menyewa bot yang besar atau bot yang kecil.

Semasa saya menginap di Pulau Perhentian Kecil, ada banyak bot-bot kecil yang menyediakan servis mencandat sotong ini, semurah RM150 satu bot, dengan maksima 4 orang. Aha .... memang untung kalau menginap di Pulau Perhentian Kecil ni sebab ada banyak nelayan kampung yang sudi berikan servis terbaik untuk aktiviti seperti ini.

Memancing Ikan

Memancing di perkampungan nelayan Pulau Perhentian Kecil
Kalau dah kaki pancing ... memang tak sahlah kalau dah berada di sebuah pulau yang kaya dengan hidupan marin ni andai tidak menduga apa yang ada di perairannya. Anda boleh sahaja melakukan aktiviti memancing ini di Pulau Perhentian.

Saya dan ipar saya tak ketinggalan memancing di tepi pantai di hadapan chalet kami di Pulau Perhentian Kecil. Saya dapatlah menaikkan 3 ekor ikan Kerapu Karang yang kemudiannya dilepaskan kembali ke laut. Saiznya agak kecil yang memungkin ia tidak berbaloi untuk dijadikan hidangan.

Kalau nak best memancing, boleh cuba memancing di sekitar jeti nelayan yang ada di Pulau Perhentian Kecil. Cubalah memancing di waktu malam kerana aktiviti pelancongan sudah kurang dan bagi mengelakkan mengganggu pelancong dan pengunjung yang lain.

Berjemur

Salah satu aktiviti yang sangat digemari oleh pelancong asing yang datang bercuti di Pulau Perhentian. Kalau sudah puas mandi di pantai yang cantik di air yang jernih, boleh sahaja habiskan waktu dengan berjemur sambil menikmati pemandangan.

Berkelah

Kalau anda datang bercuti secara berkumpulan atau berkeluarga, anda boleh lakukan aktiviti perkelahan di beberapa lokasi pantai di Pulau Perhentian. Cumanya, anda kena pastikan bahawa kebersihan diutamakan, dan jangan sesekali membuang sampah sarap merata-rata. Kalau boleh, sampah tersebut anda bawa balik kembali ke tempat penginapan anda, dan dibuang di tong sampah disediakan.
Makan petang di Pulau Perhentian
Anda tak perlu pun nak memasak makanan untuk berkelah. Jika anda menginap di Pulau Perhentian Kecil, anda boleh dapatkan makanan seperti burger, pisang goreng, nasi bungkus, bihun bungkus, keropok lekor dengan harga yang cukup berpatutan, malah ada tu lebih murah daripada apa yang dijual di bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Burger yang kami sekeluarga beli untuk makan petang-petang di Pulau Perhentian Kecil cuma berharga RM3 sebiji. Sedap pulak tu .. haha.

Taman Permainan Kanak-Kanak

Aktiviti Menarik Boleh Dilakukan di Pulau Perhentian
Taman permainan mini Pulau Perhentian Kecil
Kadang bila dah terlalu letih, anda boleh je berehat dan bersantai sahaja di tepian pantai. Namun, bila dah bawa sekali dengan anak-anak ni, pastinya mereka tak duduk diam dan mahu melakukan aktiviti untuk hilangkan rasa bosan.

[Dah Baca?] 7 Tempat Menarik Wajib Pergi Jika Bercuti ke Turki

Ada taman permainan mini di Pulau Perhentian Kecil. Anda boleh sahaja lepaskan anak-anak bermain di taman permainan ini sambil anda menikmati menu menarik yang ada dijual di beberapa kedai makan berdekatan. Aha .. anda mungkin patut cuba Mee Kari Ketam atau Mee Udang yang ada dijual di sini. :)

Night Life di Long Beach

Long Beach


Lihat permainan atau persembahan api di sepanjang Long Beach di Pulau Perhentian Kecil. Pantai ini akan hidup dengan meriah dan dikatakan paling happening di Pulau Perhentian, lebih-lebih lagi selepas waktu terbenamnya matahari. Ada night life di sini.

Ada banyak hotel dan chalet di Long Beach. Anda boleh samada memilih untuk menginap di sini, atau boleh sahaja menginap di hotel dan chalet bajet yang jauh lebih murah di perkampungan nelayan di Pulau Perhentian Kecil. Anda boleh jalan kaki sahaja ke Long Beach dari perkampungan nelayan tu atau cara paling senang, mengambil bot teksi dari jeti Pulau Perhentian Kecil.
Teksi bot Pulau Perhentian
Aha .. banyak kan aktiviti boleh anda lakukan di Pulau Perhentian ... selain daripada apa yang saya nyatakan di atas tu, anda boleh sahaja sewa bot teksi untuk buat aktiviti island hoping. Bot teksi adalah pengangkutan utama di Pulau Perhentian ini. Anda takkan jumpa jalanraya yang panjang di sini.

[Dah Baca?] Senarai Tempat Menarik di Port Dickson Sesuai Percutian Keluarga

Kalau nak bercuti ke Pulau Perhentian, pastikan anda memilih pakej yang sesuai dengan bajet dan juga aktiviti yang ingin dilakukan. Kadang tu, bukan apa .. anda mungkin habiskan banyak duit semata untuk aktiviti yang sama sahaja.

Paling penting, biarlah percutian anda di Pulau Perhentian sesuatu yang akan diingati sampai bila-bila, dan memberikan kenangan manis yang tidak akan dilupakan.

6 Ulasan

Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

  1. Good info..guna umpan apa ye klu mancing dkt jeti atau pantai...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya guna gewang je / soft plastik sebb air dia jernih. Jadi, ikan nampak umpan palsu ni. Kalau mancing malam, mungkin kena cari udang atau gunakan hirisan ikan.

      Ipar saya guna gewang je sampai pancing terlucut masuk laut kena tarik ikan.

      Padam
  2. Saya baru tahu boleh candat sotong di Perhentian. Thank you for sharing ����

    BalasPadam
  3. Tempat yang sangat menarik untuk percuntian keluarga

    BalasPadam
  4. Terbaik info yang bagus ni! pulau perhentian mmg salah satu pantai tercantik di Malaysia. Nak tumpang tanya hasrul, total budget ke Pulau perhentian utk satu keluarga berapa ya? Mahal tak kalau compare pulau lain di Malaysia?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ohhh adik ipar saya yang uruskan. Saya ikut je .. memang tak tahu pasal bajet ..

      Padam

Catat Ulasan

Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

Terbaru Lebih lama

Advertisement

Bisnes Shopee

Advertisement

BERMASALAH DENGAN HARTA PUSAKA?

Panduan Mengurus Harta Pusaka dan Hibbah. - Nak Tahu? Klik Sini Sekarang!!


Advertisement