Sejarah Asal-Usul Negeri Perak. Sebagai seorang anak kelahiran negeri Perak, saya ada keterujaan untuk mengetahui sejarah kewujudan negeri Perak ini. Mungkin buat generasi muda, zaman Wechat, zaman TikTok, pengetahuan mengenai sejarah asal-usul ini tidak penting, kecualilah jika benar-benar menggemari subjek Sejarah.

Perak adalah sebuah negeri yang bertuah. Banyak perkara pertama berlaku dan wujud bermula dari negeri Perak. Antaranya, ladang teh pertama, muzium pertama, kenderaan berdaftar pertama, kapal korek pertama, landasan keretapi pertama dan banyak lagi.

Asal-Usul Nama Negeri Perak & Kesultanan Negeri Perak

Asal-Usul Negeri Perak
Bercakap mengenai sejarah asal-usul negeri Perak, ada banyak versi dan cerita. Dalam post kali ini, saya akan berkongsikan beberapa 'sumber' yang menceritakan mengenai sejarah asal-usul negeri Perak ini.

Cerita #1 - Sempena Nama Bendahara Melaka

Ia dipetik dari artikel yang dikirim oleh seorang ahli dalam sebuah laman web komuniti VirtualFriends.

Diceritakan, pada zaman dahulu Perak terbahagi kepada tiga daerah iaitu Beruas, Manjung dan Janin (Hulu Perak). Menurut apa yang diceritakan, dikatakan ketiga-tiga ketua daerah ini telah bermesyuarat untuk menyatukan daerah-daerah mereka menjadi satu negeri dengan memakai nama yang khusus.

Dan dalam mesyuarat itu, mereka bersetuju untuk menamakan ketiga-tiga daerah ini sebagai Perak mengambil sempena nama Bendahara Tun Perak. Kesahihan kisah ini tidak dapat pula saya pastikan. Dan menurut si pengirim, ini merupakan cerita versi Almarhum Sultan Idris.

Cerita #2 - Hikayat Merong Mahawangsa

Asal-Usul Negeri Perak
Tetapi dalam Hikayat Merong Mahawangsa pula mengatakan nama negeri Perak ada kaitannya dengan cerita putera Raja Marong Mahapudi Sat yang dikatakan telah pergi meneroka membuka sebuah negeri baru.

Putera itu telah sampai ke sebuah sungai besar dan terdapat pula tasik, melingkungi tiga atau empat buah pulau.

Putera tersebut berkata.. "Tempat ini elok dijadikan sebuah negeri... "; Lalu baginda memanah ke udara menggunakan sebilah anak panah yang diperbuat daripada 'perak' dan busarnya dinamakan 'Indera Sakti'.

Apabila anak panah tersebut jatuh terjunam ke atas sebuah daripada pulau-pulau yang berkenaan maka dinamakanlah tempat itu sebagai Pulau Indera Sakti dan negerinya dinamakan Negeri Perak.

Cerita #3 - Kilatan Ikan

Asal Nama Negeri Perak
Dalam cerita-cerita yang lain terdapat juga kisah seperti adanya seekor ikan Haruan besar yang telah mengicah-ngicah anaknya hingga air sungai Perak menjadi keruh putih berkilat saperti seakan-akan warna perak di  mukim Chegar Galah, dalam daerah Kuala Kangsar. Ini ada diceritakan dalam buku tulisan Abd. Halim Nasir.

Untuk info, Abd. Halim Nasir adalah satu nama besar dalam dunia penulisan Melayu khususnya berkaitan dengan penyelidikan mengenai senibina Melayu, rumah tadisional Melayu, masjid, sungai dan perkara yang menyentuh kosmologi Melayu di Malaysia.

Perkongsian Abd. Halim ini mungkin ada kena mengena dengan kisah Megat Terawis.

Semasa Megat Terawis sedang mudik di sebatang sungai, beliau terlihat seekor ikan haruan yang amat besar dengan anak-anaknya sehinggakan air sungai menjadi keruh putih berkilat laksana perak. Sungai itu dinamakan oleh Megat Terawis sebagai Sungai Perak dan demikianlah juga munculnya nama negeri Perak.

Cerita #4 - Kerana Bijih Timah

Bijih Timah Asal Usul Nama Negeri Perak
Negeri Perak terkenal dengan sumber bijih timah yang banyak - satu masa dahulu. Secara fakta bertulis, penemuan bijih timah di Larut, berdekatan Taiping adalah pada tahun l848 oleh Cik Long Jaafar, salah seorang pembesar Perak yang berpengaruh.

Sayugia diketahui juga, aktiviti perlombongan timah hanya mula aktif di negeri Perak pada zaman Cik Long Jaafar. Semuanya bermula dengan seekor gajah bernama Si Larut milik Long Jaafar yang hilang ditemui semula. Dan apabila ditemui semula, terdapat kesan timah di kaki Si Larut dan menyebabkan Long Jaafar berusaha membuka lombong bijih timah menggunakan teknik mendulang.

