Wah, berita menarik untuk kaki pancing satu Malaysia. Pihak Perhilitan iaitu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara akan membuka aktiviti memancing di sepanjang Sungai Tahan bermula bulan Mei 2018. Sebelum ini, aktiviti memancing di sekitar dan sepanjang Sungai Tahan Taman Negara adalah dilarang, dan hanya dibenarkan di sepanjang Sungai Tembeling sahaja.

Aktiviti Memancing Kelah di Sungai Tahan Dibenarkan Perhilitan Taman Negara Pahang Mulai Mei 2018

Surat Kebenaran Memancing Sungai Tahan oleh Jabatan Perhilitan
Aktiviti Memancing di Sungai Tahan Dibenarkan Perhilitan Taman Negara Pahang Mulai Mei 2018
Berita ini tentu menggembirakan para pemancing terutama sekali pemburu ikan Kelah. Ikan Kelah memang banyak terdapat di sepanjang Sungai Tahan ini. Apatah lagi, salah satu lokasi di Sungai Tahan, iaitu Lubuk Tenor merupakan lokasi Kelah Santuary di Taman Negara Kuala Tahan Pahang.

Baru Pulang Dari Taman Negara Memburu Ikan Kelah

Saya sebenarnya baru sahaja merasai pengalaman memancing dan memburu ikan Kelah di Taman Negara pada bulan Mac 2018. Lokasi lubuk memancing Kelah yang saya pergi adalah sepanjang Sungai Keniam yang jauh dari jeti Kuala Tahan. Ambil masa lebih kurang 2 jam juga perjalanan menaiki bot dari jeti Taman Negara nak ke Sungai Keniam tu.

Tapi, dengan pengumuman rasmi pihak Perhilitan yang mengatakan bahawa kawasan sepanjang Sungai Tahan sudah dibenarkan memancing, maka lokasi nak memancing itu dah jadi dekat dengan kawasan penginapan utama di Kuala Tahan.

Meh lihat peta Taman Negara di bawah ini untuk lebih jelas ...
Peta Kawasan Taman Negara Pahang
Anda nampak tak dalam peta Taman Negara di atas tu, lokasi Santuari Kelah berada dalam kawasan Sungai Tahan ... huhu ..atau lebih tepat lagi Lubuk Tenor .... banyak oo ikan Kelah di kawasan lubuk di situ. Besar-besar dan belum lagi biasa dengan mata kail serta umpan sawit. Silap-silap, guna umpan dedak pun boleh dapat ikan Kelah saiz mega di situ.

Sungai Tahan agak panjang, dan sepanjang sungai ini terdapat banyak lubuk-lubuk ikan, terdiri dari spesies antaranya Kelah Sungai, Kelah Merah, Sebarau, Baung, Tengas, Lampam Sungai, Toman dan banyak lagi.

Saiznya juga besar-besar, al maklumlah tidak pernah (jarang) diburu dan dijerat. Kawasan Sungai Tahan memang tidak dibenarkan untuk aktiviti memburu ikan-ikan ini secara sah.

Meh saya 'belanja' anda sedikit gambar sekitar kawasan dimaksudkan itu semasa saya dan rakan-rakan sekolah saya ke Taman Negara Pahang baru-baru ini.

Gambar Kawasan Lubuk Kelah dan Santuari Kelah di Sungai Tahan Taman Negara

Di bawah ini adalah gambar sekitar Santuari Kelah di Lubuk Tenor, dan lubuk Kelah di sepanjang Sungai Tahan menghala ke Lata Berkoh. Lata Berkoh biasanya menjadi tempat perkelahan untuk mereka yang berkunjung ke Taman Negara Pahang. Keindahan alam semulajadi di situ memang awesome.
Santuari Ikan Kelah, Lubuk Tenor
Lubuk Ikan Kelah, Santuari Ikan Kelah Lubuk Tenor Taman Negara
Lubuk Ikan Kelah Sungai Tahan
Lubuk ikan di Sungai Tahan Taman Negara
Kawasan Lata Berkoh, Sungai Tahan
Kawasan berkelah Lata Berkoh
Amacam? Cantik kan? Tidak terusik oleh aktiviti rakus manusia. Memang rasa aman damai je bila berada di sini. Syokkk habis.

Berbeza sedikit dengan kawasan Sungai Tembeling yang meriah dengan aktiviti menangkap ikan serta memancing. Bot pun banyak lalu lalang kawasan ini kerana ia adalah 'jalanraya' untuk kebanyakan penduduk sekitar Sungai Tembeling.

