Pilihan memang di tangan kita, apatah lagi berkata soal jodoh, kita berhak memilih yang terbaik untuk diri kita, namun, buat mereka yang baru jejakkan kaki dalam satu perhubungan, awaslah dengan keputusan yang dibuat, jangan sampai tersalah pilih, kerna kelak yang akan siksa sengsara adalah diri sendiri.
Lelaki Dari Dhaka - Sebuah Kisah Mengenai Pilihan Hidup
Keputusan Tok Ngah dan ayah memang memeranjatkan. Membuatkan Liza tidak diam duduk.Tapi Liza punya pilihan sendiri. Malam yang telah dimamah usia semakin memuncak. Hitamnya pekat membaluti siang hari.
Angin yang berpuput halus menulusuri melalui jerjak tingkap. Menyapa rambut Liza yang ikal mayang.
Dalam kamar yang bercat putih Liza berbaring lunjur di atas katil bujang. Sambil tangan kanan menghempap di dahi memikirkan masalah hidup yang tidak berkesudahan. Risau dengan keputusan yang bakal diambil sama ada memberi kebaikan atau menghancurkan masa hadapannya.
Mahu tidak mahu satu langkah yang bijak perlu diambil. Lampu kalimantang memancar terang ke dinding bercat putih. Memantul seluruh kamar tidur. Kipas berbunga tiga masih mampu bergayut di siling. Mengeluarkan kepulan-kepulan angin.
Suara dari telefon petang tadi masih terngiang-ngiang mencuit gegendang telinga Liza. Arahannya mudah “Liza kau perlu balik ke kampung esok.” Arahan yang tanpa meninggalkan kelu untuk meneka apa yang tersirat dari suara itu. Belum sempat Liza bertindak balas suara itu lenyap.
Antara Azlan Lelaki Tempatan Dengan Abdul Rahman Lelaki Dari Dhaka
Dua lelaki yang hadir serentak dalam hidupnya membuatkan Liza resah. Seorang adalah pilihannya dan seorang lagi adalah pilihan keluarga. Dalam situasi ini yang manakah harus diutamakan? Azlan bukannya menjadi pilihan Liza. Pilihannya Abdul Rahman. Rahman bekerja sebagai jurutera di sebuah kilang di Nilai.Runsing yang datang menjegah dini malam membuatkan Liza memberatkan masalah itu di ruang mindanya. Liza menarik selimut hingga separuh dada. Dingin malam membelai tulang belulangnya. Memberkas tubuh hingga kesejukan. Pun begitu masih belum dapat membekukan masalah yang dihadapinya.
Siapa yang harus dipilih? Seorang yang hanya tahu merempit dan seorang lagi dari Dhaka.
Keputusan itu perlu ditindak segera.
Liza yang tinggal di bandar besar Kuala Lumpur perlu pulang membawa bungkusan jawapan yang menggembirakan kedua belah pihak.
Jam randik dikunci tepat jam 6 pagi. Menyambung kembali angan-angan kerisauan yang menuju ke kemuncak. Mata hitam masih tegar untuk dilelapkan. Memikirkan setibanya hari esok. Pulang ke kampung.
Hati muda berolak kencang.
Di ruang mindanya terfikirkan apa perkara yang hendak disampaikan hingga perlukan dia pulang ke kampung. Perkataan ‘perlu’ itu sememangnya harapan yang tinggi menggunung yang perlu ditunaikan.
Usai solat Subuh Liza berangkat ke kampung. Membawa diri yang tidak dapat tidur semalaman. Liza pergi ke stesen kereta api. Perjalanan ke kampung yang memakan masa hampir separuh hari amat memenatkan. Berbekalkan tenaga yang masih berbaki Liza mengusung beg bajunya hingga ke halaman rumah.
Ayah, Tok Ngah dan emak rancak berborak di ruang tamu. Kehadirannya seperti tidak diendahkan. Di atas meja kopi terdapat empat cawan berisi air teh. Padahal hanya mereka bertiga sahaja yang berada di situ. ‘Mungkin yang satu lagi untuk aku kot.’ Kata hatinya.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikummussalam. Ha Liza… balik pun kamu.” Emak menyapa perlahan.
“Eh, dah semakin cantik anak kamu Lah.” Tok Ngah cuba berjenaka.
“Kenapa ni? Macam berbincang sesuatu je?” Liza mencelah dari belakang. “Liza macam mana dengan keputusan kamu?” Emak sedikit memberi ruang kepada Liza untuk membuat pilihannya sendiri. Ayah diam-diam ubi.
Dengan wajah yang bengis sudah pasti dengan pendiriannya itu. Untuk menjodohkan dengan anak Tok Ngah, Azlan. Emak ragu-ragu dengan bakal menantunya si Azlan. Sikap yang tak ubah seperti hidup segan mati tak mahu. Liza mendiamkan diri.
