Buat kaki pancing, memang menjadi idaman andai dapat mendaratkan ikan Kelah, apatah lagi dari spesies ikan Kelah Merah yang bernilai tinggi dan dilindungi. Di Taman Negara Pahang, jika anda ingin memancing, anda perlu dapatkan dua lesen, iaitu Lesen Memasuki Taman Negara dan Lesen Memancing.
Pengalaman Pertama Menjejak Ikan Kelah di Lubuk Sungai Keniam Taman Negara Pahang
Ini merupakan pengalaman pertama saya untuk memancing ikan Kelah, dan juga pengalaman pertama bercuti di Taman Negara Pahang. Saya tidak pernah ada pengalaman untuk memacing ikan ini, yang sangat sensitif dengan persekitaran. Kata rakan saya, jika pemancing itu dapat mendaratkan ikan Kelah, apatah lagi spesies Kelah Merah, dia boleh dianggap sebagai seorang pemancing yang cukup hebat.Yeahh ... saya pastilah teringin nak naikkan ikan Kelah dan dapatkan gelaran tu di kalangan kawan-kawan saya yang lain ... Bukan mudah nak memancing ikan Kelah ni. Ada banyak pantang-larangnya dan mesti menggunakan teknik tertentu agar dapat menjeratnya memakan umpan.
Misi mencari atau memancing ikan Kelah berlaku pada hari kedua saya dan rakan-rakan berada di Taman Negara Pahang.
Sebaik sahaja menunaikan solat subuh berjemaah, dan kemudian mengadap breakfast daripada chef kami yang dilantik khas .. hehe .. kami pun bertolak ke Sungai Keniam. Sungai Keniam ni difahamkan merupakan lubuk Ikan Kelah yang dibenarkan memancing di Taman Negara Pahang.
Tanyalah mana-mana pemancing yang gemar memancing ikan Kelah, pasti lubuk Keniam akan menjadi antara lokasi pilihan untuk memancing ikan ini.
Dua Jam Untuk ke Lubuk Memancing Ikan Kelah
Sungai Keniam ini sangat jauh. Kami terpaksa harung kederasan Sungai Tembeling selama hampir 2 jam untuk sampai ke Sungai Keniam. Itu baru tiba di persimpangan dua sungai, belum lagi sampai ke lokasi untuk memancing ikan Kelah yang jauh ke dalam Lubuk Keniam.
Perjalanan kami ke Sungai Keniam melibatkan sebanyak 4 buah bot panjang. Setiap satu bot panjang boleh muatkan 3-4 orang daripada kami, dengan dua orang boatman.
[Baca] 11 Keperluan Penting Untuk Memancing di Taman Negara Pahang
Segala kelengkapan untuk memancing dimasukkan pada setiap bot termasuklah umpan sawit peram yang telah disediakan lebih awal oleh boatman kami. Pada setiap bot pula, kami lantik seorang kapten yang akan menjadi tunggak penting dalam memastikan misi menjerat ikan Kelah ini berjaya .. haha .. kiranya, mesti ada sorang yang kaki pancing atau tahu cara nak memancing ikan Kelah.
Bila Dah Masuk Ke Sungai Lubuk Ikan Kelah
Apabila dah masuk ke dalam area Sungai Keniam ini, maka kenalah senyap. Ini adalah salah satu pantang-larang utama kalau nak mencari lubuk ikan Kelah.Sesekali apabila mengharung jeram yang ada di Sungai Keniam, kami terpaksa keluar dari bot untuk memudahkan boatman menolak bot naik ke hulu Sungai Keniam. Memang mencabar misi nak mencari lubuk Kelah ni ...
Siapa yang ada kederat lebih memang wajib bantu boatman tolak bot...huhu.
Pecah Lokasi Memancing Ikut Bot
Setiap bot dipecahkan ikut zon atau lokasi nak memancing. Masing-masing jauh dari pandangan untuk elakkan masalah bunyi bising. Hehehe.. al maklumlah, geng-geng lelaki pun kaki sembang juga ... apatah lagi kalau bukan kaki pancing tegar ... mesti akan rasa nak menyembang di kesunyian hutan menghijau di Lubuk Keniam... haha.Saya dan geng bot saya berada di paling hulu sekali. Iaitu berada paling jauh sekali masuk ke dalam Sungai Keniam untuk memancing.
