Saya harap anda dapat sesuatu dari perkongsian ini nanti. Tips parenting ni dah lama, ia tersimpan dalam inbox email saya. Jadi dari biarkan ia terperap, maka saya ambil usaha untuk tulis dan olah serba sedikit untuk pembaca blog saya seperti anda.
25 Tips Untuk Merangsang Perkembangan Otak dan Minda Bayi dan Anak Kecil
Tahukah anda wahai para ibubapa, pakar perkembangan bayi percaya bahawa tahun-tahun pertama kehidupan bayi merupakan tempoh utama pembelajaran berlaku. Menurut pakar-pakar ini, anda sebenarnya tidak perlu muzik-muzik klasik, pita-pita belajar bahasa atau kad imbas untuk merangsang otak bayi atau kanak-kanak.Menurut mereka, instrumen terbaik untuk merangsang perkembangan otak bayi dan anak-anak ialah diri anda sendiri sebagai ibubapa.
Mungkin akan ada yang menyangkal pendapat daripada pakar-pakar ini, namun cuba fikirkan... sebelum adanya muzik yang boleh didengar menerusi kaset, mp3, atau menerusi video Youtube .. elok je para ibubapa terdahulu membesarkan anak-anak sehingga ada yang menjadi orang bijak pandai dan ternama.
Mereka tak gunakan pun kad imbas, tetapi ramai je yang dapat belajar sampai ke luar negara.
Jadi, ia bukan benda baharu.
Teknik lama yang sudah dibuktikan bersandarkan sains (pakar) adalah cara terbaik merangsang otak anak. Ya, bercakap, menyanyi dan ketawa bersama-sama dengan bayi dan anak, ia adalah jenis-jenis interaksi harian yang mudah dilakukan yang boleh memberikan sangat hebat untuk minda dan otak si kecil.
Namun, kadangkala memang sukar untuk memikirkan cara-cara baru untuk merangsang anak kecil anda (terutama sekali apabila anda tidak tidur malam meredakan tangisannya) .. huhu .. betul tak?
Jadi, mari lihat 50 tips berikut. Ianya panduan yang disyorkan oleh pakar perkembangan anak, in Sha Allah .. ia akan membuahkan hasil yang para ibubapa ingin dan harapkan.
1. Bertentangan Mata
Ambil peluang ketika mata si kecil terbuka luas. Lihatlah ke dalam-dalam anak matanya. Bayi kecil dapat mengenal wajah di awal usia dan wajah anda adalah yang paling penting. Setiap kali dia merenung anda, dia sedang membina memorinya.Tenung matanya ketika dia sedang ketawa gembira, menangis teresak-esak, waktu si kecil menikmati makanan/minuman.
2. Berkata-Kata Dengannya
Walaupun reaksi yang akan anda dapat adalah rupa keliru dan hairan di wajahnya, cuba berhenti sebentar di antara ayat untuk menggalakkan bayi atau anak kecil memberikan reaksi. Lama-kelamaan, dia akan dapat menangkap ritma perbualan dan mengisi ruang kosong yang anda biarkan senyap tadi.3. Penyusuan Susu Ibu
Ada golongan ibu yang akan hentikan penyusuan susu ibu apabila bayi atau anak dah mencapai umur 2 tahun. Tindakan ini sebenarnya merugikan kerana anda telah buang kelebihan untuk menjadikan anak anda lebih bijak dan sayang kepada keluarganya.Sebaiknya, lakukan selama mana yang anda boleh!
Tahukah anda bahawa kenyataannya adalah, kanak-kanak bersekolah yang disusukan dengan susu ibu semasa bayi adalah tinggi IQnya. Tambahan pula, dengan menyusu badan anda dapat merapatkan hubungan dengan bayi sambil menyanyi, bercakap atau membelai rambutnya..
4. Jelir Lidah
Kajian menunjukkan bahawa bayi yang baru lahir semuda dua hari dapat meniru pergerakan wajah yang mudah - ia menandakan kaedah penyelesaian masalah di awal usia. Anda boleh jelir lidah, kenyitkan mata, memberikan senyuman, atau buat memek muka.5. Hasilkan 'Album' Haiwan Sendiri
Sesekali bawalah anak anda melawat zoo, ambillah gambar-gambar haiwan kesukaannya untuk dialbumkan. Kemudian, 'bacalah' buku itu bersama-sama sambil menamakan haiwan yang dikenali atau membuat bunyi-bunyi binatang dan cerita haiwan.Dengan teknologi sekarang, anda boleh ambil gambar dengan smartphone sahaja dan simpan dalam satu folder khas dalam memori telefon. Setiap kali bermain dengan anak anda, boleh tunjukkan gambar-gambar haiwan tersebut.