Mungkin nama negeri Perak telah disebut-sebut oleh penduduk setempat sempena wujudnya bijih ini sebelum tertubuhnya kerajaan Melayu. Tiada siapa yang benar-benar tahu sebenarnya bila nama rasmi Perak ini wujud.

Cerita #5 - Kerana Pokok Kekabu

Kekabu Jadi Punca Wujud Nama Negeri Perak
Diceritakan secara lisan, bahawa satu masa dahulu iaitu di hulu sebatang sungai yang masih belum bernama, terdapat sepohon pokok kekabu yang terletak betul-betul di kawasan sempadan dengan negara Siam (kini Thailand).

Semua bunga kekabu yang masuk ke dalam kawasan sempadan Siam berwarna merah manakala bunga kekabu yang bertentangan dengan sempadan Siam pula berwarna putih melepak seakan-akan warna perak. Maka dari situlah timbulnya nama negeri Perak dan juga Sungai Perak.

Cerita #6 - Air Sungai Perak

Satu lagi cerita lisan yang popular mengenai asal-usul nama negeri Perak ialah kisah peneroka awal  yang melihat air sungai yang nampak berkilat putih seperti hamparan perak apabila terkena cahaya matahari. Maka sungai itu kemudian dinamakan sebagai Sungai Perak yang akhirnya memberikan nama kepada negeri Perak itu sendiri.

Ini bermakna, nama Sungai Perak itu wujud terlebih dahulu dari nama negeri. Yang menariknya ialah, Sungai Perak juga adalah antara penyebab wujudnya Kuala Kangsar, yang menjadi Bandar Di-Raja negeri Perak sehingga sekarang.

Begitulah adanya daripada apa saya peroleh.

Asal-Usul Kuala Kangsar - Bandar Di-Raja Negeri Perak

Asal-Usul Kuala Kangsar - Bandar Di-Raja Negeri Perak


Dan sebagai tambahan, saya nak juga kongsikan kepada anda mengenai Bandar Diraja Negeri Perak, iaitu Kuala Kangsar.

Negeri Perak lahir dari aliran air yang menebing di Sungai Perak daripada puncaknya di Ulu Belum hinggalah ke muaranya di Selat Melaka. Dari zaman awal lagi orang dulu-dulu telah tertarik dengan keistimewaan sungai ini lalu memudikinya sambil mencari tebing yang baik untuk mendarat.

Mereka adalah peneroka yang datang membuka tempat baru dan berinteraksi dengan pribumi hingga menjadi orang Perak seperti yang ada sekarang.

Mereka memudik dengan sampan hingga sampai ke suatu anak sungai di tebing kiri Sungai Perak. Dalam kiraan mereka kuala sungai ini adalah bersempena, lebih-lebih lagi tebingnya rendah, tanahnya subur dan permandangannya sungguh indah. Kebetulan mengikut kiraan mereka kuala sungai ini ialah yang ke seratus kurang satu, atau 'Kuala Kurang Sa'.

Kononnya itulah nama asalnya, 'Kuala Kurang Sa' dan kemudiannya disebut "Kuala Kangsar" sahaja.

Namun begitu terdapat versi mengatakan mengambil sempena nama pokok Kangsar yang banyak tumbuh di tebing-tebing sungai.

Pada zaman dulu, Kuala Kangsar adalah satu lokasi yang sangat baik, bukan sahaja sesuai sebagai tempat mendarat, tetapi memang baik untuk penempatan, untuk bercucuk tanam, untuk pusat perniagaan.

Di daratnya pula, seseorang boleh meneruskan perjalanan menyusuri sungai sehingga ternampak Gunung Pondok di Padang Rengas, iaitu satu mercu tanda yang memandu orang dalam perjalanan ke Larut ataupun dari Larut.

Berdasarkan keistimewaan ini, bolehlah dibuat kesimpulan bahawa Kuala Kangsar dan kawasan di sekelilingnya adalah tempat tua, sudah berabad-abad lamanya didiami orang. Jadi, ia mungkin menjadi tempat asal-usulnya nama negeri Perak, diberikan oleh peneroka terawal ketika itu.

Untuk makluman juga, pokok getah yang pertama juga ditanam di sini. Ianya kini berusia lebih 100 tahun dan masih hidup subur di perkarangan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar. Saiz batang pokok ini pula telah mencapai sehingga tiga ke empat pemeluk.

Negeri Perak Zaman Pra Sejarah

Negeri Perak sebenarnya telah wujud pada zaman pra sejarah lagi. Kota Tampan di Lenggong merupakan satu-satunya kawasan yang terbukti wujudnya Zaman Batu Lama di Tanah Melayu. Bertolak dari tarikh antara 400,000 hingga 8,000 tahun sebelum masihi, Negeri Perak telah mengalami evolusi dari masa ke masa. Kesan peninggalan sejarah zaman batu ini terbukti dengan jumpaan alat-alat batu dan fosif-fosil manusia dikenali dengan nama Perak Man.


