Agihan pendapatan atau dividen dari TH ini melibatkan agihan berjumlah RM2.1 bilion, iaitu RM1.2 bilion lebih tinggi berbanding RM0.9 bilion bagi tahun kewangan 2018.
Tabung Haji Umum Agihan Pendapatan Kepada Pencarum Sebanyak 3.05 Peratus untuk 2019
Alhamdulillah, rasanya ramai yang sedang menantikan pengumuman ini daripada pihak TH. Apatah lagi beberapa isu telah berbangkit berkaitan penjualan beberapa aset dimiliki Tabung Haji.Ramai yang risau takut simpanan yang ada dalam Tabung Haji akan terjejas, dan risau tiada lagi keuntungan dan kelebihan untuk menyimpan dalam TH ini yang merupakan satu-satunya institusi kewangan dimiliki 100% oleh orang Islam di Malaysia.
Sejak tertubuhnya TH ini, ia telah menjadi tempat untuk membolehkan ramai orang Islam menunaikan rukun Islam kelima. Malah, ada yang menjadikannya sebagai tempat untuk membuat pelaburan jangka panjang di mana kadar keuntungan selain hibah diberikan TH adalah tinggi berbanding instrumen kurang risiko yang lain.
Berdasarkan kepada kenyataan dikeluarkan oleh pihak TH, agihan keuntungan yang lebih baik ini adalah didokong oleh prestasi dan kedudukan kewangan yang semakin baik berasaskan strategi pelaburan yang mampan serta langkah pengurusan kos secara berhemat yang telah diambil oleh pihak pengurusan TH.
Untuk tahun kewangan 2019, TH telah berjaya menjana pendapatan pelaburan berjumlah RM3.3 bilion, di mana sejumlah RM1.2 bilion telah diperolehi dalam suku keempat tahun 2019.
Sumber Keuntungan Tabung Haji
Secara keseluruhan, pendapatan pelaburan yang dijana TH adalah lebih stabil di mana pelaburan aset pendapatan tetap menjana 58% pendapatan atau sebanyak RM1.9 bilion manakala pelaburan hartanah, ekuiti dan instrumen pasaran wang Islam masing-masing menyumbang RM0.5 billion (15%), RM0.5 bilion (15%) dan RM0.4 bilion (12%).Walaupun realiti sekarang harus difahami bahawa keadaan ekonomi yang tidak stabil selain adanya beberapa isu lain seperti perang dagangan peringkat global, apa yang dicapai oleh TH adalah sesuatu yang sangat baik.
Seharusnya para pencarum TH berterima kasih atas segala usaha dan langkah yang diambil oleh pihak TH dalam memastikan ianya berdaya saing dan memberikan kelebihan kepada pencarum.
[Dah Baca?] Cara Melabur Dalam Amanah Hartanah Bumiputera (AHB)
Dengan pengurusan kos yang berhemat, TH telah berjaya mencatat keuntungan selepas zakat bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM1.9 bilion, iaitu peningkatan 19% atau RM0.3 bilion berbanding RM1.6 bilion bagi tahun kewangan lalu.
Agihan keuntungan yang diisytihar TH adalah lebihan keuntungan pelaburan setelah mengambil kira perbelanjaan dan bantuan kos haji, bayaran zakat dan kos pengurusan.
Keuntungan Dizakatkan
Oleh yang demikian, pendeposit TH bukan sahaja mendapat manfaat pulangan keuntungan ke atas simpanan mereka, malah turut menyumbang secara langsung dalam membantu jemaah haji Malaysia menunaikan rukun islam ke-5 dan golongan asnaf dalam menjaga kebajikan mereka.TH telah membayar zakat bagi pihak pendeposit dan oleh yang demikian pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan dan agihan keuntungan yang diterimanya.
Pengkreditan Agihan Keuntungan bermula 16 Mac 2020
Agihan keuntungan bagi tahun kewangan 2019 adalah dikira berdasarkan purata baki simpanan terendah bulanan pendeposit.Para pendeposit boleh menyemak pengkreditan agihan keuntungan bermula 16 Mac 2020 menerusi
- kaunter- kaunter cawangan Tabung Haji
- kaunter Bank Islam
- kaunter Bank Rakyat
- mahupun ATM Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB
- secara atas talian di laman sesawang www.thijari.com.my
- secara atas talian di portal internet Bank Islam, Bank Rakyat dan Maybank.
alhamdulillah
ReplyDeletePost a Comment
Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.