Istana Kellie - rumah agam bak istana yang penuh misteri dan dikatakan berhantu sejak ditinggalkan tanpa didiami lebih 100 tahun dahulu. Kellie's Castle turut dikenali sebagai Rumah Kellas (Kellas' House) dibina pada tahun 1910 di Batu Gajah, Perak oleh seorang bekas jurutera yang menjadi penguasaha ladang getah bernama William Kellie Smith yang berasal dari Scotland, sebuah negara jajahan British sama seperti Malaya pada ketika itu.

Siapakah William Kellie Smith ini? Dan mengapa istana Kellie menjadi satu antara lokasi para penggemar paranormal merungkai misteri dan kisah hantu? Kenapa ianya dibina di Batu Gajah, walhal beliau merupakan seorang warga British dari Scotland?

Menyingkap Kisah Berhantunya Istana Kellie

Kisah berhantunya Istana Kellie di Batu Gajah
William Kellie Smith, di usianya mencecah 21 tahun telah mengambil keputusan meninggalkan Scotland untuk mencari kekayaan di luar negara. Apabila tiba di Malaya, beliau bekerja sebagai seorang jurutera sivil membina jalan di Batu Gajah, Perak.

Negeri Perak ketika itu begitu berkembang pesat dengan aktiviti perlombongan bijih timah dan juga perladangan getah. Ia telah menarik kedatangan ramai warga dari luar negara untuk mengaut keuntungan dan kekayaan dari hasil bumi negeri Perak pada waktu itu.

Peluang ini telah membuatkan William mengorak langkah untuk membina perniagaan di negeri Perak.

Dari Hutan Menjadi Tapak Istana Kellie

Segalanya bermula apabila William bersama seorang pemilik hartanah bernama Alma Baker telah memenangi konsesi untuk meneroka 360 hektar hutan di Batu Gajah, Perak. Dari tanah yang diteroka, beliau menjalankan perniagaan perladangan penanaman kopi selain daripada perlombongan bijih timah.

Namun, pelaburan dalam ladang kopi menemui kegagalan akibat pasaran yang tidak menentu. Ini membuatkan William beralih kepada perladangan getah yang menerima permintaan yang agak baik ketika itu.

Akhirnya, nasib pemuda ini menjadi lebih baik apabila pelaburannya dalam bidang perladangan getah ini membuahkan hasil yang sangat memberangsangkan. Beliau menjadi kaya-raya menerusi Syarikat Perlombongan Timah Kinta yang turut menjalankan perniagaan perladangan getah di Batu Gajah.

Kemudian, beliau kembali ke Scotland setelah mendapat tahu bahawa ibunya sakit. Ketika kunjungan balik inilah, beliau telah bertemu dengan Agnes, yang akhirnya menjadi isteri dan ibu kepada dua orang anak, iaitu Helen dan Anthony.


Sekembalinya ke Malaya pada tahun 1903, beliau mengambil keputusan untuk membina sebuah rumah agam untuk Agnes dan anak perempuannya Helen.

Pada tahun 1915, anak lelaki William bernama Anthony dilahirkan, dan William mengambil keputusan untuk membesarkan lagi rumah kediamaannya ketika itu yang dikenali sebagai Rumah Kuning yang terletak bersebelahan dengan pembinaan rumah agam Istana Kellie ini.

Mahu Membina Rumah Agam Terbesar dan Tercantik di Malaya

William mempunyai keghairahan terhadap benda yang unik dan mengagumkan. Maka, pembinaan Istana Kellie merangkumi beberapa ciri rekabentuk yang pelbagai. Penelitian terhadap binaan dan rekabentuk sedia-ada di Istana Kellie ini memaparkan wujudnya pengaruh Moorish, Indo-Saracenic dan juga Roman.

Untuk membina rumah agam ini, William telah membawa masuk pekerja dari Madras, India selain batu-bata dari sana dan juga marmar dari Itali.

