Antara pelbagai instrumen untuk menambah simpanan, pelaburan unit amanah menjadi antara pilihan mudah serta menguntungkan untuk rakyat Malaysia. Selain ianya mudah untuk dilakukan, instrumen simpanan ini tidak memerlukan modal yang besar malah terdapat banyak pilihan untuk dipilih.
Tips Memulakan Pelaburan Unit Amanah Untuk Anak-Anak
Jika dilihat menerusi beberapa laman web berkaitan pelaburan dan unit amanah, terdapat beratus-ratus dana serta unit amanah yang boleh dipilih, khususnya untuk ibubapa yang merancang untuk memulakan simpanan jangka-masa panjang dan pelaburan untuk anak-anak.Apabila dah banyak pilihan yang tersedia, memang menjadi kesukaran buat ibubapa memilih dana atau instrumen pelaburan unit amanah yang paling sesuai. Kesesuaian ini pastinya akan bergantung kepada beberapa faktor terutama dari segi kebolehupayaan kewangan.
Ada beberapa tips pemula untuk pelaburan amanah ini. In Sha Allah, saya akan kongsikan beberapa tisp yang sesuai untuk para ibubapa memilih pelaburan amanah yang sesuai - atas kapasiti keupayaan ibubapa.
Baik, para ibubapa sekalian .. sila hadam tips berkaitan memulakan pelaburan ini baik-baik ya.
Pertama sekali, jika ingin memulakan pelaburan unit amanah dan ingin menjadi seorang yang financial literacy (cerdik kewangan), janganlah sekadar memilih dana berdasarkan kepada populariti atau mengikut saranan ejen unit amanah sahaja.
Aha ... awas dengan ayat-ayat pemujuk ejen. Jangan mudah buat keputusan hasil informasi daripada satu dua ejen semata.
Sebaliknya, buatlah kajian dan analisa sendiri agar dana unit amanah yang dipilih nanti memenuhi objektif yang anda ingin capai dan expectation yang anda harapkan, khususnya untuk masa depan anak-anak. Jangan sampai ia menjadi bebanan kewangan.
Langkah 1 – Pilih Jenis Dana & Sektor Dana
Jika kita pergi ke pasar, memang akan terdapat banyak jenis ikan. Kena pilih ikan yang betul supaya nanti, bila pulang ke rumah untuk memasak, kita tidak akan rasa kecewa. Walaupun harganya murah, belum tentu ia segar dan sedap untuk dimasak. Ada yang murah dan segar. Ada yang mahal, tetapi rupanya ikan ais yang diimport dari luar.Memang kena pandai memilih, begitulah juga dengan dana pelaburan amanah.
Begitulah adanya dengan jenis dana pelaburan yang ada. Jangan sekadar melihat luaran - hasil yang akan diberikan, tetapi lihat juga cara instrumen pelaburan itu dilaksanakan.
Jenis Pelaburan Dana
Secara asasnya, semua dana ini dapat dibahagikan kepada 3 mengikut peruntukan aset pelaburan setiap dana, iaitu dana ekuiti, dana seimbang dan dana berpendapatan tetap.Dana ekuiti memperuntukkan majoriti asetnya dalam pelaburan ekuiti/saham, dana berpendapatan tetap memperuntukkan asetnya dalam pasaran wang, bon atau sukuk manakala dana seimbang adalah campuran kedua-dua dana ekuiti dan dana berpendapatan tetap.
[Dah Baca?] Cara Nak Melabur Dalam Unit Amanah Hartanah Bumiputera
Daripada 3 jenis dana unit amanah yang asas ini, akan dibahagikan lagi mengikut objektif pelaburan (pertumbuhan modal, pendapatan dividen, modal kecil), sektor/tema (komoditi, kewangan, hartanah, pengguna, teknologi), geografi (Malaysia, ASEAN, Asia, global) dan kepatuhan syariah (patuh-syariah, konvensional)
Secara umum, dana ekuiti adalah lebih berisiko kerana pendedahan lebih tinggi terhadap pasaran saham yang mana cenderung untuk naik dan turun dengan mendadak dalam jangka masa pendek, tetapi lebih menguntungkan dalam masa panjang.