6. Geletek
Geletek keseluruhan tubuhnya. Ketawa, merupakan langkah pertama dalam perkembangan humor bayi. Permainan seperti 'cak cekur' dan 'labah-labah panjat perigi' dapat mengajar anak bagaimana hendak menjangka apa yang bakal berlaku.Ia juga bagus untuk mengawal stress anda sebagai ibubapa. Anda tentu akan rasa seronok dan tenang apabila melihat bayi atau anak kecil ketawa berdekah keseronokan.
[Dah Baca?] 4 Tips Rangsang Otak Bayi Ketika Mandi
7. Tunjukkan Perbezaan
Pegang dua keping gambar lebih kurang 8-12 inci jaraknya dari muka bayi anda. Gambar-gambar tersebut seharusnya lebih kurang sama tetapi ada sedikit perbezaan (mungkin salah satunya ada pokok dan satu lagi tiada).Bayi yang masih kecil pun boleh melihat kedua-duanya dengan teliti dan mencari perbezaannya. Ini dapat membantu perkembangan dalam pengecaman huruf dan pembacaan apabila dia besar kelak.
8. Berkongsi Pandangan
Bawalah bayi anda berjalan-jalan dalam pendukung bayi yang boleh diikat ke badan anda dan beritahu semua perkara yang anda nampak kepadanya. "Tengok anak kucing tu." atau "Besarkan pokok ni!" atau "Dengar tak bunyi bomba tu?" - untuk membekalkan bayi anda dengan sebanyak mungkin perbendaharaan kata.9. Nyanyikan Lagu
Belajarlah sebanyak mungkin lagu yang anda boleh atau rekalah lagu anda sendiri ("mari kita tukar lampin, tukar lampin, tukar lampin...."). Ia mungkin akan menjadi lagu keluarga anda nanti.Contohnya macam lagu viral Baby Shark tu, anda boleh ubahnya menjadi lagu dengan ayat atau lirik anda sendiri. Jika anda buka YouTube, dah pelbagai versi lagu Baby Shark atau setidaknya mempunyai irama dan ritma yang serupa.
Ada kajian yang mencadangkan bahawa mempelajari ritma muzik, ada kaitan dengan pembelajaran matematik.
10. Gunakan Peluang Ketika Waktu Tukar Lampin
Waktu tukar lampin adalah waktu emas antara anda dengan anak kecil anda. Gunakan waktu menukar lampin ini untuk mengajar bahagian-bahagian badan atau pakaian.Anda boleh sekalikan dengan proses geletek tadi supaya lebih interaksi. Buat secara berulangan atau jadikan ia satu rutin setiap kali menukar lampin.
11. Sentuh dan Rasa
Simpan sekotak helaian kain dengan tekstur yang berbeza-beza; sutera, kain tuala, kain kapas dan linen. Perlahan-lahan sapukan kain-kain tersebut pada pipi, kaki dan perut bayi sambil bercerita bagaimana rasanya.Anda sebenarnya mengajar bayi anda menggunakan deria supaya jadi peka dan boleh membezakan. Ia pastinya akan merangsang otak bayi anda.
12. Pergi Beli-Belah
Bila sebut beli-belah, ia pasti akan dikaitkan dengan wanita. Ia menjadi terapi buat golongan ini. Bagi bayi dan anak kecil pula, ia adalah cara untuk membolehkan mereka menggunakan deria dengan lebih baik.Bayi akan memberikan reaksi di persekitaran yang di luar kebiasaannya. Wajah-wajah, bunyi-bunyian dan warna-warna yang ada di sana akan menghiburkan bayi. Pada masa sama, ia akan merangsang deria penglihatan dan pendengaran.
13. Beri Kata Kunci
Jika anda berkata, "Mak nak buka lampu ni," sebelum menekan suis, anda sedang mengajar sebab dan akibat. Amalkan sentiasa, ia pasti akan memberikan kesan positif untuk perkembangan otak anak anda.14. Beri Kejutan
Kadangkala, gembirakan bayi dengan meniup muka, tangan atau perutnya perlahan-lahan. Cuba tiup sambil membuat corak dan lihat reaksinya.15. Biarkan Bermain Tisu
Jika bayi anda suka main tisu, biarkan sahaja. Dengan hanya beberapa sen, anda mendapat alat mainan deria yang boleh direnyuk dan digosok. Sorokkan mainan kecil di bawah tisu dan biarkan dia mencari.Pada masa sama, anda juga akan seronok melihat keletahnya.