Dek kerana itulah, saya katakan bahawa apabila pihak Perhilitan buka 'padang' memancing di Sungai Tahan, ia ibarat bagai 'bulan jatuh ke riba'. Fuh.

Dibenarkan Memancing Tetapi Bersyarat

Pun begitu, pihak Perhilitan mengehadkan waktu memancing di sepanjang Sungai Tahan hanya pada setiap Rabu dan Khamis setiap minggu sahaja bermula dari 16-17 Mei 2018. In Sha Allah, aktiviti memancing di Sungai Tahan akan berterusan dalam objektif pihak Perhilitan untuk menggalakkan eko-pelancongan di Taman Negara Pahang.

Dan syarat lain ialah aktiviti memancing di Sungai Tahan Taman Negara Pahang dihadkan dari Kuala Tahan sehingga Jeram Bahala, Sungai Tahan bermula dari jam 9:00 pagi hingga 5 petang sahaja. Lesen memancing pula dihadkan hanya untuk sehari sahaja. Beza kalau memancing di Sungai Tembeling, yang dibenarkan untuk memancing sehingga malam dan surat kebenaran memancing sah sehingga sebulan.
[post_ads]
Ok. Biar saya senaraikan syarat-syarat memancing di Sungai Tahan, yang telah dibenarkan oleh pihak Perhilitan ini untuk lebih jelas ya ...

Syarat Memancing di Sungai Tahan, Taman Negara Pahang

Pemancing, pemandu bot dan juruhaluan bot diwajibkan mendaftarkan diri di Kaunter Penguatkuasaan sebelum memulakan aktiviti memancing.

Pemancing, pemandu bot dan juruhaluan bot perlu mengambil Permit Masuk (RM1), Lesen Memancing (RM10/rod) dan Lesen Mengambil Gambar (RM5/kamera) terlebih dahulu sebelum memulakan aktiviti memancing di Kaunter Penerangan Taman Negara Pahang, Kuala Tahan.

Syarat lain adalah:
  1. Terbuka kepada semua Warganegara dan Luar Negara. 
  2. Aktiviti memancing dibuka setiap hari Rabu dan Khamis. Sebarang perubahan waktu memancing adalah tertakluk kepada pihak Pengurusan Taman Negara Pahang.
  3. Masa aktiviti memancing bermula dari jam 9.00 pagi sehingga 5.00 petang sahaja.
  4. Kawasan aktiviti memancing yang dibenarkan adalah dari Kuala Tahan ke Jeram Bahala sahaja.
  5. Aktiviti memancing ini hanya boleh menggunakan bot sahaja. Trekking ke kawasan memancing adalah tidak dibenarkan. 
  6. Jumlah bot yang dibenarkan ialah 10 bot sehari dan seorang pemancing boleh mengambil Lesen Memancing maksima dua (2) lesen sahaja. Tempoh sah lesen memancing hanya satu (1) hari sahaja. 
  7. Sebuah bot boleh membawa maksima empat (4) orang pemancing sahaja dan pemandu bot dan juruhaluan mesti bersama dengan pemancing sepanjang aktiviti memancing.
  8. Aktiviti memancing kaedah ‘casting’ tidak dibenarkan bagi tujuan keselamatan pelancong/pemancing lain.
  9. Peralatan yang dibenarkan:
    • Peralatan untuk memancing sahaja (mata kail, tangsi, batu ladung, joran, reel dan lain-lain peralatan yang menggunakan kaedah pancing yang ditetapkan oleh Penguasa)
  10. Peralatan yang dilarang dibawa:
    • Peralatan perkhemahan
      1. Parang
      2. Peralatan memasak
      3. Jala/jaring
      4. Tajur/taut/rawai/sauk
      5. Bubu/lukah
      6. Panah/senapang ikan/cermin/senjatapi
      7. Tuba/racun
      8. Alatan yang menggunakan arus letrik
  11. Dilarang menggangu, mecederakan, mengambil atau membunuh hidupan liar dan serangga di dalam Taman Negara.
  12. Dilarang merosak, memotong, memindah, mengubah, memusnah pokok, batu, papan tanda atau tempat perlindungan hidupan liar.
  13. Dilarang membuang sampah mahupun puntung rokok di dalam kawsan Taman Negara. Semua sampah hendaklah dibawa balik dan dibuang ke tempat pembuangan sampah semasa keluar.
  14. Dilarang memasang unggun api di dalam kawasan Taman Negara.
  15. Dilarang membawa, memiliki, mengedar dadah atau meminum minuman keras/ beralkohol di dalam kawasan Taman Negara.
  16. Pemeriksaan barang terhadap pemancing diwajibkan sebelum dan selepas aktiviti memancing
  17. Hanya bot yang berdaftar dengan Jabatan Perhilitan sahaja dibenarkan untuk membawa pemancing di dalam kawasan Taman Negara Pahang.
  18. Pemancing perlu membawa permit dan lesen setiap masa semasa menjalankan aktiviti bagi memudahkan tujuan pemeriksaan Jabatan. 
  19. Pihak Jabatan Perhilitan berhak memeriksa bot pada bila-bila masa
  20. Pihak Jabatan Perhilitan berhak meminda syarat dan peraturan memancing pada bila-bila masa atau membatalkan aktiviti memancing ini pada bila-bila masa dan tertakluk kepada keadaan semasa.
  21. Tempahan memancing dan bot memancing hanya boleh dibuat melalui Persatuan Bot Dalaman Taman Negara, Kuala Tahan sahaja.
  22. Pemancing, pemandu bot dan juruhaluan diwajibkan memakai ‘life jacket’ sepanjang aktiviti memancing.
  23. Pemancing diwajibkan mengisi dan melengkapkan Borang Pelepasan Tanggungjawab (Lampiran I) di Kaunter Penguatkuasaan sebelum menjalankan aktiviti memancing.
  24. Semua jenis ikan dibenarkan untuk dipancing. Ikan Kelah yang beratnya 1 Kilogram hingga 4 Kilogram sahaja dibenarkan. Ikan Kelah yang beratnya kurang dari 1 Kilogram atau melebihi 4 kilogram hendaklah dilepaskan kembali di tempat ianya ditangkap.
  25. Pemancing diwajibkan mengisi Borang Daftar Aktiviti Memancing (Lampiran II) di Rakit Jabatan Perhilitan apabila siap memancing untuk tujuan rekod inventori pihak Taman Negara Pahang.
  26. Kelulusan adalah tertakluk kepada Penguasa Taman Negara Pahang.
Orait .. dah faham semuanya?