Sebaliknya, dana berpendapatan tetap kurang berisiko, tidak turun-naik dengan mendadak dan pulangannya lebih stabil, tetapi untuk jangka masa panjang, pulangannya adalah tidak seberapa.
Untuk memilih dana unit amanah yang paling sesuai untuk kita, boleh ambil kira beberapa faktor yang berikut:
1. Tempoh Pelaburan
Jika ingin melabur untuk tempoh jangka masa panjang, pilih dana ekuiti kerana turun-naik harga unit tidak akan memberikan kesan yang ketara dalam jangka masa panjang, sebaliknya akan memberikan lebih banyak pulangan.Tetapi jika ingin melabur untuk tempoh masa pendek, iaitu kurang 5 tahun, lebih baik pilih dana berpendapatan tetap atau dana seimbang.
2. Objektif Pelaburan
Objektif yang berbeza memerlukan dana dan strategi pelaburan yang berbeza. Dalam beberapa skim pelaburan, aspek-aspek ini turut disediakan bagi membantu untuk memilih mana yang sesuai. Sila sesuaikan dengan objektif pelaburan untuk kemudahan masa depan anak-anak.Secara umumnya, contoh-contoh objektif pelaburan dan pilihan jenis dana unit amanah yang sesuai adalah seperti yang berikut:
- membina dana persaraan – dana ekuiti umum/agresif
- tabung pendidikan – dana ekuiti umum/dana indeks
- meningkatkan harta kekayaan (capital growth) – dana ekuiti agresif/pertumbuhan
- meraih pendapatan berkala – dana ekuiti pendapatan
- melindungi harta & mengatasi inflasi – dana berpendapatan tetap
- mengumpul wang pendahuluan pembelian rumah – dana ekuiti agresif/pertumbuhan
[Dah Baca?] Cara Buka Akaun SSPN-i Plus untuk Anak-Anak
3. Toleransi Risiko
Walaupun sebagai ibubapa, kita menyediakan kemudahan untuk masa depan anak-anak, kita tak boleh ambil mudah soal toleransi risiko ini. Jadi, sebagai seorang 'pelabur' mewakili anak-anak, kena pastikan pemilihan dana pelaburan adalah yang tepat.Setiap orang mempunyai toleransi risiko yang berbeza, dan ini akan mempengaruhi gaya pelaburan masing-masing. Fahami dulu keupayaan diri kita dalam toleransi risiko ini.
Bagi pelaburan unit amanah, jika anda seorang yang sanggup mengambil risiko yang tinggi, iaitu sanggup melihat turun naik harga dengan mendadak dan sabar menunggu sehingga tempoh masa yang panjang, maka dana ekuiti adalah pilihan yang terbaik.
Tetapi, sebaliknya jika anda hanya sanggup mengambil risiko yang rendah dan tak sanggup melihat turun naik harga, maka dana berpendapatan tetap adalah lebih sesuai untuk dipilih.
Dan jika langsung tidak mahu mengambil sebarang risiko, maka pelaburan unit amanah bukan pilihan yang paling sesuai. Sebaliknya, lebih baik simpan sahaja duit dalam akaun bank, Tabung Haji atau ASB.
[Dah Baca?] Ketahui 3 Jenis Penipuan Pelaburan
Setelah mengambil kira 3 faktor di atas, sekarang kita semua sudah sepatutnya tahu samaada ingin melabur dalam dana ekuiti, dana seimbang atau dana berpendapatan tetap.
Fikir. Lihat keadaan kewangan, objektif pelaburan, dan kemudian pilih bersandarkan kepada pengetahuan dan tips di atas tadi.
Dah buat pilihan?
Kalau dah, barulah kita bergerak ke langkah seterusnya.
