Semasa di muzium tu, ada satu kaunter di luar pintu masuk bangunan muzium yang mempamer dan menjual duit syilling lama. Bukan syilling lama era tahun 50an ... 60an ... tetapi nuhh balik hingga ke kewujudan Kerajaan Kedah Tua dan Srivijaya di Sumatera.
Duit Syilling Lama Bukti Kewujudan Aktiviti Perdagangan Sistematik
Duit syilling yang dipamerkan dijual sehingga RM100 - RM200 sekeping, mengikut uniknya syilling tersebut dan nilai sejarah yang ada padanya.Setiap syilling yang dipamerkan ada kisah dan info di sebaliknya. Ia adalah untuk memberitahu mengenai nilai sejarah yang ada pada setiap syilling dipamer dan dijual. Antara yang menarik ialah duit syilling lama RajaRaja Chola bertarikh seawal 985M.
Kewujudan duit syilling RajaRaja Chola ini yang asalnya dari kerajaan Thanjavur di Tamilnadu, India sekali lagi membuktikan bahawa bahagian Lembah Bujang di Kedah pernah menjadi satu pusat perdagangan penting di dunia.
Ia juga membuktikan bahawa penduduk di Semenanjung Malaysia terutama di bahagian utara adalah penganut agama Hindu-Buddha. Apatah lagi dengan penemuan banyak artifak dan arca yang mencerminkan kewujudan pengaruh ini. Di tambah lagi dengan penemuan banyak candi-candi sekitar kawasan penduduk majoriti Melayu.
Sangkaan ramai bahawa Melayu itu Islam dan Islam di Nusantara ini adalah Melayu sebenarnya tidak tepat. Perlu diyakini bahawa masyarakat Melayu Kuno dahulu pernah menganut agama Hindu-Buddha sebelum ketibaan agama Islam di Nusantara.
Semasa di Muzium Arkeologi Lembah Bujang tu, kebanyakkan syilling yang dipamer dan dijual di pintu masuk muzium tu adalah yang berkaitan dengan artifak yang dipamerkan dalam muzium. Ada beberapa keping syilling Kerajaan Majapahit dan Srivijaya selain kerajaan kuno India dipamerkan.
Kata si penjual, syilling ini datangnya dari seluruh dunia. Ada satu persatuan yang mengumpulkan para pengumpul syilling lama ini yang membolehkan syilling purba turut diperoleh dengan mudah - dijual-beli.
Kata si penjual juga, ada beberapa sumber untuk mendapatkan syilling purba dan lama bernilai tinggi tetapi tidak ramai mengetahuinya kerana bersifat 'underground'. Hanya pengumpul syilling lama purba tegar sahaja yang mengetahuinya.
Syilling purba berbentuk sampan pun ada dijual. Harganya tidak pula saya teringat nak tanya, tapi saya pasti antara RM50 ke atas.
Buat penggemar syilling lama, memiliki set-set syilling yang ada kisah sejarah pasti istimewa. Malangnya, saya bukanlah seorang pengumpul syilling lama. Kalau tidak, kemungkinan salah satu set yang dijual di Muzium Arkeologi Lembah Bujang itu akan jadi milik saya.
Ketika post ini ditulis dan diterbitkan, saya tak pasti samada pameran dan jual-beli syilling lama itu masih ada di muzium. Mungkin, jika anda seorang penggemar dan penyimpan syilling lama, terutama yang ada nilai sejarah seperti duit syilling Raja Raja Chopra ... bolehlah ke Muzium Arkeologi Lembah Bujang... mana tahu penjual tu masih ada, ini kesempatan anda untuk membeli syilling lama yang dijual.
Catat Ulasan
Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.