Okeh, saya dan famili sebenarnya telah berkesempatan untuk bercuti selama beberapa hari ke Medan, Indonesia. Pemergian kami adalah bersama dengan rakan baik isteri saya yang sebelum ini pernah bawa kami bercuti ke Bandung, Indonesia beberapa tahun dulu.
Percutian Pertama Kali ke Medan, Indonesia - Part 1
Seumur hidup saya, ini merupakan kali kedua saya bercuti luar Malaysia. Jadi, boleh dikatakan saya ni memang noob (newbie) la bila bercuti di tempat orang asing. Apa benda pun tak tahu dan tak reti.
Nasib baiklah ada kawan yang dah biasa bercuti ke Indonesia, lebih tepat lagi ke Medan, Indonesia. Jadi, kami ikut sahaja tips dan panduan yang mereka kongsikan.
Tapi itulah ...
Yang kelakarnya ialah emak saya yang menjadi surirumah sepenuh masa pun dah pernah sampai ke Indonesia lebih awal daripada saya. Malah, dah pernah sampai ke Sabah ... erkkk ya, saya tak sampai lagi tiba ke negeri di bawah bayu tu, walaupun dalam Malaysia sahaja.
Ok, berbalik pada cerita pengalaman kami bercuti ke Medan, Indonesia.
Percutian ini berlaku pada bulan Disember 2019, selama 4 hari 3 malam. Jadi, kami menginap di 3 buah hotel berlainan, dan pergi ke banyak tempat sekitar Medan antaranya Danau Toba, Kampung Tomok, Berastagi, Air Terjun Sipiso Piso, Bukit Indah Simarjarunjung, Bukit Gundaling, Masjid Raya Medan, Istana Maimoon dan beberapa tempat lain, termasuklah Pasar Ikan yang bukan menjual ikan!
Percutian bermula pada 11 Disember 2019.
Ikuti kisah pengalaman saya sekeluarga selama berada di sana, dan ini merupakan kisah hari pertama kami bercuti ke Medan, Indonesia ...
Bertolak dari Pulau Pinang ke Lapangan Terbang Kualanamu, Medan dengan Air Asia
Kami sekeluarga menaiki penerbangan Air Asia bertolak pada pagi dari Lapangan Terbang Pulau Pinang, bersama dengan satu lagi keluarga disamping keluarga kawan baik isteri saya yang turun dari Alor Setar, Kedah.
Jadi, awal pagi dari rumah kami dah bertolak untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Perancangan asal nak ambil Grab, tetapi atas beberapa perkara, saya ambil keputusan untuk drive sahaja ke airport, dan park di sana sahaja.
Risau juga awalnya tu. Risau apa?
Takut parking susah nak dapat, dan takut juga lewat tiba ke balai pendaftaran/check-in. Jadi, kami ambil keputusan untuk terus ke lapangan terbang dan breakfast di sana sahaja.
Perjalanan ke Medan dengan penerbangan Air Asia cuma mengambil masa 45 minit sahaja. Aha .. memang tak sempatlah nak buat apa-apa, hatta menikmati nasi lemak sedap Air Asia ... huhu.
Oh ya, kami ambil penerbangan dari Penang ke Lapangan Terbang Kualanamu, Medan yang merupakan lapangan terbang yang baharu dibuka sekitar tahun 2013. Ia merupakan lapangan terbang ketiga terbesar di Indonesia selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Jakarta Soekarno–Hatta dan Lapangan Terbang Bandung Kertajati.
Lapangan Terbang atau dikenali sebagai Bandar Udara Kualanamu ini memang besar dan moden. Ia terletak dalam daerah Serdang Deli, Medan. Ia merupakan salah satu daerah dari 25 Kabupaten atau Kota di Provinsi (Wilayah) Sumatera Utara, Indonesia.
Sepertimana tempat-tempat lain di Indonesia, pastinya juga di Medan terdapat pelbagai etnik ragam budaya masyarakat. Namun, masyarakat atau etnik yang sering menjadi tumpuan di Medan ialah masyarakat atau kaum Batak.
Ok.
Ni beberapa gambar sebaik kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, Medan...