Langkah 2 – Menilai Syarikat-Syarikat Pengurus Dana Unit Amanah
Tahukah anda bahawa terdapat banyak syarikat pengurus dana yang menawarkan pelbagai pilihan dana unit amanah yang terdapat di Malaysia. Saya pasti ramai antara kita biasa mendengar yang popular sseperti Public Mutual dan CIMB Principal.Walhal, selain 2 syarikat ini, ada banyak lagi syarikat pengurus dana contohnya Eastspring Investments, Kenanga Investors dan PMB Investment. Cuma kita kurang diberi pendedahan, nama-nama syarikat pengurus dana ini seolah sangat asing dan memberikan kita persepsi bahawa ia mungkin syarikat scammers dalam pelaburan unit amanah.
Jadi, dalam memilih syarikat pengurus dana, janganlah ambil kira populariti sahaja, sebaliknya nilaikan juga prestasi, track record dan konsistensi syarikat pengurus dana tersebut. Semua ini boleh anda peroleh dan dapati menerusi prospektus setiap dana yang mereka tawarkan.
Kenapa penting untuk menilai prestasi syarikat pengurus dana?
Kerana mereka yang akan menguruskan dan melabur duit yang anda laburkan; jika prestasi mereka tidak baik, anda boleh mengalami kerugian.
Persoalannya, bagaimana nak menilai kesemua aspek tersebut?
Kebiasaannya, setiap syarikat mempunyai 1 atau 2 dana yang terbaik.
Tetapi, jika nak menilai prestasi sebenar sesebuah syarikat pengurus dana, jangan dilihat kepada prestasi 1 atau 2 dana yang terbaik itu sahaja.
Sebaliknya, lihat juga prestasi dana-dana lain yang diuruskan mereka, samaada dana-dana tersebut mencapai prestai yang baik dan konsisten ataupun tidak. Bandingkan dana-dana syarikat tersebut dengan penanda aras yang mereka tetapkan.
Bandingkan juga dengan prestasi dana-dana daripada syarikat pengurus dana yang lain.
Lihat prestasi dana-dana tersebut untuk tempoh 3, 5 dan 10 tahun; lihat pada konsistensi, adakah dana-dana tersebut mencatat prestasi yang baik dalam tempoh masa panjang dan semasa ekonomi gawat.
Di mana nak lihat semua ini?
Cara Lihat Prestasi Pengurus Dana Unit Amanah
Untuk lebih mudah, anda boleh lihat di laman web Fundsupermart (pilih menu Funds Info) dan Morningstar (pilih tool Fund Selector).Syor gunakan laman web Fundsupermart sebab lebih mudah.
Daripada perbandingan yang dibuat, jika majoriti dana yang diuruskan syarikat yang dipilih mengatasi dana-dana syarikat lain, dan mencapai prestasi lebih baik berbanding penanda aras yang mereka tetapkan, maka anda telah menemui syarikat pengurus dana unit amanah yang baik.
Sekarang, kita boleh bergerak ke langkah seterusnya.
Langkah 3 – Analisa Khusus Atas Dana Unit Amanah
Dalam langkah ketiga ini, kita perlu membuat analisa khusus ke atas dana unit amanah yang dipilih. Jom lihat contoh ianya dilakukan seperti di bawah ini.Katakanlah, dalam langkah 1, kita memilih untuk melabur dalam dana ekuiti (Malaysia, patuh syariah)
Dalam langkah 2, kita telah mengenalpasti 3 pengurus dana yang memenuhi kriteria yang ditetapkan, sebagai contoh kita telah pilih Eastsping Investments, Kenanga Investors dan PMB Investment.
Daripada 3 pengurus dana ini, kita pilih pula dana mereka yang memenuhi objektif yang telah kita tetapkan, contohnya kita pilih Eastspring Investments Dana al-Ilham, Kenanga Syariah Growth Fund dan PMB Shariah Aggressive Fund.
