Untung menjadi penjawat awam ni, pelbagai kemudahan dan keistimewaan diberikan oleh kerajaan bagi memastikan kebajikan terjaga. Antara yang menarik perhatian saya ialah cuti bergaji maksima 5 hari diberikan kepada ibubapa atau penjaga (penjawat awam) yang anaknya  mengidap penyakit berjangkit.

Langkah pemberian cuti bergaji ini adalah sebagai langkah-langkah pencegahan dengan memastikan anak jagaan ibubapa atau penjaga dikuarantin di rumah untuk elakkan penyakit berjangkit yang dihadapi tidak dijangkiti orang lain, terutama kepada kanak-kanak.

Cuti Kuarantin 5 Hari Jika Anak Hidap Salah Satu Penyakit Berjangkit

Cuti Kuarantin 5 Hari Kakitangan Awam
Mungkin ada ibubapa atau penjaga yang tidak pasti mengenai pemberian cuti bergaji maksima 5 hari ini, terutama dari segi jenis penyakit, cara mendapatkan cuti ini dan kanak-kanak yang layak diberikan cuti kuarantin ini.

Pemberian cuti kuarantin ini telah mula dilaksanakan mulai 1 Januari 2017.

Alhamdulillah, ramai ibubapa dan penjaga telah dapat manfaat daripada kemudahan cuti kuarantin ini termasuklah isteri saya, yang perlu menjaga dan kuarantin anak bongsu saya yang disahkan terkena Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut atau HFMD.


Penyakit HFMD adalah antara beberapa jenis penyakit yang sangat mudah berjangkit kepada orang lain terutama kepada kanak-kanak. Penyakit ini mudah tersebar menerusi cecair dari air liur, cecair lepuh (blister) dan najis dari mereka yang berpenyakit dengan tempoh inkubasi adalah antara 3-5 hari.

Isteri Dapat Cuti Kuarantin 5 Hari - Hikmah Dapat Cuti Raya Lebih Awal

Cuti Kuarantin 5 Hari Kakitangan Awam
Jika isteri saya tak diberikan cuti kuarantin ini, memang susahlah saya seorang nak menjaganya, apatah lagi anak saya tu masih lagi menyusu badan. Anak kerap meragam dan sukar nak makan disebabkan lepuh atau ulser dalam mulut.

Cuti kuarantin ini diberikan maksima 5 hari tidak termasuk cuti umum.


Hari tu, isteri saya bawa anak saya ke kecemasan untuk rawatan pada hari Sabtu, jadi dapatlah cuti kuarantin ini selama seminggu (5 hari bekerja) untuk jaga dan kuarantin anak saya tu di rumah. Anak dilarang sama sekali dihantar ke rumah pengasuh kerana adanya kanak-kanak lain untuk elakkan jangkitan.

Kebetulan, cuti kuaratin diberikan adalah beberapa hari sebelum bermulanya cuti untuk Hari Raya Aidilfitri.

Rezeki.

Jika tidak, isteri saya memang tak dapat cuti hari raya tahun ini kerana kesibukan kerja. Rezeki diberikan cuti dan jaga anak bongsu saya untuk kembali pulih dari HFMD. Alhamdulillah, anak bongsu saya dapat pulih dan sembuh sebelum hari raya .. dan tidak perlu lagi dikuarantin.

Uh .. bayangkan kalau hari raya ... tidak boleh balik ke kampung dan perlu berada di dalam rumah sentiasa .... mesti sadis dan sedih kan?

Cuti Diberikan Mengikut Perintah Am 24 Bab C (Cuti)

Cuti Kuarantin 5 Hari Kakitangan Awam
Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2016, peruntukan cuti kuarantin ini dilaksanakan berdasarkan peruntukkan di bawah Perintah Am 24 Bab C (Cuti) untuk kakitangan dan penjawat awam Malaysia.

Menurut pekeliling tersebut, kerajaan telah bersetuju supaya kemudahan Cuti Kuarantin diberikan kepada pegawai yang anaknya menghidap penyakit berjangkit dan perlu dikuarantin. Ianya adalah selaras dengan keprihatinan kepada institusi kekeluargaan dalam konteks penjagaan kesihatan anak.

