Negara kita memang kaya dengan kesan peninggalan sejarah. Paling menarik ialah sejarah negara kita bermula seawal zaman prasejarah lagi. Tetapi, untuk posting kali ini, saya nak berkongsi kepada anda pengalaman saya dan keluarga berkunjung ke salah satu tapak bersejarah di negara kita iaitu Lembah Bujang.

Sejarah keagungan Lembah Bujang berkait rapat dengan sejarah Kedah Tua. Peninggalan-peninggalan yang ditemui di sini membuktikan bahawa pengaruh Hindu-Budha telah bertapak awal di Semenanjung selain menjadi pusat perdagangan antara tertua di Asia Tenggara.

Lawatan Sambil Belajar Menjejaki Sejarah Keagungan Lembah Bujang - Pengaruh Hindu-Buddha & Perdagangan Antarabangsa

Muzium Arkeologi Lembah Bujang
Saya dan keluarga telah berkesempatan untuk belajar dan menambah pengetahuan mengenai sejarah keagungan Lembah Bujang ini. Muzium Arkeologi Lembah Bujang terletak tidak jauh daripada bandar Sungai Petani. Di situlah adanya banyak fakta hangat menarik mengeani sejarah Kedah Tua dan Lembah Bujang boleh diketahui.

Kami ke Sungai Petani disebabkan atas urusan rasmi untuk memperbaharui passport antarabangsa di Pejabat Imigresen UTC. Cadangnya tu untuk keperluan percutian sekeluarga ke Medan, Indonesia. Aha .. cerita ini nanti saya akan kongsikan kemudian.


Atas sebab-sebab tertentu, proses nak memperbaharui passport terpaksa mengambil masa lebih daripada 24 jam. Jadi, kami terpaksalah bermalam di Sungai Petani. Nasib baik ada aplikasi tempahan hotel murah yang membolehkan kami bermalam di hotel dengan harga serendah kurang RM30 sahaja!

Nak tahu cara untuk mendapatkan penginapan hotel dengan harga murah, anda bolehlah baca panduan ini - Panduan Hotel - Cara Nak Dapatkan Tawaran Menginap di Hotel dengan Harga Murah!

Ok.

Jika anda nak tahu, Muzium Arkeologi Lembah Bujang merupakan satu-satunya Muzium di Malaysia yang mempamerkan koleksi arkeologi yang membuktikan kewujudkan pusat perdagangan antarabangsa dan perkembangan agama Hindu Buddha di Asia Tenggara kurun ke 3 masehi hingga ke 12 masehi.

Kawasan Peninggalan Sejarah Lembah Bujang Kedah
Muzium ini terletak di atas Bukit Batu Pahat, Merbok, Kedah kira 23 km dari Bandar Sungai Petani. Ia dibina untuk menjalankan kerja-kerja penyelidikan dan ekskavasi arkeologi serta mempamerkan artifak-artifak protosejarah atau sejarah sebelum islam dari tapak tanah bersejarah di Lembah Bujang.

Muzium Arkeologi Lembah Bujang telah dibuka dengan rasminya pada 23 Januari 1980 oleh DYMM Sultan Kedah Darul Aman, Al-Sultan Almu’tasimu Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Kawasan Muzium Arkeologi Lembah Bujang
Menerusi proses cari gali telah mendedahkan sisa jeti, tapak peleburan besi, dan binaan batu-bata yang bertarikh 110 Sebelum Miladiah, menjadikannya binaan manusia tertua yang pernah direkodkan di Asia Tenggara.

[Baca] Muzium-Muzium Terdapat di Kota Bandung, Indonesia

Di sekitar Lembah Bujang sehingga hari ini, sejumlah 41 buah tapak arkeologi atau Tapak Tanah Bersejarah telah dikenalpasti.

Penulisan sejarah di Kedah Tua amat bergantung kepada peninggalan-peninggalan arkeologi di Lembah Bujang. Proses carigali adalah salah satu kaedah arkeologi. Penyelidikan terhadap arkeologi di Lembah Bujang telah dimulakan pada sekitar tahun 1840an oleh Kolonel James Low. Penemuan ini menarik minat pengkaji-pengkaji lain untuk membongkar sejarah Kedah Tua.

[Baca Juga] Tambah Pengetahuan Sejarah Kedah Tua di Kompleks Jeti Semeling, Sungai Merbok

Perdagangan di Lembah Bujang
Muzium Arkeologi Lembah Bujang
Adanya muzium ini, saya dan anak-anak telah dapat melihat lebih dekat mengenai banyak perkara berkaitan sejarah kewujudan tamadun Hindu-Budha dan aktiviti perdagangan antarabangsa yang berlaku ketika itu, antaranya:
  • Bagaimana bentuk sebuah candi dan signifikasinya dalam tamadun awal Hindu-Budha.
  • Mengetahui pelbagai bentuk jenis candi yang ditemui sekitar Lembah Bujang dan beberapa tapak arkeologi lain.
  • Bagaimana candi itu dibina dan teknologi yang digunakan.
  • Kaitan dengan kerajaan Srivijaya di Kepulauan Indonesia dan Melayu.
  • Kaitan kewujudan Kedah Tua dengan kerajaan lama China.
  • Matawang yang digunakan dalam aktiviti perdagangan ketika itu.
  • Kewujudan beberapa batu bersurat bertulisan Sanskrit yang ditemui di kawasan Lembah Bujang.
  • Memahami beberapa artifak berkaitan tamadun Hindu-Budha sebelum kedatangan Islam.
  • Alat-alat penting ketika berlakunya proses perdagangan merentasi benua ketika itu. 
  • Artifak perdagangan terdiri daripada pecahan seramik tembikar tanah, tembikar batu, porselin, kaca, manik serta peralatan yang digunakan oleh masyarakat kuno. 
  • Artifak keagamaan pula terdiri daripada candi, patung-patung dan arca.