Untuk ketiga-tiga dana ini, kita perlu menilai setiap dana secara spesifik daripada beberapa aspek, iaitu:
- Prestasi (performance) – Dua perkara perlu dilihat; kedudukan dana vs dana-dana lain dan prestasi dana vs penanda aras
- Volatility – Kadar pergerakan turun-naik harga, menunjukkan kestabilan/konsistensi harga dana
- Sharpe ratio (prestasi berasaskan risiko) – Menilai prestasi dana berbanding risiko yang dtanggung
- Kos dana – Caj jualan, caj pengurusan tahunan dan yuran tahunan pemegang amanah; ditunjukkan melalui expense ratio
Semua ini boleh didapati daripada prospektus dana, laporan berkala/tahunan dan juga menerusi laman web seperti Morningstar dan Fundsupermart tadi.,
Memang kena buat kajian dan kerja lebih sedikit, ini adalah semata-mata untuk memperoleh tawaran yang terbaik untuk pelaburan kita. Jangan ambil mudah, kerana hasil akhir nanti bergantung dengan permulaan kita membuat pelaburan.
Selepas membuat penilaian spesifik ke atas dana-dana yang dipilih, sekarang sudah boleh tentukan dana mana yang paling baik mengikut kehendak serta keperluan kita. Ambil masa untuk membuat keputusan, ia adalah kebaikan untuk masa depan dan jangkamasa panjang.
Pun begitu, kadangkala dengan tips yang diberikan, ada juga yang terasa susah untuk membuat pilihan, boleh sahaja mulakan pelaburan unit amanah ini melalui 2 atau 3 dana sekaligus. Tak ada masalah, tetapi .. jangan pula terlalu banyak hingga jadi satu bebanan kewangan.
Maksima, cukup sehingga 3 dana sahaja.
Langkah 4 – Mula Melabur
Orait, sekarang, kita dah ada pilihan untuk mula melakukan pelaburan. Kita dah ikuti semua langkah penting dari langkah satu hingga tiga, dari memilih syarikat menguruskan dana, jenis dana pelaburan yang ditawarkan dan membuat kajian serta penilaian.Untuk mula melabur, kita boleh mula mencari ejen dana unit amanah tersebut; jika tak tahu di mana nak cari, kita boleh hubungi syarikat pengurus dana tersebut untuk mendapatkan ejen mereka yang terdekat.
Cubalah juga bertanya kepada rakan-rakan dan sahabat serta kenalan. Tanpa kita tahu, sebenarnya ada di antara mereka merupakan ejen pelaburan syarikat tertentu. Gunakan media sosial untuk memperoleh bantuan dan khidmat mereka.
Tetapi pastikan anda sudah ada pilihan di hati untuk mula melakukan pelaburan amanah ini. Bukan apa, takut nanti terpesong pilihan dek kerana ayat-ayat manis mereka. Kadang tu pula, ada ejen lain yang cuba ambil kesempatan.
Boleh juga jika nak melabur secara online menerusi Fundsupermart atau eUnittrust.
Anda boleh mula melabur samaada secara lumpsum tunai, berkala ataupun melalui pengeluaran KWSP.
Terpulanglah kepada anda.
Selepas melabur, anda perlu memantau prestasi dana dari semasa ke semasa. Ambil tahu prestasi dana pelaburan yang telah anda ambil.
Dan pada masa yang sama, janganlah gopoh atau bertindak keterlaluan jika melihat harga dana yang dibeli menjunam, sebaliknya sabar dan beri sedikit masa untuk melihat samaada harga dana boleh melantun kembali ataupun tidak.
Sebaliknya, jika memang setelah sekian lama prestasi dana tersebut memang menyebabkan anda kerugian sedangkan pada masa yang sama dana-dana lain dalam jenis dan sektor yang sama memberikan keuntungan, barulah boleh berpindah ke dana yang lain yang lebih sesuai dan memberikan pulangan yang bagus.
Berdasarkan pengalaman termasuk dari rakan-rakan, pelaburan unit amanah memang memberikan pulangan yang baik dengan syarat memilih dana yang betul.
[Dah Baca?] 10 Sebab Untuk Tidak Melabur dalam Tabung Haji Mahupun ASB
Semoga tips di atas telah memberikan anda pengetahuan berkaitan langkah-langkah awal untuk membuat pelaburan amanah, khasnya untuk kebaikan dan masa depan anak-anak kita. Biar tahu, jangan keliru. :)
Post a Comment
Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.