Saya masih ingat lagi waktu saya kecil, hantar arwah Opah saya pergi ke lapangan terbang Ipoh untuk memulakan perjalanan menunaikan ibadah Haji di Mekah. Ia merupakan antara ingatan paling kuat mengenai Opah saya. Masih terbayang lagi betapa seronoknya arwah Opah dapat peluang menunaikan ibadah ini.

Apabila pulang, Opah banyak kali bercerita dan berkongsi pengalaman manisnya semasa mengerjakan rukun Islam kelima ini. Antara cerita paling mendapat tempat dalam ingatan saya ialah kisahnya diberikan layanan yang sangat baik oleh pramugari cantik berkulit lembut .. huhu.

Wukuf di Arafah, Ujian Sebenar Untuk Jemaah Haji

Ujian jemaah haji sebenar di Arafah
Tapi, bukan kisah tersebut yang saya nak kongsikan kepada anda semua. Ianya mengenai ujian jemaah haji semasa menunaikan ibadah ini.

Menurut arwah Opah, cabaran dan ujian sebenar mengerjakan ibadah haji adalah ketika tiba saatnya untuk mengerjakan ibadah Wukuf yang merupakan rukun wajib dalam mengerjakan Haji di Mekah. Ia wajib disempurnakan sebaik-baiknya.

Wukuf - Wajib Disempurnakan Andai Mahu Haji Mabrur

Ujian jemaah haji sebenar di Arafah


Ini kerana tanpa wukuf ibadat haji akan menjadi sia-sia dan Rasulullah ketika ditanya mengenai ibadat haji bersabda, yang bermaksud: "Haji itu adalah Arafah (wukuf di Arafah)."

Memandangkan ia merupakan sesuatu yang diperberatkan dalam menjalani ibadah ini, maka ibadah Wukuf adalah cabaran atau ujian sebenar jemaah ketika melaksanakan ibadah haji di Mekah.

Kenapa ia penting? Kenapa ia dianggap sebagai ujian sebenar para jemaah di Tanah Suci Mekah?

Wukuf atau Hari Arafah adalah merupakan gambaran keadaan di Padang Masyhar akhirat kelak. Ia merupakan keadaan di mana semua makhluk ciptaan Allah S.W.T dikumpulkan sebelum ditentukan samada masuk ke dalam syurga atau dicampakkan ke dalam neraka.

Wukuf ini dilaksanakan di tempat dinamakan Arafah. Semua jemaah kelihatan sama memakai ihram tanpa mengira pangkat dan kedudukan

[Dah Baca?] Doakan Mereka Mendapat Haji Mabrur

Hari Wukuf adalah hari di mana para jemaah merenungi dan memikirkan sedalam-dalamnya mengenai hari akhirat.

Ia antara hari yang dimuliakan di sisi Allah.

Hari Arafah - Ujian Ketaqwaan Umat Islam Waktu Kerjakan Haji

Ujian jemaah haji sebenar di Arafah
Wukuf di Arafah adalah amalan yang sangat besar impaknya berikutan ketika itu suasana perhambaan amat jelas kelihatan. Ini kerana ketika waktu inilah, jemaah berkumpul beramai-ramai dalam pakaian serba putih dengan penuh khu­syuk mengabdikan diri dan menadah tangan berdoa kepada Allah S.W.T.

Waktu ini, di mana-mana ceruk Arafah, akan kelihatan jemaah yang menangis, teresak-esak mengalirkan air mata dan tak lepas dari menadah dan bersujud, berdoa agar diampunkan segala dosa yang telah dilakukan sepanjang hidup. Semuanya menyatakan segala dosa pernah dilakukan tanpa segan dan malu, demi pengampunan dari Allah.

Ujian jemaah haji sebenar di Arafah
Menurut arwah Opah saya, waktu inilah semua jemaah terasa sedekat-dekatnya dengan Allah S.W.T. Membezakan mereka ketika di Arafah adalah rasa taqwa kepadaNYA.

Perjalanan jemaah haji dari Mekah ke Arafah adalah kira-kira 22 kilometer bermula pada hari 8 Zulhijah. Ini adalah supaya semua jemaah dapat berada di bumi Arafah walaupun seketika bermula dari gelincir matahari 9 Zulhijah sehingga sebelum terbit fajar 10 Zulhijah.

