Walaupun ada pelbagai cara serta resepi menyediakan rendang ini, semuanya sedap-sedap belaka, dan bahan-bahan untuk menyediakannya tidak banyak bezanya. Post kali ini saya kongsikan satu resepi mudah dan sedap menyediakan Rendang Pedas Daging.
Resepi Rendang Pedas Daging Sedap dan Mudah
Resepi Rendang Pedas Daging yang akan saya kongsikan ini adalah tidak jauh bezanya dengan Resepi Rendang Ayam yang pernah saya kongsikan sebelum ini. Cuma, dari segi penyediaan, anda mungkin perlu memastikan yang daging adalah empuk agar mudah untuk dijamah.
Jom, kita mula memasak Rendang Daging ni .. in Sha Allah, ia satu resepi yang mudah dan senang untuk disediakan.
Bahan-Bahan
- 1 kg daging yang telah dihiris kasar.
- 3 - 5 biji bawang besar.
- 4 ulas bawang putih.
- Halia sebesar ibu jari.
- Kunyit hidup sebesar ibu jari.
- Sedikit lengkuas
- 3 - 5 batang serai.
- Cili kering kerinting (pedas) yang telah dikisar lebih kurang 3 senduk.
- 500 gram santan segar.
- 200 gram kerisik.
- Seketul gula merah atau gula melaka saiz sederhana.
- 1 - 2 helai daun kunyit.
- 2 keping asam keping.
- 3 - 4 helai daun limau purut.
Cara Memasak
- Rebus daging anda terlebih dahulu, paling kurang dalam sejam setengah. Kalau ada periuk tekanan, boleh direbus dalam 30 hingga 40 minit.
- Kisar separa halus bawang besar, bawang putih, halia, lengkuas, serai dan kunyit hidup.
- Tumis bahan-bahan dikisar dengan sedikit minyak (kurang 2 sudu besar).
- Apabila tumisan dah naik bau, masukkan cili kering yang telah dikisar.
- Masukkan pula gula merah/gula melaka dan kacau semuanya sampai sebati.
- Seterusnya, masukkan daging. Biarkan ia masak seketika dengan api yang sederhana.
- Masukkan santan dan teruskan untuk kacau sehingga pecah minyak.
- Apabila sudah hampir hendak kering, masukkan kerisik dan daun kunyit yang telah dihiris, bersama dengan daun limau purut dan juga asam keping.
- Gaul semuanya sehingga sebati, gunakan api yang kecil sahaja. Masak lama sikit tak apa sebab ia akan melembutkan daging.
- Akhir sekali, jangan lupa masukkan garam secukup rasa. Jangan main tabur je ... rasa dulu ... itu sebab namanya secukup rasa.
Dah siap selesai.
Terus boleh dihidangkan untuk menjamu selera di Hari Raya.
Tips Menyediakan Rendang Pedas Daging
Ok. Sedikit tips dan ubahsuai jika perlu.
- Potong atau hiris daging melawan/melintang urat, agar ia mudah untuk dimakan.
- Jika tak ada gula melaka, boleh gunakan gula kabung atau kalau tak ada juga, boleh gunakan gula pasir biasa. Tapi serius, kalau nak sedap, elakkan guna gula biasa tu.
- Boleh gunakan santan kotak, gunakan 500ml atau gantikan dengan 1 tin besar susu cair.
- Jika guna susu cair, kena banyakkan kerisik. Ia akan memekatkan kuah serta rasa lemak rendang anda.
- Ketika nak hiris daun kunyit, asingkan tulang tengah daun kunyit tu ya. Ada yang main hiris je.
- Bila guna bawang besar tu, cari yang warnanya agak merah gelap. Ada kata ia lebih sedap.
- Jika nak kuahnya banyak dan rasa sedap, maka bahan-bahan tumisan perlu dilebihkan.
- Boleh juga tambah sedikit cili api dalam bahan-bahan dikisar untuk menambahkan lagi rasa pedas.
- Ada yang meletakkan biji jintan putih, jintan manis dan serbuk ketumbar ke dalam bahan tumisan. Ini akan menjadikan rendang pedas anda sedikit rasa berempah. Boleh ditambah dalam resepi di atas, cuma sukatannya dalam 1-2 sudu sahaja. Anda boleh kisar bersama bahan tumisan atau masukkan terus ke dalam masakan.
Amacam? Agak-agak boleh buat ke tak? In Sha Allah, tak susah mana pun. Suami-suami di rumah pun boleh masak resepi Rendang Pedas Daging ni.
Pasti sedap terangkat dan pedas sesuai dijamah dengan lemang, nasi impit, dan juga ketupat.
p.s: Memang ada pelbagai jenis rendang, dan cara memasak juga ada beberapa cara. Namun, asasnya sama sahaja seperti di atas. Bahan-bahan pula ada yang ringkas dan ada pula dipelbagaikan untuk menaikkan rasa rendang.
Siapa yang rasa nak masak rendang daging yang sedap, bolehlah mencuba resepi asik ni ..
BalasPadamUlasan baru tidak dibenarkan.