Ketibaan kami semua disambut oleh pak supir atau pemandu van yang membahasakan dirinya sebagai Pak Berahim. Orangnya berkulit gelap, berisi dan bertubuh tegap.
Berpengetahuan agak luas mengenai sejarah negara Indonesia, terutama berkaitan wilayah Sumatera Utara.
Tidak kekok untuk bersembang, Pak Berahim agak berpengetahuan dalam lengok Bahasa Malaysia, jadi agak mudahlah untuk bersoal-tanya sepanjang perjalanan kami ke tempat tujuan.
Perkara pertama yang kami buat, apabila sampai sahaja di Medan ialah mencari tempat untuk makan. Dan Pak Berahim telah membawa kami makan di salah satu tempat makan yang agak terkenal di kalangan pelancong Malaysia, iaitu Ayam Penyet Cinderlaras.
Perjalanan dari lapangan terbang ke tempat makan memang makan masa agak lama. Sempatlah juga melelapkan mata disebabkan Pak Berahim menggunakan lebuhraya. Tak pasti nama lebuhraya apa .. tapi baru sahaja disiapkan.
Makan di Restoran Ayam Penyet Cinderlaras, Medan
Restoran Cinderlaras menghidangkan antara lain Nasi Ayam Penyet, Nasi Lele (Ikan Keli) Penyet, Nasi Bebek (Itik) Penyet, Nasi Nila (Ikan Talapia) Penyet, Nila Asam Manis, Cumi (Sotong) Goreng Tepung, Nasi Goreng Ayam, Lele Bakar dan banyak lagi. Sini juga terdapat pelbagai jus buah-buahan yang segar.
Saya menikmati Nasi Bebek Penyet. Fuh .. memang sedap sekali. Yang membuatkan ia sedap tu ialah sambal yang disertakan. Pedas namun membuka selera. Anak-anak saya, ambil menu Nasi Lele dan juga Nasi Ayam Penyet.
Bajet makan ini termasuk dalam bajet percutian kami. Jadi, kami tak adalah keluar duit asing untuk makan, semua dah siap dalam pakej yang kawan isteri saya sediakan.
Jadi, sebab itu, saya sempat juga membeli Rojak Buah yang ada dijual oleh seorang penjual jalanan di situ, dan menurutnya, rojak yang dijual adalah yang terbaik di Indonesia dan pernah dinikmati oleh Pak Presiden Indonesia sendiri... huhu.
Tapi, memang sungguh .. ianya cukup sedap sampai tak tersempat saya merakamkannya menerusi foto.
Waktu kami sampai ke restoran atau disebut Rumah Makan Cinderlaras ini, dah ada beberapa kumpulan pelancong dari Malaysia sedang menunggu hidangan tiba. Waktu itu juga hujan turun agak lebat.
Selain pelancong, terdapat juga beberapa penjual cenderahati jalanan. Uhh siap boleh bercakap Bahasa Melayu dengan agak baik.
Dari Medan ke Pematang Siantar
Selesai makan, kami teruskan perjalanan ke Danau Toba. Jadi, perjalanan ke sana agak mengambil masa yang lama, melalui Kota Tebing Tinggi, Pematang Siantar (P. Siantar) dan akhir sekali ke daerah Parapat yang letaknya Danau Toba dan juga tempat bermalam pertama kami di Medan, Indonesia.
Untuk info, untuk ke Parapat dari Bandar Medan, ada dua jalan ... jadi, untuk hari pertama ini, kami menggunakan jalan menerusi Kota Tebing Tinggi dan P. Siantar. Dan kembali semula ke Medan, menerusi jalan lain.
Ok ye.. jelas eh? Huhu.
Sepanjang perjalanan ke Parapat, kelihatan ramai orang menjual di tepi jalan, antaranya Air Kelapa (Nyor). Ada juga yang menjual buah durian segar, terutama apabila perjalanan dengan van hampir sampai ke Parapat.
Singgah di Masjid Kebun - Masjid Al-Ikhlash, Jalan Jln Tebing Tinggi - P. Siantar
Dalam perjalanan, kami semua singgah di sebuah masjid di P. Siantar untuk menunaikan sholat. Masjid tersebut cantik dan bersih, malah ada kedai menjual barangan runcit dalam kompleks masjid tersebut.