Tempoh perjalanan akan mengambil masa agak lama kerana kesesakan manusia menuju ke tempat yang sama dari Mekah. Semua orang berpusu-pusu mahu sampai di Arafah dalam tempoh yang ditetapkan.

Ujian jemaah haji sebenar di Arafah
Bila tiba di Arafah, jemaah akan ditempatkan dalam khemah yang sempit, jauh dari keselesaan semasa berada di hotel berdekatan Mekah.

Ujian Sebenar Jemaah Haji

Kata Opah saya, waktu berwukuf ini, kena bersabar dengan ujian yang Allah datangkan samada sedar atau tidak, antara lain:
  • Keadaan bermalam atau tempat tidur yang kurang selesa berbanding ketika berada di Mekah.
  • Cuaca yang panas dan sejuk terlampau.
  • Karenah jemaah haji lain yang bermalam bersama-sama.
  • Perlu bersabar untuk berwudhuk dan juga membuang air kerana kemudahan tandas yang terhad.
  • Perlu bersabar dengan tingkah-laku jemaah dari negara lain yang berbeza budaya dan bahasa, selain fizikal mereka yang lebih besar.
  • Kesukaran nak berkomunikasi dengan jemaah bukan dari Malaysia.
  • Risau sesat kerana ada banyak khemah dan jutaan manusia di tempat yang sama.

Semasa berwukuf ini, kena elakkan diri dari melakukan perkara yang boleh menyakitkan hati jemaah lain. Elakkan pertengkaran. Kena banyak bersabar dan bersikap tolak-ansur dengan jemaah yang lain.


Kata Opah saya, kalau tak sabar .. kasut selipar hilang di khemah pun boleh menjadi ujian berat.

Jadi, ujian-ujian didatangkan semasa berada di Arafah kena dihadapi dengan tenang dan banyak bersyukur. Kena redha, lapang dada dan ingat Allah sentiasa.

Waktu dulu, tak banyak kemudahan seperti pendingin hawa dalam khemah jemaah diberikan. Khemah juga lebih sempit, dan ruang untuk diri sendiri jadi sangat terhad.

Amalan Sunat Ketika di Arafah

Ujian jemaah haji sebenar di Arafah
Dalam tempoh berwukuf, banyak amalan sunat boleh dilakukan jemaah iaitu solat berjemaah, solat sunat, bertalbiah, berdoa, berselawat dan beristighfar, berzikir dan membaca al-Quran.

Banyakkanlah berdoa kerana ketika wukuf adalah tempoh mustajab berdoa dengan me­minta ampun untuk diri sendiri, ibu bapa serta semua yang dikasihi.

[Dah Baca?] Tips Dapat Pergi Tunaikan Haji Dalam Usia Muda

Tahniah dan sangat beruntung mereka yang diberikan peluang dan kesempatan untuk menunaikan ibadah rukun Islam ke-5 ini. Bukan semua orang diberikan tempat walaupun punyai kedudukan kewangan yang kukuh dan sangat baik.

Kadang, dah sampai di tanah suci Mekah pun .. belum tentu dapat menyempurnakan ibadah dengan sempurna. Allah sentiasa menguji umatNYA hatta ketika berada sangat hampir dengan diriNYA.

Al-fatihah buat arwah Opah saya - Tumi bte Sarjo.

1 Comments

Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

  1. Sungguh..! Di Arafah walau untuk sehari semalam, tapi sangat mencabar. Bukan fizikal dan emosi sahaja tapi spritual kita akan rasa sangat-sangat teruji. Apatah lagi dengan keadaan yang berada dalam ihram, perlu menjaga pantang larang ihram sebaiknya.

    Ya Allah, semoga menerima sekecil-kecil usaha dan ibadah kami.

    ...

    ReplyDelete

Post a Comment

Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

Previous Post Next Post

Advertisement

Bisnes Shopee

Advertisement

BERMASALAH DENGAN HARTA PUSAKA?

Panduan Mengurus Harta Pusaka dan Hibbah. - Nak Tahu? Klik Sini Sekarang!!


Advertisement