Untuk kisah percutian ke Medan Part 2 ini, saya akan bercerita pengalaman hari kedua kami bercuti ke Medan ini. Paparan utama pastilah apa yang ada di Parapat, daerah yang meletakkan Danau Toba yang terkenal serata dunia.
Percutian Pertama Kali ke Medan, Indonesia - Part 2
Untuk hari kedua percutian kami sekeluarga, hari bermula seawal jam 6:30 pagi. Kami ambil peluang untuk menikmati cuaca pagi yang dingin dan menyegarkan di sekitar hotel penginapan kami iaitu Hotel Patra Comfort.
Pemandangan waktu pagi memang best, apatah lagi banyak sudut bergambar berlatar Tasik Danau Toba yang cukup luas. Aha ... luasnya bukan biasa-biasa ya, ia lebih luas daripada negara Singapura!
Sebelum sarapan, sempatlah juga mengambil gambar beberapa keping sebagai kenang-kenangan penginapan kami di Hotel Patra Comfort ini. Tapi serius, bila dah kamera diketik tanpa perlu negatif filem, mau jumlah gambar di sini sahaja mencapai 500 ketik seorang!
Sarapan simple tapi mengenyangkan. Ada beberapa menu yang baharu bagi kami, tetapi disebabkan PKP dan PKPB ... terus dah lupa dah. Cuma ada gambar sahaja ... huhu.
Lepas dah kenyang, barulah kami semua bertolak ke lokasi yang menjadi agenda utama sejak mendarat di Medan, Indonesia ni.... iaitu ke Tasik Danau Toba, atau lebih tepat lagi ke Pulau Samosir yang berada di tengah tasik ini.
Perjalanan dari hotel penginapan ke Jeti Tiga Rajah mengambil masa kurang 30 minit. Kebanyakkan masa habis sewaktu menongkah bukit dari hotel untuk ke jalan utama, apatah lagi apabila ada bas persiaran turut bersama dengan rombongan kami. Jenuh.
Sampai di jeti, ramai yang menunggu feri untuk penyeberangan ke Pulau Samosir. Ini termasuklah peniaga jalanan tempatan yang telah sedia untuk menjual hasil tani mereka kepada pelancong, termasuklah buah durian dan jagung manis.
Daripada apa yang saya baca, durian di Parapat sangat sedap. Iyalah, durian bukit .. dah tu pula tanahnya adalah tanah subur hasil mendapan larva gunung berapi.
Kami tak beli atau merasai durian yang dijual, bukan apa .. tak mahulah perjalanan kami ke Pulau Samosir membawa bauan yang mungkin mengganggu penumpang lain. Dan juga nak elakkan dari rasa kurang enak tubuh badan apabila perlu menyelusuri Perkampungan Kaum Batak di Samosir yang menjadi tarikan utama.
Tiada jalan lain untuk ke Pulau Samosir, melainkan menaiki feri atau bot.
Bagi pelancong, ada banyak feri disediakan untuk membawa pelancong ke Pulau Samosir. Ia membawa pelancong seawal jam 7 pagi dan berakahir pada jam 9 malam. Bayaran yang dikenakan adalah sebanyak 15,000 rupiah (RM4) untuk perjalanan sehala.
Perjalanan dari jeti ke Pulau Samosir mengambil masa dalam 40 minit. Sepanjang perjalanan, saya dan keluarga menikmati keindahan dan keluasan Tasik Danau Toba yang terbentang luas seolah seperti sebuah lautan.
Tasik ini sangatlah dalam malah ada beberapa tragedi telah berlaku di sini. Walaupun air tasik sangat jernih, agak payah saya nak melihat kehidupan yang ada. Tak nampak pula spesies ikan seperti talapia (nila) yang dikatakan banyak terdapat di tasik ini.
Cuaca agak panas dan berangin sepanjang perjalanan dengan feri ke Pulau Samosir.
Pulau Samosir
Apabila sampai sahaja ke Jeti Pulau Samosir, kami terus diberitahu untuk ke Muzium Batak. Jarak dari jeti ke Muzium Batak dalam 100 meter. Perjalanan ke muzium pula perlu menyelusuri jalan bertangga yang sedikit mendaki dan berbumbung.Kiri kanan sepanjang perjalanan pula adalah gerai-gerai menjual cenderahati yang beraneka ditawarkan pada harga yang cukup murah. Peniaga-peniaga pula kebanyakan dari masyarakat setempat suku kaum Batak.
Untuk info, Pulau Samosir berkeluasan 627 kilometer persegi iaitu tiga kali ganda negara Singapura dengan mempunyai lebih kurang 120 kampung. 99 peratus penduduknya adalah beragama Kristian.
Jadi, kebanyakan peniaga di situ juga adalah rata-ratanya adalah beragama Kristian. Cuma ada beberapa kedai sahaja peniaganya adalah beragama Islam, yang saya difahamkan bukan berasal dari Pulau Samosir.