Cita-cita beliau cukup besar, iaitu mahu membina rumah agam paling besar dan paling mewah di Malaya. Malah, inspirasinya itu dikatakan dari Istana Agra yang terletak di Madras, India. Beliau mahu membuktikan kepada golongan bangsawan dan birokrat ketika itu yang sebelum ini memandang rendah mengenai kekayaan dan kebolehannya dalam perniagaan.

Pelan asal Istana Kellie ini merangkumi agam dengan beberapa tingkat, selain gelanggang tenis, menara besar dan ruang bumbung yang luas untuk dijadikan hos sebarang acara dan keramaian. Malah, beliau merancang untuk menempatkan lif pertama di Malaya di rumah agam Kellie's Castle ini.

Namun, impian beliau tidak menjadi kenyataan.

Kekayaan yang dipunyai William tidak kekal. Akibat masalah dengan pihak pentadbiran Malaya selain beberapa pelaburan yang kurang menguntungkan, kehidupan William menjadi tidak menentu. Banyak rancangan perniagaannya gagal.

Nasib buruk William bertambah buruk pada tahun 1926.

Ketika dalam satu perjalanan balik ke Eropah untuk mengambil lif bagi rumah agamnya, William telah disahkan mengidap pneumonia. Akhirnya meninggal dunia di usia 56 tahun di Pelabuan Lisbon, Portugal; meninggalkan rumah agam tersebut kepada isteri dan anak-anaknya.

Pada masa yang sama juga, perniagaan syarikat terjejas teruk malah para pekerjanya seramai 70 orang yang membina rumah agam mati akibat jangkitan selsema Spannish.

Agnes telah pulang ke England apabila anak lelakinya, Anthony terkorban dalam pertempuran ketika Perang Dunia Pertama, manakala Helen dipercayai telah menghilangkan diri. Berikutan itu, perniagaan serta tanah termasuklah rumah agam telah dijual kepada sebuah syarikat berpengkalan di Liverpool, U.K yang mengusahakan perusahaan ladang kopi dan teh.

Pemilik baharu The Kellie Estate, tidak mahu meneruskan pembinaan Kellie's Castle yang tinggal 30 peratus untuk disiapkan. Ini mengakibatkan rumah agam yang separuh siap itu terbiar yang akhirnya dikelilingi serta dihuni rimbunan semak serta pokok-pokok hutan.

Istana Kellie Berhantu?

Asal mengatakan rumah agam di Batu Gajah ini berhantu tidak dapat dipastikan. Tiada fakta sebenar yang boleh mengaitkan dan menjadikan kawasan Istana Kellie ini berhantu. Fakta yang tepat adalah tiada seorang pun keluarga William Kellie Smith yang menginap atau mati di Istana Kellie yang separuh siap ini.

Tiada sebarang kejadian pelik, menyeramkan mahupun menakutkan pernah berlaku sewaktu pembinaan Istana Kellie ini.

Cuma mungkin kerana struktur dan pelan binaan Istana Kellie ini yang menimbulkan cerita-cerita yang misteri. Lagipun, rumah ini telah terbiar agak lama dalam kawasan estet Kellie.

Laluan Rahsia

Istana Kellie secara asalnya mempunyai 14 bilik termasuk bilik linen, bilik bacaan, fotografi, simpanan arak dan juga bilik bawah tanah yang dilengkapi terowong rahsia. Malah terdapat laluan rahsia antara bilik yang dibina antara bilik Helen dan Anthony, selain laluan rahsia keluar daripada rumah agam.

Di bawah ini beberapa gambar laluan rahsia yang terdapat di dalam Istana Kellie ini...

Ada banyak cerita yang mengaitkan dengan kisah hantu dan seram yang berlaku di rumah agam Kellie's Castle ini.

Ada yang mengatakan bahawa Kellie's Castle pernah digunakan oleh tentera Jepun untuk memancung kepala dan menyeksa penduduk kampung semasa Perang Dunia Kedua. Kawasan lapang antara rumah agam dengan Rumah Kuning dipercayai tempat ianya dilakukan.