Jenis Penyakit Berjangkit Diberikan Cuti Kuarantin

Jenis penyakit berjangkit yang layak diberikan cuti kuarantin adalah seperti di bawah:
  1. Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (Hand, Foot and Mouth Disease) atau HFMD
  2. Demam Denggi dan Demam Denggi Berdarah
  3. Campak (Measles)
  4. Chickenpox
  5. Difteria
  6. Malaria 

Kategori Anak Jagaan

Kategori anak jagaan ibubapa atau penjaga bagi mereka yang berkhidmat sebagai penjawat awam yang layak untuk cuti kuarantin adalah seperti di bawah:

  • Anak Kandung - bermaksud anak sendiri.
  • Anak Tiri Tanggungan - bermaksud anak kepada suami atau isteri hasil daripada perkahwinannya yang terdahulu yang tinggal bersama dan ditanggung nafkahnya.
  • Anak Angkat de Facto - bermaksud seseorang kanak-kanak itu berada dalam jagaan, sedang dibesarkan, ditanggung dan dididik oleh pegawai sebagai anaknya di bawah sesuatu pengangkatan de facto, dan bagi suatu tempoh tidak kurang daripada dua (2) tahun yang berterusan dan sebelum sahaja dari tarikh permohonan tersebut di bawah Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 [Akta 253].
  • Anak Angkat - bermaksud seseorang anak yang telah dibenarkan oleh Mahkamah untuk diangkat atau diangkat semula di bawah Akta Pengangkatan 1952 [Akta 257].
  • Anak Pelihara - bermaksud seseorang kanak-kanak yang diberi pemeliharaan, jagaan dan kawalan kepada ibu bapa peliharaan di bawah perenggan 30(1)(e) Akta Kanak-kanak 2001 [Akta 611].


Kelayakan Dan Perlaksanaan Cuti Kuarantin

Cuti Kuarantin 5 Hari Kakitangan Awam
Kelayakan untuk menerima atau memohon cuti kuaratin ini adalah diberikan kepada mana-mana pegawai kakitangan serta penjawat awam, sekiranya mana-mana anak pegawai telah diberi perakuan oleh mana-mana pegawai perubatan Kerajaan atau swasta yang menyatakan anak tersebut perlu
dikuarantin kerana penyakit berjangkit.

Untuk layak mendapatkan atau memohon cuti ini, pegawai mestilah ibu dan bapa yang sah. Anak adalah termasuk:
  1. anak kandung;
  2. anak tiri tanggungan;
  3. anak angkat de facto;
  4. anak angkat; dan
  5. anak pelihara.

Cuti yang diberikan serta boleh diluluskan adalah terhad kepada maksimum lima (5) hari bagi setiap kes atau selama tempoh perakuan yang dikeluarkan oleh mana-mana pegawai perubatan Kerajaan atau swasta mengikut mana yang lebih rendah, tidak termasuk hari rehat mingguan, hari kelepasan mingguan dan hari kelepasan am.

Perlaksanaan cuti ini adalah seperti berikut:
  1. Pegawai boleh menggunakan kemudahan Cuti Kuarantin pada bila-bila masa dalam tempoh perakuan yang dikeluarkan oleh mana-mana pegawai perubatan Kerajaan atau swasta;
  2. Anak disahkan mengalamai siptom atau mengidap penyakit yang disenaraikan sebagai penyakit berjangkit seperti dinyatakan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2016
  3. Permohonan hendaklah dikemukakan kepada Ketua Jabatan berserta perakuan yang dikeluarkan oleh mana-mana pegawai perubatan Kerajaan atau swasta dengan menggunakan Borang Permohonan Cuti Kuarantin.


Muat-Turun Borang Permohonan Cuti Kuarantin

Borang ini boleh dimuat-turun menerusi pautan berikut - https://docs.jpa.gov.my/docs/pp/2016/pp112016.pdf

Jika pejabat agak jauh, boleh gunakan borang tersebut.

Bagi kes isteri saya, tempat kerja memang tidak jauh dari rumah dan juga hospital. Jadi, selepas dapat sahaja surat pengakuan untuk Cuti Kuarantin, terus sahaja isi borang di pejabat dan maklumkan kepada ketua jabatan untuk kelulusan.

Okeh.

Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak berikan panduan untuk ibubapa atau penjaga yang mahu info berkaitan Cuti Kuarantin yang disediakan oleh kerajaan. Manfaatkan sebaiknya untuk pastikan anak sihat dan kembali pulih.

Post a Comment

Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

Terbaru Lebih lama

Advertisement

Bisnes Shopee

Advertisement

BERMASALAH DENGAN HARTA PUSAKA?

Panduan Mengurus Harta Pusaka dan Hibbah. - Nak Tahu? Klik Sini Sekarang!!


Advertisement