Fakta-fakta sejarah ini sedikit sebanyak memberikan gambaran yang lebih jelas mengapa masyarakat Malaysia moden kaya dengan pelbagai budaya dan adat resam. Ianya dipercayai adalah kesan daripada pengaruh-pengaruh yang datang dari Kerajaan Kedah Tua dan beberapa kerajaan lampau termasuklah Kerajaan Gangga Negara di Perak.

Candi adalah binaan utama yang dipamerkan di muzium ini. Selain candi yang telah dibina semula berdasarkan kepada struktur asal yang ditemui menerusi carigali artifak, ada juga dipamerkan dalam bentuk model di dalam muzium.

Candi yang terkenal di Lembah Bujang yang telah ditemui, antaranya ialah Candi Bukit Batu Pahat (Tapak 8), Candi Kampung Pangkalan Bujang (Tapak 19, 21 dan 22), Candi Estet Sungai Batu (tapak 5 dan 11/3), Candi Kampung Pendiat (Tapak 16), Candi Kampung Permatang Pasir (Tapak 31) dan Candi Kampung Bendang Dalam (Tapak 50).

Candi Pengkalan Bujang dan Bendang Dalam

Candi Pengkalan Bujang

Candi Sungai Batu

Candi Sungai Batu - Muzium Arkeologi Lembah Bujang
Candi Sungai Batu - Muzium Arkeologi Lembah Bujang

Candi Bukit Pendiat

Batu Bersurat Buddhaghupta - Pulau Pinang



Candi-candi serta penemuan beberapa patung dan arca keagamaan di Lembah Bujang ini telah menjadi bukti kewujudan pengaruh Hindu-Budha. Manakala lokasi-lokasi candi ini terbina menzahirkan bahawa terdapat satu bentuk pemerintahan atau kerajaan yang menguruskannya.

Banyak artifak arkeologi yang dipamerkan dalam Muzium Arkeologi Lembah Bujang membuktikan bahawa Lembah Bujang merupakan pelabuhan antarabangsa dan pusat perdagangan yang telah dikunjungi oleh pedagang-pedagang dari seluruh dunia. Ia juga membuktikan wujudnya sebuah kerajaan lama di Kedah.

[Dah Baca?] Istana Jahar, Muzium Adat Di-Raja Negeri Kelantan

Pedagang ini datang dari benua berbeza, yang menguasai jalan perdagangan laut antara negara-negara di timur dan barat. Mereka terdiri dari pedagang-pedagang dari China, India, serta dari negara-negara Arab di samping pedagang-pedagang Melayu dari Kepulauan Melayu yang menguasai rempah ratus dan hasil hutan esotika untuk pasaran timur jauh sejak kurun ke 5.

Jika anda ingin ke sini, tak susah ... boleh sahaja gunakan aplikasi seperti Waze dan juga Google Map. Ada teknologi, maka gunakanlah .. :P

Memang ada banyak bahan dipamerkan di dalam muzium ini. Nak cerita lengkap dalam posting ini memang sukarlah. Adalah lebih baik anda pergi sendiri ke muzium ini. Tiada bayaran dikenakan untuk masuk ke muzium ini.

Buat yang mungkin akan pertama kali pergi ke sini, terdapat dua buah galeri yang dibina khas dengan teknik-teknik pameran yang berinformatif untuk memberikan gambaran secara lengkap bagaimana wujudnya pengaruh Hindu-Buddha ini. Di satu sudut galeri lain pula menunjukkan kewujudan perdagangan antarabangsa.




Semasa saya dan keluarga ke sini, ada kaunter menjual pelbagai tinggalan lama termasuklah duit syilling purba-lama. Anda boleh membelinya sebagai cenderahati unik atau mungkin disimpan sebagai satu bentuk pelaburan .. huhu.

Saya sendiri membeli sebentuk cincin yang saya rasa unik. Malangnya cincin itu seolah ghaib setelah 5 hari saya memakainya. Tak pasti bagaimana boleh hilang, langsung tiada ingatan. Pelik!

Ok, berbalik pada muzium tadi.

Kawasan muzium agak luas. Selain adanya tinggalan senibina candi-candi, kawasan ini juga ada kawasan riadah dan beristirehat. Landskap sekitar muzium juga cantik dan mendamaikan. Ada air terjun semulajadi dan sungai.
Air terjun

Muzium juga menyediakan beberapa kemudahan asas lain untuk kegunaan pengunjung di sini. Tempat letak kereta juga agak banyak, malah bas juga boleh parkir di ruangan disediakan. Jadi, ia boleh dijadikan lokasi tempat menarik untuk pelajar-pelajar sekolah datang berkunjung.

Oh ya, satu perkara penting yang ramai tak tahu ialah berkaitan struktur candi yang kini diperlihatkan adalah struktur yang tidak lengkap. Sebahagian daripadanya telah musnah dan struktur asalnya tidak dapat dibentuk semula daripada bencana alam seperti banjir, hakisan, Perang Dunia II ataupun dimusnahkan oleh penduduk tempatan.

Namun begitu, candi-candi ini tetap menjadi tarikan utama pelancong dari dalam dan luar negara untuk mengunjungi Lembah Bujang.


Sumber rujukan teks: Sejarah Awal Lembah Bujang, Jabatan Muzium Malaysia

1 Ulasan

Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

Catat Ulasan

Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

Terbaru Lebih lama

Advertisement

Bisnes Shopee

Advertisement

BERMASALAH DENGAN HARTA PUSAKA?

Panduan Mengurus Harta Pusaka dan Hibbah. - Nak Tahu? Klik Sini Sekarang!!


Advertisement