7 Rahsia Untuk Anak Jadi Cemerlang Dalam Peperiksaan
Saya antara ribuan ibu bapa yang telah melalui saat di mana anak perlu menghadapi peperiksaan UPSR ini. Anak sulong saya, Amri adalah ribuan calon UPSR tahun 2016 yang berjaya mendapat keputusan yang cemerlang. Apa rahsia? Apa petua? In Sha Allah, kali ini saya akan berikan tips tambahan untuk anak-anak yang mahu lulus cemerlang di dalam UPSR nanti.Sebelum itu, suka saya nyatakan bahawa saya dan isteri bukan terdiri dari golongan pendidik atau guru. Kami tiada kepakaran pun dalam hal memberitahu ini betul atau itu betul bersandarkan kajian atau penelitian ilmiah.
Apa yang dikongsikan ini adalah menerusi pengalaman. Bukan sekadar dari pengalaman kami yang mempunyai anak yang telah berjaya cipta kecemerlangan 6A dalam UPSR, malah dari perkongsian beberapa rakan serta sahabat kami yang juga mempunyai anak cemerlang dalam UPSR sebelum ini.
Anda berhak untuk pilih dan praktikkan demi kebaikan anak-anak. Kita cuma merancang dan berusaha, tetapi akhirnya nanti ia merupakan ketentuan Allah S.W.T Maha Bijak Melaksana dan Merancang.
Orait.
Mohon Pada Tuhan, Laksana Tanggungjawab Agama Terlebih Dahulu
Dahulukan tuntutan agama untuk kekuatan spiritual. Sholat dan doa adalah perkara utama kalau mahu mencari kecemerlangan dalam hidup. Bukan anak sahaja perlu sholat lima waktu dan berdoa, tetapi juga ibu bapa."Apa pun saya lebih utamakan mengaji (al-Quran dan hadis) dulu baru ulang kaji pelajaran.[Baca] 7 Tips Agar Anak Suka Membaca Al Quran
"Kami adik beradik termasuk mak dan ayah duduk sama-sama bertadarus dan bergilir-gilir membaca terjemahan al-Quran dan hadis.
"Inilah yang diamalkan kami sekeluarga dan Alhamdulillah...ALLAH bantu kejayaan saya dalam UPSR sebab kami sentiasa ingat pada Dia," - Adawiah Mohd Zamri, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Parit 6, Sabak Bernam, yang memperoleh semua A dalam enam subjek UPSR 2017.
Minta Restu Daripada Guru
Ilmu yang diberikan adalah hasil tunjuk ajar cikgu dan guru di sekolah. Mahu ilmu itu diberkati, maka mintalah restu daripada guru di sekolah. Kalau boleh setiap kali minggu sekolah habis, jumpa guru untuk ucap terima kasih, dan minta guru doakan kejayaan dalam peperiksaan.Pastikan Kerja Sekolah Siap Sepenuhnya
Kerja sekolah perlu dibuat bukan sekadar 'melepas Batok di tangga'. Anak-anak perlu berasa bertanggungjawab untuk menyiapkan kerja sekolah dengan baik. Sebagai ibu bapa pula, bukan setakat pantau anak-anak menyiapkan kerja sekolah ini, tetapi turut sama membantu dan memberikan kefahaman kepada anak-anak mengenai kerja sekolah yang perlu disiapkan.Anak-anak akan lebih bersemangat kalau ada ibu bapa di sisi sebagai pendorong. Malah, mereka akan rasa dihargai.
Tuisyen
Bagi saya dan isteri, tuisyen adalah penting untuk memastikan anak-anak dapat menguasai dengan baik apa yang mereka telah belajar di sekolah. Jika ada mana-mana kelas tuisyen diadakan di tempat anda, daftarkan anak anda dalam kelas tersebut.Tidak perlu daftar semua matapelajaran. Ini untuk elakkan anak rasa terbeban dan hilang waktu senggang mereka bersama keluarga. Daftar kelas tuisyen untuk subjek yang lemah sahaja.
Jika sekolah ada buat kelas tuisyen, jangan teragak-agak untuk hantar anak ke kelas tersebut. Guru di sekolah lebih faham akan kelebihan dan kekurangan anak-anak kita dalam akademik. Ia lebih baik dari hantar anak ke kelas tuisyen luar.
Oh ya, jangan ingat kelas tuisyen yang dibayar mahal itu bagus. Ini tidak semestinya. Kadang kelas tuisyen yang dibayar Rm30 sebulan dan diajar 2-3 kali seminggu selama sejam pun sudah cukup baik untuk anak-anak tingkatkan pengetahuannya dalam subjek dipilih.
Hubungan Erat Antara Guru, Anak dan Ibu Bapa
Eratkan silaturrahim antara mereka yang memberikan ilmu yang baik kepada anak. Seingat saya, mereka yang berjaya di dalam akademik biasanya mempunyai hubungan yang akrab dengan guru-guru dan cikgu di sekolah mahupun di pusat tuisyen.Malah, hubungan baik ini bukan sekadar antara murid (anak kita) dengan guru tetapi juga antara guru dengan ibu bapa.