Menurut Pak Berahim, masjid tersebut adalah masjid kebun atau dengan kata lain dibina dan disediakan oleh pemilik ladang di situ.
Usai menunaikan sholat dan istirehat dalam 30 minit, terus kami semua bertolak ke bandar Pematang Siantar.
Sepanjang perjalanan, kebanyakkan kami ambil peluang untuk melelapkan mata. Dah masing-masing kenyang, dan hujan pula ... uhh apalagi yang boleh dibuat, ye tak? Nak jenguk ke luar, pemandangan terhalang dek kerana hujan.
Tiba di Pematang Siantar, Kedai Paten - Popular dengan Pelbagai Kacang Tumbuk
Semasa di P. Siantar, Pak Berahim telah membawa kami sebuah kedai menjual pelbagai jenis snek berasaskan kacang iaitu Kedai Paten. Uhh ada pelbagai jenis kacang yang dijadikan sebagai kacang tumbuk.
Malah, setiapnya ada nama tertentu, dinamakan sempena nama anak-anak tauke kedai Paten ni, ala sama macam tauke buah kurma Yusuf Taiyoob la yang menamakan jenis kurma dijual ikut nama anaknya.
Aha .. tengok gambar di bawah ini, ada Teng-Teng, Tang-Tang, Ting-Ting, Tong-Tong, Ting-Tong, Ping-Pong dan macam-macamlah. Setiapnya berbeza rasa, dan ada rasa manis dan juga pedas.
Sebelum beli, boleh rasa dahulu sebab memang dah disediakan sampel untuk dirasa. Mana berkenan dengan citarasa, boleh beli per pek setiap satunya.
Harga agak berpatutan. Saya beli untuk dijadikan ole-ole selain kudapan di dalam van dan untuk kudapan di hotel penginapan nanti.
Saya beli set yang ada semua jenis snek kekacang tumbuk yang sedap-sedap. Mudah senang. Tak yah nak pilih-pilih lagi.
Oh ya, kedai ini milik orang Cina Indonesia, tetapi in Sha Allah, makanan yang dijual dijamin halal. Ia antara lokasi wajib singgah kalau ke menuju ke Parapat dan singgah di P. Siantar ini. Ia amat popular di kalangan pelancong, terutama pelancong dari Malaysia.
Selesai habiskan membeli-belah kekacang di Kedai Paten, kami terus sahaja ke hotel penginapan kami di Parapat.
Bandar atau Kota Pematang Siantar agak sibuk. Nampak pelbagai ragam manusia di kiri dan kanan jalan. Kedai meriah dengan pelbagai jualan aneka barangan.
Sesekali anda melihat, anda akan nampak beberapa ciri unik yang ada di Medan ini.
Ni beberapa gambar yang saya sempat ambil dari dalam van menunjukkan kesibukan kota Pematang Siantar ini ..
Selesai habiskan membeli-belah kekacang di Kedai Paten, kami terus sahaja ke hotel penginapan kami di Parapat.
Keadaan Kota Pematang Siantar
Bandar atau Kota Pematang Siantar agak sibuk. Nampak pelbagai ragam manusia di kiri dan kanan jalan. Kedai meriah dengan pelbagai jualan aneka barangan.
Sesekali anda melihat, anda akan nampak beberapa ciri unik yang ada di Medan ini.
Ni beberapa gambar yang saya sempat ambil dari dalam van menunjukkan kesibukan kota Pematang Siantar ini ..
Dari Kota P. Siantar ke Parapat, Letaknya Danau Toba
Perjalanan dari P. Siantar ke Parapat agak mencabar. Jika saya merupakan supir, uhh memang gugup jugalah bila terpaksa berselisih dengan kenderaan lain, apatah lagi bila banyak kenderaan mengekori di belakang dan tak sabar untuk memotong.
Kenderaan memang banyak, dan jalan pula agak sempit dan berliku. Terasa bagai perjalanan menuju ke Cameron Highlands / Bukit Fraser. Suasana sejuk kerana ketika dalam perjalanan, hujan turut di beberapa lokasi.