Ada juga mengaitkan kehilangan Helen yang misteri telah menimbulkan banyak kisah menyeramkan di dalam rumah agam separa siap ini.

Namun, kalau dilihat pada persekitaran Istana Kellie ini, memang keadaannya agak menyeramkan terutama di waktu malam. Malah, ada sepohon pokok (ketika kali terakhir saya melawat istana ini) yang mempunyai batang pokok iras bentuk wajah seekor beruang.

Pokok-pokok yang tinggi di sekitar Istana Kellie ini juga sering menjadi sasaran panahan petir, malah ketika hujan lebat dan angin kuat, suasana dalam istana memang menyeramkan, kesan dari bunyi-bunyi pelik yang terhasil menerusi ruang kosong yang luas merata kediaman yang ditinggalkan ini.

Istana ini telah pun menjalani beberapa proses restorasi termasuklah menghidupkan semula ruang tamu Istana Kellie ini yang diilhamkan dari rumah sebenar William di Scotland.

Waris asal pemilik Istana Kellie telah sudi berkongsi beberapa fakta menarik mengenai rumah ini yang kini menjadi tatapan para pengunjung ke Kellie's Castle.

Oh ya, satu keunikan istana ini ialah ianya dibina tanpa menggunakan sebarang paku atau besi kecuali untuk ruang lif. Bahan binaan utamanya ialah batu-bata dilekat menggunakan bancuhan campuran putih telur itik, pasir, kapur, gula merah dan madu.

Kellie's Castle turut menjadi lokasi penggambaran satu filem seram Malaysia iaitu Munafik 2 yang turut menjadi filem box-office di Malaysia. Malah, menerusi filem ini, ianya telah melonjakkkan jumlah pengunjung tempatan untuk melawat Kellie's Castle.

Gambar Ruang Dalaman Istana Kellie 

Saya kongsikan beberapa gambar di dalam istana ini untuk tatapan anda semasa lawatan kali terakhir saya ke sini pada Ogos 2019. Ada banyak perubahan terdapat di dalam istana ini untuk kemudahan para pengunjung mengetahui kisah misteri dan berhantunnya Istana Kellie.



Ruang Utama (Main Hall Kellie's Castle)


Bilik Bacaan (The Reading Room)



Bilik Tetamu Istana Kellie (Guest Room Kellie's Castle)


Balkoni Serambi Berhantu (Ghostly Cloister Balcony)

Ruang Lif (Elevator)


Peta Lokasi Kellie's Castle





8 Ulasan

Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

  1. Menarinya kisah istana nie. nanti nak datang melawat jugaklah.

    BalasPadam
  2. jadi berhantu sebab takda penghuni kot. jadi ada benda lain lah yang menghuni, huhu :D

    BalasPadam
  3. Nak ke Istana Kellie, 5 minit je dari rumah saya. Pasal hantu tu "Jangan Percaya" saya tak pernah jumpa pun, Mengarut je semua tu, saya lepak kat sini dari jam 10.00 malam sampai ke subuh, seekor Hantu pun tak nampak!

    BalasPadam
  4. cantik istana ni tapi sayang tak sempat disiapkan

    BalasPadam
  5. Wah cantiknya seni bina bangunan ni, kalau ada rezeki dan kelapangan masa, nak singgah bergambar juga.

    BalasPadam
  6. kalau sudah siap...inilah bangunan yang terbesar dan tercantik ketika itu

    BalasPadam
  7. saya dah pernah pergi...memang menarik tempat ni...agak seram jugak, nasib baik tak jumpa hantu hehe

    BalasPadam

Catat Ulasan

Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

Terbaru Lebih lama

Advertisement

Bisnes Shopee

Advertisement

BERMASALAH DENGAN HARTA PUSAKA?

Panduan Mengurus Harta Pusaka dan Hibbah. - Nak Tahu? Klik Sini Sekarang!!


Advertisement