Pulau Samosir adalah unik kerana ia terbentuk hasil letusan gunung berapi dan menjadi sebuah pulau besar di tengah Tasik Danau Toba. Ia dihuni oleh masyarakat kaum Batak, yang terkenal secara mitosnya sebagai kaum yang garang dan suka memenggal kepala dan memakan daging manusia. Mereka juga pengamal ilmu hitam yang digeruni.
Bazar Kampung Tomok - Wajib Singgah Dapatkan Ole-Ole Kaum Batak di Pulau Samosir
Di sebalik kisah mitos itu, sebenarnya kaum Batak Toba tidaklah seperti itu. Saya sendiri telah ke perkampungan masyarakat Batak di Pulau Samosir, nyata mereka adalah peramah dan terus menyangkal dakwaan bahawa mereka kaum yang bengis.
Buat yang tak tahu, kaum Batak dikatakan berasal dari selatan India. Sejarah peradaban kaum ini yang telah menjadi sebahagian masyarakat Indonesia adalah sangat panjang. Walaupun ada beberapa catatan pengembara Eropah mengenai mereka tetapi satu pun tidak dapat dipastikan kesahihannya.
Batak Suka Makan Daging Manusia?
Kisah kaum ini yang suka memakan daging manusia adalah cerita lama dan ianya berlaku sekitar 300 tahun dahulu. Malah, ada yang mengatakan ia sebuah cerita yang sengaja dibesar-besarkan untuk menakutkan orang.Jika wujud pun, ia sekadar satu ritual agama purba mereka yang kini sudah tidak diamalkan lagi. Apatah lagi hampir 90 peratus kaum Batak kini menganut agama Kristian, yang tidak membenarkan ritual tersebut diamalkan.
Orang Batak berkulit gelap. Tubuh mereka kecil tetapi tegap. Mereka diketuai oleh seorang Raja, dan pemerintahan mereka dahulunya bersifat monarki, iaitu dari keturunan ke keturunan. Ketua digelar Raja Batak.
Pulau Samosir adalah pulau orang Batak. Di sini terdapat perkampungan orang Batak, dan yang paling dikenali ialah Perkampungan Tomok.
Perkampungan Tomok kini menjadi antara destinasi penting pelancongan terutama di daerah Parapat dan Danau Toba, dan di Sumatera Utara amnya.
Di kampung ini dipertunjukkan segala budaya masyarakat kaum Batak, daripada tenun-tenunan, senibina, tarian dan pelbagai lagi. Anda juga boleh mengenali masyarakat di sini dengan lebih dekat kerana kebanyakkan mereka menjadi peniaga cenderahati di bazar Pulau Samosir.
Perkara Tidak Benar Mengenai Peniaga Kaum Batak di Bazar Pulau Samosir
Bazar ini berdekatan dengan Jeti Penyeberangan Kampung Tomok, dan di hujung bazar anda akan terus ke Muzium Huta Bolon dan juga Makam Raja Batak Raja Sidabutar yang menjadi antara tarikan pelancongan di Pulau Samosir.
Di Makam Raja Sidabutar ini, anda akan diceritakan mengenai sejarah Raja Batak, terutama Raja Batak yang pernah mendapatkan khidmat seorang Kiyai dari Acheh untuk menang dalam satu peperangan besar.
Sebelum saya ke sini, saya telah diberitahu bahawa Pulau Samosir bukanlah tempat sesuai untuk mendapatkan cenderamata atau cenderahati. Peniaga di Bazar Kampung Tomok dikatakan biadap dan suka memaksa pelancong untuk membeli.
Tetapi .. apa yang berlaku adalah sebaliknya ...
Peniaga di Bazar Pulau Samosir tidaklah seperti digembur-gemburkan kebanyakan blog dan laman web.
Mereka adalah ramah. Malah tidak menggangu pelancong yang datang untuk sekadar melihat muzium dan juga Makam Raja Batak. Malah, kebanyakkan cenderahati di sini adalah unik dan sukar didapati di tempat lain.
Peniaga di sini juga ada yang beragama Islam. Jadi, usah nampak pelik jika ada peniaga yang berhijab dan memberikan salam kepada pelancong beragama Islam terutama dari Malaysia.
Harga barangan cenderahati juga sangat murah. Isteri saya membeli beberapa keychain dan juga beberapa cenderahati lain semurah 50 sen (duit Malaysia). Satu yang kami sendiri tidak menyangka.
Antara yang kami beli adalah keychain rumah Batak yang comel. :)
Jika anda mahu membeli barangan cenderahati di Pulau Samosir ini, cari barangan unik kaum Batak, antaranya kain ikat pinggang Batak, baju rajut bermotif Batak, dan barangan Batak dengan warna merah, putih dan hitam.
Kain tenunan kaum Batak juga istimewa seperti kain Ulos, ia sangat popular untuk dijadikan souvernier. Anda akan dapat merasai memakai kaun Ulos ini apabila memasuki Makam Raja Batak.
Peniaga di sini tidak memaksa untuk membeli. Anda boleh lihat, sentuh malah mengambil gambar tanpa sebarang masalah. Malah, anda boleh juga tawar-menawar harga cenderahati yang ada di sini. Jika tidak membeli, ucapkan sahaja terima kasih sahaja.
Membeli-belah cenderahati di sini boleh mengambil masa yang agak lama, ini adalah kerana panjangnya bazar di sini hampir 1 kilometer.
Selain membeli-belah, anda juga boleh belajar budaya di Tomok dengan melihat pertunjukan tarian Sigale-gale dan juga melihat keunikan Batu Persidangan.
[Dah Baca?] Zara Makes Its Legendary Appearance in Indonesia
Anda juga boleh melihat binaan unik rumah kaum Batak di Pulau Samosir ini. Ia bersebelahan sahaja dengan Makam Raja Batak dan juga bazar. Binaan rumah ini adalah dari pelbagai suku kaum Batak yang terdiri dari Karo, Simalungun, Angkola, Mandailing, Toba, Dairi dan Pakpak
Bagi individu yang meminati kebudayaan, sejarah dan asal-usul masyarakat sesuatu tempat, Pulau Samosir menjanjikan pelbagai cerita dan bahan yang boleh dikongsi bersama.
oh ingatkan tomok penyanyi tu. hehe
BalasPadamCatat Ulasan
Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.