Kerapkali juga berselisih dengan lori besar mengangkut muatan sayur-sayuran segar dari Berastagi. Penuh dan sarat dengan muatan.
Tiba di Parapat, Terus Menuju ke Patra Comfort Hotel
Kami menginap di Patra Comfort Hotel. Saya dimaklumkan, hotel ini menjadi tumpuan pelancong terutama dari Malaysia kerana lokasinya yang terasing dengan kesibukan, dan juga ia mempunyai pemandangan yang cantik Tasik Danau Toba.
Selain itu, ia menjadi pilihan ramai kerana ia menyajikan makanan yang kena dengan selera rakyat Malaysia/Asian.
Dari jalan besar Parapat, memang tak nampak kelibat hotel penginapan kami ini.
Jalan masuk ke hotel ini agak mencabar, terpaksa melalui jalan lereng kuit yang curam. dan sempit. Pun begitu, agak mengejutkan saya ialah, bas persiaran mampu untuk lepasi halangan jalan sempit ini hatta terpaksa berselisih dengan kenderaan lain.
[ads id='ads2']
Serius. Memang hebatlah pemandu-pemandu di Medan ni.
Perjalanan masuk ke hotel penginapan ini terus mengingatkan saya mengenai pengalaman naik ke Bukit Larut di Taiping dengan menaiki land-rover.
Namun, pemandangan luar memang indah dan suasana memang dingin.
Hujan renyai-renyai. Jalan basah dan licin. Cuak juga bila van kami naik menggelusur laju menuruni bukit untuk ke Patra Comfort Hotel, yang berada di tepi Tasik Danau Toba yang tersangatlah luas.
Penginapan di Hotel Patra Comfort, Danau Toba, Parapat
Hotel yang mempunyai perkarangan yang agak luas, malah ada kolam mandi serta mini water theme park. Bilik hotel pula memang luas dan mampu memuatkan kami sekeluarga. Selesa dengan segala kelengkapan yang diperlukan.
Makanan pun ok, kena dengan selera kami sebab ada menu yang dihidangkan adalah menu biasa yang boleh didapati di Malaysia seperti bihun goreng, tempe, bubur nasi dan juga rendang ayam!
Cuma makanan seperti Soto dihidangkan agak berbeza dengan di Malaysia, tetapi tetap berjaya menambat selera saya sekeluarga.
Persekitaran hotel ini memang banyak spot menarik untuk mengambil gambar, terutama berlatarkan Tasik Danau Toba yang luas. Jadinya, memang kami kerap bergambarlah di hotel ini.
Sempat juga saya pelajari beberapa fakta hangat menarik mengenai daerah Parapat dan juga Tasik Danau Toba. Ada infografik yang besar di ruang lobi hotel ini lengkap dengan sela masa selain info tempat menarik lain yang ada.
Gambar Bilik Penginapan di Patra Comfort Hotel, Parapat
Nak tengok gambar bilik yang kami bermalam? Ni beberapa yang sempat dan boleh kongsikan kepada anda .. huhu..
Oh ya, lupa nak beritahu, perjalanan daripada Medan ke Parapat mengambil masa hampir lima jam disebabkan oleh keadaan cuaca dan bilangan kenderaan yang agak banyak. Makanya, perjalanan dari lapangan terbang hingga ke tempat penginapan adalah sekitar 8 jam!
Tiba di Patra Comfort Hotel dalam jam 6:30 petang, elok je terus dalam waktu untuk menikmati makan malam.
Malamnya lebih banyak berada di bilik, merehatkan tubuh yang sehari suntuk berada di atas jalanraya.
Alhamdulillah, perjalanan sehari yang memenatkan tetapi seronok dan mengujakan.
Untuk kisah percutian hari kedua di Medan, jangan lupa baca post yang akan datang ya.
p.s: Ada beberapa gambar belum dimasukkan...
salam..boleh tak share kan nombor pak berahim kalau boleh. kami bercadang nak ke medan. tengah mencari pak supir. terima kasih ya
ReplyDeletePost a Comment
Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.