Jika sebut kaum Batak, pasti ramai yang akan terlintas di fikiran yang bahawasanya kaum ini amat ganas, makan orang dan kaum yang suka memenggal kepala lawan atau musuh. Malah, pesalah jenayah juga akan dikenakan hukuman serupa jika terbukti salah.
Kisah Raja Batak dan Kiyai dari Acheh, Popular di Kalangan Pelancong ke Kg Tomok Pulau Samosir
Bangsa atau kaum Batak ini menjalani kehidupan bersuku. Suku kaum Batak terdiri dari Angkola, Karo, Mandailing, Pakpak atau Dairi, Simalungun, dan Toba. Batak adalah rumpun suku-suku yang mendiami sebagian besar wilayah Sumatera Utara, Indonesia.
Masyarakat kaum Batak rata-rata di zaman sekarang beragama Kristian, walaupun di satu masa dahulu, panglima perang Raja Batak adalah seorang Kiyai (beragama Islam) yang berasal dari Acheh.
Jika anda ke Pulau Samosir, dan kemudiannya ke Muzium Batak, anda akan dapat melihat satu kotak atau peti kecil di sebelah Raja Batak yang terkenal sangat kacak dan gagah. Peti kecil tersebut ada ukiran menyerupai seorang lelaki bersongkok.
Difahamkan, apabila Kiyai itu meninggal dunia, jenazahnya telah dibawa pulang ke Acheh dan dikebumikan di sana. Atas untuk menghargai jasa Kiyai, Raja Batak telah mengarahkan satu peti kecil diletakkan di samping makamnya.
Kiyai Acheh Jadi Panglima Tentera Batak
Kisah Kiyai ini agak menarik.Beliau telah dipanggil oleh Raja Batak untuk membantu tentera dalam menghadapi musuh yang dikatakan sukar dikalahkan.
Kiyai menyedari kepercayaan orang Batak ialah tidak boleh melihat orang bertelanjang. Kaum Batak percaya melihat orang bogel akan membawa nasib malang kepada mereka dan seluruh keluarga mereka.
Orang Batak memang mementingkan keluarga. Anda boleh lihat pada senibina rumah orang Batak yang bertingkat - mampu menempatkan lebih daripada sebuah keluarga. Malah, orang Batak menghormati kaum wanita mereka dan sangat mementingkan zuriat keturunan.
Keluarga Batak yang mempunyai anak yang ramai memberikan mereka kehidupan lebih sejahtera dan bahagia. Itu sebab mereka takut nasib malang menimpa mereka dan keturunan mereka.
Jadi Kiyai ini telah menasihati Raja Batak dan angkatannya untuk tidak membawa sebarang senjata melainkan dengan hanya memakai kain batik. Ketika berhadapan dengan musuh, kain dibuka dan musuh bertempiaran lari dan Raja Batak Pulau Samosir ini telah menang dalam peperangan tersebut.
Walaupun Kiyai yang beragama Islam ini telah mengetuai bala tentera Raja Batak, namun masyarakat Batak terutama di Pulau Samosir tidak berjaya diislamkan. Sebaliknya pendatang dari Eropah yang berjaya menukar sama sekali agama kuno suku Batak kepada agama Kristian.
Asal-Usul Batak di Pulau Samosir
Bercakap mengenai asal-usul kaum Batak di Pulau Samosir, ada yang mengatakan bahawa kaum ini berasal dari kasta rendah masyarakat Mandailing yang asalnya adalah merupakan orang-orang dari selatan dan tengah India.Itu sebab jika dilihat dari rupa paras fizikal orang Batak, mereka bersusuk tubuh kecil, rendah dan berkulit gelap. Mereka juga berbenjol di bahagian belakang kepala. Mereka disifatkan sebagai ganas dan garang kerana asal kehidupan mereka yang terhimpit dalam pemerintahan kaum Aryan di India.
Dipercayai juga suku kaum Batak mengamalkan ilmu hitam dan ilmu kebatinan yang tinggi. Itu sebab terdapatnya ritual memakan daging manusia untuk menjadikan mereka lebih gagah dan ditakuti.
Malah, banyak ritual purba diamalkan oleh masyarakat Batak sebelum kedatangan Kristian, yang akhirnya mengharamkan ritual-ritual tersebut.
Sebenarnya sejarah Batak ini belum dapat disahkan secara benar kerana tiada catatan yang boleh membuktikan asal-usul kaum Batak Pulau Samosir.
Namun begitu, kisah Raja Batak dan Kiyai dari Acheh adalah antara kisah popular yang sering diceritakan oleh masyarakat tempatan termasuklah pemandu pelancong yang membawa pelancong luar ke Pulau Samosir yang menempatkan perkampungan kaum Batak dikenali sebagai Kampung Tomok.
Post a Comment
Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.