Ramai yang sebenarnya tidak ada pemangkin untuk berjaya, jadi apa sahaja yang mereka lakukan untuk mendapatkan kejayaan, tidak dalam keadaan berusaha bersungguh-sungguh.
Pemangkin Untuk Berjaya
Saya ingin kongsikan satu cerita benar yang berlaku pada diri saya. Lebih kurang mengenai pemangkin kejayaan, tetapi dalam aspek lain sedikit, tetapi boleh dikaitkan. Harap anda sudi baca sehingga habis dan hadam apa yang cuba saya sampaikan ini.Kisah ini berlaku beberapa tahun dahulu.
Saya telah didatangi seorang warga Pakistan berpakaian serba putih di sebuah restoren nasi kandar di Penang satu ketika dahulu. Warga Pakistan ini sangat tua, dan pertuturan juga tidak jelas, apatah lagi kebolehan bercakap dalam bahasa yang mudah faham - bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.
Baru Nak Nikmati Kurma Kambing
Saya keseorangan ketika itu, sedang hendak mula menjamu selera dengan nasi Kurma Kambing. Baru sahaja hendak mula menyuap, lelaki tua warga Pakistan ini datang dengan menghulurkan sebuah pelekat kereta yang mengandungi doa-doa dan ayat-ayat suci Al Quran. Dia mula menegur dengan memberikan salam, sapaan internasional bagi seorang Muslim.[Dah Baca?] Resepi Pilihan Kurma Ayam Sedap
Dalam rasa teringin amat untuk meratah Kurma Kambing yang sedang terjamu di depan mata, saya luangkan juga masa yang ada untuk dengar apa yang ingin disampaikan oleh warga Pakistan berbaju jubah putih berketayap lusuh itu.
Bekerja Untuk Cari Keberkatan
Katanya, belilah pelekat yang dia jual. Dia bermodal sendiri, bukan main pinjam-pinjam. Tujuannya satu, mahu dapat sedikit wang untuk sara diri dan hantar kepada keluarga yang jauh di kampung. Katanya juga, dia tidak tahu benda lain mahu dijual, hanya kemahiran menjual pelekat dengan ayat-ayat Al Quran serta doa sahaja yang boleh dia lakukan. Katanya lagi, kerja ini lebih berkat kerana boleh buat amal kepada umat muslimin yang lain.Saya belek satu persatu pelekat kereta yang cukup elok buatannya. Bukan sebarang pelekat biasa. Tulisan khat cantik dengan menggunakan warna keemasan.
Saya pilih satu. Pelekat kenderaan yang ada doa naik kenderaan. Saya beli dengan harga RM10.
Ketika sibuk saya belek, tak habis-habis mulut si tua itu berkumat-kamit dalam bahasa yang sukar nak saya faham. Cuma sesekali saya dapat tangkap ... "alhamdulillah, alhamdulillah, Allah bersama dengan tuan..."
Sejuk hati saya.
Selesai urusniaga, lelaki tua itu kemudian menadah tangan dan berdoa. Lelaki warga Pakistan itu mendoakan kesejahteraan saya. Alhamdulillah. Doa diberikan hanya kerana saya beli pelekat kenderaan berharga RM10.
Lelaki tua itu kemudian berlalu pergi.
Kesimpulan Kisah Ini ...
Apakah yang mendorong lelaki tua warga Pakistan itu untuk tegur dan hulurkan pelekat kenderaan yang dijual?Tanpa rasa segan di sebalik kekurangan yang kurang mahir untuk berbahasa Melayu, dia hampiri saya. Dia berikan sesuatu yang orang lain tak buat, iaitu doa dan ingatannya pada Allah yang memberikan rezeki.
Allah pemangkin dirinya berjaya menjual apa yang dia ada. Dan kerana Allah, saya terdetik untuk membeli pelekat kenderaan. Dan kerana Allah, dia mendoakan kesejahteraan saya. Ucap syukur berkali-kali walaupun saya belum pun membeli apa yang dijual.
Itu kejayaan baginya hari itu. Mungkin semalam dia tak berjaya jual dan dapatkan rezeki. Tetapi hari itu, dia telah berjaya. Allah pemangkinnya.
Pemangkin untuk berjaya. Semua orang perlukan pemangkin dan katalis diri untuk berubah menjadi lebih baik. Niat dalam diri, usaha dengan sehabis baik, dan ingat bahawa Allah yang akan bantu anda merubah diri dan bangsa.
Catat Ulasan
Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.