Hmm bercakap pasal kedai cenderahati di Pulau Samosir....
Ramai yang kata, peniaga di situ garang dan suka menekan para pelancong yang datang. Mereka akan paksa pelancong yang singgah di kedai mereka untuk beli. Malah, ada yang beritahu jangan sesekali buat tawar-menawar dengan peniaga di Pulau Samosir, kerana lambat laun akan dipaksa juga membeli.
Menurut beberapa tips yang dikongsikan oleh mereka yang pernah ke sini, jika nak tawar-menawar, pastikan ianya lebih daripada 50% daripada harga dinyatakan.
Tetapi, apa yang berlaku kepada kami ... berbeza ...
Peniaga agak ramah. Malah, tak sedikit pun memaksa kami untuk beli. Tiada adegan tarik tangan seperti dinyatakan dalam sesetengah blog. Harga barangan juga dah tersedia dijual dengan harga murah, sehingga tidak memungkinkan untuk tawar-menawar.
Jadi, apa yang dihebohkan sebelum ini adalah tidak benar.
Bayangkan, harga keychain dijual semurah 50 sen (duit MYR). T-shirt pula dijual pada harga semurah MYR10 sehelai. Jika beli banyak, boleh dapat harga lebih murah tanpa perlu susah payah menawarkan harga.
Mungkin ...
Menurut Pak Berahim yang menjadi pemandu pelancong kami, peniaga di situ mungkin telah sedar mengenai reputasi buruk yang diberikan kepada mereka oleh pelancong sebelum ini. Kerana itulah, mereka bertindak untuk merubah sikap dan tidak lagi berniaga seperti dulu.
Malah, Pak Berahim juga memberitahu, ramai pemandu pelancong tidak mengesyorkan membeli cenderahati di Perkampungan Batak ini.
Pun begitu, Pak Berahim juga menambah bahawa cenderahati di Pulau Samosir agak unik dan tidak terdapat di tempat lain. Malah, agak sukar nak mencari t-shirt yang mempunyai motif budaya kaum Batak dijual di kawasan pelancongan lain di Parapat mahupun mana-mana tempat di Medan.
Maka, agak rugi juga jika tidak mendapatkan cenderahati semasa berkunjung ke Pulau Samosir. Harga juga jauh berbeza, malah berganda-ganda lebih murah dari tempat lain di Medan.
Muzium Batak
Kaum Batak memang kaya dengan budaya dan resam, ada beberapa kepercayaan lampau di antaranya tidak terlintas dek akal yang beragama. Sebelum kedatangan agama Kristian, masyarakat Batak mengamalkan kepercayaan dewa-dewa dan agama kuno.
Satu waktu dahulu, kaum Batak ditakuti kerana mereka bersikap kanibal, iaitu gemar memakan daging manusia dan suka memancung kepala orang terutama orang asing yang datang menceroboh tanah Samosir.
Segala sejarah mengenai kaum Batak ada diceritakan di Muzium Batak. Di muzium ini, saya dan keluarga didedahkan dengan keturunan terawal yang menjadi pemerintah kaum Batak di Pulau Samosir.
Malah, anda akan diperlihatkan dengan kubur-kubur lama raja-raja Batak yang unik. Setiap kisah sejarah raja tersebut akan diceritakan oleh pemandu pelancong yang bertugas.
Paling menarik perhatian ialah kisahnya kenapa ukiran berbentuk buah dada dan juga cicak gergasi dijadikan antara monumen penting sejarah kaum Batak di Indonesia.
Gambar Muzium Batak
Saya kongsikan beberapa gambar apa yang ada di dalam Muzium Batak di bawah ...Jika anda tengok pada gambar bangunan kaum Batak, anda nampak tak ada ciri-ciri seperti rumah Minangkabau di Negeri Sembilan.
Oh bukan maksud saya, nak samakan masyarakat Minang di Negeri Sembilan dengan kaum Batak di Pulau Samosir, cuma mahu tunjukkan bahawa masyarakat Batak juga mempunyai kesenian dan budaya rencam.
Mengenai kubur atau makam di raja kaum Batak... ada perkara menarik yang ingin saya kongsikan .. huhuhu.
Tahukah anda bahawa kubur raja Batak tidak ditanam seperti kuburan biasa?
Mayat Raja Batak hanya dibalut seperti mumia dan diletakkan di dalam keranda batu yang berhias wajah raja tersebut dan beberapa ukiran patung yang membawa signifikasi tertentu.
Sekeliling makam Raja Batak ini akan disemadikan juga isteri, anak, sanak saudara termasuklah panglima perang dan pengawal raja.
Ada satu cerita menarik semasa kedatangan Islam semasa pemerintahan Raja Batak ini. In Sha Allah, saya akan ceritakan di dalam post lain nanti.