Saya bawa sebanyak 3 set pancing di mana dua saya gunakan sendiri, dan salah satu saya serahkan kepada salah seorang sahabat yang bukan kaki pancing ..huhu.. saja nak bagi rasa dan pengalaman memancing ikan Kelah.
Senyap sunyi.
Bila nak memancing ikan Kelah ini, apatah lagi di lubuk yang airnya jernih .. tak boleh tidak, kena duduk senyap sunyi. Malah, kalau ikutkan kena sembunyi agar kelibat diri tak dinampak oleh ikan-ikan yang berenang seronok-seronok di lubuk-lubuk yang ada.
Agak lama juga berada di satu-satu lokasi lubuk tu.
Saya sesekali merasa juga getukan kecil pada pancing, tetapi tiada sentapan rakus yang membolehkan saya menaikkan ikan. Umpan habis dimakan, tetapi ikan tak lekat.
Menurut boatman yang menemani kami, saiz mata kail perlu kecil dan kalau boleh pancing tidak perlu menggunakan batu ladung yang besar agar membolehkan umpan sawit peram tu nampak semulajadi hanyut dibawa arus.
Jenuh juga menunggu di bawah mentari. Agak malang lokasi saya memancing tiada kawasan untuk berteduh. Nasib baik ada kedinginan air Sungai Keniam yang boleh membasahi tubuh di saat rasa badan macam nak terbakar.. haha.
Sejam. Dua jam. Tiga jam. Nak masuk jam keempat. Tiada apa-apa.
Sesekali sedang merenung tali pancing, kelihatan bot-bot lain melintasi ... haishh ini buat spoil ni .. bila lubuk dah dilalui bot .. pasti ikan akan lari ke lubuk lain. Aduh.
Akhirnya kami satu bot ambil keputusan untuk pindah lokasi. Kami ambil keputusan untuk turun dari jeram, menghilir untuk lihat pencapaian rakan-rakan lain.
Kecewa Misi jejak Lubuk Kelah Gagal
Semuanya ampehhh .. haha .. tak ada ikan walau seekor dinaikkan. Bukan hanya ikan Kelah dicari tak dapat, ikan Sebarau yang sering nampak mengejar ikan pun tak berjaya dinaikkan oleh semua orang .. .termasuklah boatman yang bersama kami.Apa cerita ni? Jauh dah masuk ke Lubuk Sungai Keniam, haram sekor ikan pun tak dapat.
Walaupun ramai dah rasa kecewa, namun ada beberapa sahabat yang memang boleh dikategorikan tegar pemancing mencuba dan terus mencuba. Saya di antaranya yang terus-terusan berusaha untuk bawa balik walau seekor ikan Kelah.
Tunggu dari sejam menjadi dua jam di lokasi lubuk lain. Masih hampa.
Cuma di saat-saat akhir, salah seorang dari sahabat saya hampir-hampir berjaya menaikkan ikan Kelah Merah di satu jeram landai di Lubuk Keniam. Tetapi rezeki tidak menyebelahi dia, tali pancing putus dan ikan Kelah Merah terlepas dari genggaman.
Sahabat saya tu cukup kecewa sekali sampai termencarut tak tentu pasal di dalam hutan .. adeh. Kesian saya tengok .. haha. Tapi nak buat macamana .. memang bukan rezeki kami pada hari tu.
Semua balik ke penginapan. Semua pasrah dan redha yang rezeki kami untuk menaikkan ikan Kelah tidak kesampaian. Tiada seorang pun yang dapat merasai pengalaman sebenar umpan dimakan ikan Kelah kecuali sahabat saya yang sorang tu.
[Dah Baca?] Tempat Menarik di Tasik Kenyir, Terengganu
Balik dengan keletihan tetapi kami cukup seronok dapat masuk ke Lubuk Keniam yang menjadi lokasi lubuk ikan Kelah di Taman Negara Pahang.
Post a Comment
Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.