Zaman sekarang, zaman teknologi sehingga ada group WhatsApp dibentuk yang terdiri dari ibu bapa murid dan guru kelas/subjek. Maka, pastikan dalam group tersebut tidak hentam guru yang ajar anak kita, atau menyumpah seranah mengenai sesuatu isu yang tidak menyebelahi anak kita.
Saya lihat ada sesetengah ibu bapa yang suka menyalahkan guru-guru di sekolah atas kesilapan anak. Walhal, ibu bapa lain tiada pun isu dibangkitkan malah menerima dengan baik. Akibatnya, rosaklah hubungan yang sepatutnya murni dan beradab menjadi medan menzahirkan ketidakpuas-hatian.
Mahu anak kita jadi murid dan pelajar cemerlang, maka jagalah hubungan sesama manusia ini sepertimana menjaga hubungan baik kita dengan Allah S.W.T.
Amalkan Makanan Bagus Untuk Minda
Jika anda lihat kehebatan anak-anak yang mampu menghafaz Al Quran dengan baik, kebanyakkan mereka menjaga pemakanan dengan sangat baik sekali. Antara petua yang sering saya usulkan jika mahu anak yang cemerlang ialah dengan menjaga makan mereka.Berikanlah makanan yang mampu meningkatkan daya ingatan, kecerdasan otak serta minda. Antara makanan tersebut adalah kismis, madu, kurma, susu segar, buah delima, sayuran hijau, telur, buah strawberi/bluberi, bijirin dan juga ikan segar.
Berikan anak anda coklat hitam kerana makanan ini bagus dalam membantu memberikan pandangan yang tajam selain meningkatkan kemampuan otak. Sebaiknya, berikan coklat ini bersama badam atau kismis atau boleh dibuat minuman bersama susu.
Elakkan makanan yang melemahkan minda anak, seperti contoh kepala ikan, air minum yang dicemari semut, makanan dan minuman ringan, minuman berkarbonat, makanan proses atau makanan segera (sosej, mee segera) serta makanan yang ada bahan pengawet serta aditif.
[Baca] Senarai Makanan Yang Boleh & Tidak Boleh Dijual di Kantin Sekolah
Redha
Ibu bapa mesti ada rasa redha dan syukur. Ia bukan dibuat hanya ketika anak anda nak hadapi ujian serta peperiksaan, tetapi juga setiap kali mereka pergi dan pulang ke/dari sekolah. Redha ibu bapa penting untuk menjadikan anak cemerlang dalam hidup.Bila redha, sebagai ibu bapa .. kita takkan rasa ingin marah atau menghukum. Dengan syarat, redha itu dengan usaha yang bersungguh tanpa pengabaian terhadap anak-anak.
[Baca] 6 Sebab Ayah Perlu Rapat Dengan Anak Sejak Kecil
Ok. Cukup.
Saya cuba kongsikan secara am seringkas mungkin tetapi cukup memadai untuk anda faham serta ketahui rahsia untuk anak anda berjaya cemerlang dalam UPSR. Tips dan petua di atas, bukan sekadar untuk jadi cemerlang dalam peperiksaan seperti UPSR .. tetapi secara menyeluruh.
Ulangkaji?
Saya tak terlupa mengenai petua ini. Cumanya, dalam kes saya .. saya tak nampak anak saya mengulangkaji pelajaran di rumah. Ia lebih kepada memberikan tumpuan sepenuhnya di dalam kelas.
Dan andainya ada proses ulangkaji ini, ia lebih ditumpukan ketika melaksanakan kerja-kerja sekolah di rumah samada di waktu persekolahan biasa, atau waktu cuti termasuk cuti panjang. Waktu ini boleh digunakan untuk proses ulangkaji.
Anak-anak juga perlukan waktu dan masa untuk bermain, bermesra dengan ahli keluarga yang lain selain bercuti. Jangan ambil waktu emas ini walaupun peperiksaan sudah semakin hampir. Waktu tidak boleh dibeli dan tidak boleh dikembalikan.
Anak-anak ada hak untuk 'sesuatu' bagi diri mereka, dan bukan semata mahu memenuhi impian ibu bapa yang berkehendakkan diri mereka mendapat result cemerlang di dalam peperiksaan seperti UPSR.
Akhir sekali, jangan terlalu berharap dan menekan. Kita tak mahu anak-anak stress. Kita juga harus sedar akan kemampuan anak-anak, namun di masa yang sama berusaha untuk perbaiki kelemahan yang ada. Beri sokongan bukan tekanan.
Harapnya perkongsian tidak seberapa saya ini dapat membantu para ibu bapa mahupun anak-anak yang bakal mengambil peperiksaan kelak, khususnya anak-anak yang akan ambil peperiksaan UPSR tahun ini.
Semoga berjaya, dan jangan lupa minta pada Tuhan.
Bagus tips ni,
BalasPadamTips yg sangat berguna...
BalasPadamtips yang bagus dan bila ckp kat budak2 mmg diaorg tahu tapi tak nak buat.. ;D
BalasPadamCatat Ulasan
Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.