Sambutan Hari Raya Aidil Adha dimulai dengan takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, seterusnya diikuti dengan solat sunat Aidiladha pada siang harinya. Dan kemudian disusuli dengan ibadah korban sama ada dilakukan pada 10, 11, 12 atau 13 Zulhijjah. Keempat-empat hari ini merupakan Hari Tasyrik. Hari Tasyrik ialah hari yang diharamkan untuk berpuasa bagi umat Islam.
Amalan Sunat Dilakukan dan Diamal Di Pagi Hari Raya Aidil Adha
Hari Raya Qurban mempunyai keberkatannya tersendiri, malah Allah S.W.T berikan banyak kelebihan buat mereka yang mahu imarahkannya dengan amalan-amalan yang baik dan disunatkan untuk dibuat.Pada waktu pagi hari raya Aidil Adha ini, eloklah jika kita mengikuti beberapa perkara sunat yang boleh dilakukan antaranya:
- Mandi sunat Aidiladha pada pagi harinya.
- Memakai pakaian baru dan bersih sebagai tanda syukur kepada Allah.
- Memakai haruman dan wangian yang menyenangkan.
- Memohon keampunan dan bermaaf-maafan sesama ahli keluarga.
- Sunat menjamah makan-minum selepas pulang dari masjid.
- Menggunakan jalan berbeza sewaktu pergi dan pulang dari masjid. Lebih afdal dengan berjalan kaki jika masjid tidak terlalu jauh.
- Bertakbir, tahmid dan tahlil bermula dari malam 10 Zulhijjah hingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah (Takbir Muqayyad).
- Bersolat sunat hari raya dan mendengar khutbah penuh penghayatan.
- Ziarah menziarahi kaum keluarga, jiran tetangga, dan sahabat handai.
- Bersedekah kepada mereka yang memerlukan.
- Elakkan menyambut hari raya dengan perkara yang ditegah syarak.
Bertakbir
Rasulullah S.A.W menyarankan umat Islam menyambut hari raya dengan banyak memuji kebesaran Allah. Nabi Muhammad bersabda, bermaksud:"Hiasilah hari raya (Aildilfitri dan Aldiladha) kamu dengan takbir, tahlil, tahmid dan taqdis (mengingati dan mengagungkan Allah)." (H.R al-Thabrani).Pada Hari Raya Haji atau Aidil Adha disunatkan bertakbir (Takbir Muqayyad) setiap kali selepas solat fardu, bermula dari Subuh Hari Arafah (9 Zulhijjah) sehingga waktu Asar pada hari ke 3 Tasyriq, iaitu 13 Zulhijjah.
Melakukan Ibadah Korban
Aidil Adha disebut juga Hari Raya Korban. Kata `Adha’ adalah bentuk jamak daripada kata `dahiyah’ yang bererti haiwan korban. Korban atau udhiah bermaksud menyembelih haiwan tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an’am iaitu unta, lembu, kerbau, biri-biri dan kambing.
Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda:
"Tiada sesuatu amalan anak Adam di hari Nahar (Hari Raya Korban) yang lebih disukai Allah selain menyembelih haiwan korban.Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan cukup segala tubuh anggota, cukup bulunya, tanduknya, dan kuku-kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak pada suatu tempat di sisi Allah SWT. sebelum mengalir ke tanah. Kerana itu berbahagialah dirimu dengannya." (H.R Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim)
Ibadat korban Aidil Adha boleh dilakukan selama empat hari bermula 10 Zulhijjah, iaitu pada Hari Nahar atau Hari Raya Haji (10 Zulhijah) dan pada hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijah) kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.
Selamat Hari Raya Aidil Adha
Sempena Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Korban ini, saya sekeluarga ingin menzahirkan kemaafan dan keampunan andai ada silap dan salah. Kami mendoakan agar kehidupan anda dipenuhi dengan raya syukur kepada Allah S.W.T dan sentiasa mengingati segala anugerah percuma yang Allah berikan.Sama-sama kita menjadikan diri kita lebih baik, bukan setakat melakukan ibadah-ibadah sunat di pagi hari raya, tetapi juga memastikan bahawa kita sentiasa berusaha untuk menjadi seorang muslim yang baik, hambaNYA yang tidak engkar pada hukum Allah.
[Dah Baca?] Teknik Betul Melapah Lembu Korban
Hari raya memberikan kita kesempatan untuk tunjukkan kita adalah seorang hamba Allah yang baik. Merayakan dan meraikan Hari Raya Korban membolehkan kita sebagai umat Islam menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan dengan niat kerana Allah S.W.T.
[Dah Baca?] Cara Betul Menyimpan Daging Korban agar Tahan Lebih Lama
Ia juga bagi membuktikan ketaqwaan seseorang Muslim dengan meninggalkan larangan serta menjauhkan dari melakukan perkara-perkara yang boleh mengundang kemurkaan Allah S.W.T seperti maksiat, kesombongan, bermasam-muka, dengki khianat dan sebagainya.
Rujukan: JAKIM
Catat Ulasan
Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.