Ok, selesai penerangan dan penceritaan sejarah Raja Batak, kami pun terus ke perkampungan Batak iaitu Kampung Tomok.
Perkampungan Batak - Kampung Tomok
Di Kampung Tomok, ada diperlihatkan beberapa tarian tradisi serta ritual kaum Batak. Malah, para pelancong yang datang juga boleh turut serta untuk merasai pengalaman unik melakukan tarian kaum Batak.
Oh ya, untuk ke perkampungan ini dan melihat persembahan yang ada, anda akan dikenakan sedikit bayaran.
Duit Pelancong Bangunkan Pulau Samosir
Untuk info, pembangunan di Pulau Samosir tidak mendapat sebarang peruntukan daripada kerajaan Indonesia. Apa yang anda lihat di Pulau Samosir adalah merupakan hasil sumbangan industri pelancongan di pulau tersebut; atau dengan kata lain ... segalanya adalah datang daripada wang yang dibelanjakan pelancong di pulau tersebut.Semasa berada di dalam perkampungan Kampung Tomok, anda akan melihat pelbagai senibina unik masyarakat Batak yang sebenarnya terdiri daripada beberapa kaum seperti Karo, Simalungun, Angkola, Mandailing, Toba, Dairi dan Pakpak.
Setiap rumah ada diletakkan kepala kerbau lengkap dengan tanduk samada di luar mahupun di dalam rumah. Menurut kepercayaan, ia melambangkan kesejahteraan keluarga yang menghuni rumah tersebut.
Seperti di awal post ini, saya ada mengatakan yang masyarakat Batak juga membuat hiasan berbentuk cicak gergasi pada bahagian tiang sesuatu binaan, seperti pada rumah. Di bahagian bawah rumah pula, biasanya berpalang dijadikan tempat kurungan haiwan peliharaan seperti ayam atau kambing.
Yang semakin unik ialah setiap rumah boleh dihuni lebih daripada sebuah keluarga, dengan setiap keluarga mempunyai ruang dapur dan bilik sendiri. Itu sebab binaan rumah Batak agak besar dan nampak gah.
Itulah serba sedikit apa yang ada di Pulau Samosir, Parapat.
Tarikan utama di pulau tersebut adalah Muzium Batak, Kampung Tomok dan juga gerai jualan yang menjual pelbagai cenderahati unik termasuk kain tenunan bermotif kebudayaan kaum Batak Pulau Samosir.
Kami sekeluarga habiskan masa hampir 2 jam di Pulau Samosir sebelum menaiki feri pulang ke jeti Parapat dan seterusnya meneruskan perjalanan ke Berastagi.
Dalam perjalanan pulang menaiki feri, kami dihiburkan dengan dua orang anak muda Indonesia yang menyanyikan lagu-lagu rakyat, selain beberapa lagu popular Indonesia yang diubah-suai senikatanya agar sesuai dengan kehadiran pelancong yang pelbagai.
Menariknya ialah, kami sekeluarga dihiburkan dengan lagu Rasa Sayang yang cukup popular di nusantara.
Usai persembahan, pelancong sangat digalakkan untuk memberikan 'upah' kepada persembahan yang telah dibuat. Anda boleh sahaja memberikan upah dalam matawang Malaysia.
[Dah Baca?] 4 Tempat Shopping Jimat di Bandung, Indonesia
Sebelum meneruskan perjalanan ke Berastagi, kami berada di pekan Parapat untuk menikmati hidangan makan tengahari yang pada saya agak tidak seronok diceritakan di dalam blog ini .. huhu. Agak mengecewakan tetapi alhamdulillah, setidaknya perut terisi tanpa perlu rasa kelaparan.
In Sha Allah, di post akan datang saya akan ceritakan pula pengalaman perjalanan ke Berastagi yang memang menarik, apatah lagi daerah ini kelihatannya lebih kurang sama seperti berada di Tanah Tinggi Cameron Highlands, Malaysia.
[Dah Baca?] Senarai Muzium Menarik di Kota Bandung, Indonesia Yang Harus Anda Lawati
Oh ya, lupa nak beritahu .. ucapan 'HORAS' adalah ucapan yang akan kerap anda dengar semasa berada di Parapat, terutama di Kampung Tomok, Pulau Samosir.
Horas adalah ucapan salam khusus bagi masyarakat kaum Batak. Ia biasanya diungkapkan ketika berjumpa atau mahu berpisah, selain turut digunakan sebagai pembuka dan penutup kata dalam setiap acara dianjurkan kaum Batak tanpa mengira fahaman agama pengucapnya.
Jadi, apabila ada seseorang di sana mengucapkan salam ‘horas!’ kepada anda, maka sahutlah dengan mengucapkan ‘horas’ juga kerana ia secara tidak langsung ia akan membangkitkan suasana mesra dan tanda persahabatan.
Di bawah adalah gambar group kami bercuti di Medan ... lokasi adalah di Pulau Samosir ..
Post a Comment
Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.