Oh ya, lagi satu yang perlu diingatkan ialah ...

Sesiapa yang didapati memancing di dalam kawasan Taman Negara Pahang tanpa permit atau tidak mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan adalah melakukan kesalahan mengikut Enakmen Taman Negara (Pahang), 1939 dan Keadah 11, Kaedah-kaedah Taman Negara Pahang.

Oleh itu, mereka yang melakukan kesalahan ini boleh dikenakan denda tidak lebih daripada lima ribu ringgit (MYR 5,000.00) atau penjara selama tempoh dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Buat mereka yang bercadang untuk memancing di sepanjang Sungai Tahan Taman Negara Pahang mulai Mei 2018 ini, pastikan segala dokumen diperlukan tu dah siap sedia. Untuk mudahkan anda, boleh refer pada dokumen di bawah ini.

Surat Rasmi Pembukaan Aktiviti Memancing di Sungai Tahan oleh Pihak Jabatan Perhilitan


Anda boleh cetak Lampiran 1 dan Lampiran 2 dalam surat/dokumen di atas untuk memudahkan anda mendapatkan kebenaran serta permit memancing di Sungai Tahan.
[post_ads_2]
Ini adalah kerana anda perlu buat tempahan terlebih dahulu menerusi Persatuan Bot Dalaman Taman Negara, jadi butiran seperti dalam lampiran penting untuk mudahkan pihak persatuan menguruskan aktiviti memancing anda kelak, terutama untuk mereka yang tinggal jauh dari Taman Negara Pahang.

[Dah Baca?] Senarai 11 Keperluan Perlu Bawa Sebelum Masuk Taman Negara Untuk Memancing

Nombor telefon persatuan tu ada dalam dokumen di atas, atau boleh sahaja hubungi pihak Penguasa Taman Negara Pahang, Jabatan Perhilitan untuk info lanjut.

Penguasa Taman Negara Pahang, Kuala Tahan
27020 Jerantut, Pahang
Tel: 09-266 1122/09-266 4152

2 Ulasan

Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

  1. Waaa bestnyaa ni, nak bagitau Suami. Memang tunggu je kalau dapat mancing ikan Kelah tu, seronoknyaa...

    BalasPadam

Catat Ulasan

Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

Terbaru Lebih lama

Advertisement

Bisnes Shopee

Advertisement

BERMASALAH DENGAN HARTA PUSAKA?

Panduan Mengurus Harta Pusaka dan Hibbah. - Nak Tahu? Klik Sini Sekarang!!


Advertisement