Alor Setar ditubuhkan pada tahun 1735 oleh Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu'azzam Shah dan merupakan pusat pentadbiran kelapan negeri sejak Kesultanan Kedah pada tahun 1136. Bandaraya ini pernah 'runtuh' sebanyak dua kali ketika Kedah diserang oleh Bugis pada tahun 1770 dan Siam pada tahun 1821.
Sejarah Unik Bandaraya Alor Setar - Ibu Negeri Tertua di Malaysia
Asal-Usul Alor Setar
Mungkin ada yang nak tahu bagaimana nama Alor Setar mendapat nama? Alor Setar berasal dari dua nama iaitu 'alur' da, 'setar'. Alur adalah lengkuk memanjang yang biasanya terdapat pada tanah atau kayu, manakala setar adalah nama sejenis buah.Namun begitu, daripada catatan sejarah yang ada, Alor Setar bukanlah nama asal bandaraya di utara Semenanjung ini. Ia dulunya dikenali sebagai Kota Setar. Pada awalnya, Kota Setar cuma sebuah kampung dengan beberapa buah rumah yang terletak di muara dua batang sungai.
Kampung yang tiada bernama ini telah dijumpai oleh Sultan Kedah, Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu'adzam Shah II yang memerintah negeri Kedah dari tahun 1122 – 1174H.
Apabila Sultan Mohamad Jiwa menjumpai kampung ini, baginda begitu tertarik dengannya. Ini adalah kerana kampung tersebut sangat cantik dan mendamaikan. Ianya menghijau kerana dikelilingi oleh pohon-pohon pokok buah Setar yang besar.
Akhirnya Sultan Mohamad Jiwa menjadikan ia sebagai sebuah bandar Di-Raja dan bersemayam di Istana Kota Setar. Dari sinilah, ianya mendapat nama Kota Setar.
Namun, nama Kota Setar ini telah menjadi nama untuk daerah apabila kawasan sekitar termasuk Kuala Kedah telah menjadi semakin pesat membangun setelah kehadiran pedagang Inggeris. Manakala Kota Setar telah menjadi bandar pusat pentadbiran yang akhirnya dikenali sebagai Alor Setar - untuk membezakan dengan nama daerah Kota Setar.
Gambar di bawah adalah antara gambar pintu gerbang Istana Kota Setar. Gambar terakhir adalah gambar pintu gerbang tersebut yang dibina semula setelah struktur asalnya dirobohkan atas alasan yang kurang jelas. Ia boleh dilihat berdekatan Balai Besar.
Istana Kota Setar
Sedikit info berkaitan pintu gerbang Kota Setar yang dibina semula ini ada dinyatakan di sudut sisi pintu gerbang sedia-ada:
Pintu gerbang ini asalnya terletak di hadapan Istana Kota Tengah, Bandar Alor Star yang merupakan salah sebuah istana Almarhum DYMM Sultan Abdul Hamid Halim Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah, Sultan Kedah ke-26 (1882-1943). Istana ini pernah dikunjungi oleh King Chulalongkorn dari Thailand pada 13 Mei 1890. Di atas tapak istana ini kemudiannya telah dibina Wisma Negeri (1973) menyebabkan pintu gerbang yang asal itu terpaksa dirobohkan. Pada tahun 2008, pintu gerbang itu telah dibina semula sebagaimana bentuk asalnya. Pada setiap sudut pintu gerbang ini mengandungi pelbagai ukiran dan lukisan melambangkan maksud-maksud tertentu hasil ciptaan tukang-tukang Melayu di zaman silam.
Ejaan Alor Setar Ditukar ke Alor Star
Alor Setar diberikan status Bandaraya yang ke-9 di Malaysia, pada 21 Disember 2003. Dan menariknya ejaan nama Alor Setar telah ditukar kepada Alor Star. Namun, ejaan ini telah ditukar semula kepada Alor Setar pada 14 Januari 2009 kerana nama Alor Setar berasal daripada nama pokok di Kedah dipanggil Pokok Setar yang asalnya memberikan nama kepada Kota Setar.Kalau anda nak tahu, bandaraya ini ada banyak berlaku peristiwa penting dalam sejarah politik dan pemerintahan di Malaysia, antara yang menarik ialah:
- Pada abad ke-18 iaitu Mac 1770, armada tentera Bugis pimpinan Raja Haji telah menyerang Kedah, memusnahkan Istana Kota Setar dan Balai Besar.
- Pada April 1771, perjanjian pertama antara Inggeris yang diketuai oleh Kapten Francis Light dengan Sultan Abdullah Mukaram Shah telah termeterai bagi menamatkan pengaruh Bugis di negeri Kedah.
