Umum mengetahui bahawa Covid-19 telah merebak dengan sangat pantas dan kes terkini penyakit ini telahpun mencecah lebih 2 juta* kes dan menyebabkan kematian hampir 170,000 dari serata dunia.
Nasihat Nabi Berkaitan Cegah Wabak Penyakit Terpampang di Billboard Amerika Syarikat
Mungkin ada yang tidak percaya, tetapi nasihat dan pesanan Nabi Muhammad mengenai wabak penyakit telah menjadi viral dan terpampang di sebuah billboard iklan di Amerika Syarikat.
Nasihat Nabi Muhammad S.A.W mengenai pencegahan wabak penyakit telah diberikan lebih 1400 tahun dahulu, ia adalah bersandarkan kepada dua hadith Nabi berikut, yang bermaksud:
"Yang sakit janganlah mendatangi yang sihat." (H.R Bukhari dan Muslim).
"Apabila kamu mendengarnya (wabak) di sesuatu tempat, maka janganlah kamu pergi ke situ. Dan apabila ia berlaku di tempat kamu, maka janganlah kamu keluar lari daripadanya." (H.R Muslim).
Malah, dalam sebuah hadith lain ada juga menerangkan mengenai satu situasi di mana Nabi didatangi sekumpulan orang dari Bani Thaqif untuk berbai'ah.
Salah seorang daripada mereka menghidapi sejenis penyakit yang berjangkit. Nabi S.A.W mengutus kepadanya dan tidak bersentuhan dengan dia, seraya berkata: "Sesungguhnya kami telah menerima ba’iah kamu, maka pulanglah." (H.R Muslim).
Menerusi hadith-hadith inilah, tiga nasihat berkaitan wabak Covid-19 dipaparkan oleh Gain Peace menerusi satu billboard di Chicago, Amerika Syarikat. Malah, ia secara terang-terangan mengatakan bahawa tiga nasihat ini diberikan oleh Nabi Muhammad S.A.W.
Seperti yang dipaparkan pada billboard (rujuk gambar), nasihat Nabi Muhammad mengandungi 3 pesanan:
- Cuci tangan anda dengan kerap
- Jangan tinggalkan kawasan yang dijangkiti
- Jangan mengunjungi kawasan yang dijangkiti
Umat Islam di seluruh dunia dinasihati agar sentiasa melakukan penjarakan sosial (social disctancing) dan mengelakkan perhimpunan ramai, termasuklah melakukan ibadah secara berjemaah di masjid.
Kebanyakkan negara Islam di dunia telah menutup sementara masjid-masjid dan menangguhkan upacara keagamaan disebabkan oleh penularan wabak Covid-19 ini. Kebimbangan ramai adalah wabak mungkin menjadi lebih serius seandainya nasihat-nasihat kesihatan tidak diendahkan oleh masyarakat dunia.
Jadi, nasihat berkaitan kesihatan terutama cara mengelakkan penularan Covid-19 kerap diberikan.
Covid-19 bukan sahaja memberikan impak kepada kegiatan sosial serta keagamaan, tetapi juga telah menjejaskan ekonomi seluruh dunia.
Catat Ulasan
Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.