Kalau ikutkan sudah pelbagai tips dan panduan diberikan untuk mengekang penularan wabak Covid-19 dalam kalangan masyarakat dan rakyat Malaysia. Namun, masih lagi ada segelintir masyarakat yang degil dan tak endahkan nasihat diberikan. Ada yang anggap nasihat duduk di rumah dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai satu perkara yang tidak perlu diambil serius.

Adanya sikap sebegini, kita melihat banyak tempat atau daerah di Malaysia diletakkan dalam zon merah, sehingga ada yang dikenakan kawalan lebih ketat iaitu Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), yang menyerupai Total Lockdown seperti di luar negara.

Tips dan Panduan Hadapi Pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

tips hadapi pandemik Covid19 dan PKP

Saya sangat risau, jika sikap tidak ambil endah dan engkar pada arahan untuk duduk di rumah serta perlaksanaan PKP bakal melihatkan pertambahan mendadak kepada kes positif Covid-19 di Malaysia.

Sepertimana laporan media arus perdana, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan yang Malaysia bakal menerima kemuncak kes positif Covid-19 serta peningkatan jumlah kematian pada pertengahan April 2020.

1. Jangan Keluar Tanpa Alasan Kukuh, Kekal Duduk Di Rumah

tips hadapi pandemik Covid19 dan PKP

Walaupun kerajaan telah mengisytiharkan bahawa tempoh PKP dilanjutkan ke fasa dua sehingga 14 April, terdapat ramai orang terutama sekali warga kota yang keluar dari rumah atas pelbagai alasan yang kurang munasabah.

Saya sendiri melihat beberapa klip video yang ditularkan yang menunjukkan individu yang ditahan ketika sekatan jalanraya PKP memberikan alasan, "Itu tempat makan favourite saya, salahkah saya pergi mahu beli makan di situ?". Jauhnya tempat makan tersebut melebihi had dibenarkan iaitu tidak lebih 10km daripada alamat kediaman.

Kerana adanya alasan-alasan tidak munasabah yang diberikan ini, pihak PDRM telah mengesyorkan orang ramai untuk membawa bil utiliti yang menunjukkan alamat rumah kediaman mereka, sekiranya perlu untuk keluar ke rumah.

[ads id="ads1"]

2. Jangan Sorok Informasi, Lakukan Kuarantin Sendiri

Baru-baru ini juga, kita semua digemparkan dengan berita bahawa terdapat 8000 warga kerja Perkhidmatan Awam yang telah diberikan kelulusan untuk bercuti ke luar negara. Kelulusan ini diberikan sempena cuti persekolahan di Malaysia bermula 14 Mac lalu.

Untuk info, mana-mana penjawat awam yang ingin bercuti ke luar negara perlu mengemukakan permohonan kepada ketua jabatan atau kementerian masing-masing. Tanpa kelulusan ini, seorang penjawat awam tidak boleh sewenang-wenangnya pergi ke luar negara.


tips hadapi pandemik Covid19 dan PKP

Yang menjadi kerisauan saya ialah, adanya mereka yang baru pulang dari luar negara yang tidak melakukan kuarantin sendiri di rumah selama 14 hari seperti disyorkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Malah menurut satu lontaran twitter oleh pihak KKM, jika mereka yang tidak endahkan arahan untuk kuarantin diri selama 14 hari akan mengakibatkan penularan wabak Covid-19 sehingga 4 generasi!




Lihat bagaimana wabak Covid-19 sangat mudah tersebar dan kemungkinan mengakibatkan ada nyawa yang terkorban dek kerana kedegilan untuk kuarantin diri selama 14 hari.

tips hadapi pandemik Covid19 dan PKP

3. Ketahui Bahaya Pesakit Positif Covid-19 Tanpa Bergejala

Saya sangat risau, kerana wabak ini telah dikenalpasti boleh tersebar menerusi pesakit Covid-19 yang asymptomatic iaitu tidak menunjukkan sebarang gejala klinikal seperti batuk, demam, sakit tekak atau sesak nafas. Ini menandakan sesiapa sahaja boleh menjadi penyebar kepada wabak ini tanpa sedar.

Itu sebab kenapa pihak kerajaan melanjutkan lagi PKP sehingga 14 April memandangkan ramai yang telah pulang ke kampung, pergi bercuti ke luar negara, mengadakan kenduri ketika musim cuti sekolah 14 Mac yang lalu.