“Dah buat keputusan?”
“Keputusan apa?”
Azlan Atau Lelaki Dari Dhaka
“Kamu jangan buat tak tahu pulak. Cepat bagi jawapan Azlan atau Abdul Rahman?” Ayah seperti singa lapar. Hanya tunggu masa hendak menerkam mangsa. Tok Ngah hanya memerhati.“Sa...saya pilih Rah...man, Rahman....”
“Bertuah punya budak. Madu yang aku bagi racun yang kau balas. Aku tak kira apa pilihan kau. Kami dah berbincang kau kena kahwin dengan Azlan juga.”
“Ayah…tolonglah itu pilihan Liza.” “Liza…” Emak tak berani berkata lebih daripada itu. “Azlan tu jahat budaknya. Lainlah Rahman. Dah bekerjaya.” Liza dalam sedu sedan berkata.
“Manusia mana yang tak pernah buat salah. Berilah peluang untuk dia perbaiki diri. Bawalah dia ke pangkal jalan.”
Sepulangnya dari kampung Liza terus ke tempat kerja. Teka-teki bakal suaminya belum terjawab. Ingin juga untuk mendapatkan pandangan dari rakan sekerja mahupun rakan karib.
Ana dan Milah sentiasa bersedia untuk mendengar rintih resah rakan-rakannya. Kalau ikutkan mereka bukannya berkelulusan kaunseling tapi punyai idea yang bernas. Keadaan Liza seperti tidak terurus membawa masalah dari kampung ke tempat kerja.
“Eh, ada apa mak kau suruh balik kampung?”
“Ayah aku tu sibuk sangat nak jodohkan aku dengan Azlan tu. Tak mahu aku. Dahlah kaki merempit. Tak bekerja pulak tu. Nanti dah kahwin nak bagi makan apa? Pasir.”
“Habis tu macam mana dengan keputusan kau Liza? Siapa kau pilih? Milah dengan mukanya yang serius membelah tekanan yang tertanggung Liza. Ana hanya menyimpul senyuman.
“Aku tak tahulah siapa yang harus aku pilih.” Liza mengangkat mukanya. Liza mengambil keputusan untuk meninggalkan kampung. Liza terpaksa memberitahu ayah dia tidak akan memilih Azlan.
Petang yang ceria menjelma tiba. Stesen kereta api Kuala Lumpur memang ramai orang. Berpusu-pusu orang menunggu dan tertunggu. Liza seperti menanti seseorang yang akan tiba menjemput.
Kereta api yang meluncur laju membelah gerombolan angin sesat di perjalanan tiba tepat pada waktu yang tertetap. Liza melangkah keluar dari gerabak. Liza menoleh ke kiri dan ke kanan. Bahunya membawa beban yang berat. Di tangan kanan menggenggam erat beg baju.
Lama masa menunggu tertunggak Liza mengambil keputusan untuk berangkat. Sesudah orang yang dinantikan tidak muncul Liza mendapatkan teksi yang berbaris panjang di hadapan stesen kereta api.
Terpaksa bekejar ke Sentul, mencari Rahman yang berjanji untuk menjemputnya.
Sebuah rumah yang agak terpencil dari bandar hanya sunyi yang bertandang. Tiada riak bayang manusia yang berselindung di rumah usang itu. Liza berdengus kasar. Bebola matanya berlari-lari ke sekeliling rumah mencari manusia untuk bertanya. Bebola matanya terhenti pada sekeping kertas putih terlekat pada muka pintu yang tertutup erat.
Liza saya terpaksa kembali ke Dhaka.- Abdul Rahman
Keluhan berat menjuih keluar. Liuk badannya lemah gemalai. Menyentap hatinya. Daya yang tertinggal masih tidak cukup memikul badan lalu rebah di muka pintu. Terkulai dengan hati yang hancur. Liza seperti longlai dengan apa yang terjadi.
Dari kelopak matanya bergenang air mata meleleh turun, membasahi pipinya. Lelaki yang diharap untuk menjadi suaminya itu telah mendustai kepercayaan yang diberikan. Telah bersusah payah dia berkorban duit dan segala-galanya untuk lelaki itu tapi dia seperti dibodohkan.
Lelaki itu juga menyebabkan hubungan dengan ayahnya renggang. Lelaki itu juga telah memporak perandakan hatinya. Lelaki apakah itu?
Dari liuk badan yang tak terdaya Liza meringankan kelopak matanya setelah mendengar derapan kaki mendekatinya. Seorang lelaki yang bersongkok dan berbaju Melayu. Lagak gayanya persis seperti Azlan.
Sumber asal: Warta Perdana
Post a Comment
Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.