16. Baca Buku
Baca buku yang ringkas dan pendek berulangkali. Para pengkaji telah mendapati bahawa bayi seawal usia lapan bulan dapat belajar mengenali turutan dalam sesebuah cerita jika dibaca dua atau tiga kali secara berturutan. Ia dipercayai membantunya belajar tentang bahasa.17. Main Cak-Cak
Bayi dan anak kecil memang suka main sorok-sorok atau cak-cak. Menyorok-nyorok bukan sahaja membuatkannya dia ketawa, tetapi membuat rangsangan kepada otak. Malah, ia juga bagus untuk 'membentuk' wajah si bayi kerana pergerakan otot wajah.Dengan bermain cak-cak, bayi anda dapat belajar bahawa objek boleh hilang dan muncul kembali.
18. Jangan Lupa Rehat
Luangkan masa beberapa minit sehari dengan hanya duduk di atas lantai bersama bayi anda - tanpa muzik, tanpa cahaya terang, tanpa mainan. Hanya biarkan anak meneroka dan lihatlah ke mana dia membawa anda.19. Bermain Dengan Warna
Pilih satu warna dan suruh anak anda cari objek lain yang sama warna sewaktu anda berdua berjalan atau menaiki kereta bersama. Kemudian, suruh pula anak memilih warna untuk anda pula mencarinya.20. Biarkan Bermain Dengan Makanannya
Apabila anak sudah boleh makan, hidangkan makanan dengan tekstur yang berbeza - termasuklah kacang pea yang telah dimasak, bijirin, pasta atau cebisan daging dikisar. Biarkan dia membelek, menggenggam, memicit, meleyek dan mencubit.Dengan membiarkannya, si kecil anda dapat berlatih mengenai sentuhan dan meneroka deria rasanya.
21. Angkatkan Sahaja
Jika bayi anda asyik menjatuhkan barang mainannya dari kerusi makannya yang tinggi, angkatkan dan beri kembali kepadanya walau berapa kali pun dia melakukannya. Jangan dimarah sebab anak anda sedang belajar sesuatu secara praktikal.Dia sebenarnya sedang belajar dan menguji hukum graviti. Berikan dia beberapa keping kertas atau bola tennis, letakkan besen besar di bawah kerusinya dan biarkan dia menjalankan eksperimennya sendiri.
22. Biarkan Membebel
Bayi anda memahami suara tinggi dan bunyian aneh yang anda buat.23. Latihan Meneka
Gunakan beberapa cawan plastik dan sorokkan satu permainan kecil di dalam salah satu cawan tersebut dan biarkan dia meneka sambil mencari mainannya. Anda sedang memberikan rangsangan untuk anak anda berfikir mengenai logik.24. Bina Laluan Halangan
Tingkatkan kemahiran motor dengan meletakkan kusyen sofa, bantal, kotak atau permainan di atas lantai dan kemudian tunjukkan kepada bayi bagaimana hendak merangkak di bawah, di atas atau di sekeliling halangan tersebut.Anda sedang merangsang otak anak anda untuk mencari penyelesaian kepada masalah.
25. Ikut Rentaknya
Semakin anak anda membesar, dia semakin suka mencuba kreativitinya untuk melihat jika anda benar-benar mengikut apa yang dia lakukan seperti membuat bunyi aneh, merangkak secara terbalik atau ketawa. Jadi, anda ikut rentaknya.[Dah Baca?] 11 Tanda-Tanda Awal Anak Anda Adalah Anak Bijak
Jadi macamana dengan 25 tips diberikan tadi? Adakah ia berikan sesuatu kepada anda sebagai ibubapa? Agak bagus kan segala tips diberikan tu?
Samada anda percaya atau tidak, hampir kesemua tips diberikan tu saya dan isteri praktikkan dalam membesarkan anak-anak kami. Alhamdulillah. anak sulong kami antara pelajar terbaik di Malaysia semasa UPSR, dan sekarang terus membanggakan keluarga di SMKA Ulul Albab.
Segala tips diberikan di atas, tak susah mana .. boleh je dipraktikkan oleh ibubapa. Cumanya, mungkin 3-5 tips tu agak mencabar sedikit kesabaran. Jadi, kenalah bersabar.
Nak didik anak jadi bijak pandai dan mampu berdikari kelak bukannya mudah, kena banyak berkorban. In Sha Allah.
mudah aje nak rangsang diorang rupanya.. main cak2 je boleh
ReplyDeletePost a Comment
Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.