4. Risiko Besar Kepada Mereka Yang Ada Masalah Kesihatan dan Imun Rendah

tips hadapi pandemik Covid19 dan PKP

Yang semakin menimbulkan keresahan saya ialah saya merupakan seorang pesakit kencing manis (diabetes). Ini bermakna, saya merupakan golongan yang berisiko tinggi. Maksudnya, seandainya saya dijangkiti dan disahkan positif Covid-19, peratus untuk sembuh itu adalah rendah.

Jika dilihat daripada kes-kes Covid-19 yang meninggal dunia, kebanyakkan mereka adalah yang mempunyai penyakit kronik dan antaranya adalah yang mempunyai penyakit kencing manis dan juga darah tinggi.

Sekiranya anda merupakan golongan berisiko seperti saya, maka sangatlah penting untuk menjaga kebersihan diri dan sentiasa memakai topeng muka ketika keluar di rumah terutama di tempat tumpuan ramai seperti pasaraya, pasar awam, kedai runcit, stesen minyak mahupun hospital.

Jika boleh, pakai cermin mata untuk elakkan penularan wabak ini disebabkan mata terdedah kepada persekitaran. Cuci cermin mata dan tangan dengan sabun apabila pulang ke rumah, dan kalau boleh tanggalkan pakaian yang dipakai untuk dicuci.

Apabila PKP dilaksanakan, kita secara automatik mempunyai banyak masa di rumah. Ada yang mengeluh kerana merasa bosan dan terkurung di dalam rumah. Sebenarnya ada banyak perkara boleh dilakukan di rumah ketika PKP ini.

5. Amalkan Kebersihan Dalam Rumah Terutama Dapur

Samada sedar atau tidak, ruang dapur kita adalah antara tempat di mana virus dan bakteria mudah didapati dan membiak. Kerana itu, di waktu kelapangan yang ada ini, keraplah melakukan kerja pembersihan di dapur.

Seorang Profesor Mikrobiologi di Universiti Arizona, Dr Charles Gerba membuktikan bahawa permukaan dapur sebenarnya lebih kotor berbanding dengan lantai di rumah jika dilihat pada sudut kehadiran virus dan bakteria.

Dapur adalah bahagian di dalam rumah yang banyak kontak dengan kita. Kita mungkin tidak sedar, sebelum kita membasuh tangan, kita mungkin telah mencemar permukaan dapur ini dengan sentuhan.

Sentuhan tersebut boleh menyebabkan benda yang disentuh menjadi tercemar dengan virus (fomit). Hal ini boleh membuatkan wabak COVID mudah untuk menular terutamanya dalam kalangan ahli keluarga.

Menurut kajian Dr Charles, walaupun anda sering mengelap kabinet dapur, ia mudah tercemar dengan bahan masakan mentah seperti ayam, daging dan ikan semasa proses penyediaan makanan. Jika anda ingin membersihkan permukaan dapur bagi mengelakkan wabak COVID, gunakan sabun antiseptik yang mudah didapati di pasaran.

Jika tiada, gunakan apa-apa jenis sabun pencuci sedia ada. Tindakan tersebut dianggap sudah memadai memandangkan virus korona seperti Covid-19 sangat sensitif dengan sabun.

Sabun adalah agen penyahkuman yang sangat efektif!

6. Basuh Tangan Sekerap Mungkin

tips hadapi pandemik Covid19 dan PKP

Tips ini adalah tips yang paling penting sekali ketika berhadapan dan menghadapi situasi wabak Covid-19 ketika ini. Basuhlah tangan sekerap mungkin hatta berada di dalam rumah sekalipun.

Basuh tangan anda, dan ganti pakaian yang anda pakai sebaik sahaja anda pulang daripada berada di luar kawasan rumah anda, terutama sekali selepas pulang membeli barangan keperluan dapur atau mengunjungi tempat yang menjadi tumpuan orang ramai seperti pasar, bank, pejabat pos, kedai serbaneka dan sebagainya.

Jangan ambil risiko. Lakukan basuhan tangan dengan air serta sabun sekurang-kurangnya 20 saat dengan cara yang betul.

Jika bahan tersebut tidak terdapat pada persekitaran, gunakan hand sanitizer pada kepekatan alkohol sekurang-kurangnya 60%.

Satu fakta yang harus anda tahu ialah, secara puratanya manusia menyentuh muka sebanyak 23 kali sejam dan hampir separuh daripada tindakan tersebut melibatkan sentuhan hidung, mata dan mulut. Justeru, amalan cuci tangan secara kerap dapat menghindarkan jangkitan dengan lebih efektif.

7. Amalkan Penjarakkan Sosial

Amalkan Penjarakkan Sosial

Salah satu cara untuk memastikan diri tidak terkena jangkitan dari wabak Covid-19 di kawasan tumpuan awam ialah dengan melakukan penjarakkan sosial. Anda perlu memastikan berada pada jarak sekurang-kurangnya 1 meter daripada individu lain terutama sekali daripada individu yang bersin atau batuk. Paling terbaik adalah jarakkan sehingga 2 meter.