- Istiadat pertabalan Sultan Ahmad Tajudin Halim Shah II, Sultan Kedah ke-22, berlangsung di Balai Besar pada 17 Mac 1805. Pada 12 November tahun tersebut, tentera Siam atau Ligor menyerang dan menduduki Kota Kuala Kedah serta memusnahkan bandar Alor Setar. Peperangan itu menyebabkan Sultan Ahmad Tajudin terpaksa berhijrah ke Pulau Pinang dan seterusnya ke Melaka. Dalam tempoh itu Alor Setar terbiar selama 20 tahun.
- Pada 17 Mei 1897 kerajaan Siam menyerahkan kembali wilayah Perlis dan Setul (Satun) yang terpisah sejak 1841 kepada kerajaan Kedah dan penyerahan jajahan takluk itu berlangsung di Balai Besar, Alor Setar.
- Perkahwinan lima orang putera dan puteri Sultan Abdul Hamid Halim Shah pada 15 Jun 1904 turut mewarnai sejarah Alor Setar apabila upacara berlangsung 90 hari dan 90 malam serta menelan belanja RM3 juta
- Perjanjian Bangkok pada 7 Julai 1909, upacara rasmi penyerahan negeri Kedah daripada naungan Siam kepada Inggeris berlangsung di Balai Besar pada 15 Julai 1909.
- Alor Setar pernah jatuh ke tangan tentera Jepun pada 13 Disember 1941 selepas kemaraan tentera tersebut dari utara Tanah Melayu dalam Perang Dunia Kedua. Tentera Jepun menyerahkan kuasanya kepada pentadbiran tentera Siam untuk mentadbir Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu berlangsung di Padang Court (kini dikenali Dataran Masjid Zahir/Medan Bandar) pada 18 Oktober 1946.
- Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri pertama) mengetuai perhimpunan raksasa di Padang Court dihadiri lebih 10,000 rakyat Kedah kerana menentang Malayan Union. Turut bersama ialah pengasas-pengasas UMNO lain termasuk Datuk Onn Jaafar dan Datuk Senu Abdul Rahman.
Alor Setar bukan sebuah bandaraya biasa-biasa. Ia sebenarnya adalah bandar tertua di Malaysia. Malah, mengikut beberapa catatan, ianya lebih tua daripada usia Washington DC, ibu negara Amerika Syarikat. Alor Setar juga dikatakan dibuka lebih awal daripada Sydney, bandaraya terbesar di Australia.
[Dah Baca?] Selongkar Sejarah Kedah Tua dan Keagungan Lembah Bujang di Muzium Arkeologi
Mengikut rekod sejarah, bandar ini telah menjadi sebuah ibu negeri selama lebih kurang 250 tahun! Ia satu fakta hangat yang sangat menarik, kerana dari zaman Alor Setar diasaskan sehingga ke zaman kini, Alor Setar masih tetap menjadi Ibu Negeri Kedah.
Fakta Menarik Lain Mengenai Kedah
Dan mungkin kebetulan, Perdana Menteri Pertama asalnya dari Kedah, Perdana Menteri sebanyak 2 kali juga berasal dari Kedah, malah Sultan Kedah yang masih memerintah pernah menjadi Agong Malaysia sebanyak dua kali - dengan Perdana Menteri yang sama![Dah Baca?] Pengalaman Menarik Dekati Haiwan di Langkawi Wild Life Park, Kedah
Dari apa yang diceritakan dalam posting ini, memang ada banyak kesan sejarah ditinggalkan terutama sekitar bandaraya Alor Setar ini. Ini menjadikan bandaraya ini menjadi tarikan pelancong yang meminati kisah sejarah lampau.
Tempat Menarik Sekitar Alor Setar Bernilai Sejarah
Antara tempat atau lokasi pelancongan menarik yang menghimpunkan kisah sejarah negeri Kedah termasuklah Balai Besar, Istana Pelamin, Balai Nobat, Masjid Negeri, Bangunan Wan Mat Saman dan Balai Seni.Selain itu, terdapat terusan Wan Mat Saman, Rumah Kelahiran Dr. Mahathir serta kediaman Tunku Abdul Rahman. Dan kebanyakkan malah hampir kesemuanya didapati di sekitar Bandaraya Alor Setar.
In Sha Allah, di lain posting saya akan kongsikan serba-sedikit tempat menarik di Alor Setar ini, memandangkan saya dan keluarga pernah menghabiskan waktu cuti sekolah di bandaraya penuh sejarah ini.
Sumber Rujukan: Wikipedia, Blog Catitan Santai
banyak rupanya sejarah alor setar, hehe :D
ReplyDeletePost a Comment
Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.