Negeri Perak merentasi Zaman Hoabinhian seterusnya Zaman Batu Baru dan Zaman Logam, yang dapat dibuktikan dengan jumpaan-jumpaan tertentu.

Ini disusuli pula dengan zaman Hindu/Buddha yang dijangkakan berlaku serentak dengan lain-lain kawasan di Tanah Melayu.

Kisah zaman pra-sejarah negeri Perak serta penemuan Perak Man ini boleh diketahui dengan lebih lanjut jika anda pergi ke Muzium Arkeologi Lenggong. Di sana, anda boleh lihat dengan mata kepala sendiri siapakah Perak Man, dan kaitanya dengan zaman pra-sejarah negeri Perak.

Kewujudan Kesultanan Melayu Negeri Perak

Kesultanan Melayu Negeri Perak
Selepas zaman ini, alam persejarahan Negeri Perak telah maju setapak lagi dengan wujudnya kerajaan-kerajaan tempatan seperti Manjung di Daerah Dinding dan Beruas (wujud setelah Manjung luput). Begitu juga beberapa kerajaan lagi di Perak Tengah dan Ulu seperti Tun Saban dan Raja Roman. Serentak dengan itu Islam mula bertapak kukuh di negeri ini.

Dalam Kitab Sejarah Melayu ada menceritakan nama-nama kerajaan atau negeri seperti Gangga Negara yang dianggap antara kerajaan tertua di Semenanjung Malaysia.

Titik sejarah Kerajaaan Kesultanan Melayu Negeri Perak sebenarnya bermula dengan penabalan Sultan Muzaffar Syah l yang berketurunan dari Sultan Mahmud Syah Melaka pada tahun l528. Ini bermakna, sejarah Kesultanan Melayu Negeri Perak ada kaitan dengan Sejarah Kesultanan Melayu Melaka yang gah satu masa dahulu.

Lanjutan Kesultanan Melaka ini, gambaran sejarah Negeri Perak bertambah jelas lagi apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis dalam tahun 1511 dan Sultan Mahmud Shah telah melarikan diri dan akhirnya menetap di Kampar (Sumatera) dan ditabalkan sebagai Sultan Kampar.

Kampar juga terdapat di negeri Perak dalam daerah Kinta.

Dengan pengaruh besar struktur pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka ketika itu yang dianggap sebagai sistematik dan tersusun, ianya telah mendorong orang-orang negeri Perak untuk mengutuskan Tun Saban yang memerintah kawasan Hulu Sungai Perak hingga ke Kuala Temong, bersama-sama Nakhoda Kassim pergi mengadap Sultan Mahmud Shah di negeri Kampar untuk memohon agar seorang daripada putera baginda menjadi Sultan Perak.

[Baca Juga] Waris Sebenar Kesultanan Melayu Perak

Permohonan itu telah diperkenankan oleh Sultan Mahmud Shah dan baginda telah menitahkan putera baginda, Raja Muzzafar supaya berangkat ke Perak dengan dikurniakan segala alat kebesaran warisan kerajaan Negeri Melaka.

Alat kebesaran itu penting sebagai tanda daulat dan kekuasan untuk menjadi Raja di Perak. Alat-alat yang dibawa itu termasuklah sebilah pedang Cura Si Manja Kini, sebilah keris, sebuah cap yang berlorek perkataan "Sultan Muhamad Shah Dzil Allah Fil-Alam", nobat dan surat Chiri.

Ada yang mengatakan bahawa keris yang dibawa oleh Raja Muzzafar adalah keris Taming Sari, yang terkenal dalam Lagenda Hang Tuah, Laksamana Melaka yang hebat.

Bermula dengan peristiwa inilah, Kerajaan Kesultanan Melayu Perak mula menapak. Perak mempunyai Sultan pertama dengan Sultan Muzaffar Shah I, putera Sultan Mahmud sebagai pemerintah dan di bawah naungan Kesultanan Melayu Melaka dengan Beruas dijadikan ibu negeri.

Dari post ini, sekarang sedikit sebanyak kita sudah ada pengetahuan am mengenai sejarah negeri Perak, terutama asas nama Perak itu wujud dan bagaimana terbentuknya kerajaan Melayu yang sistematik di Perak, selain fakta am mengenai keberadaan kerajaan tua di Perak dan zaman prasejarah.

Semoga bermanfaat.

Sumber: Portal Rasmi Kerajaan Perak, OrangPerak, VirtualFriends.net

2 Comments

Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

  1. Menarik artikel ni..sebab saya memang minat sejarah..

    ReplyDelete
  2. Family belah ayah saya dari kuala kangsar. Suka dulu kalau balik sana arwah nenek suka cerita macam2 sejarah negeri perak

    ReplyDelete

Post a Comment

Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

Previous Post Next Post

Advertisement

Bisnes Shopee

Advertisement

BERMASALAH DENGAN HARTA PUSAKA?

Panduan Mengurus Harta Pusaka dan Hibbah. - Nak Tahu? Klik Sini Sekarang!!


Advertisement