Kalau boleh, lakukan sentiasa kerana sudah terdapat bukti bahawa penyakit ini boleh merebak daripada kalangan mereka yang tidak bergejala atau asymptomatik.

8. Elak Beli Barangan Tidak Perlu, Jangan Membazir

Apabila keperluan barangan rumah sudah kehabisan, anda boleh sahaja keluar untuk mendapatkannya. Namun, jangan ambil kesempatan diberikan untuk melakukan pembelian panik atau berbelanja barangan yang tidak perlu.

Janganlah membazir. Buat masa ini, tiada siapa pun dapat pastikan selama mana kerajaan akan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Ia mungkin mengambil masa 3 bulan, 6 bulan atau mungkin setahun.

Beli barangan yang mampu bertahan lama. Pastikan anda semak barangan makanan yang dibeli supaya tidak melebihi tarikh tamat tempoh, terutama makanan dalam tin. Hanya beli jika anda akan menggunakan dalam tempoh yang ditetapkan.



9. Gunakan Lebihan Kewangan Untuk Manfaat Jangkamasa Panjang

Dengan pengecualian beberapa kemudahan perbankan seperti pembayaran balik pinjaman, pengurangan faedah pembiayaan dan pelbagai lagi termasuklah pemberian bantuan kewangan dari kerajaan menerusi Prihatin dan kebenaran pengeluaran wang dari KWSP, seharusnya anda menggunakan lebihan wang ini untuk tujuan yang lebih bermanfaat daripada berbelanja secara semborono.

[Dah Baca?] Bagaimana Manfaatkan Pengeluaran i-Lestari KWSP untuk Keuntungan Jangkapanjang

Gunakan wang yang ada untuk memastikan kelangsungan hidup untuk satu jangkawaktu yang lama. Kalau boleh, gunakan sebagai modal untuk memastikan anda mempunyai kemampuan kewangan yang cukup untuk satu tempoh yang tidak dijangka.

Anda boleh gunakan untuk melabur dalam Amanah Saham atau memulakan aktiviti jual beli saham. Paling tidak simpan sahaja di dalam bank tanpa menggunakannya jika tidak perlu. Jika ada hutang, inilah masanya untuk melangsaikannya.

Percaya atau tidak, dengan melangsaikan hutang yang anda ada, ia akan membuka lebih banyak pintu rezeki. Ia semestinya satu yang anda inginkan ketika berhadapan dengan pandemik Covid-19 dan juga PKP ini.

Sematkan juga bahawa rezeki itu bukan setakat wang ringgit. Rezeki itu boleh jadi kesihatan yang baik, keluarga yang selamat, makanan yang diberkati, dihapuskan dosa, dimakbulkan doa dan banyak lagi. Percaya bahawa apa yang berlaku ini adalah ketentuan daripada Tuhan.

10. Luangkan Masa Berfaedah Bersama Keluarga

tips hadapi pandemik Covid19 dan PKP

Jika anda dan keluarga anda sihat, seharusnya anda berasa syukur kerana anda ada masa yang banyak untuk bersama keluarga tersayang di waktu PKP dilaksana. Anda kena sedar, terdapat ribuan orang yang sedang bekerja di barisan hadapan menguruskan wabak Covid-19 untuk memastikan virus ini tidak berjangkit kepada anda dan keluarga anda.

Masa yang ada pada mereka adalah terhad. Mereka terpisah daripada keluarga. Mereka tidak boleh peluk cium keluarga tersayang sepertimana anda yang boleh melakukannya setiap masa.

Ada di antara mereka ini terpaksa berpanas dan berhujan semata-mata memastikan arahan PKP dilaksana dengan jayanya.

[Dah Baca?] Panduan Lengkap Untuk Berniaga dan Jual Barang di Shopee

Ada pula yang tidak cukup tidur dan terpaksa memakai pakaian yang kurang selesa dalam memastikan anda boleh tidur nyenyak berpelukan dengan isteri serta anak-anak di rumah.

Jika selama ini anda sibuk dengan hal dunia mencari duit, inilah masa terbaik untuk sama-sama dengan ahli keluarga untuk bersholat berjemaah, mengaji bersama, membantu anak mengulangkaji pelajaran, bermain di dalam rumah serta melakukan aktiviti berfaedah bersama.

Kukuhkan ikatan bersama. Terapkan nilai kekeluargaan dan kasih sayang ketika PKP. Jadilah ketua keluarga sebenar dan ibubapa yang memahami anak-anak.

Jika selama ini tugas mendidik dan mengajar anak dipikul oleh guru, ambillah peluang ini untuk bertanggungjawab terhadap pendidikan anak anda dengan lebih serius. Tampilkan diri anda sebagai ibubapa yang mampu menjadi hero dan tempat rujukan jika ada masalah dalam pembelajaran.

Paling tidak pun, beri sokongan moral dan disiplinkan mereka untuk terus menambah ilmu pengetahuan walaupun tidak perlu hadir ke sekolah. Mereka kena difahamkan bahawa sekolah bukannya satu-satunya tempat untuk menimba ilmu, di rumah pun boleh dengan bantuan daripada anda sebagai ibubapa.

11. Jangan Sebar Berita Palsu dan Fitnah

Jangan sebar berita palsu

Setiap hari ada sahaja pelbagai cerita dan berita disebarkan secara meluas di media sosial dan juga blog. Ada yang benar, dan banyak juga yang meragukan. Malah, menyedihkan sekali ada yang membuat cerita dan berita palsu sehingga memungkinkan fitnah berlaku.

Ringan sungguh jari-jemari ini menyebar-luas benda yang sensasi tanpa tahu kebenaran.

Waktu ini, kita boleh nampak kesan-kesan akibat penyebaran berita palsu dan fitnah yang tersebar.

Elakkan diri dari menjadi penyumbang penyebaran berita palsu ini apatah lagi cuba mewujudkan sesuatu yang belum tentusahnya. Perkara seperti ini tidak membantu dalam mengekang penularan wabak Covid-19 ini.

Sebelum anda nak kongsikan apa-apa di WhatsApp, blog, Facebook, Instagram, Twitter atau apa jua medium, pastikan bahawa ia sesuatu yang benar. Belajarlah cara nak tentusahkan. Jika tak pasti, jangan kongsi. Dah dapat, simpan sahaja untuk pengetahuan anda selagi tiada kebenarannya.

Waktu PKP ini juga, anda perlu menjadi pengguna media sosial yang bertanggungjawab serta berhemah. Kekangkan diri daripada menjadi 'batu api' atau melagakan orang lain menerusi komen-komen yang kurang membina.

Kita tak mahu ada salah faham, apatah lagi persengketaan. Kalau boleh, biarlah dalam waktu PKP ini kita sama-sama membantu negara untuk pulih daripada wabak Covid-19. Cukuplah dengan masalah yang sedia-ada.

12. Kawal Emosi Kukuhkan Psikologi Diri

tips hadapi pandemik Covid19 dan PKP

Emosi pasti terganggu di saat mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan. Buat mereka yang terkesan secara langsung dengan Covid-19, ia adalah sesuatu yang sukar. Mereka yang sah jadi pesakit Covid-19 pasti akan berhadapan dengan stigma masyarakat yang rata-rata suka menghukum dan mengadili.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Kawallah emosi anda sebaik mungkin. Ada banyak cara untuk anda melakukannya, antaranya ialah dengan mendengar alunan lunak bacaan suci ayat Al Quran atau zikir. Atau mungkin membaca buku motivasi dan mendengar ceramah motivasi.

Kerajaan juga ada menyediakan saluran khas untuk membantu anda mengukuhkan psikologi diri. Jangan mudah rasa kecewa atas sesuatu yang berlaku. Setiap yang berlaku ada hikmah. Sentiasa bersikap positif dan jauhkan diri dari benda-benda yang negatif terutama sekali berkaitan emosi.

13. Tingkatkan Ibadah dan Banyakkan Berdoa

Tingkatkan Ibadah dan Banyakkan Berdoa

Bulan Ramadan akan muncul tidak lama lagi. Dalam bulan tersebut, Allah S.W.T lipat gandakan pahala untuk mereka yang mengerjakan ibadah. Umat Islam seluruh dunia akan mengambil kesempatan daripada keberkatan bulan mulia itu untuk berbuat sebanyak mungkin perkara baik dan amalan sunat bagi menambah pahala.

Tapi, samada sedar atau tidak, Allah S.W.T berikan kesempatan kepada kita untuk berbuat sesuatu kebaikan dengan lebih banyak sebelum hadirnya Ramadan tahun ini. Paling menguntungkan ialah, kita boleh melakukan bersama-sama keluarga tersayang.

Adanya PKP ini, kita ada banyak masa untuk melakukan amal ibadah sunat yang sebelum ini terbatas kerana tugas dan waktu bekerja. Malah, kita boleh melakukannya bersama keluarga.

Antaranya:

  • Berpuasa sunat Isnin dan Khamis bersama ahli keluarga - bukan setakat boleh menjimatkan belanja, tetapi menyekat kita daripada keluar rumah sesuka hati.
  • Menonton dan mendengar ceramah agama (majlis ilmu) secara online, apatah lagi bila kebanyakan Telco utama di Malaysia memberikan 1GB data percuma.
  • Imarahkan rumah sebagai tempat ibadah dengan amalan seperti membaca dan mendengar taalim selepas selesai sholat fardu.
  • Khatam membaca Al Quran atau setidak-tidaknya belajar memperbaiki bacaan Al Quran - Ini bermakna Quran bukan setakat disentuh dan dibaca hanya di bulan Ramadan semata-mata.
  • Mampu meninggalkan perbuatan-perbuatan sia-sia ketika berada di luar rumah contohnya melepak di kedai kopi, window-shopping di pusat beli-belah, karaoke dan macam-macam lagi.

Samada sedar atau tidak, segala pusat maksiat dan perjudian juga ditutup dan dilarang beroperasi semasa PKP ini, iaitu sebelum datangnya bulan Ramadan. Sekaligus, perbuatan yang boleh mendatangkan dosa dapat dikurangkan. Hiburan yang melalaikan juga hampir tiada ketika PKP ini.

Waktu inilah juga, hati kita akan terdetik ... inilah rasanya apabila Allah tarik nikmat untuk bersolat berjemaah di masjid. Allah tarik nikmat untuk mendengar khutbah Jumaat. Allah tarik nikmat untuk bersedekah di tabung masjid.

Ia juga beri gambaran bahawa Allah mahukan kita bukan sekadar melakukan kebaikan di dalam bulan Ramadan semata-mata, malah turut memuliakan bulan-bulan lain. Allah mahu kita sentiasa menjadi seorang Muslim yang baik setiap masa, perbanyakkan amalan sunat sepanjang masa dan sentiasa menghargai masa yang Allah berikan.

Berdoalah pada Allah. Mohon petunjuk dariNya. Mohon keselamatan dan rezeki dariNya.

Rahsia Sholat

Kesimpulan

Amalan menjaga kebersihan diri dan keluarga adalah kunci utama dalam memastikan wabak Covid-19 ini tidak menjadi semakin parah. Kepatuhan kita kepada arahan kerajaan juga adalah faktor yang membolehkan kita mampu menyekat dan menang dalam perjuangan memerangi wabak yang telah mengorbankan ratusan ribu nyawa manusia dalam tempoh yang singkat.

Kita telah diberikan pelbagai info dan maklumat mengenai Covid-19 ini. Seharusnya kita tahu akan bahaya penyakit ini dan cuba dengan segala daya usaha dalam memastikan ianya tidak terus membelenggu kehidupan kita.

Jangan ada alasan lagi. Sekiranya kita terus kecundang dengan pelbagai alasan, kita tidak akan nampak di mana kesudahan episod menakutkan disebabkan  wabak Covid-19 ini.

Kita juga jangan putus harapan, kerana sebagai seorang yang mempunyai pegangan agama, kita wajib sedar bahawa setiap sesuatu yang berlaku adalah ketentuan daripada Tuhan, dan ada sebab ianya berlaku.

Seharusnya apa yang berlaku mampu menjadikan kita lebih baik. Lebih baik pada diri, pada keluarga, pada masyarakat, pada negara dan pada agama.

Lihatlah sendiri kesan yang dasyat akibat Covid-19 ini. Jika ujian ini kita gagal tempuh dengan sebaiknya, bagaimana pula nanti apabila Tuhan mendatangkan ujian yang lebih Maha Dashyat daripada Covid-19 ini?

Semoga perkongsian ini dapat dimanfaatkan bersama.

Berikut adalah pesanan akhir daripada rakan blogger lama, Mira Filzah kepada semua rakyat Malaysia. :)



2 Ulasan

Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

  1. I guess to conclude all is BE SERIOUS in..on.. at semua2 tu lah...

    BalasPadam
  2. Saya ni Tuan kira hari-hari membaca mengenai ni, jadi takut nak tarik nafas,pun masih tetap baca walau dah faham...cuma peliklah mereka yang tak takut akannya, mungkin sebab mereka tak baca ke? atau kurang pendedahan ke, memang pelik saya....

    BalasPadam

Catat Ulasan

Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

Terbaru Lebih lama

Advertisement

Bisnes Shopee

Advertisement

BERMASALAH DENGAN HARTA PUSAKA?

Panduan Mengurus Harta Pusaka dan Hibbah. - Nak Tahu? Klik Sini Sekarang!!


Advertisement